Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳الصلاة

Melagukan Zikir

Soalan: Bagaimana pandangan Islam tentang zikir dan tasbîh yang dibuat dalam bentuk nyanyian dan dalam suasana percampuran antara lelaki dan perempuan?

Jawapan: Pengertian Zikir Dari segi bahasa, zikir bererti setiap apa yang diingat, dan mengikut syara‘ ialah ucapan yang menjurus kepada pujian atau doa, atau setiap ucapan yang membawa kepada ganjaran pahala bagi pelakunya (Mughni al-Muhtâj: 1/56 dan I‘ânah ath-Thâlibîn: 1/184). Zikir juga adalah pujian kepada Allah Ta‘ala dengan menyebut namaNya untuk tujuan ibadat (Mu‘jam Lughât al-Fuqahâ’: 214).

Berzikir Itu Ibadat Berzikir kepada Allah Ta‘ala sama ada menerusi lidah (ucapan) atau hati, adalah penghibur dan penenteram hati orang beriman, penawar dan pengubat jiwa yang duka dan susah, bahkan merupakan salah satu asas utama amal kebajikan. Perintah berzikir disebut oleh Allah dengan firmanNya:

Tafsirnya: “Wahai orang-orang yang beriman, berzikirlah dengan menyebut nama Allah, zikir yang sebanyak-banyaknya.” (Surah al-Ahzâb: 41) FirmanNya lagi:

Tafsirnya: “Iaitu orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah, ketika berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring.” (Surah Âli ‘Imran: 191)

Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam pula bersabda:

Maksudnya: “Sesiapa yang duduk pada suatu tempat duduk dia tidak berzikir kepada Allah Ta‘ala di situ, adalah baginya dalam pandangan Allah Ta‘ala satu kerugian, dan sesiapa yang berdiri pada suatu tempat berdiri dia tidak berzikir kepada Allah Ta‘ala di situ, adalah baginya dalam pandangan Allah Ta‘ala satu kerugian, serta sesiapa yang berbaring pada sesuatu tempat berbaring, dia tidak berzikir kepada Allah Ta‘ala di situ, melainkan Allah Ta‘ala melihatnya satu kerugian di akhirat.” (Hadis riwayat Abu Daud)

Berdasarkan ayat dan hadis yang disebutkan di atas jelaslah bahawa berzikir itu adalah ibadah. Ulama telah membahagikan zikir kepada dua jenis iaitu zikir muthlaq (umum) dan zikir muqayyad (terikat dengan keadaan, masa atau tempat).

Ada pula ulama berkata bahawa zikir yang dituntut itu ialah zikir hati, ertinya di antara zikir muthlaq yang lebih diutamakan ialah zikir melalui hati walaupun lidah tidak turut berzikir.

‘Aisyah Radhiallahu ‘anha pernah berkata:

Maksudnya: “Aku mengingati Allah (berzikir) dengan hatiku, lebih aku sukai berbanding aku membunyikannya dengan lidahku.”

Tafsiran menurut ulama mengapa ‘Aisyah Radhiallahu ‘anha lebih menyukai berzikir dengan hati, kerana zikir seperti ini tidak didengar oleh manusia dan malaikat pula tidak menuliskannya (ad-Du‘â’ al-Ma‘tsûr: 287) dan zikir seperti ini diandaikan ialah zikir yang berbentuk umum, bukan muqayyad. Berkata Imam Nawawi Rahimahullah:

“Zikir itu boleh dilakukan dengan hati dan boleh juga dengan ucapan lisan. Zikir yang lebih utama adalah yang dilakukan dengan ucapan lisan dan hati. Jika hendak dilaksanakan dengan salah satu saja maka zikir dalam hati adalah lebih afdhal.” (Al-Adzkâr: 39)

Kemudian di antara zikir itu ada pula yang mesti dilakukan dengan sebutan lidah, yakni tidak cukup dengan hati saja, sama ada ianya dalam bentuk wajib, seperti bacaan-bacaan yang wajib dalam sembahyang, atau yang dinazarkan, ataupun ia dalam bentuk sunat, seperti membaca wirid-wirid yang dianjurkan selepas sembahyang, ketika menaiki kenderaan, semasa mendengar guruh dan sebagainya.

