Adakah Wajib Zakat Pada Wang Pinjaman? Menunaikan Haji Dengan Wang Hutang
Soalan: 1. Saya telah meminjam wang di bank dan menyimpan wang itu ke akaun anak saya. Setelah cukup haul (selama setahun) adakah wajib saya mengeluarkan zakat?
2. Saya meminjam wang di bank dan berhajat untuk menunaikan fardhu haji dengan wang pinjaman tersebut. Apakah haji saya itu sah dan diterima oleh Allah? Apa yang saya fahami syarat wajib haji itu hendaklah mampu (berkuasa) dari segi harta dan fizikal dan apakah maksud mampu sebenarnya?
Jawapan: Wajib Zakat Pada Wang Pinjaman
Menurut qaul jadîd dalam mazhab Syafi‘e hutang tidak menghalang daripada kewajipan mengeluarkan zakat.
Oleh yang demikian, wang pinjaman tersebut wajib dikeluarkan zakatnya sekiranya jumlah wang tersebut mencapai nishâb zakat dan telah sempurna haulnya.
Orang yang meminjam wang tersebut wajib mengeluarkan zakat untuk dirinya pada harta berkenaan jika wang pinjaman itu hanya disimpan ke dalam akaun anak (bukan maksud diberikan) kerana wang itu masih menjadi miliknya. Jika maksudnya untuk dimiliki oleh anaknya, maka jika anak itu belum bâligh, wali anak itulah (ayah) wajib mengeluarkan zakat pada harta anaknya yang belum bâligh itu. Adapun jika anak itu telah bâligh maka menjadi kewajipan anak itu untuk mengeluarkan zakatnya.
Antara Berhutang Untuk Berhaji Dan Istithâ‘ah Sebagai Syarat Kewajipan Menunaikan Haji
Pada dasarnya asal hukum syara‘ terhadap ibadat haji itu adalah wajib ke atas orang Islam yang mukallaf lagi berkuasa atau berkemampuan untuk mengerjakannya.
Kemampuan atau istithâ‘ah yang menjadi syarat wajib haji atau umrah itu ada dua bahagian:
1. Berkuasa pergi melaksanakan haji oleh dirinya sendiri.
2. Berkuasa menunaikan haji dengan perantaraan orang lain.
Adapun berkuasa membuat dan menjalankan haji oleh dirinya sendiri itu ada beberapa syarat, antaranya ialah:
(i) Mempunyai perbelanjaan yang cukup untuk dirinya semasa dalam perjalanan pergi dan balik serta semasa melaksanakan fardhu haji, dan juga untuk sara hidup orang yang wajib dibelanjainya semasa dalam pelayarannya, serta perbelanjaan itu melebihi daripada hutangnya.
(ii) Ada kenderaan seperti kapal terbang, kapal laut, bas dan seumpamanya sama ada milik sendiri atau dia mampu menyewanya dengan kadar sewa biasa menurut tempat dan masa. Syarat ada kenderaan itu adalah bagi orang yang hendak mengerjakan haji itu, jauh tempat tinggalnya dengan Makkah al-Mukarramah sejauh dua marhalah atau lebih iaitu kadar yang membolehkan diqasharkan sembahyang. Kedua-dua syarat iaitu bekalan dan kenderaan ini disebut dalam hadis riwayat Ibnu Umar katanya:
Maksudnya: “Telah datang seorang lelaki kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, lalu dia berkata: “Wahai Rasulullah, apakah (syarat) yang mewajibkan haji itu?” Baginda bersabda: “Bekalan dan kenderaan” (Hadis riwayat at-Tirmidzi)
(iii) Hendaklah aman dan selamat dalam perjalanan daripada bahaya ke atas dirinya, hartanya dan kehormatannya serta orang-orang yang bersamanya.
(iv) Sihat tubuh badan dan tidak menghadapi kepayahan ketika dalam perjalanan iaitu berkuasa menghadapi sebarang kesukaran dalam perjalanan. Bagi orang buta pula hendaklah mendapatkan pembantu sebagai penunjuknya ketika dalam perjalanan.
(v) Mempunyai masa dan kesempatan bagi menunaikan fardhu haji.
(vi) Bagi perempuan hendaklah ditemani sama ada oleh suaminya, mahramnya atau perempuan-perempuan yang dapat dipercayai.
Jika seseorang itu tidak memenuhi syarat istithâ‘ah, maka tidaklah wajib ke atasnya melaksanakan ibadah haji. Inilah sebahagian bukti yang menunjukkan bahawa agama Islam itu agama rahmat, ia mudah dan tidak menyusahkan. Para ulama telahpun membuat syarat-syarat tertentu yang amat padat lagi kemas berdasarkan al-Qur’an, hadis dan ijmâ‘. Jika syarat-syarat itu tidak dapat dipenuhi oleh seseorang Islam, maka tidak wajib ke atasnya pergi menunaikan haji, walaupun ibadah haji itu merupakan salah satu rukun Islam yang lima.
