Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳أحكام متنوعة

Fahaman Dan Amalan Kumpulan Al-Ma‘unah

Soalan: Kumpulan Al-Ma‘unah adalah sebuah pertubuhan yang berpusat di Negeri Selangor, Malaysia. Pengasasnya ialah Mohammad Amin bin Mohammad Razali, warganegara Malaysia. Pertubuhan ini telah membuat cawangannya di Negara Brunei Darussalam.

Berdasarkan maklumat semasa yang diperolehi daripada media massa dan penelitian Jabatan ini terhadap buku-buku yang digunakan oleh pertubuhan berkenaan didapati ada ajaran-ajaran, amalan-amalan dan kepercayaan yang bertentangan dengan ajaran dan aqidah Ahli Sunnah wal Jama‘ah.

Sehubungan dengan itu dipohonkan pandangan dan fatwa mengenainya untuk dijadikan sandaran dan panduan bagi Jabatan ini membuat sebarang tindakan. Sukacita dinyatakan sebahagian butir-butir yang diperlukan untuk difatwakan yang berkaitan dengan kepercayaan dan amalan-amalan kumpulan tersebut seperti berikut:

1. Berpegang teguh kepada konsep ilmu hakikat iaitu mendakwa Islam tidak lengkap tanpa syariat, tarekat, hakikat dan ma‘rifat.

2. Kumpulan ini berpegang kepada kata-kata: “Kun kata Allah - Kun Fayakûn kata Muhammad -Rabbukum kata Jibril.”

3. Mengamalkan kebatian, bomoh dan jampi seperti kata-kata: “Aku mohon perlindungan agar setiap yang memusuhi diriku kembali pada orang marah orang mati, syaitan marah syaitan mati, iblis marah iblis mati, hantu marah hantu mati, gajah marah gajah mati, segala marah segala mati.”

4. Menghina Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam secara tidak langsung iaitu mendakwa Baginda pernah menyuruh Asma’ binti Abu Bakar merendam pakaian untuk diambil airnya sebagai ubat.

5. Percaya kepada konsep asal kejadian daripada Nûr Muhammad.

6. Mendakwa Allah menyuruh kita bertawassul.

7. Percaya pada tangkal dan azimat seperti memakai kain kuning di pinggang atau badan bagi tujuan kekebalan atau seumpamanya.

8. Menggunakan hadis maudhû‘ dan mereka mendakwa Allah telah berfirman di dalam hadis Qudsi yang bermaksud: “Aku ciptakan makhluk keranamu, Aku ciptakanmu keranaKu, untuk Aku pamerkan kebesaran dan keagunganKu.”

Jawapan: TAREKAT, SYARIAT, HAKIKAT DAN MA‘RIFAT

1. Berpegang teguh kepada konsep ilmu hakikat iaitu mendakwa Islam tidak lengkap tanpa syariat, tarekat, hakikat dan ma‘rifat.

Pengertian Tarekat

Apa perlunya ilmu Tarekat atau mengapa pula ada ilmu tarekat? Apakah tidak cukup ilmu fiqh (syariat) untuk melaksanakan ajaran Islam itu?

Orang yang bertanya demikian itu sebenarnya sudah pun mengalami ilmu tarekat dalam makna yang paling minimum kerana apabila guru mengajar ilmu fiqh kepada seseorang, misalnya tentang sembahyang, guru tersebut akan menunjuk dan membimbingnya bagaimana cara melakukan ibadat sembahyang itu, dari awal mengangkat takbîratulihrâm sehinggalah memberi salam. Inilah tarekat. Demikian itulah juga dengan ibadat-ibadat lain.

Jika sesuatu perlaksanaan ibadat itu berbekas dan berkesan kepada jiwa, maka perlaksanaan itu secara maksimumnya adalah hakikat namanya, sedang hasilnya sebagai tujuan terakhir daripada semua perlaksanaan ibadat tersebut ialah mengenal Allah dengan sesempurnanya. Pada peringkat akhir ini orang-orang shûfi mengistilahkannya sebagai ma‘rifat.

Dalam ilmu tashawwuf penjelasan ini disebut demikian:

Syariat itu merupakan peraturan Tarekat pula merupakan perlaksanaan Hakikat merupakan keadaan, dan Ma‘rifat ialah tujuan yang terakhir.

Untuk menjelaskan lagi tentang syariat, tarekat hakikat dan ma‘rifat itu, Syeikh Najmuddin al-Kubra mengatakan:

“Syariat merupakan huraian Tarekat pula merupakan perlaksanaan Hakikat merupakan keadaan, sementara ma‘rifat ialah tujuan pokok yakni mengenal Allah yang sebenar-benarnya.”

Sebagai contoh, thahârah pada syariat ialah bersuci dengan menggunakan air atau tanah, pada hakikat pula thahârah bererti bersih daripada hawa nafsu, bersih hati daripada selain Allah. Semuanya itu ialah untuk mencapai ma‘rifat terhadap Allah.

Oleh kerana itu, perkara agama tidak dapat berhenti pada syariat saja, tarekat saja atau hakikat saja. Sebagai bandingan: Syariat itu adalah umpama sampan atau kapal, tarekat pula ialah lautan dan hakikat ialah mutiara. Orang tidak akan dapat mencapai mutiara tanpa melalui sampan atau kapal dan laut.

Tidak ada perbezaan yang besar di antara tarekat dan hakikat, bahkan sambung-menyambung antara satu sama yang lain, sebagaimana persambungan di antara hakikat dan ma‘rifat. At-Taftazani menerangkan dalam kitab Syarh al-Maqâshid: “Apabila seseorang itu telah mencapai akhir pekerjaan suluknya ilallâh dan fillâh, pasti dia akan tenggelam dalam lautan tauhid dan ‘irfân, sehingga zatnya selalu dalam pengawasan zat Tuhan dan sifatnya selalu dalam pengawasan sifat Tuhan. Ketika itu orang tersebut fana dan lenyap dalam suatu keadaan ما سوى للا (apa yang selain Allah). Dia tidak melihat dalam alam wujud ini kecuali Allah. Ini sebenarnya sudah dibayangkan oleh Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam dalam hadis:

Maksudnya: “Daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu berkata, telah bersabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam: “Sesungguhnya Allah Ta‘ala telah berfirman: “Sesiapa yang memusuhi waliKu (orang yang setia kepadaKu), maka Aku mengisytiharkan perang terhadapnya. Dan tiada seorang hambaKu yang bertaqarrub (beramal) kepadaKu dengan sesuatu yang lebih Aku cintai daripada dia menunaikan semua yang Aku fardhukan ke atas dirinya. Dan hendaklah sentiasa hambaKu itu bertaqarrub kepadaKu dengan nawâfil (ibadat sunat) sehingga Aku mencintainya. Apabila Aku telah mencintainya, nescaya jadilah Aku (seolah-olah); sebagai pendengarannya yang dia mendengar dengannya dan (Aku seolah-olah) sebagai penglihatannya yang dia melihat dengannya, dan (Aku seolah-olah) sebagai tangannya yang dia bertindak dengannya, dan (Aku seolah-olah) sebagai kakinya yang dia berjalan dengannya. Dan andaikata dia memohon kepadaKu pasti akan Aku tunaikan permohonannya itu dan andaikata dia berlindung kepadaKu pasti akan Aku lindungi dia.” (Hadis riwayat al-Bukhari)

Orang-orang mutaqarribîn tidak memadai mendekati Tuhan hanya dengan menjalankan segala ibadat yang wajib sahaja, tetapi mereka mendampingiNya dengan memperbanyakkan ibadat sunat juga, sehingga kerana itu Tuhan mencintainya. Apabila Tuhan mencintainya, pendengaran Tuhan digambarkan sebagai pendengarannya dan pandangan Tuhan sebagai pandangannya, saling jalin-menjalin. Dan oleh kerana itu tharîq (jalan), ilmu, ‘irfân, keadaan jamâl (keindahan) dan kamâl (kesempurnaan), berjalinan menjadi satu, dan apabila ia sudah menjadi satu, tidak ada lagi yang bâthil di depan dan di belakangnya, tidak ada lagi yang menyeleweng pada permulaan dan kesudahannya. Seluruh alam ini tidak dapat mengubah lagi sesuatu yang sudah merupakan hasil daripada rahsia Tuhan itu.”

Seorang ahli tarekat terbesar menerangkan, bahawa sebenarnya tarekat itu tidak terbatas banyaknya. Pokok ajarannya tidak terbilang. Ada yang akan melaluinya dengan jalan zikir, jalan murâqabah, jalan ketenangan hati, jalan perlaksanaan segala ibadat, seperti sembahyang, puasa, haji dan jihad, jalan melalui kekayaan, seperti mengeluarkan zakat dan membiayai amal kebajikan, jalan membersihkan jiwa daripada ketamakan hawa-nafsu, seperti berkhalwat dan mengurangi tidur dan mengurangi makan minum. Semuanya itu tidak dapat dicapai dengan meninggalkan syariat dan sunnah Nabi. Dalam hal ini al-Junaid memperingatkan: “Semua tarekat itu tidak berfaedah bagi hamba Allah jika tidak menurut sunnah RasulNya.”

Selain misalan yang telah disebutkan terdahulu, ada lagi beberapa contoh lain seperti: Syariat diumpamakan sebagai bukit batu, tarekat pula sebagai memecah-mecahkan batu di dalam bukit itu, hakikat sebagai kaca teropong atau lensa yang tersembunyi di dalam batu, dan ma‘rifat pula ialah mempergunakan lensa di dalam teropong untuk melihat sesuatu.

Ada juga yang mengumpamakan syariat sebagai buah kelapa, tarekat sebagai membelah, memarut dan memerah santan serta memasaknya. Sementara yang menjadi hakikat dalam hal ini ialah minyak yang terjadi daripada buah kelapa itu. Tetapi ini belumlah terhenti setakat itu saja, malahan kemudian yang menjadi tujuan segala pekerjaan ialah ma‘rifat, iaitu mempergunakan minyak itu untuk bahan makanan.

Perbandingan-perbandingan tersebut di atas bertujuan untuk menunjukkan, bahawa syariat, tarekat, hakikat dan ma‘rifat itu tidak dapat dipisah-pisahkan antara satu sama lain. Tiap-tiap orang yang hendak sampai kepada Allah, hendaklah mengerjakan ke empat-empat perkara tersebut secara berperingkat-peringkat supaya dengan itu sampailah dia kepada tujuan yang terakhir, iaitu mendekatkan diri kepada Allah selaku khâliq atau Pencipta.

Cara mengikut sunnah dalam semua tarekat yang disebutkan di atas ada dua jalan:

Pertama: Mengikut Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam dengan membuat amalan-amalan lahir yang disyariatkan, iaitu apa jua amalan yang berkaitan dengan anggota zahir dan menjauhi atau berhenti daripada segala perkara yang dilarang yang berkaitan dengan anggota zahir itu.

Kedua: Khafi iaitu mengikut Rasulullah dengan mengamalkan amalan-amalan tersembunyi sehingga sampai kepada peringkat berkekalan memperhambakan diri kepada Allah yang disebut juga peringkat ‘ubudiyyah.

Dengan ini pengertian tarekat sebagaimana yang berkembang di kalangan ulama tashawwuf, ialah: “Jalan atau petunjuk dalam melaksanakan sesuatu ibadat sesuai dengan ajaran yang dibawa dan dicontohkan oleh Baginda Rasulullah Shallallahu ‘laihi wasallam serta dikerjakan oleh para sahabat, tâbi‘în, tâbi‘ at-tâbi‘în dan seterusnya turun temurun hingga kepada guru-guru dan ulama-ulama secara sambung-bersambung sehinggalah ke masa kita ini.”

Suatu contoh yang mudah ialah tentang sembahyang bahawa di dalam al-Qur’an hanya disebut mengenai kewajipan sembahyang sahaja tanpa memperinci rakaat-rakaatnya dan lain-lain. Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallamlah orang yang pertama memberikan contoh-contoh bagaimana mengerjakan sembahyang itu, yang kemudian ditiru oleh para sahabat dan diikuti oleh orang lain yang datang kemudian sehinggalah ke hari ini. Yakni sembahyang kita hari ini, Zuhur 4 rakaat, Ashar 4 rakaat, Maghrib 3 rakaat, Isyak 4 rakaat dan Subuh 2 rakaat adalah daripada kelakuan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam. Inilah yang diperintahkan oleh Baginda supaya kita mengikutnya, sebagaimana sabdanya:

Maksudnya: “Sembahyanglah kamu sebagaimana kamu melihat aku sembahyang.” (Hadis riwayat al-Bukhari)

Hal ini bukan bererti al-Qur’an tidak lengkap, tetapi sebenarnya masalah pokok sudah sedia ada, hanya ia dihurai atau didetilkan lagi oleh hadis.

Bagi mencapai kesempurnaan beragama, tingkat ‘ihsan’ hendaklah turut dilalui, sebagaimana hadis di bawah ini:

Maksudnya: “Daripada ‘Umar Radhiallahu ‘anhu juga, katanya: “Pada suatu hari sedang kami duduk di sisi Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam tiba-tiba datang kepada kami seorang lelaki yang bersangatan putih pakaiannya, bersangatan hitam rambutnya, tidak kelihatan padanya tanda-tanda orang yang sedang dalam perjalanan, dan tidak seorang pun daripada kami yang mengenalinya sehingga dia duduk berdekatan dengan Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam lalu dia menyandarkan kedua lututnya kepada dua lutut Nabi dan meletakkan kedua telapak tangannya ke atas dua paha Nabi. Kemudian dia berkata: “Hai Muhammad! Khabarkanlah kepada aku darihal Islam!”

Maka jawab Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam: “Islam itu ialah bahawa engkau mengakui bahawa tiada Tuhan melainkan Allah, dan bahawasanya Muhammad itu pesuruh Allah, dan engkau mendirikan sembahyang, dan engkau keluarkan zakat, dan engkau puasa bulan Ramadhan, dan engkau mengerjakan haji di Baitullah jika engkau berkuasa pergi kepadanya.”

Dia berkata: “Benarlah engkau!”

Maka kami pun tercenggang kerana dia yang bertanya dan dia pula yang membenarkannya.

Katanya lagi: “Maka khabarkanlah kepada aku darihal iman!”

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam menjawab: “Iman itu ialah bahawa engkau beriman kepada Allah dan malaikatNya dan segala kitabNya dan para rasulNya dan Hari Akhirat dan engkau beriman kepada takdir baik dan jahat.”

Dia berkata: “Benarlah engkau!”

Kemudian dia berkata: “Maka - sekarang - khabarkanlah kepada aku darihal ihsan!”

Rasulullah menjawab: “Ihsan itu ialah bahawa engkau menyembah Allah seolah-olah engkau melihatNya, tetapi jika engkau tidak melihatNya maka sesungguhnya Dia melihat engkau.........” (hingga akhir hadis) (Hadis riwayat Muslim)

Dalam hadis ini dapat difahami adanya beberapa pengertian bahawa kehidupan beragama dalam jiwa seseorang akan menjadi sempurna jika dikumpulkan tiga faktor pokok yang sangat menentukan, iaitu iman, Islam dan ihsan. Masing-masing itu dapat dicapai dengan mempelajari dan memahami serta mengamalkan ilmu-ilmu yang membicarakan tentang masalahnya.

Para ulama daripada apapun aliran atau mazhab mereka sama-sama berpendirian bahawa faktor iman dapat dipelajari melalui ilmu pengetahuan yang dinamakan ilmu ushuluddin atau ulmu kalam atau ilmu tauhid. Manakala hukum-hakam syariat pula dapat dipelajari melalui ilmu fiqh atau sering juga dikenal dengan sebutan ilmu syariat. Demikian juga halnya dengan ihsan dapat dicapai dengan mempelajari dan mengamalkan ilmu tashawwuf atau ilmu tarekat.

Iman, Islam dan ihsan, ketiga-tiganya berkait rapat untuk menyampaikan kita kepada matlamat mengenali Allah dengan sesempurna-sempurnanya. Orang-orang yang sempurna mengenali Allah akan sentiasa berada di dalam ketaatan mematuhi segala titah perintahNya. Semua amalan dibuat dengan ikhlas serta penuh rasa cinta terhadapNya. Apabila keadaan semacam ini sudah sampai kepada puncaknya, maka akan tercapailah hakikat daripada tujuan hidup yang sebenar sebagaimana yang dikehendaki oleh Allah melalui syariat yang dibawa oleh Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam.

Tujuan Mengamalkan Tarekat

Amalan tarekat dikerjakan oleh ahlinya ialah untuk mencapai tujuan-tujuan berikut:

(i) Dengan mengamalkan tarekat bererti dia telah mengadakan latihan jiwa dan berjuang melawan hawa nafsu, membersihkan diri daripada sifat-sifat yang tercela dan mengisinya dengan sifat-sifat yang terpuji.

