Berjanggut Dan Berjambang
Soalan: Dengan hormat dan penuh takzim kaola ingin memohon ketetapan pihak Pehin mengenai keraguan yang kaola ingin tanyakan kepada Pehin seperti di bawah ini. Sebagai jabatan kerajaan beruniform (pakaian seragam), sudah tentu ada peraturannya yang tersendiri. Di antara peraturan itu adalah tidak dibenarkan berjanggut dan berjambang. Kaola sebagai ketua seksyen kecil hendaklah memastikan bahawa peraturan itu dipatuhi dan diikuti. Adakah menjadi kesalahan yang besar jika seseorang Muslim membuang janggut dan jambang demi mematuhi peraturan kerja di mana ianya mencari nafkah untuk menyara ahli keluarganya. Bagi yang enggan memotong janggut dan jambangan pula beralasan bahawa ia adalah satu perbuatan sunat. Kaola memohon ketetapan Pehin sama ada berjanggut dan berjambang sesuai dengan anggota beruniform dan apakah enggan mengikut arahan ketua itu tidak salah. Perkara ini kaola tanyakan adalah sebagai sandaran bagi kaola jika timbul perkara-perkara yang berkaitan dengan perkara-perkara yang berkaitan. Kaola memohon ketetapan Pehin dari segi hukum Islam dalam perkara ini.
Jawapan: Erti Al-Lihyah Janggut dan jambang itu disebut dalam bahasa arabnya al-lihyah iaitu rambut atau bulu yang tumbuh di kawasan dua pipi dan dagu. Demikian menurut al-Faruz Abadi dalam al-Qâmûs al-Muhîth.
Nabi Harun ‘Alaihissalam Berjanggut
Berjanggut dan berjambang itu sunnah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, amalan para sahabat Baginda dan para Nabi ‘Alaihimussalam. Di antara nabi yang berjanggut yang disebutkan oleh al-Qur’an ialah Nabi Harun abang kepada Nabi Musa ‘Alaihissalam. Nabi Harun lebih tua tiga tahun daripada Nabi Musa.
Firman Allah Ta‘ala:
Tafsirnya: “Nabi Harun berkata: “Wahai anak ibuku, janganlah engkau meragut janggutku dan jangan engkau menarik rambutku.” (Surah Thaha: 94)
Menurut sejarah, apabila Nabi Musa dan Nabi Harun ‘Alaihimassalam bersama Bani Israel selamat daripada buruan Firaun dan tenteranya, Nabi Musa ‘Alaihissalam pergi munâjât seorang diri di gunung Tursina selama empat puluh hari dan meninggalkan Bani Israel di bawah jagaan Nabi Harun ‘Alaihissalam. Kemudian Allah Ta‘ala memberitahu Nabi Musa ‘Alaihissalam bahawa di kalangan Bani Israel telah terjadi fitnah aqidah selepas ditinggalkannya.
Fitnah berkenaan ialah penyelewengan aqidah Bani Israel dengan mempertuhankan patung sapi emas hasil pahatan salah seorang Bani Israel yang bernama Samiri iaitu sebaik-baik saja Nabi Musa ‘Alaihissalam pergi bermunâjât, dengan memahat patung sapi yang dibuatnya daripada emas. Setelah siap patung itu, Samiri mendakwa itulah tuhan Nabi Musa ‘Alaihissalam dan itulah juga tuhan Bani Israel. Maka Bani Israel pun menyembah patung emas itu. Walaupun Nabi Harun ‘Alaihissalam ada bersama mereka, tetapi baginda tidak dapat berbuat apa-apa dan tidak berupaya menghalang mereka.
Sebaik saja Nabi Musa ‘Alaihissalam kembali daripada bermunâjât dan didapatinya berlaku penyelewengan aqidah di kalangan Bani Israel itu, Nabi Musa ‘Alaihissalam pun terus memegang dan menarik janggut dan rambut abangnya, Nabi Harun ‘Alaihissalam kerana kesal terhadap penyelewengan tersebut sedangkan Nabi Harun ‘Alaihissalam ada bersama mereka.
Oleh sebab tindakan Nabi Musa ‘Alaihissalam memegang dan menarik janggut dan rambut Nabi Harun ‘Alaihissalam itu, lalu Nabi Harun ‘Alaihissalam berkata: “Wahai anak ibuku, janganlah engkau meragut janggutku dan janganlah engkau menarik rambutku,” sebagaimana yang diceritakan Allah Ta‘ala dalam surah Thaha di atas.
Kisah janggut Nabi Harun ‘Alaihissalam yang dipegang Nabi Musa ‘Alaihissalam ini, menjadi dalil kepada para ulama yang berpendapat bahawa amalan berjanggut itu disyariatkan dalam Islam dan menjadi sunnah nabi-nabi.
Tujuan Berjanggut
Amalan berjanggut dan berjambang itu juga merupakan suatu tanda untuk membezakan cara hidup orang Islam daripada cara hidup orang musyrik dan Majusi. Orang musyrik dan Majusi tidak suka berjanggut, tetapi menyukai menyimpan misai.
