Memindah Tapak Masjid
Soalan: Dengan hormat sukacita dimaklumkan bahawa tapak bagi sebuah masjid telahpun ditetapkan oleh Jabatan Kemajuan Perumahan. Bagaimanapun peruntukan tersebut belum digazzettkan di bawah kawalan yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama.
Persoalan yang timbul ialah tapak yang ditetapkan oleh Jabatan Kemajuan Perumahan itu akan dijadikan sebagai tapak projek bangunan Kerajaan yang lain sementara tapak bagi masjid tersebut dipindah ke kawasan yang berdekatan. Maka dalam hubungan ini adakah tidak menyalahi dari segi hukum, membina bangunan lain di tapak yang telah ditetapkan (diniatkan oleh Kerajaan) untuk bangunan masjid?
Sehubungan dengan itu dengan penuh hormat dipohonkan fatwa Yang Dimuliakan Lagi Dihormati Mufti Kerajaan mengenainya.
Jawapan: Menurut al-Imam al-Qalyubi dalam Hâsyiah al-Minhâj disebutkan:
Ertinya: “Jika seseorang mengepung suatu kawasan (tanah mawât) kerana hendak menjadikannya masjid, menjadilah ia masjid, sekalipun dia tidak berlafaz pada menjadikannya masjid atau (sekalipun) dia tidak membina atau mendirikan bangunan di dalamnya atau tidak diatapkan.” (Hâsyiatân Qalyubi wa ‘Umairah 3:92)
Berdasarkan penjelasan di atas, jika tanah yang telah ditetapkan untuk tapak masjid oleh Jabatan Kemajuan Perumahan itu telah pun diletakkan batu-batu sempadan dan telah ditulis dalam dokumen seperti plan yang menunjukkan bahawa tapak tanah tersebut untuk masjid, maka jadilah kawasan itu sebagai masjid. Oleh kerana itu tidak harus dibangunkan apa-apa bangunan selain daripada masjid yang telah dicadangkan oleh jabatan yang berkenaan itu.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-8563