(ii) Sentiasa mengingati Allah melalui jalan wirid dan zikir yang diiringi dengan tafakkur, yang terus-menerus diamalkan supaya timbul perasaan takut kepada Allah, sehingga dengan itu terhindarlah dia daripada segala macam pengaruh duniawi yang melalaikan.

(iii) Jika semuanya dapat dilakukan dengan penuh ikhlas, insyâ’ Allah akan dapat dicapai suatu tingkat alam ma‘rifat, yang dapat menyingkap tabir rahsia cahaya Allah dan RasulNya secara terang-benderang.

(iv) Akhirnya diperolehi apa yang sebenarnya menjadi tujuan hidup ini.

Demikian antara lain beberapa tujuan yang akan diperolehi oleh ahli tarekat.

Dasar Hukum Tarekat

Dalam pembahasan masalah dasar hukum tarekat ini, sebenarnya dapat dilihat melalui beberapa segi yang terdapat di dalam tarekat itu sendiri, sehingga dari sini dapat pula diketahui secara jelas tentang kedudukan hukumnya dalam Islam. Di samping itu juga dapat dihindarkan penilaian yang negatif terhadap tarekat itu.

Menurut penyelidikan para ulama ahli tarekat yang mu‘tabarah, dasar hukum tarekat itu dapat dilihat daripada beberapa segi, antaranya seperti berikut:

Pertama: Amalan tarekat itu ialah bertujuan untuk mencapai perlaksanaan syariat secara tertib dan teratur serta teguh, atas dasar-dasar yang dikehendaki oleh Allah dan RasulNya. Hal ini sesuai dengan firman Allah:

Tafsirnya: “(Nabi Muhammad diwahikan menerangkan lagi): “Dan bahawa sesungguhnya! Kalaulah mereka (manusia dan jin) itu berjalan betul di atas jalan (Islam), sudah tentu Kami (akan memberikan mereka sebab-sebab kemewahan, terutama) menurunkan hujan lebat kepada mereka.”

(Surah al-Jinn: 16) Menurut tinjauan ulama ayat ini sama ada secara formal (bunyi lafaznya) mahupun isi yang tersirat di dalamnya merupakan tempat sumber hukum melaksanakan amalan-amalan tarekat kerana dengan mengamalkan tarekat itu akan diperoleh tujuan melaksanakan syariat Islam yang sebenar-benarnya.

Kedua: Dari segi isi pokok amalan tarekat yang berupa wirid dan dzikrullâh, baik yang dilakukan secara mulâzamah yakni secara terus menerus, ataupun yang dilakukan secara mukhâlafah maksudnya terus menerus menghindarkan diri daripada segala sesuatu yang dapat membawa akibat lupa kepada Allah.

Hal ini sesuai dengan firman Allah:

Tafsirnya: “Wahai orang-orang yang beriman, (untuk bersyukur kepada Allah) ingatlah serta sebutlah nama Allah dengan ingatan serta sebutan yang sebanyak-banyaknya. Dan bertasbihlah kamu kepadaNya pada waktu pagi dan petang.” (Surah al-Ahzâb: 41-42)

Berdasarkan ayat ini, maka jelaslah bahawa Allah memerintahkan kepada sekalian orang yang beriman supaya sentiasa berzikir dan bertasbîh dengan menyebut namaNya, baik ia dilakukan pada waktu pagi, petang, siang atau malam.

Sifat zikir yang disebut dalam ayat di atas adalah muthlaq dan umum, dalam makna, tiada perincian tentang syarat-syarat atau cara-cara perlaksanaannya. Malah Baginda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam juga tidaklah banyak membuat perincian itu. Kerana itu bagi ulamalah mengadakannya, asal tidak menyimpang daripada landasan syara‘. Maka dengan itu ulama tarekat pun menyusun dan menciptakan dzikrullâh itu dengan syarat-syarat dan kaifiyyât atau cara-caranya yang bermacam-macam. Misalnya tentang waktunya, cara membacanya, jumlahnya dan lain-lain.

Cara Ahli Tashawwuf Dalam Mengenali Tuhan

Bagi ahli tashawwuf ada cara tersendiri dalam mengenali Allah. Mereka meletakkan dasar-dasar pengenalan yang tidak bersifat rasional. Berbeza dengan dasar-dasar pengenalan bagi ahli ilmu tauhid dan juga bagi ahli syariat (ilmu fiqh).

Bagi ahli fiqh cara yang digunakan dalam mengenali Allah ialah melalui jalan keterangan berdasarkan dalil-dalil naqli (al-Qur’an dan hadis). Sementara bagi ahli kalam (tauhid) pula, caranya ialah dengan menggunakan lebih kepada penyelidikan akal fikiran. Termasuklah juga golongan yang memakai cara ini ialah kaum failasuf.

Kemudian golongan ahli tashawwuf, mereka itu mengenali Allah melalui dasar-dasar perasaan hati, iaitu melalui ilham yang dikurniakan oleh Allah kepada manusia sebagai pemberian rahmatNya.

Keadaan ini membawa berbagai-bagai rahsia, di sebalik hijâb cahaya Allah dan NabiNya yang dapat tersingkap dan diketahui oleh orang-orang yang berkenaan itu melalui penglihatan ‘mata hati’, sebagaimana orang yang melihat air jernih yang berada di dalam gelas yang jernih pula, sehingga segala sesuatu yang ada di balik gelas tersebut dapat dilihat dengan terang benderang.

Huraian di atas memberikan penegasan bahawa terdapat perbezaan di antara ahli fiqh, ahli tauhid dan ahli tashawwuf dalam pendekatan mereka mengenali Allah. Namun perbezaan ini lebih menguatkan bagi semua untuk sampai kepada matlamat yang sesempurna-sempurnanya menghayati Allah.

Maka dengan keterangan ini, pendapat yang mengatakan bahawa tidak lengkap Islam tanpa syariat dan hakikat itu adalah tidak salah.

KUN FAYAKÛN

2. “Kun kata Allah - Kun Fayakûn kata Mohammad -Rabbukum kata Jibril.”

Ungkapan “كن فيكون” terdapat di dalam surah Yâsîn, ayat 82. Ayat yang sepenuhnya berbunyi:

Tafsirnya: “Sesungguhnya keadaan kekuasaanNya apabila Dia menghendaki adanya sesuatu, hanyalah Dia berfirman kepada (hakikat) benda itu: “Jadilah engkau,” maka ia terus jadi.” (Surah Yâsîn: 82)

Apakah ungkapan “كن فيكون” di sini, yakni yang ada di dalam surah Yâsîn, ayat 82 itu yang dipegang oleh Kumpulan Al-Ma‘unah, sebagai: “كن kata Allah, كن فيكون kata Muhammad?”

Jika inilah maksudnya, maka pegangan itu salah, kerana كن فيكون adalah lanjutan daripada ayat:

Ia adalah ayat al-Qur’an, bukan dipanggil hadis, perkataan siapa-siapa atau lain-lain.

Kemudian “Rabbukum kata Jibril”, ungkapan ini tidak dapat dipastikan asal dan tujuannya ia diucapkan. Hanya orang berkaitan saja mengetahuinya. Oleh itu tidak dapat kita membuat huraian atau pun ulasan panjang mengenainya.

3. “Aku mohon perlindungan agar setiap yang memusuhi diriku kembali pada orang marah orang mati, syaitan marah syaitan mati, iblis marah iblis mati, hantu marah hantu mati, gajah marah gajah mati, segala marah segala mati.”

Kita cuba memahamkan ungkapan-ungkapan ini, namun tidak dapat memahaminya dengan yakin dan tepat. Hanya yang dapat dikesan, ia adalah seolah-olah doa, iaitu: “Aku mohon perlindungan agar setiap yang memusuhi diriku kembali.......”. Namun selepas itu (ungkapan seterusnya) adalah tidak jelas apa maksudnya.

Daripada ungkapan zahir, mengandungi kata-kata berulang seperti mantera: “Orang marah orang mati, syaitan marah syaitan mati, iblis marah iblis mati, hantu marah hantu mati...” Ternyata ungkapan-ungkapan seperti ini bukanlah ungkapan doa, tidak boleh dianggap ia doa, sama ada dari segi susunan kata-katanya mahupun zahir maknanya. Jadi jika ia bukan doa - baik dari segi bentuk dan susunan kata-kata mahupun maknanya - maka hendak dinamakan apakah ia? Mungkinkah ia jenis mantera? Boleh saja begitu.

Jika ungkapan ini bermaksud memohonkan kebinasaan untuk orang yang menganiayai seseorang yang melanggar hukum syara‘, maka hukumnya harus dalam batas dan sukatan yang sebanding dengan kadar aniaya berkenaan.

Berbalik kepada ungkapan di atas (“Orang marah orang mati...”). Apakah ia bermaksud mantera supaya orang yang marah itu dikehendaki mati, didoakan dia mati? Marah kepada siapa? Tentulah barangkali kepada si empunya mantera itu.

Jika inilah maksudnya, maka mantera seperti itu adalah menyalahi konsep doa kerana tidaklah disuruh mati atau didoakan mati setakat seseorang itu marah. Perbuatan ini zalim namanya, jahat dan berdosa.

Terlanjur menyebut konsep doa ini, secara umumnya dituntut mendoakan perkara-perkara yang baik-baik belaka, yang disukai dan berkebajikan, sama ada untuk diri sendiri mahupun untuk orang lain. Ini yang dituntut dalam doa, bukan sebaliknya.

Dalam pada itu, memang ada juga keharusan berdoa dengan kebinasaan atau kecelakaan bagi seseorang atau kumpulan. Tetapi tidaklah semua orang atau kumpulan boleh didoakan begitu, melainkan ianya hanyalah pada kategori-kategori tertentu sahaja, seperti siapa yang membuat zalim dan aniaya kepada orang-orang Islam dan lain-lain seumpamanya.

Perkara ini ada contoh daripada al-Qur’an seperti firman Allah yang menceritakan bagaimana Nabi Nuh ‘Alaihissalam mendoakan orang-orang kafir yang zalim:

Tafsirnya: “Dan Nabi Nuh (merayu lagi dengan) berkata: “Wahai Tuhanku! Janganlah Engkau biarkan seorangpun daripada orang-orang kafir itu hidup di atas muka bumi! Kerana sesungguhnya jika Engkau biarkan mereka (hidup), nescaya mereka akan menyesatkan hamba-hambaMu, dan mereka tidak akan melahirkan anak melainkan yang berbuat dosa lagi kufur ingkar.” (Surah Nuh: 26-27)

Kemudian doa Nabi Musa ‘Alaihissalam terhadap Firaun dan orang-orangnya:

Tafsirnya: “Dan Nabi Musa pula (merayu dengan) berkata: “Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau telah memberikan kepada Firaun dan ketua-ketua kaumnya barang-barang perhiasan dan harta benda yang mewah dalam kehidupan dunia ini. Wahai Tuhan kami! (Kemewahan yang Engkau berikan kepada mereka itu) akibatnya menyesatkan mereka daripada jalanMu (dengan sebab kekufuran mereka). Wahai Tuhan kami! Binasakanlah harta benda mereka dan meteraikanlah hati mereka (sehingga menjadi keras membatu), maka dengan itu mereka tidak akan dapat beriman sehingga mereka melihat azab yang tidak terperi sakitnya.” (Surah Yunus: 88)

Kedua-dua ayat tersebut menyebutkan adanya nabi-nabi yang mendoakan kebinasaan bagi orang yang melakukan kezaliman atau penganiayaan.

Al-Imam an-Nawawi dalam kitab al-Adzkârnya telah memasukkan satu bab mengenai:

Boleh mendoakan orang yang menganiaya umat Islam atau terhadap diri seseorang dengan doa kebinasaan.

Al-Imam an-Nawawi menjelaskan: “Pembicaraan pada bab ini adalah luas. Nash-nash yang membolehkan doa bagi kehancuran orang-orang yang membuat aniaya terhadap umat Islam jelas tersebut di dalam al-Qur’an, sunnah Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam dan praktik ulama salaf dan ulama khalaf. Allah Subhanahu wa Ta‘ala menceritakan dalam berbagai tempat di dalam al-Qur’an tentang doa-doa para nabi terhadap orang-orang yang kafir.

Sayyidina Ali Karramallahu wajhah telah menceritakan bahawa Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda pada hari peperangan Ahzab:

Maksudnya: “Semoga Allah penuhkan kubur dan rumah-rumah mereka dengan api sebagaimana mereka telah menahan dan menyibukkan kita daripada mendirikan sembahyang Ashar.” (Muttafaq ‘alaih)

Diriwayatkan dalam Shahîh al-Bukhari dan Muslim daripada beberapa jalan riwayat bahawa Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam berdoa terhadap orang-orang yang membunuh para guru al-Qur’an Radhiallahu ‘anhum selama sebulan iaitu:

Maksudnya: “Ya Allah kutuklah Ri‘lan dan Dzakwan dan ‘Ushayyah.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Daripada Ibnu Mas‘ud Radhiallahu ‘anhu dalam sebuah hadis riwayatnya telah menceritakan dengan panjang lebar tentang Abu Jahal dan kawan-kawannya dari kalangan kaum Quraisy, ketika mereka itu meletakkan isi perut binatang sembelihan di atas belakang Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam, lalu Baginda pun mendoakan ke atas mereka, dan pada biasanya apabila Baginda berdoa, Baginda akan membacanya sebanyak tiga kali, kemudian Baginda membaca:

Maksudnya: “Ya Allah tundukkan olehMu orang-orang Quraisy itu.” (Hadis riwayat Muslim) sebanyak tiga kali, kemudian disambung lagi dengan:

Maksudnya: “Ya Allah binasakan Abu Jahal dan Utbah bin Rabi’ah.......” (Hadis riwayat Muslim) dan seterusnya sampai tujuh orang disebut oleh Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam

Daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu:

Maksudnya: “Sesungguhnya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam berdoa membaca: “(Ya Allah injak-injaklah dengan kekerasanMu suku Mudhar itu. Ya Allah jadikanlah atas mereka supaya berlaku musim kemarau sebagaimana kemarau yang dialami pada masa Nabi Yusuf).” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim) Daripada Salamah bin al-Akwa Radhiallahu ‘anhu:

Maksudnya: “Sesungguhnya ada seorang lelaki yang makan dengan tangan kirinya di sisi Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam dan Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Makanlah dengan tangan kananmu.” Orang tersebut menjawab: “Tidak dapat.” Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Tidak, kamu pasti dapat.” - Sebenarnya tidak ada yang menghalanginya (makan dengan tangan kanannya) kecuali kesombongan. - Perawi berkata: “ Maka orang tersebut tidak dapat mengangkat tangannya ke mulutnya.” (Hadis riwayat Muslim)

Orang ini ialah Busr anak kepada seorang pengembala unta daripada suku al-Asyjai (sahabat Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam).

Hadis ini menunjukkan kepada kita bahawa boleh mendoakan kecelakaan terhadap orang yang melanggar hukum syara‘.

Daripada Jabir bin Samurah dia berkata: “Penduduk negeri Kufah mengadukan hal tentang Sa‘ad bin Abu Waqqash Radhiallahu ‘anhu kepada ‘Umar Radhiallahu ‘anhu, maka ‘Umar bertindak memberhentikannya daripada jawatannya dan kemudian dia mengangkat (melantik) seseorang untuk mereka.....

Lalu ‘Umar mengutus beberapa orang atau seorang bersama Sa‘ad ke Kufah untuk menanyakan tentang pengaduan terhadap dirinya itu. Pada setiap masjid yang disinggahi, tidak ditinggalkannya masjid itu melainkan ditanyanya tentang Sa‘ad, dan mereka (di situ) terus memuji kepimpinan Sa‘ad.

Sehinggalah sampai ke sebuah masjid Bani ‘Abbas, maka berdirilah seorang lelaki di antara mereka (menurut keterangan, lelaki tersebut bernama Usamah bin Qatadah dengan gelarannya Abu Sa‘dah) seraya berkata: “Adapun apabila kamu bertanya kepada kami, maka sebenarnya Sa‘ad tidak mahu ikut di dalam peperangan apapun, tidak sama dalam pembahagian dan tidak adil dalam menyelesaikan perkara hukum.”

Berkata Sa‘ad: “Demi Allah, (jika itu yang dituduhkannya kepadaku), sesungguhnya aku hanya berdoa dengan tiga perkara: “Ya Allah, jika hambaMu itu berdusta dalam keterangannya kerana mengambil muka, maka panjangkanlah umurnya, (kedua), panjangkan masa kesusahannya dan (ketiga), datangkanlah fitnah (cubaan) yang berlarut-larut kepadanya.”

Maka beberapa lama selepas itu orang tersebut berkata: “Aku adalah orang tua yang ketulahan kerana doa Sa‘ad.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Abdul Malik bin Umair perawi hadis ini daripada Jabir bin Samurah berkata: “Orang tersebut aku dapati kemudian, tua betul umurnya, sampai kedua alis matanya gugur ke mata dan dia sering mengganggu perempuan di jalan dan memainkan matanya kepada mereka.”

