Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳الجنائز

Wanita Islam Menyertai Sembahyang Jenazah Dan Hukum Menziarahi Dan Berdoa Di Sisi Kubur

Soalan: Dengan hormatnya dipohonkan untuk mendapat penjelasan mengenai persoalan berikut:

Adakah wanita Islam dibenarkan untuk menyertai sembahyang jenazah (pengebumian) dan membaca Al-Qur’an serta berdoa (ketika ziarah) hampir dengan tapak kubur seseorang yang mereka sayangi?

Jawapan: Menurut ijmâ‘ ulama Syafi‘iyyah, hukum sembahyang jenazah adalah wajib fardhu kifâyah.

Cara mengerjakannya tidak disyaratkan berjemaah sepertimana sembahyang Jumaat. Ini bermakna sembahyang jenazah itu memadai sekalipun hanya dilakukan oleh seorang sahaja. Demikian pendapat yang diperakukan oleh Al-Jarjani, Ar-Rauyani, Ar-Rafi‘e dan lain-lain. Walaupun demikian mengerjakan sembahyang jenazah secara berjemaah adalah lebih afdhal.

Dalam menunaikan sembahyang jenazah itu, harus bagi wanita menyertainya. Walaubagaimanapun terdapat perselisihan pendapat di kalangan ulama Asy- Syafi‘iyyah tentang sembahyang jenazah yang dilakukan oleh wanita sahaja sedangkan bersama mereka ketika itu ada orang lelaki. Menurut pendapat yang ashah, tuntutan fardhu kifâyah dalam keadaan begini belumlah terangkat. Ini bermakna orang-orang lelaki yang ada bersama mereka itu mestilah ada antara mereka yang melakukannya. Jika tidak, tuntutan tersebut terus berkekalan dan kesemua orang Islam yang ada di kampung atau tempat itu masih menanggung dosa.

Berlainan halnya jika di tempat kematian itu hanya wanita sahaja yang ada. Maka sembahyang jenazah itu menjadi wajib ke atas mereka dan dengan demikian terangkat atau gugurlah tuntutan fardhu kifâyah kerana menyembahyangkan jenazah itu. Mereka boleh melakukan sembahyang itu dengan cara berseorangan. Jika dilakukan secara berjemaah tidaklah dilarang tetapi sembahyang jenazah berjemaah itu tidak disunatkan bagi wanita, berlainan dengan orang lelaki.

Jika orang yang berada di tempat jenazah itu terdiri daripada lelaki dan perempuan, maka tuntutan fardhu kifâyah itu ialah khas ke atas orang-orang lelaki sahaja. Adapun perempuan tidak termasuk dalam tuntutan tersebut.

Sekadar ingin memberikan penjelasan sahaja bahawa oleh kerana soalan asal yang diminta menyebutkan “sembahyang jenazah (pengkebumian),” sedangkan pengebumian itu suatu perkara yang lain dan tidak boleh disamakan atau disamaertikan dengan sembahyang jenazah, maka jawapan yang diberikan tidak menyentuh perkara penyertaan perempuan dalam upacara pengkebumian.

Hukum ziarah kubur orang-orang Islam itu adalah sunat bagi orang lelaki. Memang pada awalnya hukum ziarah kubur itu dilarang. Kemudian larangan itu dimansûkhkan, sebagaimana sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:

Maksudnya: “Dahulu aku melarang kamu menziarahi kubur, sekarang bolehlah kamu menziarahinya”. (Hadis riwayat Ahmad dan An-Nasa’i)

Menurut Asy-Syeikh Muhammad Al-Khathib Asy-Syarbini dalam kitabnya Mughni Al-Muhtâj, larangan yang dimansûkhkan dalam hadis di atas adalah terhadap lelaki sahaja. Dhamîr yang disebutkan dalam hadis tersebut tidak termasuk wanita. (1/494)

Para ulama Syafi‘iyyah telah berselisih pendapat tentang hukum menziarahi kubur bagi perempuan. Namun demikian, menurut pendapat jumhûr ulama hukum ziarah kubur bagi perempuan adalah makruh sahaja kerana sifat perempuan yang tidak sabar, cepat tersentuh perasaan dan ditakuti akan menimbulkan perasaan dukacita yang bersangatan yang boleh menyebabkan dia menangis dan meratapi kubur si mati.

Dalil yang menunjukkan tidak haram bagi perempuan menziarahi kubur ada dinyatakan dalam sebuah hadis:

Maksudnya: “Daripada Anas bin Malik Radhiallahu ‘anhu berkata: “Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam berjalan melintasi seorang perempuan yang sedang menangis di satu tempat perkuburan, lalu Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Bertaqwalah anda kepada Allah dan bersabarlah.”

