Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳الصلاة

Memindah Tapak Masjid Yang Masih Di Peringkat Cadangan

Soalan: Dengan hormat dimaklumkan bahawa satu perjumpaan telah diadakan bagi membincangkan kedudukan tanah cadangan tapak sekolah menengah dan masjid di sebuah kawasan Skim Tanah Kurnia Rakyat Jati. Di perjumpaan itu pegawai-pegawai tertentu telah menerangkan kedudukan tanah tapak sekolah menengah dan masjid tersebut adalah seperti berikut:

(a) Plan susunatur rancangan bagi tapak cadangan untuk sekolah menengah dan masjid di kawasan Skim Tanah Kurnia Rakyat Jati itu telah disediakan oleh Jabatan Kerja Raya. Plan susunatur itu merupakan perancangan cadangan awal sahaja dan masih lagi tertakluk kepada perubahan sebelum sesuatu projek itu dilaksanakan.

(b) Di dalam plan susunatur yang berkenaan, plot plot telah disediakan untuk “Government Use” iaitu bagi kegunaan umum projek Kerajaan dan untuk kemudahan awam seperti sekolah, masjid dan balai raya, supaya projek tersebut tidak tertinggal dalam pengagihan tapak, walaupun projek tersebut terkemudian dilaksanakan.

(c) Mengikut prosedur yang sedia ada, ketetapan bagi kedudukan tapak dan keluasan yang akan diberikan bagi sesuatu projek Kerajaan adalah tertakluk kepada persetujuan dan pengesahan jawatankuasa pemilihan tapak, yang dipengerusikan oleh Pesuruhjaya Perancang Bandar dan Desa. Proses ini akan melibatkan mengenalpasti beberapa tapak cadangan awal sehingga akhirnya satu tapak yang bersesuaian dipilih dan dipersetujui oleh jawatankuasa tersebut.

d. Memandangkan tapak masjid ini masih dalam proses menentukan kedudukkan tapak dan belum ada persetujuan dan pengesahan mengenainya oleh Jawatankuasa Pemilihan Tapak, maka Jabatan ini berpendapat tapak ini masih boleh dipindah kerana belum ditentukan kedudukan tapaknya dan belum diletakkan batu-batu sempadan di atasnya.

e. Jabatan Perancang Bandar dan Desa merancang untuk memindahkan tapak masjid ini ke tapak bersebelahan yang lebih bersesuaian dan strategik dari segi perancangan berdasarkan kepentingan masjid sebagai simbol keislaman bagi kawasan ini.

Untuk membolehkan Jabatan ini memproses permohonan tapak ini selanjutnya sukacita dipohonkan ulasan lanjut mengenai isu yang disentuh di dalam Fatwa Mufti yang berkenaan dan seterusnya ketetapan mengenai kedudukan tapak masjid ini sama ada boleh dipindah atau sebaliknya.

Kesilapan teknikal ini disebabkan pihak yang berkenaan sebelum ini tidak memberi makluman yang lengkap mengenai keadaan dan kedudukan tapak masjid tersebut.

Jawapan: Jika sesuatu kawasan atau tapak tanah belum dikepung atau belum diletakkan apa-apa tanda atau belum ditentukan tapaknya untuk dijadikan tapak masjid, maka belumlah suatu tanah itu menjadi tapak masjid.

Kawasan (tanah mawât) atau tanah persendirian hanya akan menjadi tapak masjid sebagaimana qaul-qaul ulama Syafi‘iyyah di antaranya:

Ertinya: “Jika seseorang mengepung suatu kawasan (tanah mawat) kerana hendak menjadikannya masjid, menjadilah ia masjid, sekalipun dia tidak berlafaz pada menjadikannya masjid atau (sekalipun) dia tidak membina atau mendirikan bangunan di dalamnya atau tiada diatapkan.” (Hâsyiatân Qalyubi wa ‘Umairah 3/92)

Ertinya: “Dan perkataan seseorang: “Saya jadikan sekeping tanah ini masjid, maka jadilah ia masjid dengan katanya itu.” (Hâsyiatân Qalyubi wa ‘Umairah, 3/102)

Bersabit dengan permasalahan di atas, pihak Jabatan Perancang Bandar dan Desa telahpun menjelaskan bahawa:

“Adapun penandaan plot secara khusus untuk masjid dan balai raya itu dibuat adalah untuk mempastikan tapak bagi keperluan yang dianggap paling penting seperti masjid, tidak akan ‘terlupa’ atau ‘tertinggal’ di dalam pengagihan tapak-tapak untuk projek-projek kerajaan sekiranya permohonan tapak untuk membina masjid di kawasan ini terkemudian diterima oleh pihak Jabatan Perancang Bandar dan Desa.”

Menurut Jabatan itu lagi:

Tapak masjid ini masih dalam proses menentukan kedudukan tapak dan belum ada persetujuan dan pengesahan mengenainya oleh Jawatankuasa Pemilihan Tapak.

Maka berdasarkan kenyataan Pesuruhjaya Perancang Bandar dan Desa tersebut, adalah tapak berkenaan pada hakikatnya belumlah dihukumkan sebagai masjid kerana ianya baru cadangan awal bagi tapak-tapak projek kerajaan yang termasuk masjid dan belum ada diletakkan batu-batu sempadan di atasnya bagi tujuan masjid. Dalam makna lain kawasan berkenaan belum ditentukan sebagai tapak masjid, maka tidaklah timbul atau berbangkit masalah memindahkan kawasan atau tapak masjid dalam permasalahan di atas.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-8567