Penyerahan Sebahagian Tanah Kerana Disyaratkan Oleh Kerajaan Dan Hubungannya Dengan Waqaf
Soalan: Dengan hormat sukacita pihak Jabatan ini menghadapkan masalah mengenai dengan penyerahan sebahagian tanah kerana disyaratkan oleh kerajaan dan hubungannya dengan waqaf, bagi memudahkan Jabatan ini dan Ahli-Ahli Pihak Berkuasa Yang Layak Bagi Kawalan Pemecahan Tanah memproses permohonan yang melibatkan perkara di atas.
Sebagaimana biasanya gasris pandu dan peraturan pemecahan tanah yang dibuat pada masa ini, setiap satu permohonan penyatuan/pemecahan tanah yang dihadapkan melebihi dua pecahan dimestikan membuat penyerahan dengan percuma sebahagian tanah berkenaan kepada Kerajaan, untuk jalan laluan/simpanan laluan bagi tujuan untuk memudahkan perhubungan tanah di belakang. Dari itu pihak kami ingin memohon jasa baik pihak Dato untuk memberikan khidmat nasihat/fatwa mengikut pandangan Islam mengenai dengan perkara di atas. Dengan adanya fatwa ini nanti dapatlah pihak kami menjadikannya sebagai rujukan bagi permohonan-permohonan yang melibatkan perkara ini di masa akan datang.
Jawapan: Agama Islam sangat menghormati hak milik individu, tidak sesiapapun boleh mengambil atau merampas hak seseorang tanpa izinnya. Di bawah ini beberapa dalil yang menunjukkan tentang penjagaan hak milik individu itu. Antaranya firman Allah:
Tafsirnya: “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta kamu sesama kamu dengan jalan yang salah (tipu, judi dan sebagainya), kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka di antara kamu.” (Surah an-Nisâ’: 29)
Sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: “Setiap Muslim ke atas Muslim yang lain haram baginya menumpahkan darahnya, dan mengambil hartanya dan mencabul kehormatannya.” (Hadis riwayat Muslim)
Sabda Baginda lagi dalam khutbah pada hajinya yang penghabisan:
Maksdunya: “Sesungguhnya darah kamu dan harta benda kamu dan kehormatan kamu haram atas kamu seperti haramnya hari kamu ini, pada bulan kamu ini, pada negeri kamu ini.” (Hadis riwayat Muslim)
Adalah haram menceroboh ke atas milik perseorangan selama mana pemilikan itu sah di sisi syara‘ kerana Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam pernah bersabda:
Maksudnya: “Sesiapa mengambil sesuatu daripada tanah secara zalim, maka Allah akan membebaninya (menjadikannya sebagai kalung lahar) daripada tujuh bumi.” (Hadis riwayat al-Bukhari)
Asas mengambil harta seorang Muslim itu pula mestilah berdasarkan kerelaan hatinya, sebagaimana sabda Baginda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: “Tidak halal harta seseorang melainkan dengan kesukaan hatinya sendiri.” (Hadis riwayat Ahmad)
Mengenai dengan pensyaratan Jabatan Ukur sebagaimana disebutkan dalam persuratannya di atas, adalah harus bagi kerajaan Islam memperuntukkan peraturan atau mengenakan syarat tersebut iaitu supaya setiap satu permohonan penyatuan atau pemecahan tanah yang dihadapkan kepada pihak Jabatan Ukur yang melebihi dua pecahan dimestikan membuat penyerahan dengan percuma sebahagian tanah berkenaan kepada kerajaan untuk jalan laluan/simpanan laluan bagi tujuan memudahkan perhubungan tanah-tanah di belakang.
Apa yang dapat difahami daripada peraturan di atas ialah untuk memberi kemudahan perhubungan kepada tanah-tanah di belakang sama ada bagi tujuan sekarang atau keperluan akan datang. Ini bererti menjaga kepentingan awam atau kepentingan orang ramai sangat diutamakan.
Pensyaratan penyerahan sebahagian tanah dengan percuma itu ialah setelah mengambil kira kepentingan awam sebagai asas dalam membuat pertimbangan. Ini bertepatan dengan kaedah fiqh:
Ertinya: “Ditanggung kemudaratan khas untuk menolak kemudaratan yang umum.”
Ertinya: “Tindakan yang merangkumi kepentingan orang ramai lebih utama daripada yang hanya terhad untuk kepentingan sendiri.”
