Adakah Tafsiran Anak Yatim Berubah jika Dijadikan Anak Angkat?
Soalan: Dengan segala hormatnya serta takzim kaola sukacita memaklumkan bahawa pihak kaola telahpun menerima fatwa Yang Dimuliakan Lagi Dihormati Pehin Mufti Kerajaan berhubung dengan Tafsiran Anak-anak Yatim Yang Berhak Menerima Sumbangan Derma Tabung Anak-Anak Yatim Kebangsaan melalui Siri Fatwa (34/2001) Bil: 31-12/1Ek bertarikh 20hb. Disember, 2001).
Memandangkan pihak kaola telah mendapati bahawa ada di antara anak-anak yatim yang dimaksudkan itu diasuh dan diangkat oleh keluarga lain secara berdaftar, maka pihak kaola merasa ragu dan tidak pasti akan kedudukan pemberian dan sumbangan derma daripada tabung tersebut di atas kepada anak-anak yatim berkenaan.
Oleh yang demikian apa kiranya pihak kaola sekali lagi memohon pandangan daripada pihak Yang Dimuliakan Lagi Dihormati Pehin Mufti mengenai pemberian atau sumbangan derma daripada Tabung Anak-Anak Yatim Kebangsaan kepada anak-anak yatim seperti berikut:
1. Kanak-kanak daripada anak zina (anak luar nikah) yang diasuh dan diangkat secara berdaftar oleh keluarga lain.
2. Anak pungut (anak laqîth) yang diasuh dan diangkat secara berdaftar oleh keluarga lain.
3. Kanak-kanak yang dinafikan dengan sebab li‘ân antara suami isteri atau sumpah untuk menafikan nasabnya yang diasuh dan diangkat secara berdaftar oleh keluarga lain.
Dengan penjelasan dan pandangan pihak Yang Dimuliakan Lagi Dihormati Pehin Mufti mengenai keraguan abis kaola ini nanti maka adalah dihasratkan untuk dijadikan panduan bagi pihak abis kaola di dalam mengagih-agihkan derma daripada Tabung Anak-Anak Yatim Kebangsaan kepada yang berhak.
Sekian dan terlebih dahulu kaola ucapkan terima kasih.
Jawapan: Anak yatim itu sebagaimana yang ditakrifkan oleh al-‘Allamah Ibnu Qasim al- Ghazzi’ ialah anak kecil yang tidak mempunyai bapa. Maksud tidak mempunyai bapa itu ialah tidak mempunyai bapa yang diketahui menurut syara‘ sebagaimana yang dikatakan oleh al-‘Allamah al-Fadhil wa al-Qudwah al-Kamil asy-Syaikh Ibrahim al- Baijuri.
Berdasarkan takrif tersebut asy-Syaikh Ibrahim al-Baijuri telah mengkategorikan anak zina, anak yang dinafikan nasabnya dengan li‘ân atau half (sumpah) dan anak pungut kepada anak-anak yatim, katanya:
Ertinya: “Maka termasuk di dalam tafsiran anak yatim itu anak zina, anak pungut, anak yang dinafikan (nasabnya) disebabkan li‘ân atau half (sumpah untuk menafi nasab seseorang). Sekalipun mereka itu tidak dinamakan anak-anak yatim menurut ‘urf (adat kebiasaan) kerana anak zina hanya tidak mempunyai bapa yang sah menurut syara‘. Manakala anak pungut pula boleh jadi muncul bapanya dan anak yang dinafikan nasabnya melalui li‘ân atau half pula boleh jadi penafinya itu mendakwakan nasabnya yang dinafikannya itu. Akan tetapi berdasarkan qiyâs mereka itu diberikan daripada bahagian (harta al-fai’) anak-anak yatim. Sekiranya muncul bapa bagi anak pungut itu atau orang yang menafikan nasabnya itu mendakwa (sabit nasabnya) maka menurut pendapat yang mu‘tamad (dalam mazhab Syafi‘e) dipulangkan kembali bahagian yang telah diberikan kepada kedua-dua mereka itu.” (Al-Baijuri: 2/281)
Berdasarkan nash di atas jelaslah bahawa anak yatim itu ialah:
(i) Kanak-kanak yang tidak mempunyai bapa. (ii) Kanak-kanak daripada anak zina (anak luar nikah). (iii) Anak pungut. (iv) Kanak-kanak yang dinafikan dengan sebab li‘ân antara suami isteri atau dengan sumpah untuk menafikan nasabnya.
Adapun had umur anak yatim ialah kanak-kanak yang masih belum lagi mencapai had umur bâligh sebagaimana sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: “Tidak ada keyatiman apabila telah bermimpi (yakin mencapai umur bâligh).” (Hadis riwayat Abu Daud)
Sebenarnya status anak yatim itu, sama ada kanak-kanak yang tidak mempunyai bapa, anak zina, anak pungut atau kanak-kanak yang dinafikan dengan sebab li‘ân antara suami isteri atau dengan sumpah untuk menafikan nasabnya adalah tidak berubah, walaupun anak yatim itu telah diangkatkan kepada orang lain atau telah menjadi anak angkat.
Persoalan yang timbul ialah apabila seseorang anak yatim itu telah dijadikan anak angkat di mana keadaan hidupnya bertambah baik atau lebih baik berdasarkan kemampuan atau kehidupan mewah orang yang mengangkatnya, atau dalam makna lain anak yatim itu telah turut menikmati kehidupan mewah atau menjadi kaya raya disebabkan orang yang mengangkatnya.
Dalam perkara ini al-Imam asy-Syirazi menyatakan dalam kitabnya al-Muhadzdzab:
Ertinya: “Dan adakah termasuk maksud anak yatim itu anak yatim yang kaya? Dalam perkara anak yatim yang kaya ada dua pendapat. Salah satunya; termasuk di dalamnya (anak yatim yang kaya), kerana dia menjadi yatim adalah dengan sebab ketiadaan bapanya. Pendapat kedua: Anak yatim yang kaya tidak termasuk, kerana tidaklah dinamakan dengan nama ini dalam masyarakat Arab anak yatim yang kaya.”
Pendapat yang pertama itu adalah râjih (termasuk anak yatim itu ialah anak yatim yang kaya) (al-Muhadzdzab, Doktor Muhammad az-Zuhaili: 3/728).
Al-Imam an-Nawawi salah seorang ulama besar dalam mazhab asy-Syafi‘e sependapat dengan al-Imam asy-Syirazi bahawa tafsiran atau takrif anak yatim itu termasuklah juga anak yatim yang kaya. (Ar-Raudhah: 6/181).
Siapakah الصىب (kanak-kanak), ghulâm dan yafi’ itu? Mereka ialah siapa yang belum sampai umur bâligh. Demikianlah juga anak yatim. Maka sesiapa berwasiat kepada anak-anak yatim “bani fulan” dengan sesuatu, maka termasuk dalam wasiat ini anak yatim yang bapanya telah meninggal sebelum anak yatim itu sampai umur dengan sebab bermimpi (keluar mani). Sama ada anak yatim itu kaya, miskin, lelaki atau perempuan. (Al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh, Doktor Wahbah Zukhaili: 8/79).
Jadi kesimpulannya ialah: Adalah anak yatim itu termasuklah anak yatim yang kaya, sama ada dia kaya kerana memang kaya daripada harta sendiri melalui harta pusaka umpamanya, atau kaya disebabkan diasuh atau diangkat oleh orang lain.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-8696