Daripada ‘Urwah bin Zubair Radhiallahu ‘anhu berkata: “Sesungguhnya Sa‘id bin Zaid Radhiallahu ‘anhu pernah dimusuhi oleh Arwa binti Aus (ada yang mengatakan binti Uwais) lalu diadukan oleh Arwa hal Sa‘id kepada Khalifah Marwan bin al- Hakam.

Arwa menuduh Sa‘id telah merampas sebahagian daripada tanahnya. Sa‘id berkata: “Apakah aku tergamak mengambil tanahnya barang sedikit sesudah aku mendengar sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam?” Marwan bertanya: “Apa yang pernah kau dengar daripada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam itu?” Dia menjawab: “Aku mendengar Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: “Sesiapa mengambil tanah orang lain secara tidak sah walaupun sejengkal, tanah itu akan digantung di lehernya sampai kepada tanah yang berada pada bumi yang ketujuh.” (Hadis riwayat Muslim)

Marwan berkata: “(Cukup)! Aku tidak akan memintamu memberi keterangan lain selepas ini.” Maka Sa‘id pun berkata: “Ya Allah, jika perempuan ini berdusta, jadikanlah matanya buta dan matikan dia ketika berada di tanah itu.”

Perâwi (Urwah) berkata: “Perempuan itu tidak mati sebelum buta matanya dan ketika dia sedang berjalan di tanah tersebut tiba-tiba jatuh ke parit lalu meninggal dunia.” (Al-Adzkâr: 436-438)

Berdasarkan nash-nash di atas, maka dibolehkan mendoakan agar kezaliman orang yang melakukan kezaliman itu kembali semula kepada dirinya sendiri, atau mendoakannya supaya ditimpa sesuatu yang sepadan dan sesuai dengan kezalimannya.

TABARRUK DENGAN BEKAS WUDHU DAN KESAN-KESAN PENINGGALAN RASULULLAH SHALLALLAHU ‘ALAIHI WASALLAM

4. Menghina Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam secara tidak langsung iaitu mendakwa Baginda pernah menyuruh Asma’ binti Abu Bakar merendam pakaian untuk diambil airnya sebagai ubat.

Perkara bertabarruk (mencari berkah), bukanlah perkara asing dalam syariat Islam. Sebagai contohnya ialah apa yang diceritakan oleh al-Qur’an dalam firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:

Tafsirnya: “Pergilah kamu dengan membawa bajuku ini, kemudian letakkanlah ke muka ayahku, nescaya dia akan dapat melihat kembali dan selepas itu bawalah kepadaku keluarga kamu semuanya.” (Surah Yusuf: 93)

Mereka yang mengenal sejarah Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam akan tahu bagaimana para sahabat berebut-rebut untuk bertabarruk dengan air wudhu Baginda. Perkara ini disebut dengan jelas oleh Shahîhain (Shahîh al-Bukhari dan Shahîh Muslim) iaitu dua buah kitab yang dianggap paling benar di antara kitab-kitab hadis. Antara riwayat tersebut ialah:

1. Mengenai cerita dalam masa Perjanjian (Shulh) Hudaibiyah, Imam al-Bukhari meriwayatkan:

Maksudnya: “Apabila Nabi mengambil air wudhu, para sahabat hampir saling berbunuhan untuk merebutkan titisan air wudhu Baginda.” (Hadis riwayat al-Bukhari)

2. Dalam bab ‘Khatam an-Nubuwwah’, Imam al-Bukhari menukil daripada Sa‘ib bin Yazid berkata:

Maksudnya: “Emak saudaraku membawa aku berjumpa Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam dan dia berkata: “Anak saudara saya dalam keadaan sakit”. Maka Baginda mengusap kepalaku dan berdoa memohon berkat untukku, kemudian Baginda berwudhu dan memohonkan berkat untukku, dan aku meminum bekas air wudhu Baginda itu, dan aku berdiri di belakang Baginda lalu aku terpandang kepada khatam an-Nubuwwah antara dua bahunya seperti butang khemah.”

3. Dalam bab ‘Sifat-sifat Nabi’, Imam al-Bukhari meriwayatkan bahawa Abu Juhaifah mengatakan:

Maksudnya: “Orang ramai bangun mencium tangan Baginda dan mengusapkannya ke muka masing-masing. Katanya (Abu Juhaifah): “Akupun memegang tangan Baginda lalu mengusapkannya ke mukaku, aku dapati tangan Baginda lebih sejuk daripada salji dan lebih harum baunya daripada bau kasturi (misk).”

4. Imam al-Bukhari meriwayatkan lagi bahawa ketika Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam mencukur rambut Baginda, para sahabat yang berada di sekitar Baginda akan memperebutkan setiap potongan rambut Baginda itu. Daripada Anas katanya:

Maksudnya: “Bahawasanya apabila Rasulullah Shallalahu ‘alaihi wasallam mencukur rambut Baginda, Abu Thalhah adalah orang yang terawal megambil rambut Baginda itu.” (Hadis riwayat al-Bukhari)

Ini adalah contoh daripada kecintaan para sahabat kepada Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam serta kecenderungan bertabarruk dengan segala sesuatu yang berasal daripada Baginda.

Untuk mengetahui lebih banyak lagi, kita bolehlah menelaah Shahîh al-Bukhari bahagian terakhir daripada bab ‘Jihad’, dan dalam bab yang menerangkan pakaian besi, tongkat, pedang, bejana, cap, cincin, rambut dan kafan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam.

Adapun perbuatan Asma’ binti Abu Bakar merendam baju Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam untuk dibuat ubat, bukanlah ia suatu penghinaan terhadap Baginda. Malahan ia adalah menjadi kelaziman para sahabat berbuat yang demikian itu sebagai tabbaruk, iaitu sesuai dengan keistimewaan dan kelebihan Baginda. Ia adalah perkara yang benar-benar berlaku, sebagaimana riwayat Muslim ini:

Maksudnya: “Sesungguhnya kami membasuhnya (baju atau jubah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam) untuk orang sakit, kami memohon kesembuhan dengannya.” (Hadis riwayat Muslim)

BENARKAH KEJADIAN MAKHLUK BERASAL DARIPADA NÛR MUHAMMAD?

5. (Al-Ma‘unah) percaya kepada konsep asal kejadian daripada Nûr Muhammad.

Allah Ta‘ala Maha Berkuasa, Dia bersendiri, tidak ada sekutuNya, Dia membuat apa yang dikehendakiNya dan Dia tidak dipengaruhi oleh sesiapapun dalam segala urusan dan ciptaanNya.

Pengarang kitab al-Bad’u wa at-Târîkh berkata: “Orang-orang yang beragama tauhid berbeza pendapat tentang pengertian ‘menjadikan makhluk’ kerana Allah Ta‘ala menjadikan makhluk bukan kerana hendak mengambil manfaat dan bukan pula kerana hendak menolak mudarat.” (1/113)

Oleh kerana itu mereka berkata bahawa: “Kita tidak akan memperkatakan sesuatu tentang mengapa Allah Ta‘ala menjadikan makhlukNya, kerana Allah menjadikan sesuatu mengikut kehendakNya dan kita tidaklah mempunyai pengetahuan tentang hakikat kehendakNya itu.” (1/116)

Pengarang juga menyebutkan bahawa, mengikut satu riwayat daripada Ibnu ‘Abbas Radhiallahu ‘anhuma, makhluk yang mula-mula dijadikan ialah al-Qalam, dan mengikut riwayat Sa‘id bin Jubair daripada Ibnu ‘Abbas Radhiallahu ‘anhuma, yang mula-mula dijadikan ialah ‘Arsy dan Kursiy.

Riwayat lain lagi ada pula menyebutkan, yang mula-mula dijadikan ialah Nûr (cahaya) dan zhulmah (gelap).

Mengikut riwayat al-Hasan, yang mula-mula dijadikan ialah akal dan roh.

Manakala mengikut Mujahid, yang mula-mula dijadikan ialah: ‘Arsy, air dan udara, dan bumi dijadikan daripada air. (1/146-147&156)

Selanjutnya Pengarang berkata:

Ertinya: “Dan sesungguhnya Allah Ta‘ala mencipta makhluk secara permulaan bukan dari sesuatu, seperti apa kehendakNya.” (1/157)

Ibnu Katsir pengarang kitab al-Bidâyah wa an-Nihâyah pula menerangkan antara lain:

“Seluruh ulama Islam telah ijmâ‘ bahawa Allah Ta‘ala adalah pencipta alam, termasuk langit dan bumi serta apa yang terdapat di antara keduanya.”

Yang menjadi perselisihan hanyalah dari segi manakah yang terdahulu diciptakan itu?

Ibnu Katsir menyebut lagi bahawa: “Ada ulama berkata: “Al-Qalam dijadikan sebelum dijadikan makhluk-makhluk lain”. Inilah pendapat pilihan Ibnu Jarir, Ibnu al-Jauzi dan lain daripada keduanya. Ibnu Jarir berkata: “Selepas al-Qalam diiringi embun halus.”

Pendapat ini berdasarkan hadis:

Maksudnya: “Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Sesungguhnya yang mula-mula diciptakan Allah ialah al-Qalam, kemudian Allah berfirman kepadanya: “Tulis!”, maka menulislah ia akan apa yang berlaku sejak masa itu sehingga Hari Kiamat.” (Hadis riwayat Ahmad, Abu Daud dan at-Tirmidzi)

Selain itu ada juga yang berkata bahawa yang mula-mula dijadikan ialah al-‘Arsy dan inilah pendapat jumhûr.

Dalil pendapat ini ialah hadis berikut:

Maksudnya: “Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Allah menyuruh al-Qalam menulis taqdir semua makhluk lima puluh ribu tahun sebelum menjadikan langit dan bumi, sabdanya: “Dan ‘ArsyNya berada di atas air.” (Hadis riwayat Muslim)

Hadis ini menunjukkan bahawa al-Qalam itu dijadikan selepas al-‘Arsy, kerana ada isyarat al-‘Arsy berada di atas air ketika Allah menyuruh al-Qalam. Hadis ini sebagai bukti menunjukkan bahawa “al-Qalam adalah makhluk pertama yang diciptakan di alam maya ini.” (Ibnu Katsir, al-Bidâyah wa an-Nihâyah: 1/7-8)

Berdasarkan dua kitab tersebut di atas, makhluk yang mula-mula dijadikan Allah Ta‘ala itu ialah al-Qalam, dan setakat ini belum kita jumpa di dalam mana-mana kitab mu‘tabar yang menyebutkan Nûr Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam yang mula-mula dijadikan, kemudian daripada Nûr Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam itu pula terjadi atau dijadikan sesuatu, atau dalam makna yang lain sesuatu itu adalah berasal daripada Nûr Muhammad. Sebagai bandingan jika disebut: “Manusia berasal daripada tanah”, bermakna tanah yang terlebih dahulu ada, kemudian baru manusia.

Hal ini samalah juga dengan: “Makhluk itu berasal daripada Nûr Muhammad”, ertinya: “Nûr Muhammad terlebih dahulu ada atau dijadikan, selepas itu barulah makhluk”. Sedangkan hakikatnya tidaklah demikian.

Cuma dalam sesetengah kitab yang dibangsakan sebagai kitab-kitab Syi‘ah, memang ada disebutkan bahawa yang mula-mula sekali dijadikan Allah itu ialah Nûr Muhammad, di antaranya âtsâr berikut:

Maksudnya: “Daripada Ali bin Abu Thalib ‘Alaihissalam, dia berkata: “Sesungguhnya Allah Tabaraka wa Ta‘ala menjadikan Nûr Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam sebelum menjadikan langit, bumi, al-‘Arsy, al-Kursiy, al-Lauh, al- Qalam, syurga dan neraka dan sebelum menjadikan Adam, Nuh, Ibrahim, Ismail, Ishak, Ya‘kub, Musa, Isa, Daud dan Sulaiman ‘Alaihimussalam...(hingga akhir).”

Maksudnya: “Daripada Ali bin Abu Thalib ‘Alaihissalam, beliau berkata: “Allah Ada dan tidak ada sesuatu bersamaNya, maka yang mula dijadikanNya ialah Nûr Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam sebelum Dia menjadikan air, al-‘Arsy, al- Kursiy, langit, bumi, al-Lauh, al-Qalam, syurga, neraka, malaikat, Adam dan Hawwa, iaitu sebelum empat ratus dua puluh empat ribu tahun …(hingga akhir).” (Bihâr al-Anwâr al-Jâmi‘ah li Durar Akhbâr al-A’immah al-Athhâr, karangan al-‘Allâmah Syeikh Muhammad Baqir al-Majlisi: 15/4&27-28)

Walaupun terdapat riwayat seperti itu, namun berdasarkan hadis-hadis shahîh seperti yang disebutkan di atas dan aqwâl ulama dari kalangan mazhab Ahli Sunnah wal Jama‘ah bahawa makhluk yang mula-mula dijadikan ialah al-Qalam atau al-‘Arsy bukan Nûr Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam lebih-lebih lagi bukan daripada Nûr Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam itu dijadikan sesuatu.

Untuk menguatkan lagi hujah atau alasan bahawa kejadian makhluk di alam maya ini bukanlah berasal daripada Nûr Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam sebagaimana keterangan Ibnu Katsir dalam kitabnya al-Bidâyah wa an-Nihâyah: 8:

Maksudnya: “Ibnu Katsir menukilkan bahawa Ibnu Jarir berkata: “Berkata ulama lain: “Bahkan Allah ‘Azza wa Jalla menciptakan air sebelum al-‘Arsy.” Pendapat ini diriwayatkan oleh as-Suda. Daripada Abu Malik, daripada Abu Salih, daripada Ibnu ‘Abbas, daripada Murrah, daripada Ibnu Mas‘ud, daripada kumpulan sahabat-sahabat Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, bahawa mereka itu berkata: “Sesungguhnya ‘Arsy Allah itu di atas air, dan Dia tidak menciptakan sesuatu selain apa yang Dia ciptakan sebelum air.” Dihikayatkan oleh Ibnu Jarir: “Daripada Muhammad bin Ishak, dia berkata: “Yang mula-mula sekali Allah ‘Azza wa Jalla ciptakan ialah Nûr (cahaya) dan kegelapan, kemudian Allah bezakan di antara keduanya, iaitu kegelapan itu sebagai malam hitam pekat, dan Nûr (cahaya) itu sebagai siang terang-benderang.” Berkata lagi Ibnu Jarir: “Dikatakan: “Sesungguhnya yang diciptakan Tuhan kamu selepas al-Qalam ialah al-Kursiy. Kemudian Allah menciptakan selepas al-Kursiy itu al-‘Arys. Kemudian Allah ciptakan pula selepas itu udara dan kegelapan, kemudian Allah ciptakan air, maka Allah letakkan ‘ArsyNya di atas air itu.” Maha suci Allah Ta‘ala Yang Maha Mengetahui. (Ibnu Katsir, al-Bidâyah wa an-Nihâyah: 1/8)

TAWASSUL

6. Mendakwa Allah menyuruh kita bertawassul

Adalah benar bahawa Allah menyuruh kita bertawassul. Ayat al-Qur’an dan hadis-hadis Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam menunjukkan demikian. Oleh itu tidak syak lagi, bertawassul adalah termasuk ajaran Islam, khasnya telah menjadi pegangan Ahli Sunnah wal Jama‘ah, tidak sebagaimana golongan di luar ahli Sunnah wal Jama‘ah seperti kaum Wahabiyah yang mempertikaikan tawassul itu.

Pengertian Tawassul

Dr. as-Sayyid Muhammad Alwi al-Maliki al-Makki al-Hasani (ulama asal Makkah) menjelaskan tentang hakikat tawassul itu:

Pertama: Tawassul ialah salah satu cara berdoa dan satu daripada pintu tawajjuh (menghadap) Allah dengan menggunakan pengantara. Pengantara ini ialah semata-mata bagi mendekat atau menyampaikan hajat kepada Allah.

Kedua: Orang yang bertawassul, tidaklah menjadikan pengantara melainkan semata-mata kerana cintaNya kepada pengantara itu, dan dengan keyakinan, bahawa Allah mencintai pengantara tersebut.

Ketiga: Orang yang bertawassul, sekiranya dia menyakini bahawa sesiapa yang dijadikan pengantara kepada Allah boleh memberi manfaat atau mudarat, sama seperti Allah, maka keyakinan atau i‘tiqâdnya yang seperti itu adalah salah dan bahkan boleh membawa syirik (menyekutukan Allah).