Secara umumnya, kerajaan Islam apabila bertindak bagi kepentingan awam adalah berdasarkan mashlahat sebagaimana kaedah fiqh:
Maksudnya: “Tindakan ketua negara ke atas rakyat terikat dengan mashlahat.”
Setiap mashlahat itu adalah bererti terdapat keperluan (darurat) dan darurat itu pula (jika ada) mestilah mengikut kadarnya.
Maka berdasarkan kaedah-kaedah fiqh seperti di atas, iaitu mana-mana rintangan yang berpunca daripada mashlahat peribadi atau kumpulan yang kecil sehingga menghalang tercapainya kepentingan atau mashlahat orang ramai (umum), hendaklah ianya diketepikan (mashlahat peribadi atau kumpulan yang kecil itu).
Bahkan kerajaan Islam berhak, seperti turut campur dalam perkara pemilikan harta khas bagi melaksanakan maslahat umum, atau menghalang jika sekiranya penggunaannya itu mendatangkan mudarat kepada umum.
Umpamanya jika berlaku keengganan tuan tanah untuk menyerahkan sebahagian tanahnya bagi laluan tanah-tanah di belakang, kepunyaan orang lain yang tentunya akan menyusahkan pemilik atau pemilik-pemilik tanah di belakang itu, maka kerajaan Islam boleh turut campur dalam perkara pemilikan tanah yang menjadi penghalang itu sebagaimana hadis Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: “Diriwayatkan oleh Abu Hafsh lagi dengan isnâdnya daripada Muhammad (Al-Baqir) daripada bapanya Ali Zainalabidin katanya: “Bagi Samrah bin Jundub ada sebatang pokok kurma masuk ke kebun seorang lelaki daripada golongan Anshar. Lelaki itu dan keluarganya sewaktu masuk ke kebunnya itu, mendapati pokok kurma itu telah menyakiti atau mengganggu mereka. Maka lelaki golongan Anshar itu mengadu kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, lalu Baginda bersabda kepadanya (Samrah pemilik kebun): “Jualkan (pokok kurma itu) kepadanya (lelaki Ansar).” Dia (Samrah) enggan.” Sabda Baginda: “Maka potonglah pokok kurma itu.” Dia enggan juga. Sabda Baginda lagi: “Hadiahkan pokok kurma itu dan bagimu seumpamanya di syurga.” Dia enggan juga.
Maka sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam kepada Samrah: “Kamu ini memudaratkan.” Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam lalu bersabda memerintahkan kepada lelaki Anshar: “Pergi dan potonglah pokok kurmanya itu.” (Al-Ahkâm as-Sulthâniyyah li al-Qadhi Abu Ya‘la Muhammad bin al-Husain al- Farra’ al-Hanbali)
Berdasarkan panduan hadis ini, bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam pernah bertegas atas milik seseorang sehingga ianya boleh dimusnahkan jika mendatangkan kesusahan kepada orang lain.
Contoh lain sebagaimana riwayat al-Imam Malik dalam al-Muwaththa’:
Maksudnya: “Daripada Amr bin Yahya al-Mazini, daripada ayahnya: “Sesungguhnya ad-Dhahhak bin Khalifah ingin mengalirkan air ke ladang miliknya dan perkara itu mestilah melalui tanah Muhammad bin Maslamah. Muhammad enggan, ad-Dhahhak bertanya kepadanya: “Mengapa kamu menghalangiku? Sesungguhnya kamu juga akan beroleh manfaat. Kamu boleh minum terus-menerus. Lagi pula tidak merugikan kamu.”
Akan tetapi si Muhammad enggan.
Lalu ad-Dhahhak melaporkan kejadian itu kepada ‘Umar bin Al-Khaththab, maka Sayyidina ‘Umar memanggil Muhammad bin Maslamah dan memerintahkannya supaya dia memberi laluan kepada ad-Dhahhak.
Namun Muhammad menjawab: “Tidak.” ‘Umar bin Al-Khatthab berkata: “Mengapa kamu halangi kepentingan saudaramu, sedangkan kamu juga akan mendapat faedah (keuntungan)? Kamu akan minum dengannya terus-menerus, dan itu juga tidak membuatmu rugi.”
Tetapi si Muhammad tetap menjawab: “Tidak, demi Allah.”
‘Umar lalu berkata: “Demi Allah, akan aku alirkannya juga walaupun akan melalui (melintasi) perutmu.” Maka ‘Umar pun memerintahkan untuk mengalirkannya, lalu ad-Dhahhak pun melakukannya.”
