Menikahi Perempuan Yang Mengandung Anak Di Luar Nikah
Soalan: Saya menerima e-mail daripada seorang rakan dari London yang menyatakan bahawa hukum perkahwinan ‘seseorang perempuan yang mengandung anak luar nikah’ dengan ‘lelaki yang menyebabkan perempuan itu mengandung (bapa kepada anak dalam kandungan)’ adalah tidak sah disebabkan perempuan itu mengandung. Seterusnya e-mail itu menyatakan bahawa oleh kerana perkahwinan itu tidak sah, maka anak-anak selepas anak luar nikah itu juga dikira sebagai anak luar nikah. Sejauh manakah kebenaran kenyataan (statement) tersebut?
Jawapan: Hukum berkahwin dengan seorang perempuan yang sedang mengandungkan anak luar nikah dengan lelaki yang menyebabkan perempuan itu mengandung adalah sah, jika ianya memenuhi syarat dan rukun pernikahan. Adapun anak yang lahir selepas enam bulan daripada tarikh bersatu di antara suami dan isteri itu adalah disabitkan nasabnya kepada suami isteri. Anak itu pula dan anak-anak selepasnya bukanlah anak luar nikah.
Hukum sah ini berdasarkan kesepakatan ulama Islam tentang bolehnya lelaki dan perempuan yang berzina dinikahkan. (Al-Fiqh al-Islami: 7/148)
Imam asy-Syirazi daripada mazhab Syafi‘e berkata:
Ertinya: “Jika seorang lelaki berzina dengan seorang perempuan, tidak haram ke atasnya (lelaki itu) menikahinya berdasarkan firman Allah Ta‘ala: “.. Dan dihalalkan kepada kamu perempuan-perempuan yang lain daripada tersebut itu …”(an-Nisâ’: 24). Dan telah warid daripada ‘Aisyah Radhiyallahu ‘anha bahawa Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam pernah ditanya tentang seorang lelaki yang telah berzina dengan seorang perempuan, kemudian dia berhasrat menikahi perempuan tersebut atau anak perempuannya, maka Baginda pun bersabda: “Yang haram itu tidak mengharamkan yang halal”. Adapun perempuan yang diharamkan hanyalah dengan sebab perempuan itu masih ada ikatan nikah dengan orang lain.” (Kitab al- Majmû‘: 17/324) Ibnu ‘Abbas Radhiallahu ‘anhuma pernah ditanya tentang seorang lelaki yang berzina dengan seorang perempuan, kemudian dia bermaksud menikahinya, lalu Ibnu ‘Abbas Radhiallahu ‘anhuma berkata:
Ertinya: “Adalah harus, apa pendapatmu jika seseorang mencuri buah tamar orang lain, kemudian dia membelinya, adakah pembelian itu harus?” (Al-Majmû‘: 17/327) Walaupun pernikahan lelaki dengan perempuan yang telah berzina itu harus dan sah, namun hukum harus itu ditanggungkan juga kepada makruh. Imam Syafi‘e Radhiallahu ‘anhu berkata:
Ertinya: “Aku tidak menyukai lelaki itu menikahinya, tetapi jika dia menikahinya, aku tidak memfasakhnya.” (Al-Majmû‘: 17/327) Oleh kerana pernikahan lelaki dengan perempuan yang telah berzina itu sah, maka anak yang lahir selepas enam bulan ke atas daripada tarikh mereka boleh bersatu selepas akad nikah itu, adalah anak yang sah kepada kedua mereka. Sebagai makluman tambahan, syarat-syarat perempuan yang sah dinikahi ialah: 1. Perempuan itu bukan isteri orang. 2. Perempuan itu bukan dalam ‘iddah. 3. Perempuan itu jelas dan nyata siapa orangnya. 4. Perempuan itu bukan mahram. 5. Perempuan itu Islam atau ahli kitab. (Fath al-Mu‘în: 103-105) Pengarang kitab Fath al-Mu‘în berkata:
Ertinya: “Dan disyaratkan isteri yang dinikahi sunyi daripada nikah, ‘iddah daripada orang lain dan tertentu orangnya.” (Fath al-Mu‘în: 103)
Khusus membahaskan syarat keempat: “Perempuan itu bukan mahram,” para ulama fiqh mazhab Syafi‘e menyebutkan bahawa perempuan yang berasal daripada anak zina tidaklah termasuk dalam kategori mahram kepada orang yang berzina itu (yakni lelaki yang berzina dengan seorang perempuan itu). Jika perempuan itu melahirkan anak perempuan daripada perzinaan itu, maka anak perempuan tersebut tidak menjadi mahram kepada lelaki berkenaan.
Imam an-Nawawi Rahimahullah berkata:
Ertinya: “Perempuan yang terjadi daripada perzinaan adalah halal kepadanya(kepada lelaki yang menzina itu).” (Minhâj ath-Thâlibîn: 210)
Ketika mensyarahkan perkataan Imam an-Nawawi ini, Imam asy-Syarbini Rahimahullah berkata:
Ertinya: “Perempuan yang terjadi daripada air mani secara zina, sama ada perempuan yang dizina itu rela atau sebaliknya, sama ada perempuan itu jelas berasal daripada air maninya atau tidak, adalah halal kepadanya (kepada lelaki yang menzina itu) kerana perempuan itu dianggap orang asing kepadanya, kerana air mani menerusi zina tidak mempunyai kehormatan hukum berdasarkan kepada penafian segala hukum nasab, seperti warisan dan lain-lain daripada perempuan yang berasal daripada air mani zina itu.” (Mughni al-Muhtâj: 3/175)
Dengan ini jelas menunjukkan bahawa anak yang lahir hasil daripada perzinaan tidak ada kaitan nasab kepada orang yang berzina dengan ibunya, dan dengan itu lelaki berkenaan boleh bernikah dengannya (dengan anak perempuan kepada perempuan yang dizina oleh lelaki itu) selama lelaki itu belum bernikah dengan ibunya itu.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-8594
