Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳الحج والعمرة

Menyembelih Binatang Korban Di Luar Negeri Dan Dagingnya Diagihkan Ke Negeri Yang Lain

Soalan: Dengan hormatnya kaola maklumkan berhubung dengan surat yang diterima daripada pengurus besar sebuah pertubuhan mengenai dengan rancangannya untuk menawarkan rakyat Islam Brunei mengambil bahagian dalam projek korban amal pertubuhan itu bagi tahun 2001.

Kaola dengan hormat memohonkan pandangan dan ulasan pihak Pehin mengenai beberapa perkara yang berkaitan dengannya:

1. Pihak pertubuhan ingin menawarkan kepada rakyat Islam Brunei supaya mengambil bahagian dalam projek korban amal bagi tahun 2001. Tawaran kepada rakyat Brunei akan dikendalikan oleh seorang individu rakyat Brunei yang diamanahkan dan akan membantu pihak pertubuhan itu dalam memasarkan korban amal di Brunei dan memungut wang korban.

2. Pertubuhan ini telah menjalankan korban amalnya dengan kerjasama Muslim Aid Australia (MAA) sebuah badan amal antarabangsa yang beribu pejabat di London – semenjak 1998. Tujuan korban ini ialah:

(a) untuk menggalakkan supaya lebih ramai umat Islam di seluruh dunia mengerjakan ibadah korban lebih sering lagi.

(b) supaya lebih ramai lagi umat Islam di seluruh dunia yang memerlukan bantuan daging korban boleh mendapat manfaat. Ini akan mengeratkan lagi perpaduan ummah.

3. Penyembelihan kambing-kambing korban akan dijalankan di Australia di bawah pengendalian dan pengawasan pertubuhan itu dan MAA. Pertubuhan tersebut juga akan menghantar perwakilan (termasuk seorang ustaz) untuk memastikan supaya korban dijalankan seperti diamanahkan dan menurut hukum Syariah. Lebih penting lagi memastikan bahawa daging korban sampai ke destinasi yang memerlukan termasuk Indonesia, Kosovo, Palestin, Lebanon, Chechnya dan Bangladesh.

4. Selanjutnya daging korban akan diagih-agihkan dalam dua bentuk:

a) Daging beku (hard frozen form) – dipotong 6 keping, tiap korban dalam satu karton.

b) Daging data kaling/dalam tin (canned coned mutton) – 340gm satu tin, 24 tin dalam satu karton.

5. Harga yang dikenakan pada para peserta korban adalah lebih murah jika dibandingkan dengan korban tradisional. Di Brunei harganya adalah B$160.00 bagi seekor kambing. Di Singapura korban amal pertubuhan ini mendapat sambutan hangat daripada masyarakat Melayu/Islam yang sungguh menggalakkan kerana (a) harga yang lebih murah yang membolehkan mereka membuat ibadah korban lebih banyak dan lebih sering lagi, dan (b) daging korban diagihkan kepada mereka yang sangat-sangat memerlukan.

Jawapan: Kita bersyukur dan menghargai mana-mana pihak yang berusaha untuk membantu sesama Islam dalam semua perkara kebajikan, lebih-lebih lagi mereka yang memerlukannya, seperti membantu orang-orang miskin menerusi apa jua usaha termasuk melalui penyembelihan binatang korban. Usaha seperti ini selain daripada membesarkan syi‘ar berkorban itu ia juga sangat menepati dengan konsep Islam itu sendiri yang mana umatnya adalah sebagai sebuah keluarga yang bersaudara dan sebagai satu tubuh yang sama-sama merasai kesakitan jika ada anggota tubuh yang sakit.

Walau bagaimanapun, satu perkara yang mesti diperhatikan berkaitan dengan projek yang dianjurkan oleh mana-mana pertubuhan seperti yang dicadangkan di atas ialah adakah harus bagi orang-orang tempatan berwakil untuk berkorban di luar negeri dan daging korban itu dipindahkan daripada tempat korban ke negeri atau daerah lain?

