Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳الزكاة والصدقات

Menggunakan Wang Keuntungan Hasil Daripada Derma Yang Dilaburkan

Soalan: Dengan penuh hormat seperti yang Pehin sedia maklum bahawa Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah memperkenankan penubuhan Tabung Insaniah Kosovo pada 17 Julai, 1999 bagi tujuan mengutip derma daripada rakyat dan penduduk negara ini untuk membantu meringankan penderitaan umat Islam dan pembangunan semula wilayah Kosovo setelah mengalami peperangan.

Alhamdulillah, sehingga kini tabung ini telah berjaya menerima banyak sumbangan dan memperolehi keuntungan melalui Simpanan Tetap dan Simpanan Semasa di salah sebuah institusi kewangan Islam.

Untuk makluman Pehin, Jawatankuasa ini telah bersetuju supaya wang derma berkenaan dibahagi-bahagikan kepada institusi tertentu dan menyumbangkan Mushhaf Brunei ke masjid-masjid dan institusi-intitusi agama di Kosovo.

Sehubungan dengan perkara di atas, pihak Kerajaan telah menyumbangkan sejumlah 300 nashkah Mushhaf berkenaan untuk diagih-agihkan kepada masjid-masjid di Kosovo.

Alhamdulillah, urusan penghantaran Mushhaf berkenaan telah dibuat dengan bantuan daripada Syarikat Penerbangan Diraja Brunei secara percuma. Pada masa ini Mushhaf tersebut telah berada di Paris dan urusan bagi penghantaran Mushhaf berkenaan ke Kosovo masih memerlukan perbelanjaan sebanyak kira-kira B$10,000.00.

Memandangkan Kementerian ini tidak mempunyai peruntukan khas bagi urusan penghantaran Mushhaf berkenaan ke Kosovo, Jawatankuasa Tabong Insaniah Kosovo telah mencadangkan agar wang sejumlah B$10,000.00 tersebut dapat diambil daripada jumlah kadar keuntungan yang diperolehi melalui Simpanan Tetap dan Simpanan Semasanya di bank berkenaan.

Oleh yang demikian, sebelum sebarang tindakan dibuat dengan cadangan tersebut, dan dikhuatiri akan menyalahi niat para dermawan negara ini dalam sumbangan mereka, maka Jawatankuasa sukacita memohon fatwa daripada pihak Pehin mengenai membiayai perbelanjaan penghantaran Mushhaf tersebut sehingga sampai ke Kosovo dan dimanfaatkan oleh penduduk-penduduk Kosovo.

Jawapan: Adalah harus pada hukum syara‘ mengambil atau menggunakan Wang Derma Tabung Insaniah Kosovo atau hasil pendapatan daripada tabung itu untuk tujuan membiayai kos penghantaran al-Qur’an ke Kosovo itu, kerana hasil pendapatan itu masih berkaitan dengan tujuan pengutipannya.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-8579