Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳الأطعمة والأشربة

Pengiktirafan Pusat Penyembelihan Yang Dikongsi Bersama Oleh Orang Islam Dan Bukan Islam

Soalan: Dengan penuh hormat dan takzim sukacita kaola menarik perhatian Yang Dimuliakan Lagi Dihormati Pehin mengenai dengan akta Daging Halal Penggal 183, Bab 14 dari Aturan-Aturan Daging Halal 1999 yang menyatakan seperti berikut:

(i) Pengimpotan-pengimpotan dan pembekal-pembekal tempatan daging halal hendaklah orang-orang yang beragama Islam.

Untuk makluman Yang Dimuliakan Lagi Dihormati Pehin, beberapa permohonan daripada pembekal-pembekal tempatan yang bukan beragama Islam untuk mendapatkan lesen pembekal daging halal tempatan kepada orang ramai telah diterima, dan baru-baru ini kaola telah memanggil semua pemohon-pemohon berkenaan bagi menerangkan kehendak Bab 14 Aturan-Aturan Daging Halal 1999 itu. Maka kesimpulan daripada perjumpaan itu mereka menyatakan seperti berikut:

(i) Pusat penyembelihan untuk membekal daging halal tempatan telah didirikan sebelum undang-undang berkenaan dikeluarkan yang mana antaranya memakan perbelanjaan berjuta-juta ringgit. Oleh yang demikian bolehlah mereka melaksanakannya seperti berikut:

(a) Mengadakan perkongsian dengan orang-orang Islam umpamanya lima puluh satu peratus (51%) atau lebih dimiliki orang Islam, selebihnya oleh tuan punya asal (bukan Islam), atau

(b) Pusat-pusat berkenaan disewakan kepada orang Islam pada keseluruhannya.

Oleh yang demikian kaola memohon kemurahan Yang Dimuliakan Lagi Dihormati Pehin pada memberikan pandangan mengenai persoalan yang dinyatakan di atas.

Jawapan: Apabila sesebuah pusat penyembelihan binatang kepunyaan orang bukan Islam beroperasi di negara ini, maka ia tidak selari dengan kehendak Aturan-Aturan Daging Halal 1999 yang menyatakan:

“Pengimpot-pengimpot dan pembekal-pembekal tempatan daging halal hendaklah orang-orang yang beragama Islam.”

Ini adalah kerana kedudukan pusat penyembelihan yang sedemikian itu dengan sendirinya akan menjadi tempat yang menimbulkan keraguan melainkan ianya dikendalikan oleh orang-orang Islam dalam urusan-urusan yang berkaitan dengan kehalalan atau keshahîhan penggunaan oleh orang-orang Islam. Dalam makna bahawa produk-produk pusat itu selaras dengan kehendak Islam.

Sebenarnya tugas memastikan kehalalan makanan termasuk daging yang diedarkan kepada orang-orang Islam adalah menjadi kewajipan total kepada kerajaan atau pentadbir Islam. Oleh kerana itu pengimpot dan pembekal tempatan daging halal, sebagaimana yang diperuntukkan oleh akta hendaklah menepati tuntutan syara‘ supaya dengan demikian daging-daging yang diedarkan itu terjamin halal dan jauh daripada sebarang syubhah.

Perkara syubhah itu wajib dielakkan kerana ia juga membawa kepada haram sebagaimana perkara ini dijelaskan oleh Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam:

Maksudnya: “Maka sesiapa memelihara dirinya daripada segala syubhah (yang kesamaran), sesungguhnya dia memelihara agama dan kehormatannya. Dan sesiapa jatuh ke dalam perkara kesamaran jatuhlah dia ke dalam yang haram.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Persoalannya, adakah sembelihan atau produk-produk pusat penyembelihan yang dikongsi bersama oleh orang Islam dan bukan Islam itu diiktiraf halal atau sebaliknya? Jawapannya akan tertakluk kepada bagaimana pusat itu dikendalikan. Banyak saham - lebih-lebih lagi kalau sedikit - yang dimiliki oleh orang Islam terhadap pusat penyembelihan itu belum tentu menjamin produk-produk pusat itu halal sehingga ada jaminan tertentu atau bagaimana kawalan-kawalan dibuat secara berterusan oleh pusat itu termasuklah oleh pihak-pihak yang diberi kuasa dalam Kerajaan.

