Dad’s Old Fashioned Root Beer Minuman Syubhah?
Soalan: Dengan hormat sukacita saya diarah untuk mendapatkan fatwa atau irsyâd hukum bagi sejenis minuman ringan yang berjenama “DAD’S Old Fashioned ROOT BEER”.
Dimaklumkan bahawa berdasarkan kepada tulisan di tin minuman tersebut, ia mengandungi perkara-perkara berikut: Carbonated water, high fructose corn syrup and/or sugar colour, caramel colour, natural and artificial flavour, sodium benzoate as a preservative, citric acid.
Walaupun minuman ini merupakan sejenis minuman ringan yang telah diterima oleh sebahagian orang dan biasa diminum sebagaimana juga lain-lain jenama minuman ringan dalam tin yang ada di dalam pasaran yang penjualannya dibenarkan di negara ini, tetapi demi menghilangkan kekeliruan dan syak wasangka sebahagian kecil pengguna yang mungkin belum pernah melihat/meminum jenama minuman ringan seperti ini, maka dipohonkan penjelasan dari sudut agama sama ada berupa fatwa atau irsyâd hukum mengenainya.
Jawapan: Persoalan dalam surat itu ialah hukum meminum sejenis minuman yang berjenama “DAD’s Old Fashioned ROOT BEER”.
Jika merujuk kepada perkataan BEER itu jelaslah ia minuman daripada arak atau bercampur arak sekalipun sedikit atau dihasilkan daripada arak walaupun sudah hilang sifat yang memabukkan, maka ia adalah ditegah seperti juga hukum arak.
Walaupun kiranya DAD’s Old Fashioned ROOT BEER itu bukan arak, tetapi perkataan “BEER” itu boleh menimbulkan keraguan kerana nama BEER adalah sejenis jenama minuman arak atau ada kaitan dengan arak, maka adalah lebih selamat ia ditinggalkan. Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: “Tinggalkanlah apa jua yang meragukan engkau (dan beralihlah) kepada apa yang tidak meragukan engkau.” (Hadis riwayat at-Tirmidzi)
Khusus dalam perkara makan minum ini, adalah selamat dan bahkan wajib kita mengikuti pimpinan Baginda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam sebagaimana sabdanya:
Maksudnya: “Sesungguhnya yang halal itu jelas (hukumnya) dan yang haram juga jelas (hukumnya) dan di antara kedua-duanya (halal dan haram itu) terdapat perkara-perkara syubhah (kesamaran) yang tidak diketahui oleh ramai manusia (sama ada ia halal atau haram), maka sesiapa memelihara (dirinya daripada) segala yang syubhah, sesungguhnya dia telah memelihara agama dan kehormatannya. Dan sesiapa yang jatuh ke dalam perkara syubhah, jatuhlah dia ke dalam yang haram seumpama seorang pengembala yang mengembala di sekeliling kawasan larangan, hampir sangat (ternakannya) makan di dalamnya. Ketahuilah bahawa bagi tiap-tiap raja itu ada kawasan larangannya, (oleh itu) ketahuilah bahawa larangan Allah ialah segala yang diharamkanNya. Ketahuilah, bahawa di dalam badan itu ada seketul daging, apabila ia baik, baiklah seluruh badan, dan apabila ia rosak, rosaklah semuanya, ketahuilah, itulah hati.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Hadis ini menunjukkan bahawa jika timbul sesuatu yang syubhah (samar-samar) atau diragui akan keharaman atau kehalalannya, maka yang lebih selamat meninggalkan perkara syubhah itu. Inilah di antara maksud hadis di atas:
Maksudnya: “Dan sesiapa yang jatuh ke dalam perkara syubhah, jatuhlah dia ke dalam yang haram.”
Di samping itu meninggalkan yang syubhah itu merupakan sifat wara‘, bahawa sifat wara‘ itu adalah daripada asas-asas atau sendi-sendi agama (al-wara‘ min qawâ’id ad-dîn).
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-8748