Zikir ini boleh saja dilakukan dengan sirr (secara senyap tanpa didengar) atau jahr (nyaring, dapat didengar). Namun para ulama masih berselisih pendapat mengenainya. Ada yang berpendapat ia boleh dilakukan dengan jahr dan ada pula yang berpendapat ia hendaklah dilakukan dengan cara sirr. Di samping itu ada pula yang berpendapat, bahawa terdapat zikir yang haram atau makruh atau bid‘ah dinyaringkan (Shabâhah adz-Dzikr: 22). Adapun para sahabat mengikut satu riwayat yang disebutkan oleh al-Qurthubi, tidaklah menyukai (makruh) menyaringkan suara ketika berzikir (Tafsîr al-Qurthubi: 1/10).

Untuk menyelaraskan pendapat-pendapat itu, maka Imam as-Suyuthi berkata: “...... Sesungguhnya (mengadakan majlis zikir dan menyaringkannya di masjid-masjid, serta mengangkat suara ketika bertahlîl) tidaklah makruh, kerana telah wârid hadis-hadis yang menghukumkannya sunat dinyaringkan dan juga hadis-hadis yang menghukumkannya sunat disenyapkan. Perbezaan kedua-dua cara ini dapat diselaraskan dengan merujuk kepada perbezaan keadaan di mana zikir itu berlaku dan siapa pelakunya.” (Al-Hâwi li al-Fatâwâ: 2/23-24).

Tahap jahr ialah sekadar ianya boleh didengar sendiri dan oleh orang yang di samping kita, sementara sirr pula ialah sekadar kita sendiri yang mendengarnya tanpa didengar oleh orang lain. (Mu‘jam Lughât al-Fuqahâ’: 168 dan 243).

Walau bagaimanapun, ulama tetap sepakat berpendapat, bahawa di antara zikir lisan itu memang ada yang sunat dijahrkan kerana ada nash yang menyebutkan begitu, seperti azan, talbiah, membaca al-Qur’an, takbîr imam ketika sembahyang berjemaah, takbîr hari raya, khutbah, ucapan salam dan lain-lain (Shabâhah adz- Dzikr: 72-94)

Irama Zikir Berdasarkan huraian di atas, jika zikir itu dikaitkan dengan lagu atau nyanyian, maka ertinya ia adalah dinyaringkan. Ini, menurut pendapat setengah ulama adalah harus dilakukan, berdasarkan terdapat nash yang menghukumkannya sunat dinyaringkan.

Apa pengertian lagu atau nyanyian itu?

Di antara makna lagu dalam bahasa Melayu ialah suara berirama, corak (jenis) irama, langgam dan nyanyi (Kamus Dewan: 638 dan Ensiklopedia Malaysiana: 15/2).

Pada biasanya suara seseorang dengan seorang yang lain tidaklah sama, sama ada ketika bercakap, berzikir atau berdoa. Tetapi semua orang suka mendengar suara yang berirama merdu iaitu sebagai fitrah dan tabiat semula jadi manusia. Ianya merupakan limpah kurnia Allah Ta‘ala kepada manusia.

Jika pengertian melagukan atau menyanyikan zikir itu ialah membacanya dengan suara berirama atau merdu, seperti seorang imam membaca ayat-ayat dalam sembahyang atau berdoa, maka cara itu tidaklah mengapa, yakni harus jua, selama mana tidak melimpasi batas-batas yang wajar.

Di antara analisis keharusan ini adalah seperti berikut: Di dalam bahasa Arab lagu disebut tarannum atau al-han dan al-ghina. Jika ini hendak dikaitkan dengan membaca al-Qur’an, maka ia adalah perkara harus dan bahkan sunat, sebagaimana banyak hadis yang menggalakkan demikian, di antaranya:

Maksudnya: “Hiasilah al-Qur’an dengan suara kamu, kerana suara yang merdu akan menambahkan lagi keindahan al-Qur’an.” (Hadis riwayat Ad-Darami)

Maksudnya: “Sesiapa yang tidak berlagu ketika membaca al-Qur’an, dia bukan daripada golongan kami.” (Hadis riwayat Muslim)

Ibnu Atsir berkata bahawa ada yang berpendapat maksud berlagu di dalam hadis ini ialah menyaringkan.

Di dalam hadis lain disebutkan:

Maksudnya: “Allah Ta‘ala tidak mengizinkan terhadap sesuatu sebagaimana yang diizinkan kepada Nabi supaya melagukan bacaan al-Qur’an, yakni menjahrkannya.”

