Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳أحكام متنوعة

Membuka Tudung Kepala Kerana Takutkan Ancaman

Soalan: Kaola ialah seorang penuntut pergigian dari Liverpool. Seperti yang Puan ketahui, selepas pengeboman di New York, orang-orang Islam telah dijadikan sasaran gangguan di sini. Baru kemarin saya diserang oleh sekumpulan lelaki, mereka telah melemparkan sesuatu kepada kaola. kaola fikir kerana kaola seorang Islam dan memakai tudung. Semua kawan kaola menasihati kaola untuk tidak memakai tudung sebagai langkah keselamatan. Adakah Pehin fikir ini betul? kaola tahu berdosa kalau tidak pakai tudung, tetapi kalau kaola pakai, orang-orang yang tidak berpelajaran ini akan tahu bahawa kaola adalah seorang Islam dan akan menyerang kaola. Apapun juga, mereka fikir semua orang Islam adalah pengganas, dan perlu dihukum. Sebenarnya orang-orang ini tidak mahu mendengar kepada alasan-alasan, dari itu tidak guna bercakap dengan mereka dan memberi penjelasan.

Bolehkah Pehin membantu Kaola?

Jawapan: Menutup aurat adalah wajib bagi orang Islam yang mukallaf, lelaki dan perempuan. Bagi wanita Islam, rambut adalah sebahagian daripada aurat yang wajib ditutup ketika berada di hadapan orang yang bukan mahram sama ada di dalam ataupun di luar rumah kecuali atas sebab-sebab yang dibenarkan oleh syara‘ seperti kerana tujuan berubat.

Dalam makna yang lain tidak ada kelonggaran atau ‘rukshah’ untuk membuka aurat kepala. Bahaya yang dimaksudkan itu masih dalam bentuk umum dan tidak jelas. Adapun sesuatu yang dianggap darurat akan dinilai menurut hukum darurat, iaitu sejauh mana tahap keperluan dan risikonya sehingga ia ditetapkan sebagai darurat.

Ketakutan dan kebimbangan terhadap bahaya yang mungkin menimpa seperti mana yang diminta fatwa di atas memanglah ada asasnya. Inilah risiko orang belajar dalam kalangan masyarakat bukan Islam dan dalam suasana bukan Islam. Namun persoalannya di sini ialah, adakah dengan membuka tudung kepala itu, kita akan terselamat dan terhindar daripada bahaya dan perbuatan jahat orang bukan Islam?

jawabnya belum tentu, kerana dasar orang bukan Islam itu memang berkarat hati terhadap Islam dan penganutnya sebagaimana berita daripada al-Qur’an, antaranya firman Allah Ta‘ala:

Tafsirnya: “Orang-orang Yahudi dan Nashrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (wahai Muhammad) sehingga engkau menurut agama mereka (yang telah terpesong itu).” (Surah al-Baqarah: 120)

Tafsirnya: “Mereka hendak memadamkan cahaya Allah (agama Islam) dengan mulut mereka, sedang Allah tidak menghendaki melainkan menyempurnakan cahayaNya, sekalipun orang-orang kafir tidak suka (akan yang demikian).” (Surah at-Taubah: 32)

Tafsirnya: “Orang-orang kafir daripada Ahli kitab, dan juga daripada orang-orang musyrik, tidak suka kiranya diturunkan kepada kamu sedikit kebaikan (atau wahyu) daripada Tuhan kamu padahal Allah berhak menentukan rahmatNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya; dan Allah (jualah yang) mempunyai limpah kurnia yang amat besar.” (Surah al-Baqarah: 105)

Tafsirnya: “Tidak ada jalannya kami menanggung dosa mengenai orang-orang yang ummi, dan mereka pula selalu berkata dusta terhadap Allah sedang mereka mengetahui (bahawa mereka adalah berdusta).” (Surah Âli Imran: 75)

Tafsirnya: “Demi susungguhnya engkau (wahai Muhammad) akan mendapati bahawa orang yang paling memusuhi orang-orang mukmin itu ialah orang-orang Yahudi dan orang-orang musyrik.” (Surah al-Mâ’idah: 82)

Apa yang berlaku sekarang terhadap negara-negara Islam seperti Palestin dan Afghanistan lebih mengingatkan kita lagi kepada kebenaran al-Qur’an.

Suatu Nasihat

Sebagai langkah wajar bagi pelajar Islam yang menghadapi keadaan ancaman yang disebutkan di atas ialah berjaga-jaga, tidak berjalan bersendirian, tidak juga berjalan di tempat yang dijangka ada bahaya. Sentiasalah berhubung dengan pihak-pihak Kedutaan atau Suruhanjaya, pihak sekolah, kolej atau universiti tempat di mana mereka belajar dan memaklumkan perkara ini.

Di samping itu, banyakkanlah berzikir dan berdoa dengan ayat-ayat al-Qur’an, khasnya doa-doa pelindung yang wârid daripada Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam. Baca dan amalkan semua ini secara berterusan. Yang eloknya ialah mengiringi wirid dan doa-doa lain selepas sembahyang. Baca ketika di rumah dan ketika hendak keluar rumah, ketika naik kenderaan dan di dalam kenderaan, insyâ’ Allah manfaatnya akan kita perolehi.

Anak dan menantu saya juga belajar seperti Dayang, di negara yang sama, dan Alhamdulillah mereka terus memakai tudung menutup aurat di mana-mana saja mereka bergerak termasuklah ke universiti. Segala puji dan syukur bagi Allah, bahawa setakat ini belum ada sebarang sungutan atau pengaduan daripada mereka tentang kerenah pengacau-pengacau itu.

Bulatkan hati kepada Allah serta bertaqwa, mudah-mudahan Dia melepaskan orang yang bertaqwa itu daripada sebarang bahaya dan kesulitan.

Jika pelajar Islam tidak lagi merasa aman belajar di negara kafir, termasuk pegangan agama mereka terancam, maka jalan yang selamat ialah berhijrah ke tempat yang lebih selamat sesuai dengan firman Allah:

Tafsirnya: “Sesungguhnya orang-orang yang diambil nyawanya oleh malaikat semasa mereka sedang menganiaya diri sendiri (kerana enggan berhijrah untuk membela Islam dan rela ditindas oleh kaum kafir musyrik), mereka ditanya oleh malaikat dengan berkata: “Apakah yang kamu telah lakukan mengenai ugama kamu?” Mereka menjawab: “Kami dahulu adalah orang-orang yang tertindas di bumi.” Malaikat bertanya lagi: “Tidakkah bumi Allah itu luas, yang membolehkan kamu berhijrah dengan bebas padanya?” Maka orang-orang yang sedemikian itu keadaannya, tempat akhir mereka ialah neraka Jahannam, dan neraka Jahannam itu adalah seburuk-buruk tempat kembali.” (Surah an-Nisâ’: 97)

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-8559