Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳الزكاة والصدقات

Adakah Dizakat Wang Simpanan Kebajikan?

Soalan: Sukacita dipohonkan penjelasan mengenai zakat terhadap wang simpanan di Bahagian AEROTELS, Jabatan Penerbangan Awam yang juga dikenali sebagai TABUNG SIMPANAN AEROTELS @ IBB.

Untuk pengetahuan pihak Tuan bahawa Bahagian AEROTELS ada mengutip wang daripada semua lapisan pegawai dan kakitangan di bahagian ini sendiri.

Kutipan ini dikenakan kepada semua pegawai dan kakitangan di bahagian ini tidak kira yang beragama Islam atau tidak.

Tujuan simpanan ini adalah untuk memberi kemudahan dan kelicinan kepada semua pegawai dan kakitangan bahagian ini di dalam menyumbangkan derma yang diperlukan mahupun diaturkan oleh Jabatan ini bagi sebarang aktiviti Jabatan atau kementerian di samping bagi menampung keperluan aktiviti-aktiviti bahagian ini sendiri.

Sehubungan itu besarlah harapan supaya pihak Tuan dapat memberikan penjelasan terperinci dengan segera.

Jawapan: Adapun wang yang dikumpulkan hasil kutipan daripada kakitangan dan pegawai sesebuah jabatan, syarikat atau seumpamanya bagi tujuan untuk didermakan, membiayai sesuatu aktiviti atau seumpamanya, dan bukannya untuk diperniagakan sama ada kesemuanya atau sebahagiannya, adalah wang yang dikumpulkan seperti itu tidaklah dikenakan zakat sekalipun telah mencapai nishâb wajib zakat serta telah cukup haulnya, kerana wang tersebut sifatnya ialah seperti wang tidak bertuan atau wang Baitulmal, di mana setiap penyumbang tidak lagi berhak ke atas bahagian wang yang telah disumbangkan itu.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-8495