Beberapa Isu Mengenai Harta Pusaka
Soalan: Dengan segala hormat serta takzim sukacita kaola memohon penjelasan Pehin tentang hukum farâ’idh mengenai perkara tersebut di bawah:
1. Apakah makna ‘Hukum farâ’idh’?
2. Apakah hukumnya bagi seseorang yang tidak menjalankannya?
3. Harta dari mana yang dimaksudkan dalam hukum farâ’idh?
4. Sekiranya harta tersebut telah digunakan oleh salah seorang waris tanpa diketahui oleh waris yang lain, apakah hukumnya?
5. Apakah hukumnya sekiranya harta tersebut telah dirahsiakan daripada pengetahuan waris-waris yang lain?
6. Apakah seorang waris yang diamanahkan berhak menggunakan harta pusaka tersebut bagi kepentingannya sendiri?
7. Apakah waris berhak mengetahui segala urusan tentang harta pusaka dan bilangannya?
8. Pentadbir waris harta pusaka telah membahagikan hak waris kepada isteri si mati sedangkan si mati ada meninggalkan seorang balu dan 7 (tujuh) orang anak lelakinya, patutkah diikuti cara pembahagian tersebut atau mengikut hukum farâ’idh yang telah ditetapkan?
9. Berapakah sifir farâ’idh harus dibahagikan kepada seorang balu dan 7 (tujuh) anak lelaki?
10. Pembahagian waris sebanyak $5000.00 sebulan telah diagih-agihkan, berapakah setiap seorang berhak menerimanya mengikut hukum farâ’idh?
Isteri - 1 Anak lelaki - 7
Tujuan kaola mengajukan soalan-soalan tersebut ialah untuk mengetahui lebih lanjut tentang cara-cara pembahagian yang betul mengikut hukum agar tidak ada perasaan syak, ragu-ragu atau penyalahgunaan kuasa yang berlaku. Semoga ia juga boleh mengeratkan lagi silaturahim antara keluarga supaya tidak ada pertelingkahan yang boleh memecah-belahkan keluarga kerana harta pusaka ini.
Jawapan: 1. Hukum Farâ’idh itu sebenarnya adalah ilmu farâ’idh iaitu suatu ilmu yang membahaskan tentang pengendalian harta pusaka.
2. Seseorang yang tidak mengikut ketetapan hukum farâ’idh dalam pembahagian harta pusaka adalah berdosa kerana melanggar ketetapan Allah Subhanahu wa Ta‘ala dan membuka ruang kepada berlakunya pengambilan harta secara yang salah (bâthil) sebagaimana larangan Allah Subhanahu wa Ta‘ala dalam firmanNya:
Tafsirnya: “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta kamu sesama kamu dengan jalan yang salah (tipu, judi dan sebagainya).” (Surah An-Nisâ’: 29)
Walau bagaimanapun sekiranya semua ahli-ahli waris bersetuju dan rela untuk menyelesaikan urusan pembahagian harta pusaka berkenaan dengan cara yang lain, maka ia adalah harus kerana adanya persetujuan dan kerelaan semua ahli waris yang mempunyai hak mengenainya. Umpamanya semua ahli waris bersetuju supaya harta pusaka yang mereka warisi itu dibahagi sama rata atau mereka itu setuju pembahagian berlebih kurang.
3. Apabila seseorang itu meninggal dunia, maka semua harta yang telah sabit menjadi milik si mati ketika hidupnya adalah menjadi hak kepada ahli-ahli warisnya. Namun sebelum pembahagiannya dilaksanakan di kalangan ahli waris, hendaklah ditunaikan terlebih dahulu segala yang wajib bagi si mati seperti perbelanjaan pengurusan jenazah si mati, membayar hutang sama ada kepada manusia atau kepada Tuhannya seperti haji yang wajib, kaffârah, zakat dan sebagainya dan hendaklah ditunaikan wasiatnya. Kemudian harta yang selebihnya itulah yang dibahagi-bahagikan kepada ahli waris mengikut hukum farâ’idh.
4. Sekiranya harta pusaka berkenaan digunakan oleh mana-mana ahli waris dengan tidak ada keizinan ahli waris yang lain, maka perbuatan ahli waris yang menggunakan harta tersebut tanpa izin itu adalah berdosa dan wajib atasnya mengembalikan atau menggantinya.
5. Harta pusaka wajib dibahagikan kepada ahli waris yang berhak. Jika ada pihak yang menyembunyikannya atau menghalang harta itu daripada dibahagikan kepada ahli-ahli waris yang berhak menerimanya, maka orang berkenaan adalah berdosa kerana melanggar perintah Allah dan RasulNya sebagaimana sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: “Serahkanlah kepada setiap orang yang ampunya hak akan haknya.” (Hadis riwayat al-Bukhari)
6. Seorang ahli waris yang diamanahkan untuk menjaga harta waris, hendaklah menjaga amanah tersebut. Oleh kerana itu adalah haram memanfaat atau menggunakan harta pusaka yang masih menjadi milik ahli waris yang lain untuk kepentingan peribadi sendiri tanpa izin semua ahli waris yang lain.
7. Semua ahli waris berhak mengetahui seluruh harta pusaka mereka dan segala perjalanannya supaya terhindar daripada memakan harta bukan haknya, supaya tidak timbul rasa tidak puas hati dan fitnah yang boleh memecah-belahkan hubungan kekeluargaan ahli-ahli waris.
8. Wajib diikut cara pembahagian yang telah ditetapkan dalam ilmu farâ’idh. Pentadbir harta waris tidak boleh membahagikannya sesuka hati kecuali semua ahli waris bersetuju dan rela untuk dibahagi dengan cara yang lain.
9. 8 Isteri 1 1/8 1 (1 bahagian) Anak 7 ع 7 (7 bahagian iaitu tiap-tiap seorang satu bahagian)
10. 8 $5,000.00 Isteri 1 1/8 1 $ 625.00 Anak 7 ع 7 $4,375.00 (setiap seorang mendapat $625.00)
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-8719