As-Sayyid al-Bakri ad-Dumyathi, pengarang Hâsyiah I‘ânah ath-Thâlibîn menjelaskan bahawa telah dijazamkan dalam an-Nihâyah bahawa haram memindah daging korban daripada negeri tempat berkorban itu seperti mana juga zakat, sama ada korban sunat atau wajib. Adapun yang dimaksudkan daripada korban sunat itu ialah bahagian yang wajib disedekahkan kepada fakir atau miskin. (I‘ânah ath- Thâlibîn: 2/334)

Manakala memindahkan wang daripada satu negeri ke negeri yang lain untuk membeli binatang korban adalah diharuskan seperti mana katanya:

Ertinya: “Adapun memindahkan wang dirham daripada satu negeri ke negeri yang lain untuk membeli dengannya binatang korban di negeri tersebut maka ia adalah harus.” (I‘ânah ath-Thâlibîn: 2/335)

Asy-Syeikh Mohammad bin Sulaiman al-Kurdi pernah ditanya:

Ertinya: “Sudah menjadi kebiasaan orang-orang Jawi (kepulauan Melayu) berwakil kepada seseorang untuk membeli na‘am (seperti lembu dan kambing) di Makkah untuk dijadikan aqiqah dan korban sedangkan orang yang hendak beraqiqah atau berkorban itu berada di negeri Jawi. Adakah sah perbuatan sedemikian atau tidak, mohon fatwakan kepada kami.

Jawapan: Ya! Sah yang demikian itu dan harus berwakil membeli binatang korban dan aqiqah dan begitu juga untuk menyembelihnya sekalipun di negeri yang bukan negeri orang yang berkorban dan beraqiqah itu.”

Dalam perkara ini pengarang kitab Sabîl al-Muhtadîn pula menyebutkan:

Kata Syeikh Muhammad bin Sulaiman: “Harus berwakil pada membeli na‘am akan korban pada negeri yang lain dan pada menyembelih dia dan pada membahagikan dagingnya bagi segala miskin negeri itu. Maka iaitu zahir sama ada negeri Makkah atau lainnya tetapi jangan dipindahkan dagingnya daripada negeri tempat berkorban kepada negeri yang lain maka iaitu haram lagi akan datang kenyataannya dan sayuginya hendaklah yang berwakil menyerahkan niat korban kepada wakil pada masalah ini wallahu ‘alam.” (Sabîl al-Muhtadîn: 228)

Katanya lagi jikalau berwakil seorang akan seorang pada berkorban di negeri lain kerana menghasilkan mudah umpamanya hendaklah disedekahkan oleh wakil akan dagingnya bagi fakir miskin negeri itu dan janganlah dipindahkannya akan sesuatu daripada dagingnya daripada negeri itu kepada negeri yang berwakil melainkan sekadar yang sunat ia memakan dia itupun jika ada korban itu sunat (adapun) jika ada korban itu wajib maka wajiblah atas wakil menyedekahkan sekaliannya kepada fakir di dalam negeri tempat berkorban itu (dan haram) atasnya memindahkan suatu daripadanya ke negeri yang l ain.” (Sabîl al-Muhtadîn: 230)

Berdasarkan perkataan para ulama seperti yang dinukilkan di atas, adalah jelas bahawa hukumnya harus berwakil untuk membeli binatang korban di negeri yang lain dan menyembelihnya serta membahagikan daging tersebut kepada fakir miskin di negeri berkenaan.

Adapun memindahkan daging korban daripada tempat sembelihan seperti Australia ke negeri-negeri lain seperti Indonesia, Kosovo, Palestin, Lebanon, Chechnya dan Bangladesh hendaklah diperhatikan terlebih dahulu tentang hukum menyedekahkan daging korban itu:

i) Jika korban itu adalah korban wajib yang mana kesemua dagingnya wajib disedekahkan kepada fakir miskin dalam keadaan mentah, maka haram hukumnya memindahkan daging korban berkenaan daripada tempat sembelihan seperti Australia itu ke negeri lain seperti Bangladesh dan lain-lain negeri yang dicadangkan oleh penganjur. Inilah pendapat jumhûr ulama Syafi‘iyyah.

