Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳أحكام متنوعة

Permainan Membaling Gelang Rotan Yang Mensyaratkan Bayaran

Soalan: Dengan penuh hormat dan takzim sukacita kaola pohonkan fatwa/pandangan Islam bagi perkara-perkara di bawah ini:

(1) Apakah pandangan Islam mengenai permainan yang mengenakan bayaran dengan jumlah yang tertentu seperti permainan membaling gelang rotan ke sasarannya, memasukkan bola pingpong ke dalam bakul dan seumpamanya? Sebagai contoh, lima (5) gelang rotan dikenakan bayaran $1.00. Peraturan permainannya ialah jika gelang rotan menepati sasarannya, hadiah akan diberikan dan jika sebaliknya hadiah tidak akan diberikan bahkan wang bayaran $1.00 tadi tidak akan dikembalikan dan menjadi milik penganjur.

(2) Apakah pandangan Islam mengenai permainan yang mensyaratkan/mengenakan bayaran seangkat-angkat hati (yang dinamakan uji kemahiran sambil beramal) seperti permainan meneka banyak bilangan biji kacang dalam botol, membaling gelang rotan ke sasarannya dan seumpamanya? Sebagai contoh, permainan membaling gelang rotan ke sasarannya, di mana setiap bayaran yang diterima akan diberikan/dipinjamkan lima (5) gelang rotan. Peraturan permainannya ialah jika gelang rotan menepati sasarannya, hadiah akan diberikan dan jika sebaliknya tidak ada hadiah dan wang bayaran tadi juga tidak akan dikembalikan sebaliknya akan disumbangkan kepada perkara yang berkebajikan seperti disedekahkan kepada anak-anak yatim, masjid atau seumpamanya.

(3) Pada permainan yang sama di mana tiga (3) gelang rotan akan dipinjamkan kepada setiap peserta dengan tidak dikenakan bayaran langsung. Peraturan permainannya ialah jika gelang rotan menepati sasarannya maka hadiah akan diberikan oleh pengajur kepada pemenangnya. Permainan seperti ini apakah pula kedudukannya dari segi Islam?

Oleh itu, segala jawapan yang akan diberikan mudah-mudahan akan dapat menyelesaikan masalah yang dihadapi.

Jawapan: Permainan yang mensyaratkan bayaran seperti pelanggan dikehendaki membayar $1.00 bagi mendapatkan 5 gelang rotan untuk dibaling ke sasarannya atau membayar $1.00 bagi bola pingpong untuk dimasukkan ke dalam bakul dengan tujuan mendapatkan hadiah yang telah disediakan, seperti yang digambarkan dalam permasalahan di atas, adalah permainan yang melibatkan pertaruhan. Pelanggan akan mempertaruhkan wang yang $1.00 itu untuk mendapatkan hadiah melalui balingan gelang rotan berkenaan. Jika dia berjaya mengenakan sasarannya maka hadiah akan diterimanya, jika tidak, dia akan rugi $1.00. Permainan sedemikian adalah termasuk dalam kategori judi.

Tiada amal (kebajikan) dalam permainan yang disebutkan di atas. Jika hendak menderma atau membantu anak-anak yatim mestilah dia ikhlas semata-mata bagi tujuan tersebut tanpa ada sampingan-sampingan lain seperti bermain perkara yang tidak diharuskan sambil berderma. Hal ini patut kita sedari sekalipun dikatakan bayarannya seangkat-angkat hati dengan maksud tiada ketetapan harga, namun pada hakikatnya bayaran seangkat-angkat hati itu juga adalah bayaran untuk menyertai permainan berkenaan. Ia sama dengan perkara pertama iaitu merupakan permainan yang berunsurkan judi.

Cara permainan yang digambarkan dalam perkara tiga di atas adalah harus pada hukum syara‘ iaitu gelang rotan akan dipinjamkan kepada setiap peserta dengan tidak dikenakan apa-apa bayaran langsung. Jika gelang rotan menepati sasaran, maka hadiah akan diberikan kepada pemenangnya. Walau bagaimanapun keharusan ini boleh sahaja bertukar kepada haram jika ia melibatkan perkara-perkara haram seperti hadiahnya daripada benda haram dan seumpamannya.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-8635