Keempat: Bertawassul bukanlah suatu yang dharûri atau mesti dibuat ketika berdoa, dan bukan juga penerimaan suatu doa itu tertakluk atau bergantung kepada tawassul, bahkan asal berdoa yang sebenarnya ialah langsung kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala berdasarkan firmanNya:

Tafsirnya: “Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): “Sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka).” (Surah al-Baqarah: 186)

FirmanNya lagi:

Tafsirnya: “Katakanlah (wahai Muhammad): “Serulah nama “Allah” atau nama “ar-Rahman”, yang mana sahaja kamu serukan (daripada kedua-dua nama itu adalah baik belaka); kerana Allah mempunyai banyak nama yang baik serta mulia.” (Surah al-Isrâ’: 110)

FirmanNya lagi:

Tafsirnya: “Dan Tuhan kamu berfirman: “Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu.” (Surah Ghâfir: 60)

Bagaimanapun, bertawassul mempunyai sandarannya daripada al-Qur’an dan hadis-hadis serta amalan para sahabat. Di antaranya firman Allah:

Tafsirnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kepada Allah dan carilah jalan yang boleh menyampaikan kepadaNya (dengan mematuhi perintahNya dan meninggalkan larangannNya).” (Surah al-Mâ’idah: 35)

Firman Allah lagi:

Tafsirnya: “Katakanlah (wahai Muhammad kepada kaum musyrik): “Serukanlah orang-orang yang kamu dakwa (boleh memberi pertolongan) selain daripada Allah, maka sudah tentu mereka tidak berkuasa menghapuskan bahaya daripada kamu dan tidak dapat memindahkannya. Orang-orang yang mereka seru itu, masing-masing mencari jalan mendampingkan diri kepada Tuhannya (dengan berbuat ibadat), sekalipun orang yang lebih dekat kepada Tuhannya, serta mereka pula mengharapkan rahmatNya dan gerun akan azabNya; sesungguhnya azab Tuhanmu itu adalah (perkara yang semestinya) ditakuti.” (Surah al-Isrâ’: 56-57)

Makna wasîlah dalam kedua-dua ayat yang bergaris di atas ialah sesuatu yang menjadi penyebab mendekati Allah atau pengantara kepada menyampaikan hajat.

Perkataan ‘wasîlah’ di sini adalah umum, mengandungi tawassul dengan “zat yang mulia” seperti para nabi dan orang-orang salih, baik semasa mereka itu masih hidup atau selepas kematian mereka, atau (bertawassul) dengan amal-amal yang salih. Hadis-hadis dan âtsâr-âtsâr berikut akan menjelaskan tentang keharusan atau boleh bertawassul dengan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam sebelum dan setelah Baginda itu wujud di dunia ini, selepas wafat dan selepas kebangkitan pada Hari Kiamat.

Contoh-contoh bertawassul:

i.

Ertinya: “Ya Allah, ya Tuhan kami, kami bermohon kepada Engkau dan kami menyembahkan permohonan kami kepada Engkau, dengan nama NabiMu al- Amin Sayiddina Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam, dan dengan nama nabi-nabi, dan wali-waliMu, dan orang-orang salih, dan kami bermohon kepada Engkau dengan nama-namaMu Asmâ al-Husnâ, dan dengan sifat-sifatMu yang agong (yang empunya kemuliaan dan kebesaran) dan dengan kalimat-kalimatMu yang sempurna lagi lengkap...”

Ertinya: “Ya Allah, sesungguhnya aku memohon kepadaMu dan menghadapkan muka kepadaMu dengan menyebut (nama) NabiMu Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam, Nabi pembawa rahmat. Wahai Muhammad sesungguhnya aku menghadapkan wajahku kepada Tuhanku dengan (menyebut kebesaranmu) untuk suatu hajat (keperluanku) ini, ya Allah kurniakan syafaat kepada Baginda semoga diluluskan permohonanku.” (Hadis riwayat al-Baihaqi)

Ertinya: “Ya Allah ya Tuhan kami, dengan hak surah Yâsîn dan al-Qur’an al- Hakîm, dengan hak orang yang Engkau pilih menjadi Rasul dan Nabi serta membawa hidayat kepada jalanMu yang lurus, dengan hak segala yang datang bersama Jibril daripadaMu membawa al-Qur’an yang diturunkan oleh Allah yang Maha Kuasa lagi Maha Mengasihani, dengan hak khasiat-khasiat huruf dan kalimat-kalimat yang sempurna dan dengan hak perkara-perkara yang Engkau zahirkan di alam wujud ini bagi setiap makhluk yang ada yang terdiri daripada tanda-tanda kebesaranMu yang nyata.”

Demikian itulah beberapa contoh tawassul sebelum seseorang itu memohon atau menyebutkan hajatnya.

Tatacara Bertawassul Bertawassul itu dapat dilakukan dengan cara-cara berikut:

1. Melalui Amalan Salih

Contohnya: Orang-orang yang mendirikan sembahyang, berpuasa, membayar zakat, menunaikan haji, membaca al-Qur’an dan lain-lain amal taat, adalah bererti mereka itu bertawassul dengan ibadat-ibadat tersebut. Tawassul seperti ini lebih mendatangkan harapan untuk diterima dan tercapai tujuan, umpamanya, seseorang itu dianjurkan sembahyang hajat untuk memohonkan hajatnya agar dikabulkan. Demikian juga seseorang digalakkan membaca surah Yâsîn untuk mencapai hajatnya. Di antara saat-saat dikabulkan doa ialah ketika seseorang yang berpuasa itu hendak berbuka.

Contoh bertawassul dengan amal salih ialah sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dan Muslim tentang tiga orang yang terkurung di dalam gua. Orang pertama bertawassul dengan kebaktian terhadap orang tua. Orang kedua bertawassul dengan sikapnya menjauhi perilaku keji, padahal kesempatan sudah terbuka baginya. Orang ketiga bertawassul dengan kejujurannya memelihara harta orang lain. Disebabkan oleh tawassul mereka dengan menggunakan amal salih itulah, maka Allah Subhanahu wa Ta‘ala telah memperkenankan hajat mereka dengan melapangkan kesulitan yang sedang mereka alami.

Untuk jelasnya, kita peturunkan nash hadis berikut:

Maksudnya: “Daripada Abdullah bin ‘Umar Radhiallahu ‘anhuma, katanya: “Bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam menceritakan: “Pada suatu ketika ada tiga orang berjalan-jalan, mereka ditimpa hujan lebat, lalu mereka berteduh ke dalam gua di sebuah bukit. Maka telah jatuh dari bukit itu sebuah batu besar ke pintu gua tadi, menyebabkan mereka terkurung di dalamnya. Yang satu berkata kepada yang lain: “Perhatikanlah amal baik kerana Allah yang telah kamu kerjakan, lalu berdoalah kepada Allah, (dengan menyebut amal baik itu) mudah-mudahan Allah membukakan batu itu daripada kita.” (Hadis riwayat al-Bukhari)

Doa orang pertama Maksudnya: “Maka salah seorang daripada antara mereka berdoa: “Ya Allah! Sesungguhnya aku mempunyai dua orang ibu bapa yang sangat tua, seorang isteri dan beberapa orang anak kecil yang perlu aku pelihara. Apabila aku hendak kembali kepada mereka di waktu petang, aku memerah susu untuk mereka. Maka aku mulai dengan ibu bapa, aku beri minum lebih dahulu keduanya, sebelum memberi minum anak-anakku. Pada suatu hari, aku pergi jauh mengambil kayu dan baru pulang setelah hari senja, aku dapati keduanya tidur nyenyak. Lalu aku memerah susu sebagaimana biasa dan aku bawa susu itu dan berdiri dekat kepala keduanya. Aku tidak suka membangunkan mereka dan tidak mahu memberi minum anak-anakku lebih dahulu daripada mereka, sedangkan anak-anak itu telah memekik-mekik dekat kakiku (meminta diberi minum). Namun keadaanku dan mereka (anak-anak itu) terus berkekalan begitu sampai terbit fajar. Kiranya Engkau juga mengetahui, bahawa aku melakukan itu adalah kerana mencari keredaanMu, maka gembirakanlah kami dengan suatu lubang, yang dari situ kami dapat melihat langit!” Lalu Allah membukakan suatu lubang yang dari situ dapatlah mereka melihat langit.” (Hadis riwayat Muslim)

Doa orang kedua Maksudnya: “Dan yang seorang lagi berdoa: “Ya Allah! Sesungguhnya ada seorang perempuan anak saudaraku, aku sangat mencintainya sebagaimana cinta para lelaki kepada perempuan-perempuan. Aku meminta kepadanya supaya menyerahkan dirinya, tetapi dia menolak sehingga aku dapat memberikannya wang seratus dinar. Kemudian aku pun berusaha dengan susah payah, sehinggalah aku dapat mengumpulkan wang seratus dinar itu. Aku pun mendatanginya dengan wang tersebut. Setelah aku menjatuhkan diriku di antara dua kakinya, dia berkata: “Wahai Abdullah! Bertaqwalah engkau kepada Allah dan janganlah engkau buka ‘cincin’, (merosakkan kehormatan gadis), melainkan dengan haknya (perkahwinan)!” Lalu aku pun berdiri meninggalkannya. Kiranya Engkau juga mengetahui, bahawa aku melakukan itu ialah kerana mencari keredaanMu, maka gembirakanlah kami dengan suatu lubang.” Lalu Allah bukakan untuk mereka suatu lubang.”

Doa orang ketiga

Maksudnya: “Dan yang seorang lagi berdoa pula: “Ya Allah! Sesungguhnya aku pernah mengupah seseorang untuk menugal padi. Setelah dia menyelesaikan pekerjaannya, dia berkata: “Berikanlah hakku (upah)!” Lalu aku berikan upahnya itu. Tetapi dia tidak suka (tidak mahu menerimanya). Maka daripada upahnya (padi itu) aku kumpulkan dan belikan seekor sapi sekaligus penggembalanya. Kemudian dia datang kepadaku dan berkata: “Bertaqwalah engkau kepada Allah dan jangan engkau menzalimi hakku!” Aku menjawab: “Pergilah engkau kepada sapi dan penggembalanya. Maka ambillah!” Dia berkata: “Bertaqwalah engkau kepada Allah dan jangan aku dipermain-mainkan!” Aku menjawab: “Saya tidak mempermain-mainkan engkau. Ambillah sapi itu dan penggembalanya sekali!” Lalu diambilnya dan dibawanya semua. Kiranya Engkau juga mengetahui bahawa aku melakukan itu kerana mencari keredaanMu, bukakanlah untuk kami tutup yang masih ada!” Lalu dibukakan oleh Allah tutup yang masih ada.”

(Muttafaq ‘alaih daripada Ibnu ‘Umar)

2. Melalui Zat, Sifat-Sifat, Dan Nama-Nama Allah Subhanahu Wa Ta‘Ala.

Jumhûr ulama juga berpendapat bahawa tawassul melalui perkara-perkara tersebut di atas juga adalah termasuk tawassul yang disyariatkan. Allah Subhanahu wa Ta‘ala berfirman:

Tafsirnya: “Hanya milik Allah al-Asmâ’ al-Husna (nama-nama yang agung yang sesuai dengan sifat-sifat Allah Subhanahu wa Ta‘ala), maka bermohonlah kepadaNya dengan menyebut al-Asmâ’ al-Husna itu dan tinggalkanlah orang-orang yang menyimpang daripada kebenaran dalam (menyebut) nama-namaNya. Nanti mereka akan mendapat balasan terhadap apa yang telah mereka kerjakan.” (Surah al-A‘râf: 180)

3. Melalui Doa Orang Islam Yang Masih Hidup

Bertawassul melalui doa orang Islam yang masih hidup, menurut al-‘Allâmah Ibnu Taimiyah, telahpun disepakati oleh ulama akan keharusannya, kerana ianya memang terdapat di dalam al-Qur’an dan hadis Nabi. Firman Allah Ta‘ala:

Tafsirnya: “Dan orang-orang yang datang sesudah mereka (Muhajirin dan Anshar), mereka berdoa: “Wahai Tuhan kami, ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang telah beriman lebih dahulu daripada kami, dan janganlah Engkau membiarkan kedengkian dalam hati kami terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami, sesungguhnya Engkau Maha Penyantun lagi Maha Penyayang.” (Surah al-Hasyr: 10)

Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam pernah bertawassul dengan ‘Umar bin al-Khaththab Radhiallahu ‘anhu. Dalam sebuah hadis disebutkan, bahawa ‘Umar bin al-Khaththab berkata:

Maksudnya: “Aku meminta izin kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam untuk melakukan umrah. Nabi mengizinkan dan bersabda: “Wahai saudaraku, sertakan kami dalam doamu, janganlah engkau lupakan kami.” (Hadis riwayat at-Tirmidzi)

Berkata Abu Isa at-Tirmidzi: “Hadis ini hasan shahîh.”

4. Melalui panggilan

Bertawassul dalam bentuk ini ialah dengan memanggil orang yang paling dicintai, sehingga harapannya dapat terkabul. Menurut Muhammad Alwi al- Maliki, bertawassul seperti ini hukumnya harus. Alasannya disandarkan kepada beberapa riwayat, seperti hadis dari Haitsam bin Khannas ini:

Ertinya: “Kami berada dekat Abdullah bin ‘Umar yang sedang sakit kakinya. Tiba-tiba seorang lelaki berkata: “Sebutlah nama orang yang paling engkau cintai.” Maka Abdullah bin ‘Umar pun berkata: “Wahai Muhammad...... sehingga seakan-akan dia tidak pernah sakit.” (Hadis riwayat Ibnu as-Sunni)

Ertinya: “Mujahid meriwayatkan bahawa dia melihat seorang yang sakit kaki di sisi Ibnu ‘Abbas. Lalu Ibnu ‘Abbas berkata kepadanya. “Sebutlah nama orang yang paling engkau cintai.” Maka orang yang sakit itu pun menyebut nama Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam. Lalu rasa sakit dan lemah di kaki orang itu pun lenyap.” (Hadis riwayat Ibnu as-Sunni)

5. Melalui Tabarruk Daripada Peninggalan Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam.

Muhammad Alwi al-Maliki, mengatakan bahawa para sahabat telah mengambil berkat (tabarruk) daripada berbagai bekas atau kesan peninggalan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam. Menurutnya, tabarruk hanya mempunyai satu makna, iaitu bertawassul kepada Allah dengan peninggalan Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam.

Menurut Alwi al-Makki, bahawa pendapat yang Tidak membenarkan tawassul dengan benda-benda atau kesan-kesan peninggalan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam itu adalah tidak boleh diterima. Alasannya, kerana para sahabat sendiri melakukannya untuk tujuan tabarruk yang bererti tawassul, umpamanya bertabarruk atau bertawassul dengan kubur Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam, sebagaimana Sayyidina ‘Umar bin al-Khaththab mengharapkan agar apabila beliau meninggal dunia beliau akan dikuburkan di samping Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam dan Sayyidina Abu Bakar ash-Shiddiq.

Menurut beliau lagi, bertawassul dengan benda-benda itu juga pernah dilakukan oleh para nabi. Allah Subhanahu wa Ta‘ala berfirman:

Tafsirnya: “Dan Nabi mereka berkata lagi kepada mereka: “Sesungguhnya tanda kerajaan Talut itu (yang menunjukkan benarnya daripada Allah) ialah datangnya kepada kamu Tâbût (peti) yang mengandungi (sesuatu yang memberi) ketenteraman jiwa daripada Tuhan kamu dan (berisi) sebahagian daripada apa yang telah ditinggalkan oleh keluarga nabi Musa dan Harun, Tâbût itu dibawa oleh malaikat. Sesungguhnya peristiwa kembalinya Tâbût itu mengandungi satu tanda keterangan bagi kamu, jika betul kamu orang-orang yang beriman.” (Surah al-Baqarah: 248)

Muhammad Alwi al-Maliki menafsirkan bahawa Bani Israil selalu bertawassul dengan tâbût (peti) itu. Peti itu dibawa ke setiap pertempuran sehingga Bani Israil selalunya mendapat kemenangan.

