Menghadiahkan Al-Qur’an Sempena Perkahwinan
Soalan: Kaola minta penjelasan Pehin berkenaan dengan hadiah al-Qur’an. Kaola berniat untuk memberi hadiah al-Qur’an kepada anak saudara kaola yang akan melangsungkan perkahwinan. Mengikut apa yang kaola dengar, penerima hadiah dimestikan untuk mengkhatam al-Qur’an yang diterima. Adakah ini betul?
Jawapan: Adalah harus Awang menghadiahkan al-Qur’an kepada anak saudara Awang sempena perkahwinannya.
Mengenai dakwaan bahawa si penerima hadiah dimestikan mengkhatam al-Qur’an yang diterimanya itu adalah tidak berasas atau tidak mempunyai sandaran syara‘.
Bagaimanapun, membaca al-Qur’an sehingga khatam adalah di antara amalan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, para sahabat Baginda dan orang-orang Islam yang datang kemudian sehinggalah ke hari ini dan insyâ’ Allah hingga ke akhir zaman. Bahkan sebahagian ulama telah membuat garis panduan masa-masa tertentu yang elok supaya seseorang itu patut mengkhatamkan al-Qur’an.
Mengenai memberi hadiah dengan al-Qur’an ini, adalah diperingatkan kepada pemberi dan penerima atau sesiapa juga yang memegangnya supaya ada wudhu atau air sembahyang, kerana tidaklah harus yakni haram menyentuh al-Qur’an itu melainkan dengan wudhu. Firman Allah Ta‘ala:
Tafsirnya: “Yang tidak disentuh melainkan oleh makhluk-makhluk yang diakui bersih suci.” (Surah al-Wâqi‘ah: 79)
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-8587
