Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳المعاملات المالية

Kewajipan Membayar Hutang Dan Kedudukan Seorang Penjamin

Soalan: Seorang pengarah di sebuah jabatan menjamin pinjaman pelajar dari MARA, iaitu anak kawannya seorang yang kaya dan berpengaruh. Dia meminta seorang keraninya menjadi penjamin kedua. Selepas 15 tahun, orang kaya yang berpengaruh pun meninggal dunia sedangkan anaknya masih tidak menjelaskan wang pinjaman tersebut walaupun sudah mendapat pekerjaan yang baik. Pengarah yang menjaminnya dahulu telahpun bertukar ke tempat lain. Pihak mahkamah telah menghantar surat kepada kerani tersebut supaya hadir dalam perbicaraan yang dituntut oleh MARA, agar kerani tersebut menjelaskan tuntutan sebanyak RM42,000.

Apakah yang perlu dibuat oleh kerani ini? Bolehkah dia menggunakan kekerasan terhadap anak si kaya itu untuk membuat perjanjian bertulis yang dia sanggup melunaskan hutangnya. Dengan surat ini, kerani tersebut boleh mengemukakannya kepada pihak mahkamah.

(Pihak MARA membuat tuntutan ini setelah beberapa kali menghantar surat pekeliling dan amaran kepada anak si kaya ini, tapi dia tidak menghiraukan surat-surat tersebut).

Jawapan: Dalam kes yang berbangkit ini kerani tersebut hanya sebagai penjamin yang kedua kepada anak orang kaya tersebut. Sepatutnya bukan dia yang dibebani untuk membayar hutang orang yang dijaminnya itu, apatah lagi orang yang dijamin itu adalah orang kaya.

Pada kebiasaannya mana-mana persyaratan yang dibuat dalam urusan jamin-menjamin ini, pihak penjamin hanya akan dipertanggungjawabkan jika yang dijamin benar-benar tidak mampu untuk melunaskan hutangnya dengan apa-apa cara sekalipun.

Apabila melihat kedudukan anak orang kaya yang dijaminnya itu, ternyata dia (anak orang kaya ini) mampu membayar hutang tersebut lebih-lebih lagi dia sudah pun mempunyai pekerjaan yang baik. Di samping itu juga, sebagai anak orang kaya, dia tentu mempunyai bahagian yang besar daripada harta peninggalan bapanya yang kaya itu.

Menyentuh tentang hutang ini, ianya bukanlah sesuatu yang boleh diremehkan atau dipandang ringan. Apabila seseorang berhutang dia mestilah berazam untuk membayarnya.

Dalam Islam, berhutang bukanlah suatu perkara yang digalakkan. Setiap orang perlu mengelakkan diri daripada berhutang kecuali ada perkara yang benar-benar mendesaknya berhutang. Hutang diibaratkan sebagai kesusahan di malam hari dan penghinaan di siang hari.

Apabila sudah berhutang si pemiutang menanggung kewajipan untuk membayarnya dengan sesegeranya mengikut tempoh atau syarat yang telah dipersetujui tanpa berlengah-lengah lagi.

Melengah-lengahkan hutang adalah suatu kezaliman sebagaimana sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:

Maksudnya: “Orang kaya yang sengaja melengah-lengahkan pembayaran hutang adalah suatu kezaliman.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Sekalipun seseorang itu berjaya melarikan dirinya daripada melunaskan hutang dengan berbagai alasan dan usaha sehingga dia seolah-olah terlepas daripada tuntutan hutang itu, namun dia sebenarnya tidaklah lepas daripada perkiraan dengan Allah Ta‘ala di akhirat kelak. Sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam dalam hadis Baginda:

Maksudnya: “Sesiapa mati, sedangkan dia masih lagi menanggung hutang satu dinar atau satu dirham, maka akan diambil (ganti) daripada kebaikannya, kerana di sana tidak ada lagi dinar dan tidak juga dirham.” (Hadis riwayat Ibnu Majah)

Sekiranya semasa hidupnya belum lagi membayarnya, maka apabila dia meninggal dunia hutang tersebut masih lagi wajib dibayar melalui harta pusaka yang ditinggalkannya sebelum ianya dibahagikan sebagai wasiat jika ada dan sebagai hak ahli waris.

Di dalam sebuah hadis Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: “Roh seseorang mukmin itu tergantung-gantung (yakni dihalang daripada tempat yang mulia) dengan sebab hutangnya sehinggalah hutangnya itu dilunaskan bagi pihaknya.” (Hadis riwayat Ahmad, at-Tirmidzi dan Ibnu Hibban)

Berbalik kepada permasalahan yang dihadapi oleh kerani berkenaan, dalam menghadapi serta menangani permasalahan ini dia perlulah berfikir dengan lebih teliti dan bertindak secara rasional serta bijaksana, bukan mengikut hati serta nafsu supaya tidak memburukkan lagi keadaan. Kerani tersebut tidak sepatutnya melakukan kekerasan ke atas si pemiutang tersebut bahkan buatlah perundingan dan ambil kesempatan untuk memberinya nasihat serta teguran. Berilah kesedaran ke atas dirinya dengan mengingatkannya tentang kewajipan membayar hutang serta balasan yang akan diterima oleh orang yang lalai dalam tanggungjawab melunaskan hutang yang ditanggungnya.

Di samping itu tunjukkanlah kepadanya jalan keluar atau cara untuk dia dapat melunaskan hutangnya itu tanpa menggugat kedudukan ekonominya seperti mencadangkan untuk membayar hutang itu secara beransur-ansur melalui potongan gaji dan sebagainya.

Sekiranya jalan ini tidak juga berhasil, maka pada hemat saya eloklah ianya dijadikan urusan mahkamah dengan mendapatkan mula-mula sekali pandangan atau nasihat pihak-pihak berkaitan seperti peguam dan lain-lain.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-8543