ii) Jika korban itu korban sunat di mana sebahagian daripada daging korban itu harus dihadiahkan atau dimakan oleh orang yang berkorban, maka bahagiannya (hak orang yang berkorban) itu sahaja yang harus dipindahkan ke negeri lain. Manakala bahagian yang wajib disedekahkan kepada fakir miskin itu wajib disedekahkan di tempat berkorban itu juga dan haram dipindahkan ke negeri lain. (Lihat I‘ânah ath-Thâlibîn: 2/334)

Sebagai jalan keluar (hanya satu pandangan bukan fatwa) bahawa adalah lebih munasabah menjalankan sembelihan korban bagi pihak yang berwakil terus sahaja di tempat-tempat atau di negeri-negeri yang akan diagihkan daging korban itu. Dengan ini dapat dielakkan hukum pemindahan daging korban daripada tempat sembelihan ke negara lain.

Dalam makna yang lain, mana-mana orang di negeri ini yang berhasrat menyertai program yang dianjurkan oleh pertubuhan tersebut itu akan mencadangkan kepadanya supaya ia langsung sahaja berkorban bagi pihak yang berwakil di negeri yang dicadangkan daging korban hendak dibahagikan. Contohnya jika orang miskin yang akan dibahagi-bahagikan itu berada di Bangladesh, maka ibadah korban itu terus dilakukan di Bangladesh dan dagingnya dibahagi-bahagikan kesemuanya di sana juga.

Negeri-negeri yang menjadi target bolehlah digilir-gilir. Umpamanya pada tahun ini di Bangladesh, pada tahun akan datang di Indonesia dan akan datang lagi di Kosovo, atau setahun itu boleh juga dua buah negeri sekaligus atau mana-mana saja yang munasabah.

Dengan demikian ibadah korban itu akan lebih bersemarak lagi di tempat berkenaan dan daging itu boleh dibahagi-bahagikan terus kepada orang-orang yang memerlukannya dalam keadaan daging korban itu masih segar kerana daging korban yang wajib diserahkan kepada orang miskin itu mestilah yang mentah tidak memadai yang dimasak.

Selain itu konsep ingin membantu kehidupan orang Islam itu lebih tepat dan meluas lagi. Selain membantu orang fakir miskin di negeri yang dimaksudkan, ia juga membantu menyumbangkan pertumbuhan ekonomi peniaga Islam di sana melalui jualan binatang yang dibeli. Ini bererti kedua-dua pihak mendapat manfaat daripada usaha sedemikian.

Seperkara lagi, kita melihat usaha murni sebegini, jika dipromosikan dengan baik, akan diterima baik oleh masyarakat umum di negara kita ini. Adalah lebih baik ada pihak yang melakukan inisiatif seumpama itu di negara ini dengan niat semata-mata menggalakkan orang ramai berkorban dan membantu orang fakir miskin di mana perlu. Dengan adanya usaha ini, sudah setentunya akan mengharumkan lagi nama negara dan masyarakat Brunei, berbanding dengan hanya menumpang kepada pihak-pihak lain. Selain itu ia akan mengeratkan lagi hubungan dua hala di antara kedua-dua pihak, iaitu sekiranya ia dilaksanakan dengan perundingan-perundingan melalui wakil-wakil atau duta-duta negara-negara berkenaan.

Sekiranya ibadah korban berkenaan berjalan seperti yang dicadangkan oleh pertubuhan berkenaan iaitu daging korban itu akan diagih-agih atau dibahagi-bahagikan kepada fakir miskin di Indonesia, Kosovo, Palestin, Lebanon, Chechnya dan Bangladesh, maka perlu diingat bahawa hanya bahagian yang harus dihadiahkan sahaja yang boleh dipindahkan ke negara lain itu (seperti mana maksud ceraian [ii] di atas).

Sebagai ingatan kepada hukum berkorban binatang secara berwakil (yakni bukan disembelih oleh tuan punya korban), maka hukum ‘berwakil’ itu wajiblah dipenuhi seperti yang terdapat dalam bab wakâlah, supaya sah korbannya.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-8606