Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳الصلاة

Mengetahui Masuk Waktu Sembahyang

Soalan: Saya tinggal di Daerah Belait dan waktu sembahyang di daerah ini setahu saya ialah lewat 3 minit daripada waktu yang ditetapkan.

Apakah hukum sembahyang saya jika saya memulakan sembahyang saya sejurus azan dilaungkan di radio/televisyen walaupun saya tahu azan dari masjid tempat saya di Daerah Belait ini belum lagi selesai?

Jawapan: Mengetahui masuk waktu adalah merupakan antara syarat-syarat sah sembahyang. Dalam kitab Fath al-Mu‘în pada pembicaraan mengenai syarat-syarat sembahyang ada disebutkan:

Ertinya: “Yang keempatnya, mengetahui masuk waktu (sembahyang) dengan yakin atau zhan, maka sesiapa yang sembahyang dengan tidak mengetahuinya (masuk waktu sembahyang) tidaklah sah sembahyangnya.”

Syeikh Mohammad Arsyad bin Abdullah al-Banjari Rahimahullah menyebutkan dalam kitabnya Sabîl al-Muhtadîn:

“Barangsiapa jahil akan waktu kerana ghubar (cuaca dipenuhi habuk dan pasir) atau dihabs (dikurung) orang akan dia di dalam rumah yang gelap atau barang sebagainya, wajiblah atasnya mengamalkan khabar orang yang kepercayaan yang mengkhabarkan daripada pengetahuannya akan masuk waktu dengan musyâhadah dan jikalau ada ia ‘âdil riwayat sekalipun atau mengamalkan bang orang yang kepercayaan yang tahu ia akan segala waktu, jika ada baginya itu pada ketika bersih langit tiada pada ketika ghubar kerana bang orang yang kepercayaan seperti demikian itu pada martabat khabarnya daripada musyâhadah, maka tiada harus baginya ijtihâd serta wujud keduanya atau salah suatu daripada keduanya kerana wujudnya itu seperti wujud nash dan jika tiada diperoleh keduanya maka harus baginya ijtihâd dan harus baginya mengamalkan bang orang banyak yang ghâlib atas zhannnya betul bang mereka itu di dalam waktu.”

Melihat kepada perkataan asy-Syeikh Mohammad Arsyad ini, di negara kita, selain di radio dan televisyen, bilal-bilal masjid akan melaungkan azan sebaik sahaja masuk waktu tiap-tiap sembahyang fardhu. Maka hendaklah kita ikut waktu-waktu tersebut sebagai panduan mengetahui masuknya waktu sembahyang itu.

Merujuk kepada pertanyaan di atas, jika sembahyang itu dilakukan oleh si penyoal iaitu orang yang tinggal di Belait dengan berpandukan azan di radio bagi Daerah Brunei dan Muara, maka sembahyangnya itu tidak sah kerana perbezaan waktu sembahyang antara dua daerah ini ialah 3 minit. Yakni waktu masuk bagi Daerah Brunei dan Muara adalah 3 minit lebih awal daripada waktu masuk bagi Daerah Belait. Wajiblah menunggu 3 minit itu sekalipun telah kedengaran azan di radio dan di televisyen.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-8575