Imam Syafi‘e Radhiallahu ‘anhu berkata: “Makna hadis ini ialah membaguskan bacaan al-Qur’an.” Makna ini disokong oleh hadis:

Maksudnya: “Hiasilah al-Qur‘an dengan suara kamu.” (Ditakhrîjkan oleh Abu Daud dan an-Nasa’i)

Ibnu Atsir berkata: “Setiap orang yang meninggikan suara dan menyaringkannya, maka suaranya itu mengikut pandangan orang-orang Arab adalah al-ghina (lagu) (An-Nihâyah: 3/391).

Di dalam hadis lain berbunyi:

Maksudnya: “Suara yang merdu adalah perhiasan al-Qur’an.” (Hadis riwayat ath-Thabarani)

Dengan itu, maka mengikut ulama qirâ‘ah, maksud melagukan al-Qur’an ialah membaguskan suara “tahsîn ash-shaut” serta membacanya dengan bertajwid atau yang merangkumi makna tartîl.

Batasan Melagukan Zikir

Dengan sabitnya keharusan melagukan al-Qur’an mengikut pengertian “tahsîn ash-shaut” yakni “bertajwid” atau “bertartîl”, maka zikir juga boleh dilakukan begitu. Namun begitu melagukan al-Qur’an dan zikir hanyalah untuk matlamat kekhusyukan hati kepada Allah Ta‘ala semata-mata.

Firman Allah Ta‘ala:

Tafsirnya: “Ingatlah bahawa dengan mengingat (berzikir) kepada Allah Ta‘ala itu, tenang tenteramlah hati.” (Surah ar-Ra‘d: 28)

Di dalam hadis disebutkan:

Maksudnya: “Diriwayatkan bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Manusia yang paling baik suaranya ialah orang yang apabila dia membaca (zikir) engkau melihat dia bertambah takut kepada Allah Ta‘ala.” (Hadis riwayat al-Qurthubi)

al-Qurthubi berkata: “Adalah harus meninggikan suara apabila suara indah itu lebih memberi kesan kepada hati.” (Tafsîr al-Qurthubi: 1/11).

Bagi mencapai maksud itu, zikir hendaklah tidak bercampur dengan cara-cara yang diharamkan, seperti tidak bercampur dengan alat-alat muzik dan tidak bercampur aduk antara lelaki dengan perempuan.

Bertolak dari sini, maka sekadar meninggikan suara atau menyaringkan bunyi zikir dengan irama atau langgam suara yang indah dan merdu adalah harus, selama ia menambahkan takut dan khusyuk kepada Allah Ta‘ala. Tetapi sekiranya berlagu itu dengan cara menjerit-jerit, melenggang-lenggokkan tubuh badan, menari-nari, bercampur aduk antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram, memakai alat-alat muzik yang diharamkan, maka ini semua tidaklah harus, bahkan boleh membawa dosa, kerana matlamat zikir bukanlah itu.

Berkata Pengarang kitab Shabâhah adz-Dzikr:

“Adapun zikir yang dilakukan oleh sesetengah orang dengan gaya dan cara gerakan yang dibuat-buat, nyanyian yang menjerit-jerit, berpura-pura dan dengan keriangan sambil melompat-lompat ke segala penjuru, berpusing-pusing secara mendadak, maka zikir yang sedemikian itu adalah zikir yang ditegah, kerana naluri yang baik tidak akan menerimanya, begitu juga hati yang khusyuk tidak akan melakukannya, kerana jika hati khusyuk, anggota badan akan turut khusyuk pula.” (h.9)

Kesimpulan:

Akhirnya kita berpendapat bahawa melagukan atau menyanyikan zikir dengan irama suara yang merdu atau langgam suara yang semulajadi, adalah itu harus, jika ianya dilakukan dengan penuh adab dan boleh membawa kepada tercapainya matlamat berzikir. Tetapi jika ianya dilakukan dengan cara menjerit-jerit atau dengan alat-alat muzik yang dilarang atau dengan bercampur aduk antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram, lebih-lebih lagi apabila melihat realiti yang ada sekarang tentang cara orang bernyanyi dan berlagu tidak sunyi daripada yang ditegah oleh syara‘, maka yang demikian itu adalah tidak harus, bahkan boleh membawa dosa.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-8547