Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳الجنائز

Cara Menyempurnakan Mayat Kanak-Kanak Yang Dijumpai Terbuang

Soalan: Dengan penuh hormat sukacita kaola memaklumkan Yang Dimuliakan Lagi Dihormati Pehin, bahawa pada 3hb. Januari, 2001 jam 4.45 petang, Balai Polis Seria telah menerima satu laporan daripada orang awam tentang penemuan mayat seorang anak damit perempuan yang baru dilahirkan di kawasan pembuangan sampah Anduki, Seria.

Bedah siasat telah selesai dijalankan dan mayat tersebut masih disimpan di bilik mayat Rumah Sakit RIPAS sementara menantikan untuk dikebumikan. Pihak pathologist menjangkakan anak damit tersebut berumur 5 hari.

Sehingga ke hari ini pihak polis belum berjaya menjejak orang yang bertanggungjawab dan masih berusaha menyelesaikan kes ini.

Sehubungan dengan itu pihak polis memohon jasa baik Yang Dimulikan Lagi Dihormati Pehin untuk memberi fatwa dan nasihat bagaimana cara menyempurnakan pengkebumian mayat si mati. Pihak polis memohon fatwa dan nasihat tersebut secara bertulis untuk panduan dan rekod tindakan penyiasat polis.

Kerjasama Yang Dimuliakan Pehin dalam perkara ini adalah sangat-sangat dihargai dan dihormati. Pihak polis terlebih dahulu mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih.

Jawapan: Soalan seperti ini sudah beberapa kali pernah diterima oleh Mufti Kerajaan. Kita sangat risau, kerana gejala buruk ini telah menimpa masyarakat kita, iaitu gejala jahiliyyah telah berulang lagi. Adakah perkara ini suatu pembunuhan? Jika ya, maka ia adalah suatu dosa yang amat besar.

Oleh kerana persoalan ini sama saja dengan yang pernah ditanyakan, maka fatwa mengenainya adalah hampir sama juga dengan yang pernah difatwakan sebelum ini.

Sebelum menjawabnya, kita juga ingin merakamkan perasaan amat dukacita di atas kejadian ini. Dari cara dan tempat anak damit itu ditemui, nyatalah ia seperti sampah. Dalam masa yang sama juga menggambarkan betapa rendah budi dan tidak berperikemanusiaannya orang yang melakukan perkara itu.

Membunuh Itu Suatu Kekejaman Dan Dosa Besar

Menumpahkan darah atau membunuh orang mukmin itu termasuk dalam tujuh dosa paling besar, yang hukumannya pula sangatlah berat dan keras sebagaimana firman Allah:

Tafsirnya: “Dan sesiapa yang membunuh seorang mukmin dengan senghaja, maka balasannya ialah neraka Jahannam, kekal dia di dalamnya, dan Allah murka kepadanya serta melaknatnya dan menyediakan baginya azab seksa yang besar.” (Surah an-Nisâ: 93)

Ayat ini jelas bahawa ke atas si pembunuh itu akan dikenakan empat macam hukuman:

(i) Berkekalan dia dalam neraka Jahannam. (ii) Mendapat kemurkaan Allah. (iii) Dilaknat atau dikutuk hidupnya. (iv) Menerima azab yang sangat pedih dan keras di akhirat kelak.

Sementara hadis-hadis Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam juga tidak ketinggalan menyebutkan ancaman-ancamannya berhubung dengan dosa membunuh, antaranya:

Maksudnya: “Aku (Ubaidullah bin Abu Bakar) mendengar Anas bin Malik, berkata: “Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam telah menyebut dosa-dosa besar (atau Baginda ditanya mengenai dengan dosa-dosa besar), Jawab Baginda:

“Menyekutukan Allah, membunuh seorang manusia dan derhaka kepada kedua ibu bapa.” (Hadis riwayat Muslim)

Sabdanya lagi:

Maksudnya: “Barangsiapa yang membunuh seorang mu‘âhid (yang telah mengikat persetujuan dengan pemerintah Islam, - sama ada dengan membayar jizyah atau genjatan senjata atau mendapat perlindungan daripada orang-orang Islam -), maka tidaklah dia (si pembunuh) akan mencium bau syurga. Sesungguhnya bau syurga itu didapati sejauh perjalanan 40 tahun.” (Hadis riwayat al-Bukhari)

Jika membunuh orang yang berlain agama yang telah mendapat perlindungan daripada pemerintah Islam tidak akan mencium bau syurga, maka betapakah pula dengan membunuh seorang Muslim?

Oleh sebab itulah, Ibnu ‘Abbas berpendapat bahawasanya orang yang membunuh manusia dengan senghaja, bukan kerana menjalankan hukuman dan bukan pula kerana keizinan membunuh di dalam peperangan, terutama membunuh seorang Muslim, tidaklah akan diterima taubatnya oleh Allah. Tertutup pintu taubat baginya selama-lamanya. Pendapat Ibnu ‘Abbas ini sampai menjadi perbincangan panjang lebar dan secara mendalam di antara ulama-ulama tafsir, ahli-ahli hadis dan ahli-ahli fiqh, sama ada diterima taubatnya atau tidak?