Hadis-Hadis Mengenai Janggut Dan Jambang
Adapun perintah memelihara janggut itu banyak kali ditegaskan dalam hadis-hadis Baginda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam. Antaranya Baginda bersabda:
Maksudnya: “Diriwayatkan daripada Ibnu ‘Umar Radhiallahu ‘anhuma katanya: “Bersabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam: “Kamu cukurlah misai dan peliharalah janggut kamu.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Maksudnya: “Diriwayatkan daripada Ibnu ‘Umar Radhiallahu ‘anhuma, katanya: “Bersabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam: “Berbezalah kamu daripada orang-orang musyrik, iaitu, kamu pelihara janggut dan cukurlah misai.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Dalam hadis yang lain Baginda bersabda:
Maksudnya: “Guntinglah misai dan panjangkanlah janggut elakkanlah daripada mengikut orang-orang Majusi.” (Hadis riwayat Muslim)
Maksudnya: “Daripada ‘Aisyah katanya: “Telah bersabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam: “Sepuluh perkara daripada fitrah (kebiasaan nabi-nabi) iaitu menggunting misai dan memanjangkan janggut.........” (Hadis riwayat Muslim)
Maksudnya: “Daripada Ibnu ‘Umar, daripada Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam, sesungguhnya dia berkata: “Kami diperintahkan supaya mencukur misai dan membiarkan janggut panjang.” (Hadis riwayat Muslim)
Hadis-Hadis Melarang Mencukur Janggut
Mencukur janggut dan memelihara misai itu adalah budaya atau cara hidup orang-orang Yahudi dan Nashrani. Oleh kerana itu orang Islam diperintahkan supaya berkeadaan sebaliknya tidak mengikut budaya mereka itu. Sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: “Daripada Abu Hurairah, katanya: “Bersabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam: “Kamu simpanlah janggut dan kamu potonglah misai, serta janganlah kamu mencontohi Yahudi dan Nashrani.” (Hadis riwayat Ahmad)
Maksudnya: “Diceritakan bahawa seorang lelaki daripada kalangan Majusi datang mengadap Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam, dan lelaki ini telah mencukur janggutnya dan memanjangkan misainya. Lalu Baginda bertanya: “Apa (yang engkau lakukan) ini?” Lelaki itu menjawab: “Beginilah ajaran agama kami.” Kemudian Baginda berkata: “Akan tetapi dalam agama kami (Islam) hendaklah kami memotong misai dan membiarkan janggut kami panjang.” (Hadis riwayat Ibnu Abu Syaibah)
Para Sahabat Radhiallahu ‘Anhum Berjanggut
Melalui keterangan yang diperolehi daripada hadis shahîh, âtsâr dan sîrah, para sahabat Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam tidak mencukur janggut mereka sebagaimana keterangan berikut ini:
Maksudnya: “Adalah janggut Abu Bakar itu lebat adapun Uthman jarang (tidak lebat) janggutnya tetapi panjang, sedangkan Ali tebal janggutnya.” (Hadis riwayat at-Tirmidzi)
Menurut kata al-Imam al-Bukhari:
Maksudnya: “Ibnu ‘Umar menipiskan misainya sehingga kelihatan kulitnya yang putih.” (Fath al-Bâri: 11/524)
Maksudnya: “Semasa Ibnu ‘Umar mengerjakan haji dan umrah, beliau menggenggam janggutnya, mana yang lebih (daripada genggamannya) dipotong.” (Hadis riwayat al-Bukhari)
Daripada keterangan-keterangan di atas, jelas membuktikan bahawa para sahabat adalah berjanggut kerana mencontohi amalan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam.
Pendapat Mazhab Syafi‘e Tentang Janggut
Menurut Imam an-Nawawi dalam Syarh Shahîh Muslim bahawa janggut itu tidak dicukur, katanya:
Ertinya: “Bahawa pendapat yang terpilih, ialah membiarkan janggut mengikut keadaan semula jadinya, dan pada dasarnya tidak mengapa-apakannya, walau menggunting sedikitpun daripadanya, dan pendapat yang terpilih pada misai pula ialah tidak memotongnya habis, cukup memendekkannya setakat jelas kelihatan tepi bibir.”
Menurut kitab al-Majmû‘ karangan al-Imam an-Nawawi, kata al-Khithabi dan ulama-ulama selainnya: “Janggut itu disimpan, dibiarkan dengan tidak digunting. Mengguntingnya adalah makruh seperti perbuatan orang-orang a‘jam (bukan Islam). (1/342)
Berdasarkan keterangan hadis-hadis di atas, berjanggut itu bukan sahaja amalan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam dan para sahabat Baginda, bahkan juga menjadi amalan juga kepada para nabi sebagaimana keterangan al-Qur’an tentang janggut Nabi Harun ‘Alaihissalam. Sementara mencukurnya pula bertentangan dengan sunnah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam.
Oleh kerana itu mana-mana peraturan melarang orang Islam daripada berjanggut atau berjambang adalah peraturan itu tidak selaras dengan tuntutan syara‘, lebih-lebih lagi mazhab jumhûr selain daripada mazhab Syafi‘e, yang lebih menguatkan perkara berjanggut itu.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-8509
