Bekas Isteri Menuntut Sebahagian Baksis Bekas Suami
Soalan: Bekas suami kepada anak guam kami telahpun menerima wang baksis berjumlah kira-kira $200,000.00. Untuk pengetahuan Tuan, baksis adalah wang yang dibayar kepada seseorang yang berkhidmat dengan Kerajaan Kebawah Duli ataupun dalam lain perkataan seorang kakitangan kerajaan yang telah tamat perkhidmatan kerana telah mencapai umur 55 tahun. Wang baksis ini biasanya dibayar secara sekaligus atau ‘lump sum’ kepada pihak yang menerimanya.
Persoalannya, usia perkahwinan mereka telahpun mencapai 18 tahun sebelum bercerai dan wang baksis dibayar kira-kira 2 tahun selepas bercerai. Adakah si isteri berhak menuntut wang baksis tersebut daripada bekas suaminya dengan mengambil kira mengenai sumbangan tidak langsung yang dilakukan oleh pihak isteri iaitu dengan menjaga, mendidik anak-anak, memberi sokongan moral kepada suaminya sewaktu perkahwinan tersebut masih wujud?
Jawapan: Wang Baksis Dan Harta Sepencarian
Harta sepencarian ialah harta yang diperolehi dalam tempoh perkahwinan seorang suami dengan isterinya, hasil daripada usaha bersama mereka dibahagi antara mereka atau supaya mana-mana aset itu dijual dan hasil jualan itu dibahagi antara suami isteri apabila berlaku perceraian. Berdasarkan pengenalan ini, maka perolehan baksis sama ada suami atau isteri tidak dianggap sebagai harta sepencarian kerana baksis tidak bersumber daripada usaha bersama antara kedua suami isteri. Bahkan, suami atau isteri secara automatik boleh memiliki baksis itu kerana berkhidmat dengan kerajaan atau swasta dan pihak kerajaan atau mana-mana syarikat yang menyediakan skim ini akan menyerahkan kepada pesara, sama ada suami atau isteri berdasarkan akad masing-masing apabila tamat tempoh perkhidmatan mereka iaitu sebaik saja mencapai umur 55 tahun.
Bekas Isteri Menuntut Bahagiannnya Daripada Baksis Bekas Suami Dalam perkahwinan, syara‘ telahpun menetapkan hak-hak dan tanggungjawab yang wajib ditunaikan oleh suami dan isteri. Dalam hidup berumahtangga suami wajib menunaikan hak si isteri yang dipertanggungjawabkan ke atasnya seperti membayar mahr, memberi giliran (qasam) dengan adil bagi yang berkahwin lebih daripada satu, memberi nafkah yang berupa makanan, pakaian, tempat tinggal dan seumpamanya sebagaimana persoalan ini dibahas dengan detil ketika membincangkan perkara nafkah isteri. Sementara hak suami yang wajib ditunaikan oleh si isteri ialah taat kepada suami, tidak keluar rumah tanpa izin dan seumpamanya. Adapun tanggungjawab atau hak bersama suami dan isteri pula ialah mu‘âsyarah bil ma‘rûf atau memberi layanan yang baik kepada pasangan masing-masing.
Apabila semua kewajipan dan tanggungjawab dalam alam perkahwinan ini ditunaikan oleh suami isteri dengan baik dan sempurna maka tidak akan timbul masalah yang membawa kepada pertelingkahan umpamanya menuntut itu dan ini, khususnya apabila berlaku perceraian.
Tuntutan yang biasa dikemukakan kepada pihak mahkamah apabila berlakunya perceraian, sebagaimana juga yang diperuntukkan di dalam akta undang-undang keluarga, adalah seperti nafkah di samping mut‘ah, hak penjagaan anak (hadhânah) dan harta sepencarian.
Dalam masalah nafkah yang wajib diberikan suami kepada isterinya jika belum dibayar dan isteri tidak merelakannya, maka si isteri itu berhak menuntutnya, baik semasa dalam tempoh perkahwinan atau sesudah berlakunya perceraian bahkan nafkah itu akan menjadi hutang ke atas suami.
Apabila semua tuntutan yang dihadapkan oleh bekas isteri kepada bekas suaminya telah selesai ditunaikan, maka tidak ada lain-lain tuntutan selepas itu akan timbul. Ini kerana tuntutan sedemikian dihadapkan melalui proses mahkamah dan kuasa mahkamahlah yang memerintahkan pihak suami menunaikan tuntutan ke atasnya supaya terjamin hak yang menuntut itu.
