Bilangan Rakaat Sembahyang Tarawih
Soalan: Dalam mazhab yang empat Ahli Sunnah wal Jama‘ah semuanya mengatakan Tarawih itu 20 rakaat dan lebih. Tetapi timbul di Malaysia ini segolongan kumpulan yang mengatakan Tarawih hanya lapan rakaat saja. Jadi, yang mana satu betul?
Jawapan: Persoalan berapa jumlah rakaat sembahyang Tarawih sebenarnya perkara lama yang telah pun diputuskan oleh ulama-ulama mu‘tabar, tetapi sentiasa diungkit dan ditimbulkan oleh pihak-pihak yang tidak puas hati dengan pendapat dan ijtihâd ulama-ulama besar zaman dulu itu. Padahal siapakah kita dengan para ulama yang mu‘tabar itu? Maka dalam hal ini, yang mu‘tamad dalam mazhab Syafi‘e, sembahyang sunat Tarawih itu berjumlah dua puluh rakaat selain daripada sembahyang Witirnya. Berikut ini ialah nash-nash pendapat ulama mazhab asy-Syafi‘e. Imam Ibnu Hajar Rahimahullah:
Ertinya: “Dan ia (sembahyang Tarawih) mengikut pendapat kita ialah dua puluh rakaat melainkan untuk penduduk Madinah sebagaimana yang mereka pratikkan pada zaman Umar Radhiallahu ‘anhu.” (Tuhfah al-Muhtâj: 2/240). Imam Nawawi Rahimahullah:
Ertinya: “Tarawih itu dua puluh rakaat dengan sepuluh salam. Aku katakan jika dilakukan empat rakaat dengan satu salam, tidak sah. Perkara ini disebut oleh Qadhi Husain di dalam kitab “al-Fatâwâ” dengan alasan perbuatan itu menyalahi apa yang disyariatkan.” (Raudah ath-Thâlibîn: 1/334)
Imam al-Malibari Rahimahullah:
Ertinya: “Sembahyang Tarawih ada dua puluh rakaat dengan sepuluh salam pada setiap malam bulan Ramadhan.” (Fath al-Mu‘în: 35)
Sembahyang Tarawih Di Zaman Abu Bakar Radhiallahu ‘Anhu:
Sebagai lintasan sejarah mengenai bilangan sembahyang Tarawih ini, pada masa Khalifah Abu Bakar ash-Shiddiq Radhiallahu ‘anhu. Hal itu tidak berubah. Umat Islam sembahyang Tarawih di bulan Ramadhan sendiri-sendiri atau berkelompok, ada 3, 4 dan 6 orang.
Sembahyang Tarawih dengan satu imam dalam satu masjid tidak ada pada masa Khalifah Abu Bakar ash-Shiddiq Radhiallahu ‘anhu.
Sembahyang Tarawih Masa Khalifah ‘Umar Bin Al-Khaththab Radhiallahu ‘Anhu
Tersebut dalam kitab Shahîh al-Bukhari begini:
Ertinya: “Daripada Abdul Rahman bin Abdul Qariy, beliau berkata: “Saya keluar bersama-sama Sayyidina Umar bin al-Khaththab (Khalifah) pada satu malam bulan Ramadhan pergi ke masjid (Madinah). Didapati dalam masjid orang-orang sembahyang Tarawih berkelompok-kelompok. Ada orang sembahyang sendirian, ada yang sembahyang dan beberapa orang di belakangnya.”
Maka Sayyidina Umar berkata: “Saya berpendapat jikalau orang-orang ini disatukan dengan seorang imam sesungguhnya lebih baik,” kemudian Sayyidina Umar berazam, lalu mengumpulkan mereka bersembahyang di belakang seorang imam namanya Ubaiy bin Ka‘ab.
Kemudian pada satu malam saya bersamanya (Sayyidina Umar) datang lagi ke masjid, lantas kami melihat orang-orang bersembahyang dengan sembahyang seorang imam.
Sayyidina Umar berkata: “Ini adalah bid‘ah yang baik.” (Hadis riwayat al-Bukhari)
Abdul Rahman bin Abdul Qariy yang meriwayatkan perbuatan Sayyidina Umar ini adalah seorang tâbi‘în. Beliau adalah murid Sayyidina Umar bin al-Khaththab, meninggal dunia pada tahun 81 Hijriyyah dalam usia 78 tahun.
Berdasarkan riwayat ini Khalifah Umar bin al-Khaththab (khalifah kedua) memerintahkan agar sembahyang Tarawih dikerjakan dengan berjemaah, tidak bersendirian sahaja dan beliau berpendapat bahawa hal itu adalah “bid‘ah yang baik”. Disebut dalam kitab al-Muwaththa’, karangan Imam Malik, halaman 138 begini:
Ertinya: “Daripada Malik daripada Yazid bin Raman, dia berkata: “Adalah manusia mendirikan sembahyang pada zaman ‘Umar bin al-Khaththab sebanyak 23 rakaat.” (Hadis riwayat al-Imam Malik)
Jelaslah bahawa sahabat-sahabat ketika itu diperintah oleh Sayyidina Umar untuk mengerjakan sembahyang sebanyak 23 rakaat, iaitu 20 rakaat sembahyang Tarawih dan 3 rakaat sembahyang Witir sesudah sembahyang Tarawih.
Tersebut dalam kitab hadis Imam al-Baihaqi begini:
Ertinya: “Bahawasanya mereka (sahabat-sahabat) Nabi, mendirikan sembahyang (Tarawih) dalam bulan Ramadhan pada zaman Umar bin al-Khaththab Radhiallahu ‘anhu dengan 20 rakaat.” (Hadis riwayat al-Baihaqi)
Daripada keterangan-keterangan ini bahawa sahabat-sahabat Nabi telah ijmâ‘ mendirikan sembahyang Tarawih pada masa khalifah Umar sebanyak 20 rakaat. “Ijmâ‘ sahabat menurut ushûl fiqh adalah hujah” yakni adalah dalil syariat.
Sayyidina Umar adalah seorang sahabat Nabi yang dipercayai, Khalifah Nabi yang kedua memerintahkan sembahyang Tarawih 20 rakaat. Ini bererti bahawa beliau mengetahui jumlah rakaat sembahyang Tarawih Nabi, baik di masjid atau di rumah sebanyak 20 rakaat. Kalau tidak, tentu Sayyidina Umar tidak akan memerintahkan begitu.
Berdasarkan keterangan-keterangan di atas, jumlah rakaat sembahyang Tarawih dalam mazhab Syafi‘e ialah 20 rakaat.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-8737