Berhutang Untuk Menunaikan Haji Dan Kedudukan Hajinya
Sebagaimana yang telah disentuh di atas bahawa syarat wajib haji itu hendaklah seseorang itu berkemampuan dari semua aspek termasuklah dari aspek kewangan.
Oleh itu seseorang yang tidak berkemampuan dari aspek kewangan atau perbelanjaan itu tidak perlu membebankan dirinya dengan bersusah payah untuk mengadakan sumber kewangan dengan berhutang supaya dia dapat mengerjakan ibadah haji kerana haji tidak ditaklîfkan (tidak wajib) ke atasnya. Dalam hal ini sebuah riwayat daripada Abdullah bin ‘Auf berkata:
Maksudnya: “Aku pernah bertanya kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam tentang seorang lelaki yang tidak berkemampuan untuk pergi menunaikan haji: “Adakah dia boleh berhutang untuk menunaikan haji itu?” Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam menjawab: “Tidak.” (Hadis riwayat al-Baihaqi)
Imam an-Nawawi Rahimahullah berkata berhubung dengan orang yang sudah sedia ada hutangnya:
“Berkata ulama Syafi‘e “Sekiranya orang yang memberi hutang itu rela hutang itu dibayar semula sehingga selepas haji, maka tidak wajib haji ke atas orang yang berhutang itu tanpa percanggahan pendapat (khilâf.)” Dan disambung lagi katanya berhubung dengan orang yang ingin berhutang untuk pergi haji. “Apabila sudah tidak wajib haji ke atas orang yang sudah sedia ada hutang dengan sebab hutangnya itu, maka tidak wajib berhutang untuk pergi haji itu adalah awlâ (lebih utama lagi), wallâhu a‘lam”. (Al-Majmû‘: 7/45)
Walau bagaimanapun, sekalipun duit yang digunakannya untuk perbelanjaan mengerjakan haji itu adalah duit hutang yang memberi isyarat bahawa dia bukanlah orang yang berkemampuan, namun hajinya tetap sah, bahkan haji tersebut jatuh sebagai haji fardhu dalam Islam. Apabila nanti dia dikategorikan sebagai orang yang berkemampuan setelah mengerjakannya dalam keadaan tidak berkemampuan itu, dia tidaklah dituntut sekali lagi untuk menunaikannya.
Berkata Imam an-Nawawi Rahimahullah:
Ertinya: “Adapun untuk jatuhnya haji yang dikerjakan itu sebagai haji Islam (haji fardhu), maka syaratnya ada empat perkara iaitu Islam, berakal, merdeka dan bâligh. Jika seorang fakir berusaha dengan bersusah payah (untuk mendapatkan perbelanjaan bagi tujuan) mengerjakan haji maka haji itu jatuh (memadai) sebagai haji Islam. (Hamisy Hâsyiah Ibnu Hajr ‘ala al-Îdhâh: 44)
Daripada nash di atas jelas bahawa orang yang tidak ditaklifkan ke atasnya dengan ibadah haji adalah jatuh hajinya sebagai haji fardhu. Al-Khatib asy-Syarbini ketika mensyarahkan perkataan Imam an-Nawawi: فيجزئ حج الفقْي) ertinya: “Adalah memadai haji orang fakir”, beliau berkata:
Ertinya: “Dan (begitu juga mamadai haji yang dilakukan oleh) setiap orang yang tidak berkemampuan apabila terkumpul syarat merdeka dan taklîf (taklîf secara keseluruhan iaitu berakal dan bâligh).” (Mughni al-Muhtâj: 1/622)
Kata Imam an-Nawawi lagi:
Ertinya: “Maka jika orang yang tidak bekemampuan untuk pergi haji itu bersusah payah (supaya dapat menunaikannya) maka jatuh haji itu sebagai haji yang fardhu dalam Islam.” (Al-Majmû‘: 7/17)
Kesimpulan Zakat adalah wajib dikeluarkan apabila harta yang dimiliki mencapai nishâb wajib zakat dan telah cukup haulnya sekalipun pemilik harta mempunyai hutang atau berhutang.
Sementara kefardhuan haji pula hanyalah wajib ke atas orang yang cukup syarat wajib menunaikan haji. Orang Islam tidak dibebankan untuk berhutang demi memungkinkannya menunaikan ibadah haji, bahkan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam telah menegah perbuatan itu sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah bin ‘Auf tadi. Namun haji itu tetap sah dan jatuh sebagai haji fardhu dalam Islam serta tidak dituntut mengerjakannya lagi apabila nanti orang yang tidak ada kemampuan (tidak memenuhi syarat istithâ‘ah) itu telah berkemampuan.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-8699