Ibnu al-Qayyim berkata dalam kitabnya al-Jawâb al-Kâfi: “Setelah nyata bahawa kezaliman dan sifat permusuhan sangat bertentangan dengan keadilan, yang dengan keadilan itulah semua langit dan bumi ini ditegakkan oleh Allah, dan kerana sudah terang pula bahawa Allah Ta‘ala mengutus rasul-rasulNya dengan diberi Kitab-kitab suci untuk menegakkan keadilan di antara sesama manusia, maka kezaliman itu nyatalah termasuk yang sebesar-besar dosa besar, dan tingkat besarnya dosa itu ialah menurut besar bahayanya pada dirinya. Lantaran itu manusia yang membunuh anak yang kecil yang tiada berdosa adalah termasuk sekeji-keji kezaliman.” (Al-Jawâb al- Kâfi: 150)

Cuba perhatikan firman Allah ini, surah al-Mâ’idah ayat 32:

Tafsirnya: “Oleh kerana itu Kami tetapkan (suatu hukum) bagi Bani Israil, bahawa: “Barangsiapa yang membunuh seorang manusia, bukan kerana orang itu (membunuh) orang lain, (membunuh orang bukan kerana qishâsh) atau bukan kerana membuat kerosakan di muka bumi, maka seakan-akan dia telah membunuh manusia seluruhnya. Dan barangsiapa yang menjaga keselamatan hidup seorang manusia, maka seakan-akan dia menjaga keselamatan hidup manusia seluruhnya. ” (Surah al-Mâ’idah: 32)

Dalam sebuah hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim daripada Ibnu Mas‘ud, bahawasanya perkara yang mula-mula akan dibuka pada Hari Kiamat ialah perkara pembunuhan. Pendeknya banyak lagi hadis lain yang mengancam perbuatan membunuh itu sebagaimana sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:

Maksudnya: “Melenyapkan dunia ini lebih mudah bagi Allah daripada membunuh seorang mukmin.” (Hadis riwayat al-Baihaqi)

Sementara dalam riwayat yang dibawa oleh at-Tirmidzi dan an-Nasa’i pula disebut:

Maksudnya: “....... lebih mudah daripada membunuh seorang Islam.”

Perbuatan membunuh tidak syak lagi adalah perbuatan zalim dan terkutuk yang tidak berperikemanusiaan. Cara dan tempat anak damit itu dibuang (di kawasan atau tempat pembungan sampah) seolah-olah kanak-kanak itu lebih hina daripada binatang, kerana binatang yang mempunyai tuan pun, apabila ia mati, biasanya akan ditanam dan kadang-kadang juga ditangisi. Dari sudut sejarah zaman jahiliah (sebelum kedatangan Islam) anak-anak damit (perempuan) dibunuh kerana dianggap mendatangkan aib. Mereka ditanam atau dikubur hidup-hidup, yakni tidak dibiarkan begitu saja. Berbeza dengan zaman sekarang, kanak-kanak damit dibuang ke laut atau ke dalam tempat-tempat pembuangan sampah. Manakah satu yang lebih kejam? Jawabnya kedua-dua itu sama saja kejamnya. Tetapi membuang atau membiarkan kanak-kanak yang tidak berdosa itu ke tempat kotor seperti pembuangan sampah, perbuatan jenis apakah ini? Maksud kita perbuatan manusia jenis apa?

Zaman jahiliyah setahu kita telah pun berlalu, dan kita sekarang bukanlah berada di situ. Namun nampak-nampaknya hati, perut, otak dan perangai manusia zaman kini ada yang lebih jahat dan lebih kejam lagi daripada manusia jahiliyah itu. Malah lebih malang lagi ianya berlaku di dalam negara Islam yang terdapat kegiatan-kegiatan dakwah dan pengajian Islam berjalan dengan pesatnya.

Inilah saja serba sedikit ulasan kita mengenai kejadian yang sangat mendukacitakan itu. Mudah-mudahan ianya tidak berulang.

Hukum Agama Anak Pungut

Adapun mengenai agama anak damit itu adalah ianya dihukumkan Islam, kerana dijumpai di negara Islam. Kanak-kanak yang dijumpai dinamakan dia laqîth atau manbûdz. Ertinya kanak-kanak kecil yang dipungut atau dibuang di jalan atau seumpamanya dengan tidak diketahui siapa ibu bapanya.

Al-Imam an-Nawawi telah memperjelaskan kedudukan hal ehwal kanak-kanak yang dijumpai dijalan atau seumpamanya itu dalam kitabnya Minhâj ath-Thâlibîn dalam bahagian al-laqîth yang huraiannya dibuat oleh al-Khathib asy-Syarbini.

Ertinya: “Apabila didapati seorang kanak-kanak yang dibuang dalam negeri Islam dan dalam negeri itu ada juga ahli dzimmi, atau didapati di negeri yang dibuka oleh Islam dan orang-orang Islam mengakui negeri itu dikuasai oleh orang kafir secara perdamaian, atau orang-orang Islam memiliki negeri itu dengan orang-orang dzimmi pula membayar jizyah dan dalam negeri itu ada orang Islam, maka dihukumkanlah kanak-kanak yang dijumpai itu Islam.

Adapun jikalau kanak-kanak yang didapati itu di negeri kafir, maka dihukumkan kanak-kanak itu kafir, kiranya tidak didiami negera itu oleh orang Islam. Akan tetapi jika ada diam orang Islam seperti orang tawanan dan peniaga, maka dihukumkanlah kanak-kanak yang dijumpai itu Islam menurut qaul yang ashah.” (Mughni al-Muhtâj: 3/572-573)

Maka dengan keterangan ini, anak damit yang dijumpai di tempat pembuangan sampah Anduki itu hendaklah ianya disempurnakan secara Islam termasuk dikuburkan di perkuburan Islam.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-8517