Allah Subhânahu wa Ta‘âla Tidak Melihat Dengan Dua Biji Mata
Soalan: Dengan hormat dihadapkan perkara ini kepada pihak tuan yang mana saya selaku imam di Masjid Kampong Danau, Tutong banyak menerima aduan daripada orang ramai berkenaan dengan sebuah papan tanda, terutama daripada penduduk kampung yang menggunakan tempat pembuangan sampah berdekatan dengan simpang masuk menuju ke Kampong Danau. Oleh yang demikian perkara ini perlu saya rujuk kepada pihak tuan untuk tindakan selanjutnya.
Papan tanda yang dimaksudkan berbunyi: “PERHATIAN: ALLAH MAHA MELIHAT APA YANG KAMU LAKUKAN DAN SEMBUNYIKAN”, disertai dengan gambar dua biji mata. Dipohonkan pandangan dan fatwa mengenainya.
Jawapan: Perkara yang hendak diminta fatwa atau ulasan ialah mengenai dengan papan tanda yang berbunyi: PERHATIAN: ALLAH MAHA MELIHAT APA YANG KAMU LAKUKAN DAN SEMBUNYIKAN
Sudah tentu dua biji mata yang dilukiskan di atas itu bukanlah mata Tuhan, namun demikian ada juga orang mengadu kepada imam masjid tentang perkara dua biji mata itu.
Seseorang hendaklah beri‘tiqâd secara ijmâli dan sungguh-sungguh bahawa Allah bersifat dengan segala sifat yang sempurna lagi sesuai dengan ketuhananNya, dan mustahil bagiNya bersifat dengan sifat-sifat kekurangan. Adalah harus bagi Allah melakukan semua perkara atau meninggalkannya.
Perkara yang pertama sekali diwajibkan kepada seseorang mukallaf ialah mengetahui dan meyakini segala apa yang wajib, yang mustahil dan yang harus bagi Allah Ta‘ala itu. (Al-Baijuri, Tuhfah al-Murid: hlm. 20-21).
Ulama-ulama tauhid berkata bahawa Allah Ta‘ala wajib memiliki dua puluh sifat, mustahil dua puluh dan harus satu. (Al-Baijuri, Hâsyiyah Tahqîq al-Maqâm: hlm. 25). Mereka juga berkata bahawa Allah Ta‘ala wajib bersifat dengan segala sifat kesempurnaan.
Dua sifat yang wajib bagi Allah Ta‘ala daripada dua puluh sifat itu yang sentiasa disebut oleh ulama tauhid dan juga al-Qur’an secara bergandingan ialah ْسع dan بصر (mendengar dan melihat). Orang mukallaf adalah wajib meyakini bahawa Allah Ta‘ala itu bersifat dengan sifat mendengar dan melihat.
FirmanNya:
Tafsirnya: “Dan Allah itu Maha Mendengar lagi Maha Melihat.” (Surah asy-Syûrâ: 11)
Di samping wajib meyakini bahawa Allah Ta‘ala itu Maha Melihat, adalah wajib juga mengetahui dan meyakini bahawa “melihat” oleh Allah Ta‘ala itu tidaklah sama dengan melihat yang digambarkan oleh makhluk. Bagaimana cara dan alat Allah melihat adalah di luar jangkauan makhluk, dalam makna pengertian bagi Allah “melihat” tidaklah sama dengan pengertian manusia “melihat”, kerana manusia melihat dengan anggota (biji) mata, manakala Allah tidak dapat digambarkan oleh makhluk.
Wajib bagi Allah bersifat melihat iaitu sifat yang qadîm bagi zat Allah Ta‘ala, dan mustahil bagiNya bersifat buta kerana buta itu adalah di antara sifat kekurangan, sedangkan kekurangan bagi Allah adalah mustahil.
Persoalan yang hendak ditimbulkan di sini, selain Allah itu mustahil bersifat buta, Allah juga tidak melihat sebagaimana manusia dan makhlukNya yang lain melihat dengan mata. Dalam makna umum bahawa Allah itu adalah wajib berbeza dengan sekalian yang baharu, bahkan mustahil menyerupaiNya. Dalil umum mengenai perkara itu ialah:
Tafsirnya: “Tidak ada sesuatu pun yang menyamaiNya (sebanding dengan zatNya, sifat-sifatNya dan pentadbiranNya) dan Dialah (Allah) Yang Maha Mendengar lagi Maha Melihat.” (Surah asy-Syûrâ: 11)
Syeikh al-Baijuri berkata:
“Ketahuilah bahawa sifat “mendengar” dan “melihat” yang dimiliki Allah adalah berbeza dengan sifat “mendengar” dan “melihat” kita dari sudut hakikat dan pergantungan. Adapun yang pertama (sudut hakikat) kerana “mendengar” dan “melihat” kita itu adalah satu kekuatan yang dicipta oleh Allah di dalam lubang telinga dan di dalam biji mata kita, berbeza dengan sifat “mendengar” dan “melihat” Allah bahawa keduaNya adalah sifat yang azali. Manakala yang kedua (sudut pergantungan), kerana (pada adatnya) “mendengar” dan “melihat” kita hanya bergantung dengan suara, benda zahir dan warna-warni, sedangkan sifat “mendengar” dan “melihat” Allah bergantung dengan segala yang wujud.” (Hâsyiyah Tahqîq al-Maqâm: hlm. 53)
Selain itu orang mukallaf juga adalah wajib meyakini bahawa tidak ada yang sama atau serupa dengan Allah, tidak ada yang menyerupaiNya atau yang setara denganNya.
Tegasnya jika Allah menyebutkan bahawa Dia melihat atau mempunyai mata yang juga turut disebutkan oleh orang yang beriman, sebutan itu adalah sama sekali tidak memberikan pengertian yang mata Allah itu menyamai, menyerupai atau sebanding dengan mata manusia atau lain-lain makhlukNya.
Dalam makna lain bahawa tiada sesuatu pun yang setaraf dan setanding dengan Allah, tiada suatu pun yang sama darjat denganNya dan juga bahawa seluruh makhluk tidak akan mampu mengetahui hakikat diri dan Zat Allah; walaupun Allah Subhanahu wa Ta‘ala telah menerangkan bahawa Dia mempunyai sifat-sifat tertentu seperti mendengar, melihat, ada tangan, mata, ada mempunyai sifat redha, murka, kasih, benci. Juga sifat-sifat yang berbentuk perbuatan seperti datang, turun, menciptakan sendiri dengan tangan, bersemayam di atas ‘Arsy dan lain-lain sifat yang disebutkan di dalam kitab suci al-Qur’an dan juga hadis-hadis Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam.
Maka dalam kaitan persoalan adanya gambar atau lukisan dua biji mata pada papan tanda berhampiran pembuangan sampah tidaklah ada kena mengena dengan Allah Ta‘ala.
Sayugia lukisan dua biji mata itu ditiadakan atau dipadamkan, kerana walaupun umum sudah mengetahui bahawa itu bukan mata Allah, tetapi oleh kerana tahap pengetahuan atau maklumat seseorang itu mengenai agama, khasnya mengenai aqidah adalah berbeza-beza (buktinya ada orang awam yang mengadu kepada imam masjid tentang mata di papan tanda itu yang menunjukkan terdapat kewahaman), maka perkara ini wajar diambil perhatian serta langkah membuangnya (papan tanda yang berlukisan mata itu) dengan menukarnya dengan lain-lain kenyataan yang lebih bersesuaian.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-8705
