Haruskah Sembahyang Sunat Tasbih Dilakukan Secara Berjemaah?
Soalan: Pada masa ini kebanyakan masjid mendirikan sembahyang sunat tasbih dengan berjemaah bagi mengisi acara pada malam-malam 10 terakhir bulan Ramadan. Sejauh yang kaola tahu bahawa tidak ada nash Al-Qur’an dan hadis yang kaola pernah baca dalam kitab-kitab/buku fiqh yang membolehkan sembahyang sunat tasbih didirikan dengan berjemaah. Sembahyang sunat tasbih ini dikategorikan dalam sembahyang yang dilakukan secara bersendirian sahaja. Persoalannya, apakah perkara ini tidak menyalahi sunnah Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam jika ia dilakukan dengan berjemaah dan mungkinkah hal ini termasuk perkara bid‘ah, apakah tindakan pihak Jabatan Pehin mengenai hal ini untuk pihak kaola dapat sampaikan kepada pengetahuan pihak Jabatan Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama. Kalau pula ia diharuskan dan tidak bertentangan dengan sunnah, dapatkah dengan ihsan pihak Pehin memberikan dalil yang menyatakan keharusan berjemaah itu?
Jawapan: Selain daripada sembahyang fardhu, ada juga sembahyang sunat yang disebut dalam kitab fiqh sebagai Shalah at-tathawwu‘ dan an-nawâfil.
Sembahyang-sembahyang an-nawâfil itu menurut pengertiannya dari segi bahasa ialah tambahan kerana ia merupakan tambahan ke atas sembahyang-sembahyang yang telah difardhukan oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala. Ia terbahagi kepada dua bahagian:
1. Disunatkan melakukannya secara berjemaah iaitu seperti sembahyang Hari Raya, sembahyang Gerhana Bulan dan Matahari, sembahyang Meminta Hujan, sembahyang Tarawih dan sembahyang Witir pada bulan Ramadan.
2. Tidak disunatkan melakukannya secara berjemaah iaitu seperti ar-rawâtib yang mengiringi sembahyang-sembahyang fardhu dan yang tidak mengiringi sembahyang fardhu iaitu seperti sembahyang Witir bukan di bulan Ramadan dan sembahyang Dhuha, begitu juga dengan ghair ar-rawâtib seperti sembahyang Tahajjud, Tasbih dan seumpamanya.
Ketika mengulas tentang sembahyang sunat yang tidak disunatkan berjemaah, asy- Syeikh Muhammad al-Khathib asy-Syarbini dalam kitab beliau Mughni al-Muhtâj menjelaskan bahawa adapun sebab ianya tidak disunatkan berjemaah kerana muwâzhabah (kebiasaan) Baginda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam melakukannya secara bersendirian. Adapun sunatnya itu hendaklah tidak dilakukan secara berjemaah walaupun ianya harus dilaksanakan secara berjemaah tanpa dihukumkan makruh kerana Ibnu ‘Abbas Radhiallahu ‘anhuma pernah mengikut Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersembahyang sunat Tahajjud di rumah emak saudaranya, Maimunah. (1/219-220)
Imam Jalaluddin al-Mahalli dalam Syarh al-Minhâj berkata ketika menjelaskan bahagian sembahyang sunat yang tidak disunatkan berjemaah:
Ertinya: “Bahagian yang tidak disunatkan berjemaah itu, jika dilaksanakan secara berjemaah tidaklah makruh. Demikian menurut Imam an-Nawawi di dalam kitab ar- Raudhah.” (Hâsyiatân Qalyubi wa ‘Umairah 1/240)
Asy-Syeikh Qalyubi di dalam Hâsyiatân ketika mengulas perkataan Imam Jalaluddin al-Mahalli “ ل يكره ” di atas, katanya:
Ertinya: “Bahkan ia (bersembahyang sunat yang tidak disunatkan berjemaah jika dilakukan secara berjemaah) menyalahi yang utama َلخالفاألو dan maksudnya tidak disunatkan dilakukan berjemaah secara berterusan.
Dengan penjelasan di atas, maka dapatlah dirumuskan bahawa sembahyang sunat Tasbih walaupun tidak disunatkan berjemaah, namun apabila ia dilakukan secara berjemaah tidaklah ia makruh, dan jauh sekali dianggap sebagai bid‘ah, hanyalah ia khilâf al-awla yakni menyalahi yang utama sahaja.
Orang ramai boleh memilih melakukannya secara berjemaah ataupun bersendirian. Melakukannya secara berjemaah itu tetaplah mendapat pahala kerana berjemaah, sebagaimana telah dinaqal oleh asy-Syeikh Abdul Hamid asy-Syarwani daripada Ali asy-Syibramalissi katanya:
Ertinya: “Dan diberi ganjaran pahala berjemaah secara mutlak, akan tetapi adalah awla (lebih utama) meninggalkannya yakni berjemaah itu.” (Hawâsyi asy-Syarwani wa Ibn Qasim al-‘Abbadi 2/220).
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-8532