Dalam sistem perniagaan, boleh saja terjadi pemegang saham yang terbanyak itu sendiri tidak berurusan secara langsung dalam menangani dan mengendalikan pusat penyembelihan itu, kerana bukan tidak pernah berlaku, bahkan biasa terjadi para pemegang saham itu kurang mengambil tahu tentang pengendalian pusat perusahaannya. Yang paling utama baginya ialah pulangan atau keuntungan semata-mata, atau pemegang saham itu bersifat sebagai “rakan kongsi yang tidur” (sleeping partner). Inilah yang ditakuti berlaku kepada orang Islam walaupun dia memiliki saham yang lebih daripada separuh.

Sebagai contoh, dalam operasi di pusat penyembelihan akan berbangkit bagaimana cara perlaksanaan stunning yang diharuskan oleh syara‘ dan bagaimana pula kaedah stunning yang tidak diharuskan. Semua ini menghendaki supaya dirujuk kepada pakar-pakar atau ahli-ahlinya yang terdiri daripada orang-orang Islam yang dapat menentukan kehendak syara‘ mengenai kehalalan suatu sembelihan binatang itu. Jika rakan kongsi orang Islam itu tidak mengambil tahu atau tidak ada pengetahuan mengenainya, hanya menyerahkan urusan pengendalian atau operasinya bulat-bulat kepada rakan kongsi yang bukan Islam, sudah tentu akan terjadilah perkara-perkara yang tidak selaras dengan kehendak syara‘, seperti akan berlaku perlaksanaan stunning yang tidak diharuskan atau lain-lain perkara mengenai dengan sembelihan. Sayugia diingat, bahawa di akhir zaman ini ada orang Islam yang tidak hiraukan tentang harta dari mana datangnya, sebagaimana sabda Shallallahu ‘alaihi wasallam:

Maksudnya: “Akan datang kepada manusia suatu zaman, bahawa seseorang itu tidak peduli apa yang diambilnya, adakah yang diambilnya itu daripada yang halal atau yang diambilnya itu daripada yang haram. Tidaklah dimakbulkan (diterima) permohonan (doa) mereka itu.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Mengenai dengan pusat penyembelihan untuk membekalkan daging halal tempatan yang telah didirikan oleh orang bukan Islam sebelum peraturan diwujudkan, adakah ianya boleh diadakan perkongsian dengan orang Islam?

Pada dasarnya tidaklah mengapa orang bukan Islam berkongsi dengan orang Islam dalam suatu perniagaan membekalkan daging daripada pusat penyembelihan sebagaimana yang diminta fatwa, selama mana cara pengendaliannya memenuhi persyaratan daging halal, seperti penyembelihnya terdiri daripada orang-orang Islam, kaedah stunningnya menurut yang telah disahkan oleh pakar Islam dan kuasa-kuasa menentukan kehalalan daging itu hendaklah di tangan rakan kongsi Islam tanpa mengira berapa jumlah saham yang dimiliki atau dipegangnya. Selain daripada itu pusat penyembelihan itu juga mestilah dikawal oleh peraturan atau oleh penguatkuasa undang-undang selaras dengan akta yang berkenaan.

Sebagai ukuran perbandingan, apabila Kerajaan Brunei Darussalam mengiktiraf kehalalan daging daripada sesebuah pusat penyembelihan di luar negeri seperti Australia, di mana pusat penyembelihan di sana itu sepenuhnya kepunyaan orang bukan Islam adalah antaranya berdasarkan persyaratan di atas. Maka sudah barang tentu ianya lebih meyakinkan lagi jika pusat penyembelihan itu turut dimiliki atau dikongsi oleh orang Islam serta dikawal pula oleh pihak-pihak berkuasa agama dalam negara ini sendiri.

Adapun soalan yang kedua, iaitu pemilik orang bukan Islam menyewakan pusat penyembelihan itu kepada orang Islam adalah ianya harus dan tiada masalah.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-8627