(Hadis muttafaq ‘alaih)

Berdasarkan hadis di atas dapat difahami bahawa menziarahi kubur bagi perempuan itu bukan haram, kerana jika perbuatan tersebut dihukumkan haram, nescaya Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam menegur ataupun melarang perempuan tersebut daripada menziarahi kubur.

Menurut sebahagian ulama pula, perempuan yang menziarahi kubur, jika menyebabkan akan menimbulkan semula perasaan dukacita dan untuk meratapi si mati, maka haram baginya menziarahi kubur. Hukum ini didasarkan kepada hadis Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam:

Maksudnya: “Daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu bahawasanya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam melaknat perempuan-perempuan yang menziarahi kubur.” (Hadis riwayat Ibnu Majah dan Tirmidzi)

Adapun jika tujuan menziarahi itu ialah untuk mengambil i‘tibâr, mengingati kematian, alam Barzakh dan alam akhirat, tanpa adanya ratapan dan tidak pula menimbulkan perasaan dukacita yang bersangatan, maka dalam hal ini makruh bagi perempuan menziarahi kubur.

Berkata Imam An-Nawawi Rahimahullahu Ta‘ala di dalam kitabnya Al-Majmû‘ Syarh Al-Muhadzdzab bahawa pendapat ini adalah pendapat yang bagus.

Maka di sini dapat disimpulkan bahawasanya makruh bagi perempuan menziarahi kubur walaupun dapat menjaga adab kesopanan, dapat menahan dirinya daripada kesedihan yang bersangatan dan aman daripada segala fitnah, baik dari segi persekitaran mahupun masa berziarah. Di antara adab-adab yang perlu dijaga oleh perempuan ketika menziarahi kubur ialah:

(i) Hendaklah dia ditemani oleh suaminya ataupun mahramnya.

(ii) Keluar dalam keadaan menutup aurat sepenuhnya sepertimana yang digariskan oleh Islam.

(iii) Jangan selalu pergi berziarah ke kubur.

(iv) Tidak berbual dengan percakapan kosong seperti yang dilarang bagi kaum lelaki kerana Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam ada bersabda yang berbunyi:

Maksudnya: “Dahulu aku melarang kamu menziarahi kubur, maka (sekarang), siapa yang ingin menziarahi kubur, berziarahlah, dan janganlah kamu bercakap-cakap dengan perkataan yang bâthil.” (Hadis riwayat Nasa’i)

Akan tetapi hukum makruh itu boleh berpindah kepada haram, jika ziarahnya itu boleh menimbulkan semula kesedihan sehingga menyebabkan dia menangis, meraung dan meratapi si mati. Begitu juga, haram bagi perempuan menziarahi kubur jika dia tidak menjaga adab kesopanan semasa berziarah, tidak aman dari segala fitnah atau seumpamanya.

Adab Menziarahi Kubur

Sebelum menziarahi kubur, disunatkan kita berwudhu’, memakai pakaian yang sopan dan menutup aurat. Kemudian barulah kita bertolak menuju ke tanah perkuburan dengan membulatkan hati, berniat ikhlas selari dengan tujuan-tujuan ziarah sebagaimana yang telah disebutkan terdahulu.

Apabila kita sampai ke tanah perkuburan, disunatkan kita memberi salam kepada ahli atau penghuni kubur sebagaimana yang dijelaskan dalam hadis riwayat Muslim:

Maksudnya: “Sesungguhnya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam mengajar mereka sekiranya menziarahi kubur (supaya mengucapkan): “Mudah-mudahan Allah limpahkan salam sejahtera kepada kamu sekalian wahai penghuni kampung-kampung mukminin dan muslimin, dan sesungguhnya kami Insyâ’ Allah akan bertemu kamu. Saya memohon kepada Allah afiat untuk kami dan untuk kamu sekalian.” (Hadis riwayat Muslim)

Perbuatan memberi salam itu afdhalnya dilakukan dalam keadaan kita berdiri di tepi perkuburan dengan membelakangi qiblat dan menghadap ke arah muka ahli kubur yang diziarahi.