Walau bagaimanapun, amat perlu diingat, bahawa sesuatu yang dijadikan perantara itu hanyalah berfungsi sebagai mediator untuk mendekatkan diri kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala. Menurut ulama ini lagi, barangsiapa yang berkeyakinan bahawa pengantara itu adalah lebih daripada sekadar mediator, maka dia telah menjadi syirik. Orang yang beri‘tiqâd bahawa pengantara itu dapat mendatangkan manfaat dan mudarat seolah-olah seperti Allah Subhanahu wa Ta‘ala dan atau tanpa kemahuan Allah Subhanahu wa Ta‘ala, maka sesungguhnya orang seperti ini telah musyrik. Oleh itu, hendaklah difahami bahawa tawassul itu bukanlah suatu kemestian dan bukan juga suatu yang sangat perlu. Terkabulnya suatu doa tidaklah bergantung kepada pengantara itu, tetapi yang pasti, doa secara mutlak ialah kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala. Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:

Tafsirnya: “Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu tentang Aku, maka (jawablah) bahawasanya Aku adalah dekat. Aku mengkabulkan permohonan orang yang berdoa apabila dia memohon kepadaKu, maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala) perintahKu dan hendaklah mereka beriman kepadaKu, agar mereka selalu berada dalam kebenaran.” (Surah al-Baqarah: 186)

Dalil-Dalil Lain Tentang Keharusan Bertawassul

Dalam kitab-kitab hadis dan buku-buku sejarah terdapat juga banyak riwayat tentang tawassul, sama ada bertawassul dengan zat Allah, nama-namaNya, dan Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam, dengan amalan salih yang dilakukan oleh seseorang dan dengan maqâm (kedudukan) para wali-wali Allah. Sebagai tambahan kepada keterangan-keterangan di atas, berikut ini dicatatkan lagi beberapa hadis tentang tawassul itu, antaranya:

Bertawassul Dengan Peribadi Nabi Maksudnya: “Daripada Utsman bin Hunaif: “Sesunggguhnya ada seorang lelaki yang hilang penglihatan datang kepada Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam dan berkata: “Mohon doakan kepada Allah agar menyembuhkanku.” Nabi bersabda: “Jika engkau mahu, aku akhirkan permintaanmu, kerana itu adalah lebih baik untukmu, namun jika engkau mahu (sekarang juga) aku akan berdoa.” Orang itu berkata: “Doakanlah”. Nabi kemudian memerintahkannya berwudhu, maka dia pun berwudhu dengan baik lalu sembahyang dua rakaat, dan membaca doa: “Ya Allah aku memohon kepadaMu dengan perantaraan NabiMu Muhammad, Nabi Rahmat. Wahai Muhammad, dengan perantaraanmu aku memohon kepada Tuhanku agar mengkabulkan hajatku. Ya Allah, terimalah syafaatnya untukku.....” (Hadis riwayat Ibnu Majah)

Mengenai Hadis Ini

Zaini Dahlan dalam bukunya Khulâshah al-Kalâm menulis: Hadis ini diriwayatkan oleh al-Bukhari dalam buku Târîkhnya, Ibnu Majah dan al-Hakim dalam Mustadraknya dengan sanad-sanad yang terkenal, as-Suyuthi juga menukilkan dalam Jâmi‘nya.”

Maksudnya: “Seorang Badwi masuk ke tempat Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam lalu berkata: “Wahai Rasulullah, kami datang kepadamu di kala tidak ada unta bersuara dan tidak ada anak yang berdengkur.”

Kemudian dia membacakan syair-syair berikut:

“Kami datang kepadamu di kala kuda-kuda menitiskan darah daripada dadanya, di kala ibu sudah terhalang daripada anaknya. Tiada suatu apa pun daripada makanan manusia di sisi kami, kecuali buah Handhal yang pahit. Tidak ada tempat berlari bagi kami kecuali kepadamu, selain kepada para Rasul, ke manakah orang-orang harus berlari?”

Kemudian Rasulullah berdiri, menarik selendangnya dan Baginda naik ke atas minbar, lalu mengangkat kedua tangannya dan berdoa: “Ya Allah, turunkanlah kepada kami hujan yang merata.....” Nabi tidak menurunkan tangannya sampai langit menurunkan hujan. Maka datanglah salah seorang penduduk kampung berteriak-teriak: “Tenggelam! Tenggelam! Lalu Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam pun ketawa sehingga nampak gigi geraham Baginda. Lalu Baginda bersabda: “Semoga Allah melebihkan pemberianNya kepada Abu Thalib. Jika dia hidup, nescaya dia akan terhibur. Siapakah yang akan membacakan syairnya?” Maka bangkitlah Ali bin Abu Thalib dan berkata: “Nampaknya Tuan hamba menginginkan syairnya:

“Seorang yang berparas putih, yang di hadapannya awan diminta menurunkan hujan.

Rasulullah menjawab: “Benar”.

Lalu salah seorang daripada kabilah Kinanah berdiri dan membaca:

“BagiMu, wahai Tuhan, pujian dari hamba-hambaMu yang bersyukur. Kita telah diberi minum air hujan di hadapan NabiMu.” (Al-‘Aini: Umdah al-Qâri: 9/31)

Daripada Anas bin Malik, katanya:

Maksudnya: “Ketika Fatimah binti Asad bin Hasyim, ibunda ‘Ali bin Abu Thalib Radhiallahu ‘anhu meninggal dunia, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam masuk ke tempatnya, lalu duduk di sisi kepalanya dan bersabda: “Semoga Allah merahmatimu, wahai ibu setelah ibuku. Engkau berlapar tetapi engkau berikan aku kenyang, engkau kurang pakaian, tetapi engkau mencukupkan pakaianku, dan engkau tidak memakai wangi-wangian, tetapi engkau memberikan aku makanan. Kesemua ini engkau lakukan semata-mata kerana mencari keredaan Allah dan balasan akhirat.” Kemudian Baginda menyuruh memandikannya tiga kali. Manakala hendak memandikannya dengan air yang bercampur dengan kapur (pewangi), maka Baginda sendiri menuangkan airnya dengan tangan Baginda. Kemudian Baginda menanggalkan baju luar Baginda dan memakaikannya kepada Ibu ‘Ali dan mengkafannya dengan kain lain di atasnya. Kemudian Baginda memanggil Usamah bin Zaid, Abu Ayyub dan ‘Umar bin al-Khaththab serta seorang budak hitam untuk menggali tanah bagi makamnya. Ketika mereka menggali sampai pada batas lahadnya, Rasulullah pun turut menggalinya, dan Baginda mengeluarkan tanah dengan tangannya sendiri, lalu Baginda berbaring padanya dan berdoa: “Allah yang menghidup dan mematikan, dan Dia sendiri hidup tidak akan mati. Ya Allah, ampunilah ibuku, Fatimah binti Asad, ajarkan hujahnya dan luaskanlah tempatnya demi hak NabiMu dan nabi-nabi sebelum aku. Sesungguhnya Engkaulah yang Maha Mengasihani daripada segala yang pengasih. Baginda pun bertakbir empat kali dan mereka (iaitu) Baginda sendiri, al-‘Abbas dan Abu Bakar, memasukkan mayat itu.” (Al-Haitsami: Majma‘ az-Zawid: 9/414-415)

Bertawassul Dengan Hak Nabi Shallallahu ‘Alaihi Wasallam

Ath-Thabarani dalam Mu‘jam ash-Shaghîr, al-Hakim, Abu Nu‘aim dan al-Baihaqi dalam ad-Dalâ’il, Ibnu ‘Asakir dalam Târîkhnya, dan as-Suyuthi dalam ad-Durr Mantsûr daripada ‘Umar bin al-Khaththab, menukil bahawa Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: “Ketika Adam melakukan dosa, dia mengangkat kepalanya ke arah langit dan berkata: “(Wahai Tuhan), aku memohon kepadaMu dengan hak Muhammad agar Engkau mengampuniku.” Allah mewahyukan kepadanya: “Siapakah Muhammad?” Adam menjawab: “Ketika Engkau menciptakan aku, aku mengangkat kepalaku ke arah ‘arasyMu, dan aku melihat di sana tertulis: “Tiada Tuhan yang berhak disembah kecuali Allah dan Muhammad adalah utusan Allah”. Aku pun berkata kepada diriku, bahawa tiada seorang pun yang lebih agung daripada seorang yang namanya Engkau tuliskan di samping namaMu. Ketika itu Allah mewahyukan kepadanya: “Dialah Nabi yang terakhir daripada keturunanmu, dan jika tidak kerana dia, nescaya Aku tak akan menciptakanmu.” (As-Suyuthi: Ad- Durr al-Mantsûr fi Tafsîr al-Ma‘tsûr: 1/42)

Bertawassul Selain Daripada Nabi Shallallahu ‘Alaihi Wasallam

Satu contoh ialah ketika ‘Umar bin al-Khaththab Radhiallahu ‘anhu meminta izin daripada Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam untuk pergi menunaikan umrah. Baginda telah memberinya keizinan dan bersabda: “Wahai saudaraku! sertakan kami dalam doa mu. Janganlah engkau lupakan kami.” (Hadis riwayat at-Tirmidzi)

Contoh lain ialah hadis yang diriwayatkan oleh Muslim dalam Shahîhnya, daripada ‘Umar bin al-Khaththab Radhiallahu ‘anhu katanya:

Maksudnya: “Bahawasanya aku telah mendengar Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Sesungguhnya orang yang paling baik daripada kalangan tâbi‘în ialah seorang lelaki yang dipanggil Uwais, dia mempunyai seorang ibu, dan dengannya ada tanda keputihan (sopak), maka kamu suruhlah dia (Uwais itu) untuk memintakan ampun bagi kamu.” (Hadis riwayat Muslim)

Di dalam riwayat lain pula menyebutkan:

Maksudnya: “Dia mempunyai seorang ibu yang dia (Uwais) berbuat baik kepadanya, jika dia bersumpah (memohon) kepada Allah, nescaya Allah akan memakbulkannya. Oleh kerana itu jika engkau berupaya (mendapatkan Uwais) untuk memohonkan ampun bagimu, maka lakukanlah.” (Hadis riwayat Muslim)

Sayyidina ‘Umar Radhiallahu ‘anhu telah meminta Uwais mendoakannya supaya beliau diampunkan. Ini adalah dalil menunjukkan, bahawa bertawassul dengan doa orang-orang Islam itu adalah sesuatu yang diharuskan oleh syara‘, sekalipun sekiranya orang yang berdoa itu lebih rendah kedudukannya daripada orang yang didoakan.

Selain itu juga berlaku tawassul dengan hamba-hamba Allah dan malaikat yang tidak dilihat di dalam keadaan-keadaan tertentu sebagaimana hadis berikut ini:

Daripada ‘Utbah bin Ghazwan daripada Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: “Apabila seorang daripada kamu kehilangan sesuatu atau memerlukan pertolongan sedangkan dia berada di suatu tempat yang tiada orang dapat menolongnya, maka hendaklah dia berseru: “Wahai hamba-hamba Allah, kamu tolonglah aku,” sesungguhnya bagi Allah itu ialah hamba-hamba yang kita tidak nampak. Dan perkara ini telah dicuba.” (Hadis riwayat ath-Thabarani)

Daripada Ibnu ‘Abbas, bahawasanya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: “Sesungguhnya bagi Allah itu ialah malaikat-malaikat di bumi selain Malaikat Hafazah, mereka itu bertugas menulis setiap helai daun pokok yang jatuh, maka apabila salah seorang daripada kamu sesat di bumi yang lapang (sahara) maka hendaklah dia berseru: “Kamu tolonglah aku wahai hamba-hamba Allah.” (Hadis riwayat ath-Thabarani)

Terdapat sebuah hadis, bahawa Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam berdoa selepas Baginda itu menunaikan dua rakaat sunat fajar:

Maksudnya: “Ya Allah, ya Tuhan (yang menciptakan) Jibril, Israfil, Mikail dan Muhammad Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam, aku berlindung kepadaMu daripada seksa neraka.”

Berkata an-Nawawi dalam kitab al-Adzkâr: “Hadis ini riwayat Ibnu as-Sunni. Dan berkata al-Hafiz selepas mentakhrîjkannya: “Ia adalah hadis hasan.” (Syarah al- Adzkâr karangan Ibnu ‘Allan: 2/139)

Adapun disebut secara khusus mereka itu (Jibril, Israfil, Mikail dan Nabi Muhammad) ialah dalam makna bertawassul dengan mereka. Seolah-olah dia berkata: Ya Allah, aku bermohon kepadaMu dan Aku bertawassul kepadaMu dengan Malaikat Jibril, Israfil, Mikail dan Muhammad Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam. Aku berlindung kepadaMu daripada seksa neraka.

Berdasarkan kepada ayat-ayat al-Qur’an, hadis dan amalan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, serta amalan para sahabat sebagaimana yang telah dihuraikan di atas, maka tawassul itu adalah suatu yang memang wujud, dengan ini juga tertolaklah pendapat kaum Wahabiyah yang mendakwa sebaliknya.

HUKUM MEMAKAI TANGKAL ATAU AZIMAT

7. Al-Ma‘unah mempercayai kepada tangkal dan azimat seperti memakai kain kuning di pinggang atau di badan bagi tujuan kekebalan atau seumpamanya.

Menurut Kamus Dewan, tangkal itu ialah sesuatu yang digunakan untuk menolak bala (penyakit, hantu, jin dan ‘ain). Tangkal juga bererti azimat; seperti tangkal bisa, tangkal jin dan tangkal sawan.

Tangkal sehari bulan misalnya merupakan azimat yang berbentuk bulan sabit daripada emas atau perak yang digantung di leher kanak-kanak.

Azimat ialah bahan yang terdiri daripada tulisan yang ditulis pada kertas, kain, keratan kayu tertentu atau sisik tenggiling yang dipakai pada bahagian tertentu tubuh badan seperti pinggang yang dianggap mempunyai sakti dan boleh mengelakkan penyakit, bencana dan sebagainya.

Tangkal dalam bahasa Arab disebut sebagai “tamîmah” iaitu barang yang digantung di tangan budak atau lainnya kerana menolak ‘ain (kejahatan mata).

Menurut al-Kholkoli, tamîmah itu ialah benda yang digantung di leher budak yang diperbuat daripada manik-manik atau tulang untuk menolak penyakit ‘ain.

Tangkal dan azimat kedua-duanya dianggap dapat menyembuhkan penyakit atau melindungi daripada bahaya, seperti bahaya gangguan jin, sengatan kala jengking, kejahatan mata (‘ain), kedengkian orang dan sebagainya.

Al-Imam al-Qurthubi berkata bahawa tangkal itu ada tiga perkara:

1. Tangkal yang dibuat oleh orang-orang jahiliah daripada perkara yang tiada difahami tujuannya dan tangkal seperti ini wajiblah dijauhi supaya tidak ada padanya syirik atau membawa kepada syirik (menyekutukan Allah).

2. Tangkal daripada firman Allah atau nama-nama Allah, maka tangkal seperti ini harus digunakan dan jika tangkal itu daripada hadis atau âtsâr sahabat maka ia jadi sunat pula.

3. Tangkal-tangkal bukan daripada firman Allah seperti nama malaikat atau orang salih atau nama mu‘azhzham daripada makhluk seperti ‘Arsy, maka tangkal seperti ini lebih baik ditinggalkan. Jika tangkal itu mengandungi perkara menghormatkan perkara makhluk itu, maka sayugia dijauhkan seperti menjauhi daripada bersumpah bukan dengan nama Allah.

Tangkal Dan Azimat Yang Diharuskan

Tangkal dan azimat yang harus atau boleh digunakan itu ialah yang diketahui erti dan tujuannya serta harus pula pada syara‘ seperti ianya mengandungi zikir kepada Allah, ayat-ayat al-Qur’an dan hadis-hadis.

Menurut perkataan al-Imam al-Khaththabi, bahawa apabila tangkal dan azimat itu mengandungi zikir kepada Allah, maka ianya adalah sunat bagi tujuan mengambil berkat daripada zikir-zikir itu. Akan tetapi dari segi keberkesanannya, Allah jualah yang memberi perlindungan dan menyembuhkan dan sebagainya kepada penggunanya bukan yang lain (bukan tangkal dan azimat itu).

Menurut al-Imam an-Nawawi pula, harus menggunakan azimat yang menggunakan zikir Allah Ta‘ala.

Berkata al-Hafiz Ibnu Hajar: “Bahawa ulama telah ijmâ‘ tentang keharusan menggunakan tangkal dengan tiga syarat:

1. Tangkal itu ditulis dengan menggunakan firman Allah Ta‘ala atau nama-nama Allah dan sifat-sifatNya.

2. Tangkal itu dengan bahasa Arab atau bahasa lain yang diketahui ertinya.

3. Hendaklah orang yang membuat atau memakai tangkal itu jangan beri‘tiqâd bahawa tangkal itulah yang memberi kesan. Yang memberi kesan baik dan jahat ialah Allah jua.”

Tangkal Dan Azimat Yang Haram Digunakan

Adapun tangkal dan azimat yang diharamkan ialah yang dibuat oleh orang-orang zaman jahiliah seperti diikat tembaga di lengan, atau dikalungkan sesuatu di leher sebagai azimat, sesuatu yang dibuat sebagai sihir, umpamanya supaya isteri cinta kepada suami atau sebaliknya atau tangkal dan azimat itu tiada dapat difahami erti dan tujuannya. Ini kerana tangkal dan azimat seperti ini boleh jadi mengandungi sihir atau mengandungi perkara-perkara yang membawa syirik.

Orang-orang jahiliah beri‘tiqâd bahawa tangkal dan azimat itu menolak bencana dan kejahatan. I‘tiqâd seperti itu adalah dosa besar. Sekalipun kita tidak dapat mengatakannya syirik, tetapi ia boleh membawa dan menarik seseorang ke dalam gawang syirik (menyekutukan Allah) dan menyekutukan Allah itu adalah kafir atau menjadikan orang Islam murtad (keluar daripada agama Islam).

