Cabutan Nombor Bertuah
Soalan: Sukacita dimaklumkan bahawa Ahli Jawatankuasa Masjid akan mengadakan majlis ‘Hari Keluarga Masjid’ yang bertujuan mengeratkan lagi silaturahim di kalangan keluarga AJK ta‘mîr dan jemaah. Ia juga bertujuan memberikan pengetahuan kepada para belia tentang fungsi masjid yang tidak hanya terikat kepada aktiviti di dalam masjid sahaja malah ianya boleh diadakan di luar masjid dengan mengikut lunas-lunas hukum yang tertentu.
Majlis ini dirancang akan diadakan di Taman Rekreasi Bukit Shahbandar di mana beberapa aktiviti dirancang terutama sekali aktiviti riadah, menguji minda dan kerjasama bagi belia-belia masjid. Salah satu aktiviti yang menjadi kemusykilan pihak kaola adalah berkenaan cabutan undi bertuah.
Pihak masjid akan mengirimkan surat ke beberapa syarikat yang dimiliki oleh orang Islam dan yang bukan Islam dengan menerangkan tujuan majlis ini. Mereka dipohon untuk memberikan “sponsorship” berupa benda dan perkhidmatan seperti televisyen, “voucher” makan di restoran, bermalam di hotel, telefon bimbit dan lain-lain. Mana-mana syarikat yang bersetuju untuk memberikan sumbangan mereka, pihak masjid akan mengiklankan syarikat mereka di dalam akhbar tempatan sebagai tanda penghargaan atas sokongan yang diberikan.
Sumbangan syarikat tadi akan dijadikan hadiah bagi cabutan undi bertuah semasa hari keluarga. Tiket bagi cabutan undi bertuah ini akan dijual satu ringgit sekeping. Hasil daripada jualan ini akan dimanfaatkan bagi perbelanjaan penyelenggaraan majlis tersebut yang tidak akan menggunakan kewangan tabung masjid. Jika sekiranya terdapat baki daripada wang jualan tiket ianya akan disalurkan ke tabung masjid.
Demikianlah penerangan bagi penyelenggaraan cabutan undi tersebut. Dari itu, bagi pihak ahli jawatankuasa ta‘mîr, besarlah harapan kaola untuk mendapat penjelasan perkara ini bagi menentukan tindakan yang perlu diambil.
Jawapan: Bagaimana cara pengendalian cabutan undi bertuah itu akan mempengaruhi hukum mengenainya. Lazimnya pengendaliannya seperti contoh-contoh berikut:
A. Suatu majlis telah diadakan, tetamu-tetamu yang hadir ke majlis itu tidak dikenakan apa-apa bayaran masuk. Di dalam majlis itu diedarkan kertas-kertas kecil berupa tiket yang bernombor kepada tetamu-tetamu yang hadir yang menjanjikan hadiah kepada pemegang nombor tertentu yang disebut sebagai nombor bertuah. Kemudian proses undian pun dijalankan di mana pemegang nombor tertentu akan mendapat hadiah yang dijanjikan itu.
B. Suatu jualan diadakan, di mana ditawarkan kepada sesiapa yang membeli di tempat itu - tanpa menetapkan jumlah yang mesti dibeli - akan diberi hadiah melalui cabutan undi bertuah. Harga barangan ialah harga biasa yakni tidak dinaikkan bagi tujuan mendapatkan kos pembiayaan hadiah yang ditawarkan.
C. Satu majlis diadakan, di dalam majlis itu dijual tiket dengan harga umpamanya seringgit di mana pihak penganjur menjanjikan hadiah-hadiah tertentu kepada pemegang nombor tiket tertentu yang berjaya terpilih melalui cabutan undi.
Contoh-contoh A dan B di atas tidak dinamakan perjudian, kerana tiada wang pertaruhan dikenakan kepada peserta, kerana di antara maksud judi itu ialah suatu permainan dengan menggunakan wang pertaruhan. Berlainan dengan contoh C, kerana peserta-peserta akan dimestikan membeli tiket terlebih dahulu untuk mendapatkan hadiah-hadiah yang ditawarkan atau dijanjikan, sama seperti seorang itu membeli tiket toto, tiket tikam ekor atau tiket loteri kebajikan masyarakat. Jadi mengenakan kepada peserta-peserta wang sebanyak seringgit sebagai pertaruhan untuk mendapatkan hadiah adalah ia sejenis judi.
Adapun menamakan majlis itu sebagai ‘Hari Keluarga’ dan cara bagaimana penganjur mendapatkan atau memperolehi hadiah-hadiah itu, tidaklah menghilangkan hakikat aktiviti itu sebagai perjudian, kerana mempertaruhkan wang (penyoal menyebutnya sebagai membeli tiket) itu adalah di antara unsur perjudian, walaupun tiket itu dimaksudkan sebagai barang jualan.
Di antara syarat-syarat sah barang yang hendak dijual beli itu, hendaklah ianya bermanfaat atau berfaedah menurut syara‘. Bererti, jika membelanjakan wang atau harta pada barang yang tidak bermanfaat atau tidak memberi faedah adalah perbuatan itu sia-sia dan bodoh. (Tuhfah: 4/237-238).
Maka membeli tiket bagi tujuan cabutan undi bertuah sebagaimana yang digambarkan oleh penyoal adalah dianggap membeli barang atau benda yang tidak bermanfaat, kerana tiket yang dimaksudkan itu tidak mempunyai nilai, melainkan bagi memudahkan pemegang tiket itu melihat atau mengetahui nombor yang dikatakan bertuah yang tertera pada tiket tersebut. Oleh yang demikian jual beli benda atau barang yang tidak berfaedah seperti ini adalah tidak sah sebagai jual beli.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-8514
