Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳الزكاة والصدقات

Pemohon Meninggal Sebelum Menerima Zakat: Adakah Menjadi Pusaka?

Soalan: Seorang pemohon telah diberi kelulusan untuk menerima bantuan bulanan bagi ashnâf fakir miskin untuk tempoh 8 bulan (Mei hingga Disember 2000). Tetapi, belum sempat si pemohon menerima wang bantuan tersebut si pemohon telah meninggal dunia pada bulan Julai tahun yang sama dengan meninggalkan dua orang waris.

Bolehkah wang bantuan tersebut dikira sebagai harta warisan dan seterusnya diserahkan kepada anak si pemohon?

Jawapan: Setiap pemberian sama ada dalam bentuk sedekah, hadiah atau hibah tidak menjadi milik seseorang jika belum diserahkan dan diterima oleh sesiapa yang ditujukan untuk menerimanya. Perkara ini telah dijelaskan oleh al-Imam an-Nawawi katanya:

Ertinya: “Tiadalah benda yang dihibah (diberi) itu menjadi milik kepada orang yang kena beri melainkan dia telah menerima serahan itu dengan izin daripada yang memberi itu.” (As-Sirâj al-Wahhâj)

Berdasarkan perkara di atas, jelas kepada kita bahawa setiap pemberian itu tidak menjadi milik seseorang jika belum sempurna penyerahan dan penerimaannya.

Ini bererti sedekah juga tidak akan menjadi milik seseorang jika belum sempurna penyerahan dan penerimaannya kerana sedekah itu sendiri adalah hibah.

Asy-Syeikh Syarbini mengatakan:

Ertinya: “Jika pemberi menarik balik termasuk pemberi hadiah dan pemberi sedekah atau warisnya (menarik balik) keizinan (pemberian) itu atau mati pemberi atau mati orang yang diberi sebelum menerima pemberian, maka dalam kedua-dua keadaan itu (menarik balik atau mati) batallah keizinan tersebut. Maka tidak ada kuasa bagi orang yang diutus untuk menyampaikan itu menyerahkan pemberian berkenaan kepada orang yang diberi atau warisnya kecuali dengan izin yang baru.” (Mughni al-Muhtâj: 2/401)

Maka dalam hal ini, Majlis Ugama Islam tidaklah boleh menyerahkan bantuan bulanan (ashnâf fakir miskin) itu kepada anak pemohon sebagai waris (harta pusaka) walaupun bantuan itu telah diluluskan, kerana bantuan itu belum menjadi milik pemohon.

Walau bagaimanapun bantuan bulanan telahpun diluluskan dan ia pada asalnya tentulah bertujuan untuk sama-sama dinikmati oleh orang atau orang-orang yang di bawah tanggungan si pemohon. Maka berdasarkan ini, patutlah bahagian yang sepatutnya diterima oleh tanggungan-tanggungan itu diberikan juga kepada mereka, atau dengan cara membuat kelulusan atau izin baru bagi membantu mereka yang memang susah itu.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-8623