Jika terdapat sesuatu perkara yang boleh mendatangkan mudarat, maka mudarat itu wajib dicegah berdasarkan batas-batas yang telah dipandu oleh syara‘ seperti peristiwa-peristiwa di atas. Satu lagi kaedah fiqh berbunyi:
Ertinya: “Dharar (mudarat) itu dihilangkan (dihindarkan).”
Kaedah fiqh di atas ini berasal daripada sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: “Tidak memudaratkan dan tidak juga dimudaratkan.” (Hadis dikeluarkan oleh Malik dalam Muwaththa’ daripada ‘Amru bin Yahya daripada bapanya secara mursal. Al-Hakim mengeluarkan hadis ini dalam kitab al-Mustadrak, al-Baihaqi dan ad-Daraquthni mengeluarkannya daripada hadis Abu Sa‘id al-Khudri, Ibnu Majah mengeluarkannya daripada hadis Ibnu ‘Abbas dan ‘Ubadah bin as-Shamit). (al-Asybâh wa an- Nazhâ’ir li al-Imam as-Suyuthi: 83) Kita sengaja menghuraikan tentang perkara membuat peraturan oleh kerajaan Islam yang ada hubungannya dengan kepentingan awam. Dalam waktu yang sama, timbul persoalan adakah suatu waqaf diperlukan daripada seseorang terhadap “suatu perkara” sedangkan suatu perkara itu telah dipersyaratkan mesti dipenohi oleh orang berkenaan itu, sebagaimana perkara yang diminta fatwa iaitu “mewaqafkan sebahagian tanah yang terlibat jalan laluan/simpanan laluan.”
Padahal dalam waktu yang sama menurut dalam surat Jabatan Ukur menyebutkan:
“Sebagaimana biasanya garispandu dan peraturan pemecahan tanah yang dibuat pada masa ini, setiap satu permohonan penyatuan/pemecahan tanah yang dihadapkan melebihi dua pecahan dimestikan membuat penyerahan dengan percuma sebahagian tanah berkenaan kepada kerajaan, untuk jalan laluan/simpanan laluan bagi tujuan untuk memudahkan perhubungan tanah di belakang.
Jadinya, jika kerajaan telahpun mengenakan syarat sebagaimana di atas, maka tidaklah berbangkit atau timbul lagi masalah mewaqafkan sebagaimana yang disebut pemilik-pemilik tanah itu. Sama ada seorang atau pemilik-pemilik tanah itu hendak mewaqafkan tanah yang akan dijadikan jalan laluan atau simpanan laluan itu atau tidak, pengambilan tanah tersebut tetap berlaku, kerana kerajaan telahpun mengenakan syarat mesti menyerahkan secara percuma mana-mana bahagian tanah yang akan menjadi jalan laluan dan termasuk tanah simpanan laluan.
Satu perkara lagi – setakat yang dapat dilihat dalam rajah yang disertakan – bahawa pemilik-pemilik tanah itu, jika mereka berwaqaf, maka kedudukan mereka dari segi pewaqaf ialah sama seperti seorang mewaqafkan hartanya untuk dirinya sendiri. Mewaqafkan sesuatu untuk diri sendiri adalah tidak sah, ini kerana jalan laluan itu yang asalnya adalah tanah mereka juga, sebenarnya ialah untuk kepentingan mereka juga.
Al-Imam asy-Syirazi telah menyebutkan bahawa tidak harus mewaqafkan untuk diri sendiri dan tidak juga harus mensyaratkan sesuatu untuk diwaqafkan bagi dirinya. (Al-Muhadzdzab: 3/675)
Apapun juga, pemilik-pemilik tanah tersebut sekalipun tidak mewaqafkan sebahagian tanah yang dijadikan laluan atau simpanan itu, namun ia tetap diambil oleh kerajaan berdasarkan peraturan yang berjalan sebagaimana disebutkan oleh Jabatan Ukur. Dasar atau peraturan ini adalah tidak menyalahi hukum syara‘ kerana ia adalah bagi kepentingan umum sebagaimana yang dijelaskan di atas.
Walau bagaimanapun pemilik-pemilik tanah tersebut tetaplah mendapat pahala kerana taatkan peraturan kerajaan dan kerana tanah mereka yang diambil itu digunakan untuk kepentingan umum.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-8631
