Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳الصيام

Kedudukan Puasa Bagi Pesakit Buah Pinggang Yang Menjalani Rawatan Dialisis Haemo Dan Dialisis Peritoneal

Soalan: Dengan hormatnya sukacita kaola ingin mendapatkan pandangan Pehin mengenai kedudukan puasa di bulan Ramadhan bagi seorang pesakit yang sedang menjalani rawatan buah pinggang.

Untuk makluman Pehin, dari sudut perubatan, para doktor akan menasihatkan pesakit sama ada dia boleh berpuasa atau sebaliknya semasa menjalani rawatan, mengikut keadaan kesihatan pesakit tersebut. Apa yang dipersoalkan oleh pesakit-pesakit ini ialah adakah puasa mereka ini batal atau tidak.

Sekali lagi mewakili pejabat abis kaola memohonkan fatwa Pehin kedudukan perkara ini.

Jawapan: Salah satu perkara yang membatalkan puasa ialah dengan memasukkan sesuatu benda ke dalam rongga dengan sengaja melalui lubang yang terbuka.

Yang dimaksudkan dengan benda di sini ialah apa-apa jua benda walaupun sedikit, sama ada ianya boleh dimakan seperti sebiji lenga atau tidak boleh dimakan umpamanya sebutir pasir. Maksud benda itu juga tidak termasuk rasa, warna atau bau. Sekiranya rasa, warna atau bau itu masuk ke dalam rongga seseorang yang berpuasa maka tidaklah membatalkan puasanya.

Adapun maksud ‘lubang yang terbuka’ pula ialah tempat masuk atau keluar sesuatu, sama ada lubang itu terjadi sejak seseorang dilahirkan seperti mulut, hidung, telinga dan dubur ataupun ianya baru wujud seperti luka.

Manakala ‘sengaja’ pula ialah memasukkan sesuatu benda sama ada dilakukannya sendiri atau orang lain dengan keizinannya.

Manakala rongga ialah sama ada ia mempunyai fungsi untuk memproses makanan/ubat ataupun tidak, seperti rongga otak, kerongkong atau rongga mulut, rongga hidung, rongga telinga, perut, dubur, faraj, pundi-pundi kencing, lubang tempat keluar air kencing lelaki dan lubang tempat keluar air susu (al-ihlîl).

Berpandukan penjelasan di atas ini nyatalah, bahawa kedua-dua cara dialisis iaitu Dialisis Haemo dan Dialisis Peritoneal itu adalah memasukkan sesuatu ke dalam rongga. Maka perbuatan sedemikian itu membatalkan puasa si pesakit jika dia berpuasa ketika menjalani rawatan berkenaan.

Proses pencucian darah yang dijalankan itu menyebabkan darah yang dimasukkan setelah ianya dicuci dengan menggunakan mesin (alat khas) akan sampai ke rongga perut dan seterusnya ke jantungnya dan kemudian akan diproses untuk sampai ke seluruh badan.

Di samping itu dalam perawatan Dialisis Peritoneal iaitu memasukkan tiub yang dinamakan catheter ke dalam ruang perut juga termasuk dalam perkara yang membatalkan puasa sebagaimana keterangan di atas.

Walau bagaimanapun, jenis atau cara rawatan yang dijalankan itu adalah merupakan suatu keuzuran (uzur syar‘i) yang membolehkan si pesakit tidak berpuasa atau berbuka puasa kerana menjalani rawatan tersebut.

Sementara pesakit yang menjalani rawatan Dialisis Haemo yang dijalankan selama 3 hari dalam seminggu dengan mengambil masa 4 ke 6 jam, jika rawatan ini dilakukan pada siang hari puasa maka sudah tentu puasa tidak boleh dilaksanakan. Sebaliknya jika rawatan dilakukan pada malam hari, maka puasa boleh dilakukan. Tetapi walau bagaimanapun tertakluk pada kadar kemampuannya untuk berpuasa. Dia hendaklah terlebih dahulu merujuk kepada doktor yang merawatnya sama ada dia boleh berpuasa atau tidak. Dia perlu mengikut nasihat doktor kerana doktor lebih mengetahui keadaannya dan keadaan penyakitnya.

Demikianlah juga halnya jika dia berada di luar rawatan, maka soal kemampuan boleh menjadi syarat sama ada dia wajib berpuasa ataupun tidak. Yakni kewajipan berpuasa akan gugur sekiranya tidak mencukupi syarat istithâ‘ah ini. Dia dihukumkan tidak berdosa kerana meninggalkannya, tetapi masih dituntut mengqadha puasa itu apabila telah berupaya menunaikannya.

Berbeza halnya bagi pesakit yang menjalani rawatan Dialisis Peritoneal. Menurut keterangan yang diberikan, bahawa si pesakit akan menjalani rawatan dialisis ini secara berterusan. Ini bermakna dia tidak boleh melakukan puasa kerana rawatan yang berterusan itu membatalkan puasanya sekalipun dia sihat atau berupaya untuk berpuasa.

Kemudian di satu segi yang lain, berdasarkan kebiasaan, kesihatan dan keupayaan mereka yang menjalani rawatan ini akan sentiasa berkurangan kerana keadaan buah pinggang yang sudah tidak berfungsi lagi. Jika ini benar-benar berlaku, maka kedudukan si pesakit tersebut termasuk dalam kategori orang sakit yang tiada harapan sembuh, atau orang yang sudah terlalu tua yang tidak berupaya lagi untuk berpuasa. Mereka ini tidak wajib berpuasa, firman Allah Ta‘ala:

Tafsirnya: “Dan Dia (Allah Subhanahu wa Ta‘ala) sekali-kali tidak menjadikan untuk kamu dalam agama suatu kesempitan (kepayahan).” (Surah al-Hajj: 78)

FirmanNya lagi:

Tafsirnya: “Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya.” (Surah al-Baqarah: 286)

Mereka ini hanya diwajibkan mengeluarkan fidyah sebagai ganti hari-hari puasa yang ditinggalkan itu.

Berkata Imam an-Nawawi:

Maksudnya: “Berkata Imam asy-Syafi‘e dan sahabat-sahabatnya: “Orang tua yang puasa yang membebaninya jika dia berpuasa, yakni akan menyebabkan kesusahan yang amat sangat, dan orang sakit yang tiada harapan untuk sembuh, tidaklah diwajibkan ke atas keduanya berpuasa tanpa ada khilâf.” (Al-Majmû‘: 6/261)

Mereka hanya wajib mengeluarkan fidyah tanpa mengqadha hari-hari puasa yang ditinggalkan itu sebagaimana yang dijelaskan oleh asy-Syarbini al-Khathib ketika mensyarahkan perkataan Imam an-Nawawi “واألظهر وجوب املد” katanya:

Maksudnya: “Dan menurut qaul al-azhhar wajib mengeluarkan satu mudd (jenis makanan sebagai fidyah seperti beras) bagi setiap hari (puasa yang ditinggalkan itu) tanpa mengqadha.” (Mughni al-Muhtâj: 1/592)

Jenis makanan untuk fidyah ini ialah yang sah dijadikan zakat fitrah iaitu beras bagi negara kita. Sukatan mudd itu pula ialah bersamaan dengan 15 tahil (566.85 gram).

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-8539