Menceraikan Isteri Ketika Maradh Al-Maut Dan Kesannya Kepada Pewarisan
Soalan: Dengan hormatnya sukacita kaola ingin memohon ulasan dan pandangan daripada pihak Pehin mengenai perkara yang tersebut di bawah ini:
Seorang lelaki sakit (maradh al-maut), sakit yang membawa mati, kemudian dia menceraikan isterinya. Lima bulan kemudian lelaki itu pun meninggal dunia. Soalannya:
1) Apakah jatuh talak isterinya?
2) Jika jatuh talak, adakah isterinya layak mendapat bahagian waris daripada harta lelaki itu?
Jawapan: Menurut majalah al-Ahkâm al-‘Adliyyah Bab 1595, “maradh al-maut” ialah sakit yang menyebabkan orang sakit itu gagal melihat mashlahat (kepentingan) yang di luar daripada rumahnya, iaitu sekiranya dia seorang lelaki, dan melemahkannya daripada melihat mashlahat di dalam rumah, iaitu sekiranya dia seorang perempuan. Sakit itu pula ialah sakit yang ditakuti membawa kematian pada kebiasaannya dan dia mati dalam keadaan sedemikian dalam tempoh masa tidak melebihi satu tahun, sama ada dia tidak boleh bangun dari tempat pembaringan atau sebaliknya. Jika sakitnya itu berpanjangan dalam keadaan tersebut sehingga melebihi setahun, maka dia dihukumkan seperti seorang yang sihat, dan segala tasharrufnya (tindakan dan urusannya) adalah sama seperti tasharruf orang yang sihat, selama mana sakitnya itu tidak bertambah parah dan tidak berubah keadaannya. Sekiranya sakitnya itu semakin berat dan berubah keadaannya lalu dia meninggal, maka sejak dari waktu berubah keadaannya itu sehingga dia mati, adalah dikira sebagai “maradh al-maut.”
Dr. Wahbah az-Zuhaili berpendapat bahawa penilaian dan penentuan bahaya sesuatu penyakit yang membawa mati itu adalah tertakluk kepada kemajuan bidang kedoktoran semasa. Dengan penemuan-penemuan baru dalam dunia perubatan, penyakit kanser dahulunya adalah merupakan penyakit paling berbahaya, tetapi sekarang sudah tidak lagi, ia boleh diatasi dengan cara-cara tertentu. (Al-Fiqh al- Islâmi: 5/450-451)
Daripada pengertian di atas, dapatlah difahami bahawa maradh al-maut itu ialah penyakit yang menjadi punca kematian seseorang itu sekalipun pada ghâlibnya penyakit itu tidak membawa kepada kematian. Segala tindakan yang dibuat oleh orang yang dalam keadaan maradh al-maut itu masih mengait juga dengan hukum syara‘.
Maka dalam hubungan suami isteri, sekiranya suami dalam keadaan maradh al-maut itu menceraikan isterinya, menurut kesepekatan para fuqahâ’ talak tersebut adalah dikira (jatuh talak).
Sekiranya suami berkenaan meninggal dunia dalam tempoh isterinya masih menjalani ‘iddah talak raj‘i, maka isteri berkenaan mewarisi harta suaminya. Begitu juga sebaliknya, jika isterinya meninggal dalam tempoh menjalani iddah raj‘i, maka suaminya mewarisi hartanya kerana keduanya masih ada hubungan suami isteri.
Jika talak itu talak bâ’in, mereka tidak mewarisi antara satu sama lain kerana tiada lagi hubungan sebagai suami isteri. Namun menurut qaul qadîm yang juga dikira sebagai qaul jadîd kerana dinashkan dalam al-Imlâ’, isteri berkenaan tetap mewarisi kerana perbuatan menceraikan isteri berkenaan tanpa kemahuan dan keredhaannya itu adalah menunjukkan bahawa di sana ada maksud untuk menghalang isteri berkenaan daripada mewarisi harta suaminya. Oleh itu suami berkenaan dikenakan balasan dengan apa yang berlawanan dengan hasratnya sepertimana tidak diberi pusaka kepada ahli waris yang membunuh si mati. (Nihâyah al-Muhtâj: 6/454)
Dalam Mughni al-Muhtâj, nash berkenaan disebut seperti berikut:
Ertinya: “Dan jatuh talak bâ‘in atau raj‘i ketika maradh mautnya (suami yang menceraikan itu) sepertimana jatuh talak ketika sihatnya, dan mereka berdua saling mewarisi (antara satu sama lain) iaitu suami yang sakit dan isterinya ketika dalam ‘iddah talak raj‘i dengan ijmâ‘ kerana berkekalan hubungan suami isteri dalam ‘iddah raj‘iyyah dengan kaitan talak dan îlâ’ terhadapnya (isteri) sepertimana yang tersebut dahulu. Tidak (saling mewarisi) ketika dalam ‘iddah talak bâ‘in kerana putusnya hubungan suami isteri. Dan dalam qaul qadîm, dan juga yang dinashkan dalam (kitab) al-lmlâ’, maka jadilah dia qaul jadîd, isteri berkenaan tetap mewarisinya, dan beginilah juga pendapat imam-imam yang tiga kerana menceraikan isteri bukan dengan kehendak isteri berkenaan adalah menunjukkan hasrat suami untuk menghalang isteri tersebut daripada mendapat pusaka, maka dia dikenakan balasan dengan apa yang berlawanan dengan hasratnya.” (Mughni al- Muhtâj: 3/375)
Namun dalam qaul qadîm telah ditetapkan beberapa syarat tertentu iaitu:
1. Isteri itu sememangnya ahli waris. Jika dia masuk Islam selepas talak, maka dia tidak mewarisinya.
2. Talak itu bukan atas permintaan isterinya.
3. Talak bâ‘in itu terjadi ketika maradh al-maut dan suami tersebut mati kerananya. Jika dia sembuh daripada maradh al-maut itu, maka isteri berkenaan tidak mewarisinya.
4. Perceraian itu hendaklah dengan talak, bukan li‘ân atau fasakh.
5. Perceraian itu dilafazkan oleh suami bukan sekadar pengakuan mengenainya.
6. Suami itu sendiri yang melakukannya.
Menurut pengarang kitab Hasyiah asy-Syarwani, demikianlah juga pendapat imam-imam mazhab Hanafi, Maliki dan Hanbali iaitu isteri yang diceraikan dengan talak bâ’in itu tetap mendapat pusaka jika suaminya itu meninggal dalam tempoh ber‘iddah dengannya kerana mengambil kira peristiwa Ibnu Al-‘Auf yang telah menceraikan isterinya al-Kalbiyyah dengan talak bâ’in ketika maradh al-mautnya, lalu Sayyidina ‘Utsman Radhiallahu ‘anhu tetap mewariskan kepada isterinya itu sebahagian daripada hartanya. (Hawasyi asy-Syarwani ‘ala at-Tuhfah al-Muhtâj: 8/46-47)
Maka sehubungan dengan kes atau pertanyaan yang dikemukakan di atas, adalah talak yang dilafazkan oleh suaminya dalam keadaan maradh al-maut itu dikira jatuh talak. Jika suami berkenaan meninggal dunia dalam tempoh isterinya menjalani ‘iddah, maka isterinya akan mewarisi hartanya. Jika suami itu meninggal setelah selesai ‘iddah, maka isteri berkenaan tidak mewarisi hartanya.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-8571