Selain daripada itu, penggunaan tangkal dan azimat juga boleh menjadi haram apabila ia melanggar prinsip-prinsip hukum yang telah ditetapkan oleh syara‘. Jika orang yang memakai tangkal atau azimat itu bukan setakat untuk mengambil berkat, bahkan beri‘tiqâd bahawa tangkal dan azimat yang dipakainya itu mempunyai kuasa ghaib atau kesaktian yang boleh menyampaikan hajat pemakainya dan boleh menolak bencana dan sebagainya, maka i‘tiqâd seumpama ini akan merosakkan prinsip aqidah Islam yang sebenar.

Al-Imam Ibnu Hajar yang mati tahun 973H di Makkah, telah menyebutkan dalam kitabnya az-Zawâjir bahawa menurut hadis yang diriwayatkan oleh al-Imam Ahmad, Abu Ya‘la dengan isnâd jayyid, al-Hakim dan ia telah ditashhîhkan daripada sahabat ‘Ukbah bin ‘Amir Radhiallahu ‘anhum telah berkata: “Saya telah mendengar Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: “Sesiapa yang menggantung (memakai) azimat, maka Allah tidak akan sempurnakan baginya, dan sesiapa menggantung َ وَدعَه (suatu benda putih yang diambil dari laut bagi pelimun daripada mata orang) maka tidaklah Allah beri akan dia tenang dan selesa.” (Hadis riwayat al-Imam Ahmad dan al-Hakim)

Hadis yang diriwayatkan al-Imam Ahmad dengan periwayat-periwayat yang terdiri daripada orang-orang tsiqah (‘adl dan dhabth) dan al-Hakim menyatakan bahawa satu kumpulan sepuluh orang datang mengadap Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam dan sembilan orang daripadanya telah mengikat ikatan setia dan Rasulullah enggan mengikat ikatan setia dengan lelaki yang seorang itu. Apabila orang-orang bertanya apa halnya, sabda Baginda: “Di lengan atasnya ada azimat”, maka orang itupun menanggalkan azimat itu dan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam pun mengikat setia dengannya, kemudian Baginda bersabda:

Ertinya: “Barangsiapa menggantung (memakai) azimat, maka dia telah menyekutukan Allah.” (Hadis riwayat Ahmad)

Telah sabit bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam telah terpandang suatu halaqah (lingkaran) di lengan atas seorang lelaki, lalu Baginda berkata: “Tunjukkan ia kepadaku”, kata orang itu: “Lingkaran itu berasal daripada tembaga”, sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:

Maksudnya: “Celaka! Apa ini?” (Hadis riwayat Ahmad)

Kata orang itu: “Ini daripada jenis wâhinah (azimat bagi penyakit di lengan atas).” Sabda Baginda:

Maksudnya: “Sanya wâhinah itu tidak menambahkan kamu melainkan menambahkan sakit lengan. Tanggalkanlah ia daripada kamu, kerana kalau kamu mati, dan ia masih ada di badan kamu, kamu tidak akan beruntung untuk selama-lamanya.” (Hadis riwayat Ahmad, Ibnu Majah dan Ibnu Hibban)

Telah sabit bahawa Ibnu Mas‘ud Radhiallahu ‘anhu datang kepada isterinya, di leher isterinya itu ada sesuatu yang dibuatnya azimat, maka Ibnu Mas‘ud menarik dan memutuskan azimat itu. Kemudian dia berkata: “Demi sesungguhnya bahawa keluarga Abdullah bin Mas‘ud terjauh mereka itu daripada menyekutukan Allah”. Kemudian dia berkata: “Saya telah mendengar Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: “Bahawa tangkal-tangkal, azimat-azimat dan tiwalah itu menyekutukan Allah.” (Hadis riwayat Abu Daud)

Mereka berkata: “Wahai Abdul Rahman (Ibnu Mas‘ud), sesungguhnya tangkal-tangkal dan azimat-azimat ini kami telah tahu akannya. Maka apa dia tiwalah itu?” Katanya: “Suatu benda yang dibuat oleh orang-orang perempuan kerana mereka dapat menzahirkan kasih kepada suami-suami mereka.” Setengah ulama mentafsirkan erti tiwalah itu ialah suatu benda semacam sihir atau ia salah satu daripada jenis sihir yang dibuat oleh perempuan supaya dia dapat menzahirkan kasih cinta kepada suaminya.

Menurut suatu riwayat bahawa isteri Ibnu Mas‘ud telah berkata kepadanya: “Saya keluar rumah pada suatu hari, maka si polan telah melihat saya, lalu mata saya yang sebelah arah polan itu telah melelehkan air mata. Maka apabila saya tinggalkan orang itu, berhentilah air mata itu dan apabila saya biarkan dia, meleleh lagi air mata.” Kata suaminya: “Itulah perbuatan syaitan. Apabila engkau ikut perbuatan syaitan ia tinggalkan engkau dan apabila engkau derhaka kepada syaitan, maka ia cucuk mata engkau, tetapi jikalau engkau buat sebagaimana yang telah dibuat oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, adalah ia lebih baik kepada engkau dan lebih lekas engkau sembuh. Engkau renjiskan air pada matamu, dan engkau berdoa:

Maksudnya: “Mohon hilangkan sakit ini, ya Tuhan manusia, dan mohon sembuhkan, Engkaulah Penyembuh. Tidak ada penyembuhan melainkan penyembuhanMu, penyembuhan yang tidak meninggalkan sesuatu sakit.” (Hadis riwayat Abu Daud)

Dalam hadis yang lain ada menyebutkan bahawa tidaklah azimat itu dinamakan azimat apabila ia telah digantungkan sesudah turun bala. Azimat itu hanya dinamakan azimat apabila ia digantungkan sebelum turun bala.

Kata al-Imam Ibnu Hajar lagi: “Tangkal dan azimat itu kedua-duanya termasuk di bawah erti kata dosa besar menurut amaran yang tersebut di dalam hadis-hadis di atas. Malah dinamakan ia syirik (menyekutukan Allah),” tetapi katanya: “Saya tidak melihat seorang ulama pun yang berterus terang menyebut begitu dengan khususnya sekalipun ulama telah menegaskan dengan cara yang tidak langsung. Mereka menyebutkan dengan ibarat yang boleh difahamkan bahawa keduanya itu dosa besar.”

Katanya lagi: “Adapun tangkal-tangkal yang ditegah atau dikira suatu dosa besar itu, ialah apabila dii‘tiqâdkan pada azimat itu boleh menolak bencana. Padahal menolak bencana dan memberi untung itu hanyalah Allah jua, tiada yang lain. Atau tangkal-tangkal yang ditegah itu ialah tangkal yang bukan dalam bahasa Arab dan tidak pula diketahui ertinya. Maka tangkal-tangkal yang semacam ini adalah haram. Telah ditegaskan oleh Imam al-Khaththabi, al-Baihaqi dan lain-lain ulama besar akan haramnya dan yang menunjukkan tangkal-tangkal yang semacam itu haram ialah sebagaimana kata al-Imam Ibnu Abdussalam bahawa ketika orang-orang bertanya kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam akan perkara tangkal-tangkal itu, maka Baginda bersabda:

Maksudnya: “Tunjukkan kepada saya tangkal-tangkal kamu itu.” (Hadis riwayat Muslim)

Baginda memerintahkan sedemikian kerana mereka berkata bahawa tangkal-tangkal itu tidak diketahui tujuannya, boleh jadi ia sihir atau perbuatan dan perkataan kafir. Katanya: “Berkata al-Imam al-Khaththabi selepas itu: “Adapun apabila tangkal-tangkal itu diketahui akan erti dan tujuannya dan ia mengandungi zikir kepada Allah, maka sunat berbuat tangkal dengannya.”

Inilah perkataan al-Imam Ibnu Hajar ketika beliau menjelaskan tentang dosa-dosa besar dalam az-Zawâjir.

Maka daripada apa yang telah dijelaskan di atas, iaitu apabila pemakaian tangkal itu ada kaitan dengan kepercayaan bahawa ia mempunyai kuasa atau kesan dalam mendapatkan kebaikan atau menolak kemudaratan, seperti halnya dengan penggunaan kain kuning yang dipakai di badan dengan i‘tiqâd kain tersebut berperanan memberi kebal dan menyelamatkan pemakainya daripada bencana, maka perbuatan seperti ini adalah haram dan berdosa besar.

BENARKAH KEJADIAN MAKHLUK ITU DISEBABKAN NABI MUHAMMAD?

8. Golongan al-Ma‘unah menggunakan hadis maudhu‘, mereka mendakwa Allah telah berfirman di dalam hadis Qudsi yang bermaksud:

“Aku ciptakan makhluk keranamu, Aku ciptakanmu keranaKu, untuk Aku pamerkan kebesaran dan keagunganKu.”

Dalam kitab Subul al-Huda wa ar-Rasyâd fî Sîrah Khair al-‘Ibâd oleh al-Imam Muhammad Yusuf ash-Shalih asy-Syami yang meninggal dunia pada tahun 942 Hijriyah ada memuatkan satu bab mengenai “Kejadian Nabi Adam dan seluruh makhluk oleh kerana (Nabi) Shallallahu ‘alaihi wasallam.”

Dalam bab itu diriwayatkan beberapa riwayat di antaranya:

Maksudnya: “Daripada Ibnu ‘Abbas Radhiallahu ‘anhu, katanya: “Allah Ta‘ala mewahyukan kepada Nabi Isa: “Berimanlah kepada Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam dan perintahkanlah umatmu supaya beriman dengannya. Kalaulah bukan kerana Muhammad tidaklah Aku menciptakan Nabi Adam, syurga dan neraka. Sesungguhnya Aku telah menciptakan ‘Arasy di atas air, lalu air itu bergelombang, kemudian Aku menulis di atas air itu لإلهإل للا ممد رسول للا maka air itu pun tenang.”

Hadis ini diriwayatkan oleh Abu asy-Syeikh dalam Thabaqât Ashbahaniyyin dan al- Hakim dan dia menshahîhkannya, diperakui pula oleh as-Subki dalam kitab Syifâ’ as-Siqâm dan al-Bulqini dalam fatwanya.

Maksudnya: “Diriwayatkan oleh ad-Dailami dalam musnadnya daripada Ibnu ‘Abbas Radhiallahu ‘anhuma, bersabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda bahawa Jibril telah mendatangi aku, lalu katanya: “Wahai Muhammad, sesungguhnya Allah telah berfirman: “Kalaulah bukan kerana engkau tidaklah Aku menciptakan syurga dan kalaulah tidak kerana engkau tidaklah Aku menciptakan neraka.”

Maksudnya: “Dalam fatwa Syeikh al-Islam al-Bulqiniy, dalam kitab Maulid al- ‘Azafie dan dalam kitab Syifâ ash-Shudûr oleh Ibnu Sab‘un daripada Ali Radhiallahu ‘anhu daripada Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam daripada Allah ‘Azza wa Jalla sesungguhnya Allah berfirman:

“Wahai Muhammad, demi KemuliaanKu dan demi KebesaranKu, kalaulah bukan kerana engkau tidaklah Aku jadikan bumiKu ini, dan langitKu ini, dan tidaklah Aku tinggikan langit ini dan tidaklah Aku hamparkan bumi ini.” (1/74-95).

Maka berdasarkan hadis-hadis di atas jelaslah bahawa ada persamaan dengan apa yang diminta fatwa mengenai dengan: “Aku ciptakan makhluk keranamu, Aku ciptakanmu keranaKu, untuk Aku pamerkan kebesaran dan keagunganKu.” Dalam erti kata yang lain tidak ada pertentangan dari segi maksudnya (yakni bahawa kejadian makhluk-makhluk Allah itu disebabkan oleh Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam). Maka hal sedemikian itu tidak dianggap salah berdasarkan hadis-hadis di atas.

Waspada Terhadap “Keajaiban”

Sifat waspada dalam menerima perkhabaran, ajaran atau dakwaan perlulah ada pada setiap orang Islam. Ajaran atau dakwaan mesti ditimbang terlebih dahulu keshahîhannya berdasarkan ajaran Islam yang murni. Kita jangan mudah terpengaruh semata-mata kerana melihat keajaiban atau keganjilan yang dipamerkan. Nampaknya telah menjadi kenyataan, bahawa salah satu daripada perkara-perkara yang akan menarik, mendorong dan merangsang orang awam terus mengikut atau menjadi ahli kepada pertubuhan yang bersifat tarekat, pertubuhan silat atau kumpulan zikir itu ialah kerana ketua-ketuanya dikatakan mempunyai keistimewaan dan ‘keramat’, seperti mempunyai kekebalan yakni tidak luka ditikam dalam perkelahian dan seumpamanya. Kadang-kadang orang seumpama ini dikatakan boleh mengubati penyakit-penyakit ganjil yang kononnya perubatan moden ‘belum mampu’ menyembuhkannya.

Jika terdapat salah satu, apatah lagi semua ciri-ciri istimewa ini (keramat, kebal dan pandai mengubat) pada seseorang ketua pertubuhan atau kumpulan itu, maka mudahlah baginya menarik dan memikat orang-orang awam.

Inilah yang berlaku dengan cerita-cerita tentang kekebalan: Tidak luka ditetak, minyak panas dan bara api tidak memudaratkan dan lain-lain lagi. Semua itu berlaku kepada orang-orang atau kumpulan tertentu yang mengaku memilikinya dengan berbagai-bagai cara, seperti ada yang dengan cara belajar, dengan cara bertarak, mandi wasai, mengubur diri ke dalam tanah atau lain-lain lagi.

Ingin ditegaskan, bahawa semua ini bukanlah daripada ajaran Islam, tetapi lebih menjurus kepada ciri dan perbuatan sihir.

Perlu diingat, bahawa Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam dan para sahabat, bukan sahaja pernah luka atau cedera oleh senjata musuh, malahan juga ramai di antara para sahabat dan pejuang Islam yang mati syahid di medan peperangan.

Kalaulah kekebalan itu sesuatu yang boleh dituntut atau harus dipelajari, sudah barang tentu pejuang-pejuang Islam sejak awal-awal Islam lagi sehingga sekarang telah pun mempelajarinya, dan mereka memang lebih afdhal mengamalkannya. Namun tidaklah demikian halnya. Nabi sendiri cedera dalam peperangan Uhud.

Jika benar ada pertubuhan yang pengikut-pengikutnya kebal, maka awas dan berhati-hatilah. Jangan cepat-cepat mempercayainya sebagai keramat. Berkemungkinan ia istidrâj kerana erti keramat itu, berasal dari perkataan َ كَرُم yang bererti pemurah atau berharga, to be precious (jadi berharga, tinggi harga atau nilai). Jadi keramat itu dapatlah dianggap sebagai honour, penghormatan yang berharga dan tinggi, suatu kejadian yang berlaku di luar adat kebiasaan.

Punca keramat ialah iman dan taqwa kepada Allah. Berkata Syeikh Mahyuddin Ibnu ‘Arabi yang terkenal dengan gelaran Sultan al-‘Arifin yang meninggal dunia tahun 638 Hijrah, bahawa keramat itu berpunca daripada taat yang lahir daripada “lapan” anggota badan, iaitu mata, telinga, lidah, tangan, perut, kemaluan, kaki dan hati.

Pemilik keramat dinamakan sebagai wali-wali Allah. Adakah sebarang tanda atau alamat bagi kewalian seseorang itu?

Menurut Syeikh Yusuf bin Syeikh Ismail an-Nabhani, ya, ada. Pertama, sesiapa yang berlaku ke atasnya taat yang berterusan terhadap Allah dengan tidak diselang-selikan oleh sebarang perbuatan maksiat. Kedua, sesiapa yang berlaku ke atasnya pemeliharaan dan perlindungan Allah daripada segala rupa maksiat serta dikekalkan dia dalam taufiq kerana ketaatannya itu.

Melihat kepada tanda-tanda yang disebutkan oleh al-‘Allâmah Syeikh Yusuf bin Syeikh Ismail an-Nabhani di atas, adalah tidak termasuk keganjilan atau keanehan sebagai tanda kewalian. Di dalam hubungan ini kita petik lagi ulasan daripada kitab Jâmi‘ Karâmah al-Auliâ’, katanya:

“Seseorang yang berkehendakkan sesuatu dalam perkara dunia, dan hajatnya itu telah diperkenankan oleh Allah, maka itu tidaklah semestinya menandakan dia seorang yang taat dan hampir kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala, kadang-kadang hanya kerana hormat Khâliq kepada si hamba, ataupun kadang-kadang ianya berupa “istidrâj” iaitu pemberian daripada Allah kerana sebab-sebab tertentu atau dengan kata lain Allah mengumpan kiranya orang itu akan bertambah-tambah sesat dan kufur.” Tamat katanya.

Kita ada menyebut tentang “istidrâj.” Apakah itu istidrâj?