Mengenai dengan tuntutan yang dibuat oleh bekas isteri untuk mendapatkan bahagiannya daripada baksis yang diperolehi oleh bekas suaminya setelah bercerai atas alasan kerana mengambil kira sumbangannya di dalam menjaga, mendidik anak-anak serta memberi sokongan moral kepada suaminya sepanjang tempoh perkahwinan, tidak patut timbul kerana wang baksis bukan harta sepencarian. Kecuali bayaran yang dituntut ialah yang berkaitan dengan hutang yang belum dijelaskan jika ada.
Dalam masyarakat kita, telah menjadi ‘urf atau kebiasaan dan budaya masyarakat bahawa menjaga dan mendidik anak itu diurus dan dilaksanakan oleh ibu. Telah menjadi kebiasaan juga si ibu tidak memerlukan apa-apa upah untuk tujuan menjaga anak-anaknya itu.
Anak-anak yang tinggal bersama dengan ibu bapa mereka yang masih dalam ikatan suami isteri adalah menjadi tanggungjawab keduanya. Bapa adalah orang yang bertanggungjawab memberi nafkah dan ibu pula melaksanakan hadhânah terhadap anak-anak.
Berkata Imam an-Nawawi dalam kitabnya ar-Raudhah:
Ertinya: “Kanak-kanak tinggal bersama dengan keduanya (ibu bapa), mereka menunaikan tanggung-jawab untuk memberi kecukupan kepada kanak-kanak itu, bapa memberinya nafkah dan ibu pula melaksanakan hadhânah dan mendidiknya. Sekiranya berlaku perceraian disebabkan fasakh atau talak, maka hak hadhânah itu adalah milik si ibu jika dia mahu.” (Raudhah ath-Thâlibîn: 6/504)
Maksud hadhânah itu ialah merawat dan mendidik seseorang yang belum mumayyiz atau yang kehilangan kecerdasannya kerana mereka tidak dapat mengerjakan keperluan diri sendiri. Ini termasuklah khidmat yang dilakukan bekas isteri dalam menjaga dan mendidik anak.
Walau bagaimanapun, sekiranya bekas isteri tetap juga mahu membuat tuntutan yang dikemukakannya, maka bekas suami boleh juga memberi pertimbangan terhadap tuntutan itu. Pertimbangan tuntutan itu sama ada atas dasar hadiah atau pemberian biasa.
Akan tetapi jika ada unsur yang menunjukkan bahawa bekas suami terhutang kepada bekas isterinya, maka dia berhak menuntutnya. Sekalipun bukan daripada baksis yang diterima bekas suaminya itu. Begitu juga jika bekas isteri membelanjakan hartanya sendiri untuk keperluan penjagaan dalam tempoh hadhânah anak-anaknya itu dan suaminya bersetuju bahawa harta yang dibelanjakan itu sebagai hutang kepadanya.
Ini berdasarkan bahawa keperluan atau pembiayaan yang diperlukan untuk hadhânah itu ditanggung oleh anak yang dijaga jika anak tersebut mempunyai harta atau ayah (suami) jika anak tidak memiliki harta atau sesiapa yang wajib menanggung nafkah anak itu. Berkata asy-Syarbini al-Khathib dalam Mughni al-Muhtâj:
Ertinya: “Keperluan hadhânah adalah di bawah tanggungan harta anak yang dipelihara itu, jika anak itu tidak memiliki harta maka ke atas orang yang wajib menanggung nafkah anak tersebut.” (Mughni al-Muhtâj: 3/452)
Sekiranya ada pertimbangan bekas suami untuk memberikan sebahagian daripada baksisnya sebagai hadiah atau pemberian kepada bekas isterinya, maka bekas suami bolehlah melihat atau mengambil contoh bagaimana harta sepencarian dibahagikan. Menurut Perintah Undang-Undang Keluarga Islam 1999, jika berlaku perceraian untuk membahagikannya, perkara yang patut diambil perhatian ialah:
(a) Takat sumbangan-sumbangan yang telah dibuat oleh tiap-tiap satu pihak dalam bentuk wang, harta atau tenaga bagi memperolehi aset (harta sepencarian) itu,
(b) Apa-apa hutang yang terhutang oleh salah satu pihak yang telah dilakukan bagi manfaat bersama mereka,
(c) Keperluan anak-anak yang belum cukup umur daripada perkahwinan mereka.
Maka dalam permasalahan di atas adalah elok bekas suami membuat pertimbangan dalam menentukan kadar bahagian baksis yang akan diberikan kepada bekas isteri berdasarkan perkara (c) di atas sekiranya anak-anak mereka di bawah tanggungan bekas isteri.
Walau bagaimanapun, kadar yang akan diterima oleh bekas isteri, semuanya terserah kepada bekas suaminya untuk membuat pertimbangan jika ia semata-mata berbentuk pemberian atau hadiah.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-8726
