Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳المعاملات المالية

Membeli Daging Daripada Penjual Bukan Islam

Soalan: Dipohonkan fatwa mengenai kedudukan penjual daging di Canberra. Penjual seorang kafir tetapi menjual daging halal yang didapatkan daripada pembekal Islam di Sydney. Tempat dia berjual bercampur dengan daging tidak halal. Di Canberra amat sulit untuk mendapatkan daging-daging halal melainkan mengimport dari luar negara. Penjual ini sudah diiktiraf dan orang-orang Islam di sini kebanyakannya membeli daging, ayam dan lain-lain di kedai ini.

Jawapan: Orang Islam tidak boleh yakni dilarang membeli daging yang dijual oleh orang bukan Islam, kerana daging yang dijual itu sudah tergolong dalam syubhah, sekalipun daging itu awalnya dibekalkan oleh orang Islam. Syubhah ertinya suatu perkara atau benda yang berlaku padanya kesamaran, seperti makanan yang telah bercampur sehingga kerana percampurannya itu menjadikannya tidak dapat diketahui lagi sama ada ia halal atau pun haram. Dalam kes ini, pihak yang bertanya sendiri turut menegaskan bahawa tempat orang kafir menjual daging yang dikatakan daging halal itu adalah bercampur dengan daging tidak halal. Jadi syubhah di sini benar-benar berlaku dan jelas berlaku. Maka oleh itu, amaran Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam seperti hadis Baginda di bawah ini mestilah diambil kira:

Maksudnya: “Maka sesiapa memelihara (dirinya daripada) segala yang syubhah (kesamaran), sesungguhnya dia memelihara bagi agamanya dan kehormatannya. Dan sesiapa jatuh ke dalam perkara syubhah jatuhlah dia ke dalam yang haram.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Apabila keadaan daging bercampur-campur, maka keadaan perkakas-perkakas seperti pisau, mesin-mesin pemotong dan bekas-bekas tempat menyimpan juga sendirinya akan “bermasuk-masukan.”

Tegasnya, apabila seorang bukan Islam menjual daging halal dan daging tidak halal di tempat yang sama atau dalam masa yang sama, maka dalam keadaan begini tiada siapa yang dapat menjamin yang daging-daging itu tidak akan bercampur atau “bermasuk-masukan” di antara yang dikatakan halal itu dengan yang tidak halal. Lebih-lebih lagi logik atau rasional turut mempertikai: Bagaimana boleh diyakini daging yang dikatakan halal itu halal, sedangkan siapa yang memperakuinya, daripada autoriti mana, adakah dia orang Islam atau bukan? Kemudian siapa pula yang bertindak menilai atau menentukannya sebagai halal atau tidak halal itu? Jikapun benar ada yang halal di antara yang tidak halal itu, tetapi penjualnya ialah orang bukan Islam. Dalam kedudukan ini, di manakah keupayaan dan kesediaan orang bukan Islam itu untuk mengendalikan dengan lurus lagi amanah pemakanan orang Islam?

Disebut amanah, ia tidak akan terjadi kecuali daripada orang-orang yang takutkan Allah. Orang yang takutkan Allah hanyalah orang yang beriman. Tanpa iman tidak mungkin berlakunya amanah. Jadi di mana wajarnya tuan menyerahkan urusan yang memerlukan amanah kepada orang yang tidak mungkin beramanah?

Maka bagi orang Islam, jalan yang selamat itu ialah tidak membeli daging daripada orang bukan Islam, kerana orang bukan Islam itu tidak tahu dan tidak kenal sama sekali mana halal dan mana haram, mana suci dan mana najis menurut perhitungan syara‘. Begitu juga orang bukan Islam tidak mengerti perkara dosa dan pahala dan tidak terlintas bahawa perkara makan minum itu turut menentukan akhirat seseorang.

Adapun penjual daging bukan Islam yang sudah diiktiraf di kalangan pembeli atau pengguna Islam setempat, bukanlah itu menjadi alasan atau sandaran bagi mengharus atau menghalalkannya. Tetapi ia hendaklah berdasarkan dalil syara‘ yang jelas, di mana, hanya semata-mata bersandarkan kepada kebiasaan orang-orang Islam membelinya, bukanlah itu dalil syara‘ yang dikehendaki.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-8556