Menurut Maulana Syeikh Abdullah Ali Abdullah ketika menjawab pertanyaan saya mengenai “istidrâj” ini beliau berkata dengan memetik dua ayat al-Qur’an, katanya: “Bahawa istidrâj itu adalah pemberian kepada orang-orang zalim (aniaya) berupa perkara-perkara istimewa yang luar biasa (ج للعادةخار) sehingga manakala mereka memperolehinya, akan bertambah-tambah pula tamak dan zalim mereka itu. Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:

Tafsirnya: “Dan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami, nanti Kami akan tarik mereka dengan cara yang beransur-ansur (ke arah kebinasaan), secara yang mereka tidak ketahui.” (Surah al-A‘râf: 182)

FirmanNya Lagi:

Tafsirnya: “Allah akan membalas olok-olokan mereka dan membiarkan mereka terumbang-ambing dalam kesesatan.” (Surah al-Baqarah: 15)

Apabila jiwa seseorang hampa terlampau cenderung kepada dunia dan kemudian segala hajatnya diperkenankan oleh Allah, maka tidak boleh tidak akan datanglah lazat atau seronok. Apabila datang lazat atau seronok nescaya akan bertambah-tambah pula kecenderungan itu. Seterusnya tentulah akan lahir usaha-usaha yang semakin kuat ke arah mencapai tujuan-tujuan keduniaan tadi. Ini akan membawa orang itu sedikit demi sedikit bertambah jauh daripada Allah. Itulah dia “istidrâj”.

Dalam kitab Majmû‘ah at-Tauhîd karangan Syeikh al-Islam Ahmad bin Taimiah dan Syeikh Muhammad bin Abdul Wahab, telah diterangkan agak panjang lebar berkenaan dengan orang-orang yang menyangka dirinya mempunyai kelebihan tetapi sebenarnya bukan. Mereka itu sebenarnya didatangi oleh jin dan syaitan tetapi mereka menyangkanya malaikat.

Di antara orang pertama dalam Islam yang mengalami perkara seperti itu ialah al- Mukhtar bin Abu ‘Ubaid yang diriwayatkan oleh Muslim dalam Shahîhnya daripada Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam sabdanya:

Ertinya: “Akan lahir dari kalangan Bani Tsaqif seorang pembohong dan seorang perosak.” (Hadis riwayat Muslim)

Orang yang dimaksudkan sebagai pendusta di sini ialah al-Mukhtar bin Abu ‘Ubaid sementara perosak pula ialah al-Hajjaj bin Yusuf.

Firman Allah Ta‘ala:

Maksudnya: “Apakah akan aku khabarkan kepada kamu atas siapakah syaitan-syaitan itu turun? Mereka turun kepada tiap-tiap pendusta lagi banyak dosa.” (Surah asy-Syu‘arâ’: 221-222)

Kemudian pengarang kitab Majmû’ah at-Tauhîd selanjutnya membentangkan beberapa contoh orang-orang yang berkeadaan luar biasa, tetapi bukanlah kerana memiliki keramat, bahkan hanyalah kerana kemasukan syaitan yang dipanggil juga oleh pengarang kitab ini sebagai anggota atau ahli al-Ahwâl asy-Syaithâniyah. Di antara mereka itu ada disebutkan di dalam hadis, seperti Abdullah bin Sayyad, sehingga ada sahabat yang menyangkanya sebagai “ad-Dajjal”, tetapi ternyata bukan, bahkan dia adalah seorang tukang tilik (kâhin).

Al-Aswad al-‘Ansi yang mendakwa dirinya nabi, adalah seorang yang telah dikhabarkan kepadanya beberapa perkara ghaib oleh syaitan-syaitan. Demikian juga Musailamah al-Kadzdzab dan al-Haris ad-Damsyiqi dalam zaman Abdul Malik bin Marwan yang telah mendakwa dirinya nabi dengan membuktikan beberapa keganjilan pada dirinya, seperti tidak dimakan senjata dan lain-lain.

Dikatakan bahawa manakala seorang menikam al-Haris ad-Damsyiqi dengan maksud hendak membunuhnya, ternyata lembing tidak dapat menembusi atau melukakannya sehinggalah Abdul Malik berkata kepada tukang tikam itu: “Engkau tidak membaca basmalah, bacalah!” Lalu tukang tikam melakukan perintah itu dan al-Haris pun dapat dibunuh.

Demikian keadaan orang-orang yang menjadi pengikut atau anggota al-Ahwâl asy- Syaithâniyah itu. Syaitan-syaitan mereka akan lari meninggalkan mereka manakala dibacakan zikir atau ayat-ayat yang boleh menghalau mereka seperti ayat al-Kursiy. Telah sabit di dalam hadis yang shahîh daripada Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bahawa sahabat, Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu telah diwakilkan oleh Nabi menjaga hasil zakat fitrah. Lalu datang syaitan mencurinya pada setiap malam.

Beliau dapat menangkapnya dan mengancamnya akan membawanya kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam. Namun syaitan itu mengadu kepada beliau agar membebaskannya kerana ia sangat memerlukan makanan dan mempunyai ramai keluarga. Lalu beliau pun membebaskan syaitan itu. Pada esok paginya Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bertanya:

Maksudnya: “Wahai Abu Hurairah, apakah yang telah dibuat oleh tawananmu semalam?” (Hadis riwayat al-Bukhari)

Abu Hurairah menjawab:

Maksudnya: “Wahai Rasulullah, ia mengadu amat memerlukan makanan dan mempunyai ramai keluarga. Maka aku mengasihaninya lalu membebaskannya.”

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: “Aduhai, sesungguhnya ia telah membohongimu dan ia akan datang semula.”

Ternyata syaitan itu datang lagi mencuri makanan lalu beliau menangkapnya dan mengancamnya akan membawanya kepada Baginda. Namun ia merayu agar dibebaskan lalu beliau mengasihaninya dan membebaskannya sepertimana kejadian yang pertama.

Maka apabila berlaku kecurian itu buat kali ketiganya, syaitan itu ditangkap lagi oleh beliau, lalu ia (syaitan) pun mengajar Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu beberapa kalimah yang bermanfaat untuk beliau, syaitan berkata:

Ertinya: “Apabila engkau berbaring di tempat tidurmu, maka bacalah ayat al- Kursiy: “Allah, tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang Tetap Hidup, Yang Kekal selama-lamanya mentadbir (sekalian makhlukNya).” Sehingga engkau habiskan ayat (al-Kursiy) itu. Sesungguhnya engkau akan sentiasa beroleh pemeliharaan Allah dan syaitan tidak akan mendekatimu hingga ke pagi.”

Setelah itu beliau pun membebaskannya. Pada esok paginya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bertanya lagi:

Maksudnya: “Apakah yang dilakukan oleh tawananmu semalam?

Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu pun menceritakan kepada Baginda kejadian semalam dan memberitahunya tentang kalimah yang diajarkan oleh syaitan itu. Lalu Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: “Sesungguhnya ia telah berkata benar kepadamu sedangkan ia adalah pembohong. Tahukah engkau orang yang engkau ajak bercakap sejak tiga malam itu wahai Abu Hurairah?”

Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu pun menjawab bahawa beliau tidak mengetahui siapakah pencuri itu sebenarnya. Kemudian Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: “Dia adalah syaitan.”

Mengenai Perubatan

Berubat merupakan tuntutan agama. Kita disuruh berubat apabila sakit. Tiap-tiap penyakit itu ada ubatnya yang dijadikan oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala. Berubat hendaklah kepada orang-orang yang benar-benar tahu tentang perubatan, apa jua jenis perubatan itu.

Jadi atas nama perubatan, kita adalah sentiasa dikehendaki supaya berhati-hati kerana perubatan itu melibatkan kesihatan dan keselamatan, bahkan ada juga kalanya membabitkan aqidah. Sebab itulah dilarang berubat kepada bomoh-bomoh, dukun-dukun dan tukang-tukang tilik dengan sihir.

Mereka ini biasanya mengaku boleh mengubat penyakit-penyakit ganjil, dan juga mengaku mengetahui perkara-perkara ghaib.

Sebagai misalan, di dalam kes adanya orang yang mendakwa mengubat dengan menggunakan malaikat, melalui bomoh-bomoh dari kalangan malaikat, yakni malaikat itu benar-benar masuk ke dalam jasad manusia untuk melakukan pengubatan.

Menurutnya lagi, jika iblis boleh masuk ke dalam jasad manusia, mengapa pula malaikat tidak boleh? Bukankah malaikat itu daripada unsur yang lebih baik? Kalau unsur yang bâthil (iblis dan syaitan) boleh masuk ke dalam badan untuk merosakkan kesihatan dan menyesatkan manusia, mengapa unsur yang hak dan lebih baik itu, yakni malaikat tidak boleh membantu dan membimbing manusia ke arah yang diredhai Allah?

Melalui pengubatan malaikat, orang yang sakit tidak memerlukan makanan, kerana malaikat sudah menguasai badan si pesakit, memadailah dengan memberikannya air yang telah dijampi untuk diminum dan disapukan di tempat yang terasa sakit.

Soalan yang pokok, bagaimanakah seseorang itu dapat mengenali malaikat dan tahu ia masuk ke dalam jasad dan lalu mengubati? Dan dengan kehendak siapa?

Mula-mula mestilah dilihat dalil yang menunjukkan malaikat itu masuk ke dalam jasad manusia.

Untuk ini, pengamal perubatan tersebut telah membawakan beberapa hadis dan juga ayat al-Qur’an. Kita bawakan hadis-hadis yang dimaksudkan itu:

Maksudnya: “Daripada Hudzaifah bin Usaid Radhiallahu ‘anhu telah berkata: “Bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam telah bersabda: “Satu malaikat akan berada pada nuthfah yang sudah berumur 40 atau 45 malam dalam rahim, lalu dia bertanya kepada Tuhan: “Adakah dia bahagia atau celaka?” Maka ditulislah keduanya. Berkata (bertanya) lagi malaikat itu: “Yakni wahai Tuhan dijadikan lelaki atau perempuan?” Diapun menuliskan apa yang diperintahkan dan dituliskan segala amalnya, hidupnya, ajalnya dan rezekinya, kemudian digulungkan shuhuf (lambaran-lambaran) dan tidaklah ditambah atau dikurangi lagi apa yang di dalamnya.” (Hadis riwayat Muslim)

Maksudnya: “Daripada Hudzaifah bin Usaid al-Ghifari Radhiallahu ‘anhu berkata: “Bahawa saya telah mendengar Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Apabila nuthfah berusia 42 malam, Allah Subhanahu wa Ta‘ala mengutus kepadanya satu malaikat bagi membentuk kejadiannya, dan dengan perintah Allah Subhanahu wa Ta‘ala dijadikan telinganya, matanya, kulitnya, dagingnya dan tulangnya. Kemudian dia bertanya kepada Allah: “Dijadikan lelaki atau perempuan?” Maka diapun melakukan apa yang diperintahkan kepadanya. Demikian itulah setiap yang bernafas telah dituliskan tempatnya, dalam syurga atau neraka, dan hidupnya dalam kelapangan atau kesempitan.” (Hadis riwayat Muslim)

Beberapa ayat al-Qur’an juga dijadikan sandaran oleh pengamal perubatan berkenaan bagi menguatkan lagi dakwaannya, bahawa malaikat masuk ke dalam jasad manusia. Firman Allah Ta‘ala:

Tafsirnya: “Sedang para malaikat masuk ke tempat-tempat ahli syurga ‘Adn dari setiap pintu.” (Surah ar-Ra‘d: 23)

Tafsirnya: “Ketika kamu memohonkan pertolongan kepada Tuhan kamu, lalu Dia memperkenankan bagi kamu, (firmanNya): “Sesungguhnya Aku akan menolong kamu dengan seribu malaikat yang datang berturut-turut.” (Surah al-Anfâl: 9)

Tafsirnya: “Dia menurunkan malaikat dengan wahyu atas perintahNya kepada orang yang Dia kehendaki daripada hamba-hambaNya.” (Surah an-Nahl: 2)

Mula-mula tentang ayat-ayat yang dijadikan dalil itu adalah tidak menepati untuk membenarkan dakwaan malaikat masuk ke dalam jasad. Ianya sama sekali tidak berkenaan. Telah pun dirujuk kitab-kitab tafsir termasuk yang dikarang pada masa-masa kebelakangan ini, seperti at-Tafsîr al-Munîr oleh Prof. Dr. Wahbah az-Zuhaili dan al-Asâs fi at-Tafsîr oleh al-Marhum Sa‘id Hawa, namun tidak didapati daripada ulama-ulama tersebut yang menyatakan bahawa malaikat masuk ke dalam jasad ahli syurga ‘Adn. Adapun firman Allah:

hanyalah menceritakan bahawa para malaikat itu diperintahkan oleh Allah supaya masuk ke syurga ‘Adn dari segenap pintunya untuk mengucapkan selamat dan tahniah kepada penghuni-penghuni syurga tersebut di atas kurniaan Allah kepada mereka, iaitu sebagai balasan terhadap perjuangan dan kesabaran mereka menempuh berbagai ujian ketika menegakkan agama Allah. Ianya tidak ada kena-mengena langsung dengan malaikat masuk ke dalam jasad manusia.

Dalam hal ini, terdapat juga beberapa ayat lain yang menyebut perkataan-perkataan seperti:

(i)

(iv)

Firman Allah Ta‘ala:

Tafsirnya: “Setiap Nabi Zakaria ‘Alaihissalam masuk untuk menemui Maryam di Mihrab…” (Surah Âli ‘Imran: 37)

Tafsirnya: “Serulah ke atas mereka melalui pintu gerbang (kota).” (Surah al-Mâ’idah: 23)

Tafsirnya: “Dan datanglah saudara-saudara Yusuf ‘Alaihissalam, lalu mereka masuk menemuinya.” (Surah Yusuf: 58)

Tafsirnya: “Dan tatkala mereka masuk menemui Yusuf ‘Alaihissalam.” (Surah Yusuf: 69)

Tafsirnya:“Ketika mereka masuk (menemui) Daud ‘Alaihissalam, lalu dia terkejut (melihat) mereka.” (Surah Shâd: 22)

Kesemua ayat di atas ini menggunakan perkataan ‘دَخَل عَلَى’, tetapi ianya tidaklah membawa kepada makna “masuk ke dalam jasad.”

Dalam hadis-hadis Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam juga ada menyebut ungkapan-ungkapan:

(i)

(ii)

(iii)

tetapi semua ibarat atau ungkapan ini tidak ada langsung membawa makna bahawa para sahabat Ridhwanullahi ‘alaihim itu telah masuk ke dalam jasad Baginda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, ataupun Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam sendiri yang masuk ke dalam diri mereka.

Demikian juga ayat-ayat ini:

Kedua-duanya tidak ada kena mengena langsung dengan malaikat masuk ke dalam jasad manusia. Tetapi apa yang sebenarnya ialah berkenaan dengan para malaikat itu yang telah diperkenankan oleh Allah untuk menolong umat Islam di dalam peperangan Badar. Itu pun dengan perintahNya jua semata-mata, bukan dengan kehendak atau arahan daripada siapa-siapa, seperti firmanNya:

Tafsirnya: “Dan berkatalah malaikat: “Kami tidak turun dari masa ke semasa melainkan dengan perintah Tuhanmu (wahai Muhammad).” (Surah Maryam: 64)

Ini bererti bahawa, tiada siapa yang berkuasa memerintahkan malaikat melainkan dengan izin Allah jua semata-mata.

Jadi tanggapan menjadikan ayat-ayat di dalam surah-surah ar-Ra‘d: 23, al-Anfâl: 9 dan an-Nahl: 2 di atas sebagai dalil yang malaikat masuk ke dalam jasad manusia, adalah menyimpang dan tidak benar. Di samping makna dan tafsirnya turut menolak juga hadis-hadis yang dipakai oleh pengamal perubatan ini sendiri, iaitu hadis-hadis riwayat al-Imam Muslim di dalam Shahîhnya dalam kitab al-Qadr dan bab berikutnya, serta hadis-hadis Hudzaifah Ibnu ‘Usaid yang telah disebutkan terdahulu, yang menurut pengamalnya membawa maksud malaikat masuk ke dalam rahim ibu yang mengandung, adalah tidak tepat.

Maka untuk ini, elok dibawakan huraian al-Imam an-Nawawi mengenai dengan beberapa riwayat tentang tugas-tugas malaikat terhadap janin. Di antara ungkapan daripada riwayat-riwayat tersebut, mengandungi:

Menurut al-Imam an-Nawawi: “Para ulama berkata: “Cara untuk menghimpun dan menyelaras hadis-hadis atau riwayat-riwayat ini ialah, bahawasanya bagi malaikat itu ada suatu tugas terhadap rahim iaitu mulâzamah (مالزمة) dan murâ‘âh (مراعاة) yakni sentiasa bersama-sama janin dan amat prihatin terhadap perkembangan janin dari masa ke semasa.”

