Membaca Al-Qur’an Di Dalam Waktu Bekerja
Soalan: Dengan penuh hormat, kaola ingin penjelasan daripada Yang Dimuliakan Lagi Dihormati Pehin, mengenai dengan membaca al-Qur’an khususnya dari pandangan Islam dan dari sudut etika kerja atau fatwa mengenainya.
Sebagaimana yang sama-sama kita ketahui bahawa Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah bertitah menyarankan agar pegawai dan kakitangan kerajaan membiasakan membaca ayat-ayat suci al-Qur’an sebelum memulakan pekerjaan.
Al-hamdulillah, saranan Kebawah Duli Yang Maha Mulia tersebut telah mendapat sambutan yang baik daripada sebahagian pegawai dan kakitangan di Kementerian abis kaola. Pada kebiasaanya abis kaola akan memulakan bacaan seawalnya pada jam 7.15 pagi hingga 8.30 pagi. Abis kaola membaca secara bertadarus dan sudah 21 kali khatam.
Memang tidak dapat dinafikan tentang kebaikan dan keberkatan membaca al-Qur’an. Tetapi apa yang menjadi kemusykilan kaola ialah mengenai dengan masa yang abis kaola ambil untuk membaca al-Qur’an tersebut iaitu selama 45 minit dari waktu bekerja yang telah ditetapkan iaitu pada jam 7.45 pagi.
Jawapan: Tugas di pejabat itu adalah amanah. Sebagai amanah, maka pengurusan masa di pejabat hendaklah dilaksanakan dengan sebaik-baiknya.
Amanah itu ialah sesuatu yang wajib dipelihara dan dijaga dengan sebab akad atau sebab bukan akad, sama ada akad itu ialah akad penjagaan seperti wadî‘ah (harta yang dititipkan kepada seseorang untuk dijaga tanpa upah) atau akad upah seperti membayar gaji. Sementara amanah tanpa akad pula ialah seperti barang luqathah (harta yang dijumpai di jalan atau seumpamanya dan tidak diketahui siapa tuannya) di tangan orang yang menemui luqathah itu.
Apabila disebut melaksanakan tugas-tugas pejabat sebagai amanah, ia adalah sesuatu yang wajib dilaksanakan, sedangkan membaca al-Qur’an hanya sunat, sama ada ia dibaca di pejabat ataupun di luar pejabat.
Saranan - sebagaimana yang dititahkan - supaya pegawai-pegawai dan kakitangan kerajaan membaca al-Qur’an sebelum menjalankan tugas adalah ia suatu perkara wajar dan bahkan penting bagi menjamin agar tugas-tugas yang dijalankan di pejabat akan sentiasa dalam pimpinan serta petunjuk Allah. Semoga dengan itu, segala keputusan dan juga perlaksanaan tugas akan menepati semua sasaran dan matlamat, iaitu berkat kebesaran al-Qur’an yang dibaca itu. Bukankah di antara fadhilat al- Qur’an itu ialah menerangkan hati dan menyembuhkan penyakit sebagaimana firman Allah yang berikut ini:
Tafsirnya: “Sesungguhnya telah datang kepada kamu al-Qur’an yang menjadi nasihat pengajaran daripada Tuhan kamu, dan yang menjadi penawar bagi penyakit-penyakit batin yang ada di dalam dada kamu, dan juga menjadi hidayah petunjuk untuk keselamatan, serta membawa rahmat bagi orang-orang yang beriman.” (Surah Yunus: 57)
Tafsirnya: “Dan kami turunkan dengan beransur-ansur daripada al-Qur’an ayat-ayat suci yang menjadi ubat penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman kepadanya; dan (sebaliknya) al-Qur’an tidak menambahkan bagi orang-orang yang zalim (disebabkan keingkaran mereka) melainkan kerugian jua.” (Surah al-Isrâ’: 82)
Kadar Masa Membaca Al-Qur’an
Berapa lamakah seorang pegawai mengambil masa untuk membaca al-Qur’an itu? Tidaklah ditetapkan. Ia terpulang kepada kementerian atau jabatan masing-masing untuk membuat ketetapan dan penilaian. Pada hemat kita - sebagai pandangan, bukan fatwa - masa 10-15 minit sudah memadai, kerana membaca al-Qur’an dengan masa yang panjang mungkin boleh menjejaskan tugas yang diamanahkan. Ini bertentangan dengan amanah menjalankan tugas yang kita bicarakan di awal-awal fatwa ini.
Beberapa Saranan
Sebagaimana yang disarankan dalam titah supaya pegawai-pegawai dan kakitangan akan membaca al-Qur’an sebelum memulakan tugas, maka sebagai pandangan dan irsyâd, di antaranya adalah seperti berikut:
(i) Membaca sedikit-sedikit secara bersendirian sehinggalah khatam.
(ii) Bagi yang mempunyai halangan tidak dapat membaca al-Qur’an kerana bertugas di luar pejabat umpamanya, mereka juga masih boleh membaca al- Fâtihah dan beberapa surah pendek atau ayat-ayat tertentu. Jika mereka berkumpul, elok ketua mereka menjadi pemimpin bacaan itu.
(iii) Mana-mana pekerja dan pegawai yang bertugas di sektor swasta seperti bank atau sebagainya, perlu juga diberi peluang oleh majikannya untuk membaca al- Qur’an sebelum memulakan tugas.
(iv) Mana-mana pekerja, kerani atau pegawai yang bertugas di dalam pejabat yang tidak tahu membaca al-Qur’an eloklah diatur dan ditentukan masanya yang munasabah supaya mereka belajar membaca al-Qur’an sehingga pandai. Untuk mendapatkan guru pembimbing diserahkan kepada kebijaksanaan kementerian atau jabatan berkenaan.
Semua kegiatan ini elok dibuat catatan atau ada rekod bagi tujuan penilaian dan kajian yang berterusan iaitu sebagai salah satu cara memastikan yang matlamat kita adalah tercapai, yakni semua kakitangan kerajaan pandai membaca al-Qur’an sesuai dengan tuntutan syara‘.
Niatkan dalam hati dalam makna berdoa, semoga al-Qur’an yang dibaca itu menjadi suluh serta pembuka hidayat bagi kita menghasilkan kerja-kerja yang bermutu dan dapat membuat keputusan-keputusan yang tepat demi kemajuan negara dan ummah.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-8551