Perlu juga kita ketahui bahawa walaupun dengan hanya melintasi mana-mana kubur orang-orang Islam sekalipun tanpa niat ziarah secara khusus, kita juga disunatkan memberi salam kepada mereka dan berdoa untuk keselamatan mereka. Ini berdasarkan hadis Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam ketika ditanya oleh Abu Razin:

Maksudnya: “Daripada Abu Hurairah Radhiallah ‘anhu katanya: “Abu Razin bertanya: “Ya Rasulullah! Sesungguhnya dalam perjalananku (menuju ke rumahku) melintasi tanah perkuburan, apakah ada bacaan yang patut saya ucapkan jika saya melalui mereka?” Jawab Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam: “Bacalah: “Mudah-mudahan Allah limpahkan keselamatan ke atas kamu wahai ahli kubur daripada muslimin dan mukminin, kamu semua telah mendahului kami, dan kami akan menyusul kamu dan sesungguhnya kami – Insya Allah -, akan menyusuli kamu.” Abu Razin bertanya lagi: “Wahai Rasulullah, adakah mereka mendengar?” Jawab Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam: “Mereka mendengar dan tidak dapat menjawab (iaitu jawapan yang boleh didengar oleh orang hidup).” Kemudian Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Ya Abu Razin! Adakah engkau tidak suka bila (salam) kamu dijawab oleh para malaikat?” (Ditakhrîjkan oleh Al-‘Uqaili)

Selepas memberi salam, kita disunatkan pula membaca Al-Qur’an, teristimewanya membaca surah Al-Ikhlâsh sebanyak sebelas kali atau membaca surah Yasin, dan setelah itu hadiahkan pahala bacaan itu kepada mereka, sebagaimana yang telah dijelaskan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam di dalam sabda Baginda yang diriwayatkan oleh Ad-Daraquthni:

Maksudnya: “Sesiapa yang melintasi di kawasan perkuburan lalu membaca قلهو هللا أحد sebelas kali, kemudian menghadiahkan pahala bacaan itu untuk orang-orang yang mati, maka dia akan diberi pahala sebanyak bilangan (pahala) orang-orang yang mati.” (Hadis riwayat Ad-Daraquthni) Terdapat juga sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud, Nasa’i dan dianggap shahîh oleh Ibnu Hibban:

Maksudnya: “Bacalah ke atas keluarga kamu yang telah mati akan surah Yasin.” Setelah itu disunatkan kita berpaling ke arah qiblat serta mengangkat kedua-dua belah tangan untuk berdoa.

Larangan-Larangan Semasa Menziarahi Kubur Terdapat beberapa larangan yang perlu dielakkan bagi orang-orang yang hendak menziarahi kubur. Di antaranya: (i) Meratap, memekik atau memukul-mukul pipinya (kerana bersangatan dukacita). Larangan ini adalah berdasarkan hadis Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam yang maksudnya:

Maksudnya: “Tidak termasuk di dalam golongan kami orang yang memukul-mukul pipinya, mengoyak-ngoyak koceknya, berteriak-teriak seperti yang dilakukan oleh orang-orang Jahiliah.” (Hadis muttafaq ‘alaih) Adapun sedih dan mengalirkan airmata tanpa ratapan tidaklah dilarang, kerana kesedihan dan mengalirkan airmata itu tanda rasa kasih kepada ahli kubur atau merasa insaf tentang hari kematian. (ii) Makruh duduk atau merangkak di atas kubur dan makruh bersandar pada kubur. Larangan ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu:

Maksudnya: “Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Seseorang yang duduk di atas bara api lalu terbakar pakaiannya sehingga terkupas kulitnya, adalah lebih baik baginya daripada dia duduk di atas kubur.” (Hadis riwayat Muslim, Abu Daud, Nasa’i dan Ibnu Majah)

Akan tetapi tidaklah dilarang duduk di sekitar atau di sekeliling kubur sebagaimana hadis daripada Ali Karramallahu wajhah:

Maksudnya: “Suatu ketika kami semua berada di Baqi‘ Al-Gharqad untuk menghantar jenazah seseorang. Pada saat itu Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam mendatangi tempat kami, lalu Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam duduk dan kami semua pun duduk mengelilinginya dan bersama Baginda ada sebatang tongkat.” (Hadis riwayat Bukhari)

(iii) Tidak harus memijak kubur tanpa keperluan (hajat) kerana memijak itu seperti hukum duduk. Walau bagaimanapun jika tidak ada jalan menuju ke kubur yang hendak diziarahi itu, melainkan memijak kubur (yang lain), maka ketika itu harus memijak kubur, kerana adanya keuzuran.

(iv) Haram melakukan perkara-perkara khurâfât yang menjejaskan aqidah seperti mencium kubur, mengusap-usap tanah perkuburan dan yang seumpamanya.

Berdasarkan penjelasan-penjelasan di atas, hukum asal bagi wanita Islam menziarahi kubur adalah makruh tertakluk kepada adab sopan dan lain-lain tuntutan yang berkaitan dengan hukum ziarah itu. Mereka juga boleh bahkan sunat membaca ayat-ayat Al-Qur’an dan berdoa kepada si mati.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-8486