Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳الطهارة

Syak Terhadap Najis

Soalan: Dengan penuh hormat dihadapkan kemusykilan-kemusykilan yang telah dikemukakan oleh beberapa orang pegawai dan kakitangan Negara Brunei Darussalam di United Kingdom secara lisan. Oleh itu kaola pohonkan fatwa mengenai perkara:

“Cara atau kaifiyyât membersihkan atau menyucikan halaman/isi rumah termasuk perabot-perabotnya dan permaidani atau kenderaan (kereta) yang dipercayai dipijak atau dijilat oleh anjing walaupun tidak dilihat dengan mata kepala sendiri. Untuk pengetahuan Pehin, rumah/kenderaan tersebut akan disewa oleh orang-orang Islam. Sebelumnya rumah/kenderaan tersebut dimiliki oleh orang kafir yang dipercayai dimasuki oleh anjing peliharaan mereka. Kaola telah menjelaskan bahawa anjing itu termasuk najis mughallazhah (najis yang berat) dan cara menyucikannya adalah dengan dibasuh tempat yang kena najis itu sebanyak 7 kali dengan air muthlaq dan salah satu di antaranya hendaklah air yang bercampur tanah kira-kira mengeruhkan air itu sahaja. ”

Segala fatwa daripada Yang Dimuliakan Pehin mengenainya nanti, insyâ’ Allah akan menjadi panduan, rujukan dan menambahkan lagi pengetahuan keagaman di kalangan abis kaola.

Jawapan: Untuk menentukan sesuatu itu najis atau terkena najis hendaklah ianya dipastikan, iaitu ada ‘ainnya (bendanya), baunya atau warnanya. Jika telah pasti maka hendaklah dihilangkan ketiga-tiga perkara itu. Jika tiada wujud salah satu daripada ketiga-tiga perkara tersebut, maka tempat atau benda itu tetaplah suci yakni kembali kepada hukum asal (suci), kecuali ada sesuatu yang menyebabkan kita yakin tempat atau benda itu bernajis seperti najis hukmi.

Dalam kitab al-Asybâh wa an-Nazhâ’ir ada disebutkan bahawa:

Ertinya: “Sesiapa yakin dalam keadaan bersih (suci) dan dia merasa syak berhadas, maka dia adalah suci, atau dia yakin dalam keadaan berhadas dan syak dalam suci, maka dia adalah berhadas.” (As-Suyuthi, al-Asybâh wa an-Nazhâ’ir: 38)

Dalam Fath al-Mu‘în oleh al-‘Âlim al-‘Allâmah asy-Syeikh Zainuddin bin Abdul Aziz al-Malibari anak murid kepada Ibnu Hajar al-Haitsami, sewaktu membahaskan perkara-perkara najis yang dimaafkan (ma‘fu) khasnya mengenai tempat laluan atau jalan yang bernajis, beliau ada menyebutkan kaedah:

Maksudnya: “Sesuatu yang asalnya suci, lalu ada perasangka ia menjadi najis dengan alasan bahawa barang yang seperti itu pada umumnya najis, maka di sini ada dua pendapat yang terkenal dengan: Pendapat asal (ia suci) dan pendapat zahir atau ghâlib. Pendapat yang lebih kuat adalah pendapat bahawa barang tersebut suci, dengan alasan “asal keyakinan yang telah ada”, di mana hal ini lebih terpercaya daripada “kebiasaan kejadian” yang selalu berbeza sesuai dengan keadaan dan masa. Yang demikian itu seperti pakaian pembuat arak, pakaian orang haidh, pakaian anak-anak, bejana milik pemeluk-pemeluk agama yang menggunakan barang najis, daun yang umumnya berjatuhan di tempat najis, air liur anak damit, kain tenun jukh yang terkenal terbuat daripada lemak babi, keju Syria yang terkenal terbuat daripada perut besar babi.

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam pernah diberikan keju daripada penduduk Syria, lalu Baginda makan sebahagiannya, Baginda tidakpun bertanya daripada apa keju itu diperbuat. Demikianlah kaedah yang sebahagian besarnya telah dikemukakan oleh guru kita dalam Syarh al-Minhâj.” (Fath al-Mu‘în bi Syarh Qurrah al-‘Ain bi Muhimmât ad-Dîn: 14)

Anjing dan babi atau apa-apa yang dinisbahkan kepada keduanya adalah najis mughallazhah. Sekiranya benar-benar terdapat najis ini, maka cara menghilangkannya ialah dengan membersihkan tempat yang terkena najis itu dengan air muthlaq sebanyak tujuh kali dan salah satu daripadanya dengan air yang bercampur tanah.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-8663