Dari segi bahasa, mulâzamah tidaklah membawa erti berlaku ‘kemasukan’, iaitu malaikat masuk ke dalam perut ibu yang mengandung. Ia hanya sekadar malaikat itu sentiasa bersama janin (di luar perut ibu), seperti seorang doktor berkata kepada seorang pesakit di dalam bahasa Arab katanya: “ عليك بالزمة الفراش ”. Ertinya: “Hendaklah kamu berehat”, dan tidaklah ia membawa makna bahawa pesakit itu masuk ke dalam katil atau tempat tidur. (Inilah yang disebutkan oleh an-Nawawi dengan katanya):

Apabila kita menyemak pula kandungan Shahîh al-Bukhari mengenai hadis َ َىف مَ ا جَ ا ْ خَ لْقَ ابَنَ آدٍمَ ىفْبَ طُنَ أَ مه iaitu “berkenaan dengan kejadian anak Adam semasa dalam perut ibunya”, maka al-Imam al-Bukhari telah mengeluarkan hadis ini pada beberapa tempat dalam Shahîhnya seperti بب ذكر مالئكة–بدأ اللق dan بب خلق آدم, begitulah juga بب كتاب القدر (بب القدر) dan seterusnya dalam kitab at-Tauhid – tentang

daripada riwayat-riwayat yang berbagai-bagai itu, kata mereka:

Ertinya: “Cara untuk menyelaraskan di antara riwayat-riwayat yang berbagai-bagai itu ialah, bahawa bagi malaikat berkenaan, berlangsung suatu keadaan penjagaan dan pengawasan yang sempurna terhadap perkembangan nuthfah.”

Ini tidak bererti bahawa malaikat yang ditugaskan itu masuk ke dalam jasad janin tersebut. Dalam perkara ini kita diminta beriman, bahawa di sana ada malaikat-malaikat yang ditugaskan untuk menjaga laut, hutan belantara, gunung-ganang dan sebagainya. Mereka dikenali sebagai diwakilkan untuk menjaga laut, maka atas sifat tersebut, bukanlah bermakna malaikat itu berada dalam air laut.

Berubat dengan malaikat tidaklah salah jika sekadar kita beriman bahawa Allah Ta‘ala mengirimkan malaikatNya untuk mengilhamkan kepada pesakit dan mendoakan bagi kesembuhannya dengan izin Allah seperti yang ditegaskan oleh Fadhilah asy-Syeikh Sayyid Sabiq dalam bukunya. Walau bagaimanapun untuk menyatakan malaikat masuk ke dalam jasad pesakit dan mengubatinya daripada dalam, maka ini memerlukan nash-nash yang sharîh, terang dan qath‘i.

Lebih pelik lagi, pengamal ini juga mendakwa, bahawa jika seseorang itu hidupnya porak-peranda, ertinya malaikat porak-perandalah yang mendampinginya, dan jika dia penzina, malaikat penzinalah pula yang mendampinginya.

Hendaklah diingat, bahawa persoalan tentang malaikat tidaklah boleh dilakukan dengan sesuka hati atau sesuka lidah memperkatakannya, kerana ia turut menyangkut pokok keimanan. Jika kita tersilap tanggap atau perkataan, maka ia boleh merosakkan aqidah kita. Jadi yang selamat ialah membataskan pembahasan, cuma setakat yang dikhabarkan oleh al-Qur’an dan hadis sahaja.

Dakwaan yang sedemikian adalah tidak wajar dan bahkan bertentangan dengan apa yang telah dijelaskan oleh al-Qur’an. Malaikat adalah hamba yang sentiasa patuh kepada perintah Allah serta bersifat ma‘shûm. Firman Allah:

Tafsirnya: “Mereka takut kepada Tuhan mereka yang mengatasi mereka (dengan kekuasaanNya), serta mereka mengerjakan apa yang diperintahkan.” (Surah an-Nahl: 50)

Tafsirnya: “Mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkanNya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan.” (Surah at-Tahrîm: 6)

Berbalik lagi kepada al-Ma‘unah. Al-Ma‘unah di Negara Brunei Darussalam berbeza dengan apa yang dihadapi di Semenanjung Malaysia. Di Negara Brunei Darussalam ia baru di peringkat perdukunan iaitu mengubati orang-orang yang bermasalah, sedangkan di Malaysia ia melakukan rompakan senjata sepertimana disebutkan oleh akhbar-akhbar.

Apa yang jelas di sini, mencuri atau merompak itu - jika benar - hukumnya adalah haram. Lebih-lebih lagi jika yang dicuri itu senjata untuk menentang kerajaan. Oleh itu orang-orang atau kumpulan yang melakukan semua ini mereka dipanggil ‘bughah’ atau pemberontak. Hukumnya lain lagi selain daripada suka-suka mencuri.

Al-Ma‘unah juga dikatakan sebagai mendakwa:

(1) Dapat menggunakan kuasa-kuasa ghaib pada bila-bila masa diperlukan.

Ulasan:

Menggunakan kuasa ghaib bermakna ada hubungan dengan mengetahui perkara ghaib. Apakah perkara ghaib itu? Bukankah ia urusan Allah semata-mata, yang hanya diketahui melalui perkhabaran daripada al-Qur’an atau Allah atau daripada RasulNya?

Bercakap mengenai perkara-perkara ghaib, ia memerlukan sandaran dan sukat-sukat syara‘. Tanpa sandaran dan sukat-sukat syara‘, ia boleh menjerumuskan seseorang kepada kesesatan atau kepada penyimpangan aqidah. Perkara ghaib adalah perkara yang menjadi urusan Allah semata-mata. Ia di luar kuasa dan pengetahuan manusia, kecualilah jika Allah menghendakinya untuk disampaikan kepada manusia pilihanNya, iaitu nabi-nabi dan rasul-rasul, sebagaimana firman Allah:

Tafsirnya: “Tuhan sahaja yang mengetahui segala yang ghaib, maka Dia tidak memberitahu perkara ghaib yang diketahuiNya itu kepada sesiapapun melainkan kepada mana-mana rasul yang diredhaiNya (untuk mengetahui sebahagian daripada perkara ghaib yang berkaitan dengan tugasnya; apabila Tuhan hendak melakukan demikian) maka Dia mengadakan di hadapan dan di belakang rasul itu malaikat-malaikat yang menjaga dan mengawasnya (sehingga perkara ghaib itu selamat sampai kepada yang berkenaan).” (Surah al-Jinn: 26-27)

Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala lagi dalam surah an-Naml:

Tafsirnya: “Katakanlah lagi: “Tiada sesiapapun di langit dan di bumi yang mengetahui perkara yang ghaib melainkan Allah! Dan tidaklah mereka menyedari bilakah masing-masing akan dibangkitkan hidup semula (sesudah mati).” (Surah an-Naml: 65)

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam sendiri telah menegaskan bahawa Baginda juga tidak mengetahui sebarang perkara ghaib. Jika Baginda mengetahuinya, nescaya Baginda akan dapat mengumpulkan segala kebaikan dan menolak segala kesusahan. Perkara ini ada diceritakan dalam al-Qur’an, sebagaimana firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:

Tafsirnya: “Katakanlah: “Aku tidak berkuasa mendatangkan manfaat bagi diriku dan tidak dapat menolak mudarat kecuali apa yang dikehendaki Allah. Dan kalau aku mengetahui perkara-perkara ghaib, tentulah aku akan mengumpulkan dengan banyaknya benda-benda yang mendatangkan faedah dan (tentulah) aku tidak ditimpa kesusahan. Aku ini tidak lain hanyalah (pesuruh Allah) yang memberi amaran (bagi orang-orang ingkar) dan membawa berita gembira bagi orang-orang yang beriman.” (Surah al-A‘râf: 188)

(2) Menggunakan pergerakan berdasarkan kaedah pernafasan, jurus-jurus yang membangkitkan tenaga dengan secara semula jadi, kononnya akan lebih luar biasa dan orang yang mengamalkannya akan memperolehi kekuatan keramat yang besar.

Menggunakan pergerakan dengan kaedah pernafasan, ianya mirip kepada Yoga. Amalan Yoga adalah ditolak oleh Islam, kerana ia suatu sistem gerak badan dalam agama Hindu untuk menghening-cipta, menenangkan fikiran dan lain-lain. Yoga juga bererti menunjukkan gabungan jiwa individu dengan roh yang tinggi (supreme spirit).

Tentang perkara luar biasa, telahpun disentuh sedikit sebelum ini. Ianya kadang-kadang menjurus kepada istidrâj, iaitu menurut ulama, suatu umpan untuk mengeluarkan seseorang daripada garis lurus kebenaran kepada kebâthilan secara yang tidak disedarinya. Apa-apa yang diingininya akan dipatuhi dan dibukakan segala pintu sehinggalah dia lupa diri, yang akhirnya membawa jauh tersesat dan datang azab sekonyong-konyong.....

Abu Yazid Rahimahullah berkata: “Jika kamu melihat atau mengetahui seseorang diberikan kelebihan seperti terbang di udara, menghidupkan orang mati dan menyingkatkan perjalanan yang jauh, sehinggalah dia boleh duduk bersila di udara, maka janganlah kamu tertipu dengannya, jangan kamu i‘tiqâdkan kewaliannya dan dekatnya kepada Allah, kerana perkara itu boleh jadi istidrâj daripada Allah. Sehinggalah kamu dapat mengenalinya bagaimana dia melaksanakan suruhan dan larangan dan memelihara hukum-hukum Allah dan bagaimana dia mengamalkan syariat.”

Sengaja disebut perkara istidrâj ini kerana pada lazimnya orang-orang - khasnya orang awam yang jahil - akan cepat terpesona dan terpikat dengan perkara-perkara yang luar biasa. Dari sinilah para pengasas atau pemimpin sesuatu ajaran itu akan mengambil kesempatan ke atas kejahilan orang-orang awam tersebut.

Jika benarlah yang disiarkan oleh akhbar tentang pengikut-pengikut al-Ma‘unah yang kebal dan yang tidak cedera oleh sentuhan minyak panas, maka ini tidak syak lagi adalah daripada amalan-amalan sihir. Amalan sihir itu hukumnya haram (sila lihat soalan 7 ada berkaitan).

Dalam pengamalan ‘riadah’, pertubuhan al-Ma‘unah mempunyai gerak-geri yang sampai kepada had sujud. Perbuatan (sujud) ini adalah dilarang dan haram, jika ianya tanpa sebab yang dibenarkan oleh syara‘, sebagaimana perkara ini dijelaskan oleh al- Imam asy-Syeikh Muhammad al-Khathib asy-Syarbini dengan berkata:

Ertinya: “Jika sekiranya seseorang itu bertaqarrub kepada Allah (melakukan sesuatu demi mendapatkan keredhaanNya) dengan melakukan sujud tanpa apa-apa sebab maka itu adalah haram, sekalipun sujud itu dilakukan selepas sembahyang sepertimana juga haram hukumnya bertaqarrub dengan melakukan ruku‘ yang tunggal dan seumpamanya. Perbuatan itu adalah perkara bid‘ah dan setiap yang bid‘ah itu merupakan kesesatan, melainkan apa yang telah dikecualikan. Di antara perkara yang diharamkan juga ialah apa yang dilakukan oleh ramai orang-orang jahil iaitu sujud di hadapan tok guru (masyâyikh) mereka, sekalipun dengan menghadap kiblat ataupun diqasadkan kerana Allah Ta‘ala. Di dalam beberapa perkara ini ada yang boleh membawa kepada kufur. Semoga Allah memelihara kita daripada perkara itu.” (Mughni al-Muhtâj: 1/301)

Berkata pula al-Imam an-Nawawi dalam Raudhah ath-Thâlibîn:

Ertinya: “Jika seseorang itu tunduk kepada Allah lalu bertaqarrub kepadaNya dengan melakukan sujud tanpa sebab, maka menurut pendapat al-ashah: “Bahawa perbuatan itu adalah haram, seperti juga halnya bertaqarrub dengan melakukan ruku‘ yang tunggal dan seumpamanya. Pendapat ini ditashhîhkan oleh Imam al- Haramain, al-Ghazali dan selain mereka berdua dan asy-Syeikh Abu Muhammad juga telah memutuskan pendapat ini.” (Raudah ath-Thâlibîn: 1/326)

Ertinya: “Aku (al-Imam an-Nawawi) berkata: “Sama ada kedudukan khilaf ini di dalam soal mengharamkan sujud yang dilakukan selepas sembahyang atau selainnya, maka tidaklah termasuk dalam perkara khilaf apa yang dilakukan oleh ramai orang jahil yang sesat iaitu sujud di hadapan masyâyikh, maka perbuatan itu adalah haram secara qath‘i pada setiap keadaan sama ada dengan menghadap qiblat atau selainnya, sama ada diqashadkannya sujud itu kerana Allah Ta‘ala atau kerana lalai dan pada sesetengah bentuknya boleh membawa kepada kufur. Semoga Allah Ta‘ala memelihara kita. Dan hanya Allah yang Maha Mengetahui.” (Raudah ath-Thâlibîn: 1/326)

Al-Ma‘unah Hendaklah Ditegah Bergerak Di Negara Ini

Walaupun pengikut al-Ma‘unah di negara ini diandaikan tidak mengamalkan amalan-amalan yang menyalahi aqidah ataupun mereka itu sudah bertaubat daripada kesalahan-kesalahan mereka, namun nama al-Ma‘unah di Semenanjung Malaysia telah dikaitkan dengan perkara-perkara yang bertentangan dengan agama antaranya seperti berikut:

(i) Mencuri senjata. (ii) Mendakwa kebal. (iii) Mendakwa dapat menggunakan kuasa-kuasa ghaib pada bila-bila masa diperlukan. (iii) Mengamalkan riadah secara Yoga. (iv) Pengamalan riadah sehingga kepada had sujud.

Demi untuk mengelakkan fitnah dan kekeliruan bagi orang awam, maka kewujudan al-Ma‘unah di negara ini hendaklah dicegah serta ahli-ahli atau pengikut-pengikutnya ditegah daripada membuat aktiviti-aktiviti sepanjang yang berkaitan dengan al-Ma‘unah itu, seperti perubatan dan persilatan. Ini sesuai dengan kaedah sadd adz-dzarâ’i‘ (menutup pintu kerosakan).

Menurut pimpinan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam setiap orang Islam itu hendaklah beristiqâmah dengan Islam, kerana jalan petunjuk dan pintu kebaikan itu ialah al-Qur’an sebagai sumber hukum, dan juga sunnah Baginda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam dan amalan para as-salaf ash-shâlih.

Barangsiapa yang keluar daripada dasar-dasar atau asas-asas yang diperintahkan oleh al-Qur’an dan sunnah ini, maka akan terdedahlah dia kepada kesesatan dan kebinasaan. Umat-umat terdahulu yang terperangkap dalam kesesatan serta menerima laknat dan azab Allah ialah kerana mereka itu membuat bid‘ah dan meninggalkan sunnah.

Dalam hal ini Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam telah memberi peringatan supaya kita berpegang dengan Kitâbullâh (al-Qur’an) dan sunnah NabiNya, serta juga memberi amaran jangan melakukan bid‘ah. Baginda bersabda:

Maksudnya: “Daripada Ummul Mukminin (ibu sekalian orang mukmin) iaitu Ummu Abdillah ‘Aisyah Radhiallahu ‘anha katanya: “Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Sesiapa mengada-adakan dalam urusan agama kami ini suatu pekerjaan yang bukan bersumber daripadanya (agama), maka yang diada-adakan itu tertolak.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Dalam hadis riwayat Imam Muslim pula menyebutkan:

Maksudnya: “Sesiapa mengerjakan sesuatu pekerjaan yang bukan atas urusan kami, maka ia tertolak.” (Hadis riwayat Muslim) Hadis ini memberi erti bahawa sesiapa juga yang mengada-adakan atau mengerjakan suatu pekerjaan yang tidak ada dalam agama, maka ianya akan ditolak. Dalam makna lain, apa juga pekerjaan, sama ada ia perkara i‘tiqâd, ibadah, atau muamalat akan ditolak yakni tidak diterima andainya ia dikerjakan dengan cara yang tidak dibenarkan oleh agama atau bertentangan dengan hukum dan ajaran agama itu.

Jadi, mengamalkan suatu amalan yang bertujuan untuk menjadikan seseorang itu kebal, membuat riadah-riadah yang menyalahi ajaran dan aqidah Islam, mendakwa mengetahui perkara-perkara ghaib dan menggunakan kuasa ghaib, mengamalkan perubatan secara sihir, dengan menggunakan malaikat, semuanya itu - berdasarkan hadis di atas dan lain-lain nash - adalah ditolak. Barangsiapa yang mengamalkannya berdosa besar dan sesat, dan wajib bertaubat kiranya dia orang Islam.

Maka berdasarkan ini, jika pihak berkuasa ada mendapati unsur-unsur atau ciri-ciri kesesatan seperti yang disebutkan di atas terdapat pada al-Ma‘unah, maka wajiblah bagi pihak berkuasa yakni Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam melarangnya daripada ianya (al-Ma‘unah) itu wujud dan bergerak di dalam negara ini, serta meminta kepada pengikut-pengikutnya supaya meninggalkan pertubuhan tersebut.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-8521