Anak Angkat Dan Hubungannya Dengan Wudhu Dan Perwarisan
Soalan: Sahabat saya mempunyai seorang anak angkat lelaki. Anak angkat itu telah lahir di luar pernikahan bersama seorang lelaki berbangsa Cina dan ibu kandungnya pula seorang wanita Melayu Islam. Atas sebab-sebab kekeluargaan, lelaki Cina tersebut tidak mahu masuk Islam lalu lahir anak tersebut tanpa nama bapa di dalam surat beranak. Anak tersebut telah diangkat sejak lahir dan secara undang-undang sivil telah disahkan menjadi anak angkat yang sekarang ini berumur hampir 10 tahun dan telahpun disekolahkan. Persoalannya ialah:
1. Dia telahpun di‘bin’kan ‘Abdullah’. Dalam pengurusan anak angkat, pihak Kebajikan telah menyarankan kepada beliau untuk tidak memasukkan nama sebenar lelaki Cina tersebut bagi memudahkan permohonan mendapat Kerakyatan Brunei. Sekarang ini anak tersebut telah diiktiraf dan disahkan sebagai seorang rakyat Kebawah Duli Yang Maha Mulia. Apakah tafsiran ayat di bawah ini dan apakah perlu diubah ‘Abdullah’ kepada nama lelaki Cina tersebut? “Panggillah anak-anak angkat itu ber‘bin’kan kepada bapa-bapa mereka sendiri, cara itulah yang lebih adil di sisi Allah…” petikan sebahagian daripada terjemahan surah al-Ahzâb, ayat 5.
2. Isteri beliau (isteri teman penyoal) dengan si ibu kandung (kepada anak angkat) adalah adik beradik. Apakah batal wudhu si isteri bila bersentuhan (dengan anak angkat) pada hukum syara‘? Apakah yang perlu dijaga selain daripada hal-hal wudhu?
3. Sekiranya perkahwinan beliau berpanjangan (insyâ’ Allah) namun tidak dikurniakan zuriat, apakah anak tersebut berhak menerima harta pusaka peninggalan keluarga angkat tersebut sekalipun beliau telah menggunakan peguam sivil?
4. Apakah nasihat yang perlu diberikan kepada beliau selaku keluarga angkat agar landasan serta tuntutan syara‘ tetap dituruti?
Diharap yang Berhormat Pehin akan dapat memberi penjelasan akan permasalahan di atas bagi pihak beliau.
Jawapan: Membinkan anak di luar nikah kepada Abdullah (hamba Allah) atau nama-nama al- Asmâ’ al-Husna adalah tidak bercanggah dengan hukum syara‘, kerana anak di luar nikah itu tidak bersambung nasabnya dengan lelaki yang menzinai ibunya yang menyebabkan kanak-kanak itu lahir.
Sabit nasab seorang anak kepada bapanya adalah berasaskan kepada nikah yang sah di antara kedua ibu bapanya itu. Sedangkan dalam permasalahan ini, lahirnya anak lelaki berkenaan bukanlah daripada pernikahan yang sah di antara ibu kanak-kanak itu dengan lelaki berbangsa Cina berkenaan. Maka tiadalah sabit nasabnya kepada lelaki Cina tersebut. Walau bagaimanapun nasab antara anak dengan ibunya adalah sabit dengan sabitnya ibu berkenaan melahirkan anak tersebut seperti mana sabitnya nasab Nabi Isa kepada Maryam.
Adapun maksud ادعـُوهُمآلبَئَهـَم yang tafsirnya: “Panggilah anak-anak angkat itu dengan ber‘bin’kan kepada bapa-bapa mereka sendiri” (ayat 5 daripada surah al-Ahzâb) itu ialah bapanya yang sebenar melalui nikah yang sah mengikut hukum syara‘. Maka tidaklah tepat ayat ini dijadikan hujah untuk membinkan anak lelaki itu kepada lelaki Cina berkenaan yang bukan bapanya yang sah menurut syara‘.
Daripada gambaran yang diberikan isteri kepada sahabat penyoal itu adalah emak saudara kepada anak lelaki itu. Oleh kerana nasab anak tersebut sabit kepada ibunya (ibunya itu adalah adik beradik dengan isteri kepada sahabat penyoal), maka tidaklah batal wudhu kerana bersentuh kulit anak lelaki itu dengan emak saudaranya, kerana ada hubungan mahram.
Menurut hukum syara‘ anak angkat yang tidak ada hubungkait dengan perwarisan (yakni bukan terdiri daripada ahli-ahli waris) tidak berhak mendapat harta pusaka dan haram anak angkat tersebut mengambil harta pusaka itu kecuali ada wasiat kepadanya. Itupun dalam keadaan yang tidak melebihi 1/3 daripada harta pusaka berkenaan. Walau bagaimanapun mana-mana harta yang diberikan oleh bapa angkat dalam masa hidupnya kepada anak angkatnya adalah pemberian itu sah dan menjadi milik anak angkat itu.
Anak angkat adalah berbeza dengan anak sebenar. Dari itu kita hendaklah berhati-hati dalam perkara-perkara yang boleh melibatkan hukum seperti menjaga pergaulan, khasnya dari segi penutupan aurat, masalah-masalah waris dan perwalian nikah seperti wali kepada adik angkatnya. Sebab itulah kita perlu berterus terang kepada anak angkat itu bahawa dia adalah anak angkat bukan anak sebenar supaya dapat dikawal.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-8501
