Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳الأطعمة والأشربة

Daging Khinzîr Dan Hubungannya Dengan Imej Negara Islam

Soalan: Dengan hormat dimaklumkan bahawa Pejabat Majlis Ugama Islam telah menerima surat daripada Setiausaha Lembaga Mengeluarkan Permit Import Halal, Bahagian Halal Haram, Jabatan Hal Ehwal Syariah, Kementerian Hal Ehwal Ugama bilangan: 65/UH/A/5/98 bertarikh 08hb. Zulkaedah 1422 bersamaan 22 hb. Januari 2002 mengenai perkara memohon surat sokongan bagi sebuah kenderaan untuk menghantar daging khinzîr segar dari Limbang ke Negara Brunei Darussalam.

Lembaga Mengeluarkan Permit Import Halal, Bahagian Halal Haram, Jabatan Hal Ehwal Syaraiah telah menerima permohonan tersebut daripada Meyit Enterprise bagi membawa daging khinzîr segar dari Limbang, Sarawak ke Negara Brunei Darussalam dengan menggunakan kereta pendaftaran Malaysia QKR 1882 pada setiap hari.

Menurut Setiausaha Lembaga bahawa Pengarah Pertanian telahpun membenarkan syarikat berkenaan (Meyit Enterprise) untuk memasukkan daging khinzîr segar sebagaimana salinan surat pihak Pengarah Pertanian bilangan: JPT/LIV/8 bertarikh 13hb. November, 2001.

Untuk makluman, sebagaimana surat pihak Pengarah Pertanian itu, Meyit Enterprise adalah dibenarkan (terhad) kepada pengimpotan daging khinzîr segar yang terdiri daripada jenis dan tempat yang dibenarkan oleh Jabatan Pertanian kepada Meyit Enterprise itu adalah tempoh (1) tahun mulai dari 01hb. Januari 2002 hingga 31hb. Disember, 2002. Menurut pihak Pengarah Pertanian itu, jika syarikat berkenaan masih berhasrat untuk bergiat dalam pengimpotan daging khinzîr segar itu, maka syarikat berkenaan bolehlah membuat permohonan untuk membaharui kebenaran tidak lewat dari tiga (3) bulan sebelum tarikh mansuh.

Menurut Setiausaha Lembaga, dari segi peraturan, Lembaga tidaklah berkaitan dengan perkara-perkara yang bersangkutan dengan kenderaan yang dimasukkan dari luar negeri ke Negara ini kerana perkara tersebut adalah di bawah kuasa Jabatan Pengangkutan Darat. Walau bagaimanapun oleh kerana ianya melibatkan membawa makanan yang tidak halal, maka sebagai yang difahamkan Pengarah Jabatan Pengangkutan Darat telah mengarahkan permohonan berkenaan mendapatkan kebenaran daripada Lembaga.

Setiausaha Lembaga seterusnya menjelaskan bahawa Lembaga berpendapat oleh kerana kebenaran masuk membawa daging khinzîr segar telahpun diberikan oleh pihak-pihak yang berkenaan yang dahulunya dibawa masuk sendiri oleh Syarikat Meyit Enterprise dengan kereta syarikat itu (pendaftaran Brunei) tanpa meminta kebenaran daripada Lembaga, dan pada kali ini pula kebenaran dipohonkan, maka Lembaga berpendapat kebenaran boleh diberi dengan syarat-syarat berikut:

(i) Kenderaan berkenaan tidak dibenarkan membawa makanan-makanan yang halal untuk dimasukkan ke negara ini.

(ii) Kenderaan berkenaan patutlah dilabel dengan perkataan “Pengangkutan Makanan Yang Tidak Halal”.

(iii) Pihak penguatkuasa akan sentiasa mengawasi barang-barang yang dibawa masuk oleh pengangkutan berkenaan. Jika terdapat selain daripada daging khinzîr dan produk-produk yang bukan halal lainnya kebenaran akan ditarik serta merta.

Kaola telah bercakap melalui telefon dengan pihak Pengarah Pertanian dan bertanya mengenai kadar yang telah Jabatan Pertanian berikan kepada Meyit Enterprise untuk membawa masuk daging khinzîr segar dari Limbang, Sarawak ke Negara Brunei Darussalam. Menurut pegawai berkenaan, Jabatan Pertanian telah menetapkan kadar atau telah menetapkan kuota setahun jumlah daging khinzîr segar yang boleh dibawa masuk ke negara ini oleh syarikat berkenaan.

Jabatan Pertanian sentiasa membuat pemantauan ke atas daging-daging khinzîr yang dibawa masuk itu dan menurut pegawai tersebut, jika kadarnya berlebihan, maka Jabatan Pertanian akan mengambil tindakan ke atas syarikat tersebut. Menurutnya lagi, oleh kerana daging yang dibawa masuk itu adalah berbentuk segar, maka syarikat tersebut terpaksa membawa masuk daging khinzîr itu setiap hari tetapi masih mengikut kadar yang telah ditetapkan oleh Jabatan Pertanian kerana jika syarikat tersebut membawa masuk sekaligus kadar yang dibenarkan oleh Jabatan Pertanian kepada syarikat tersebut, maka daging itu tidak lagi dianggap segar akan tetapi dianggap ‘frozen’.

Sehubungan dengan maklumat-maklumat yang kaola nyatakan tadi, walaupun perkara yang dipohonkan oleh Meyit Enterprise ini iaitu memohon surat sokongan bagi kenderaan bernombor QKR 1882 untuk menghantar daging khinzîr segar dari Limbang, Sarawak ke Negara Brunei Darussalam adalah di bawah kuasa Jabatan Pengangkutan Darat, tetapi perkara tersebut ada hubungkait dengan syiar Islam. Oleh itu sukacita kaola menghadapkan perkara ini untuk mendapatkan ulasan dan pandangan atau fatwa mengenainya.

Jawapan: Persoalan yang diminta fatwa atau pandangan oleh Setiausaha Majlis Ugama Islam ialah mengenai syiar. Walaupun perkara yang dipohonkan oleh Meyit Enterprise ialah memohon supaya membenarkan kenderaan dari negara jiran membawa daging khinzîr ke Negara Brunei Darussalam. Maka atas dasar syi‘ar inilah kita akan memberikan fatwa, di samping beberapa perkara lain yang juga berkaitan.

Syiar ertinya tanda, alamat, lambang atau simbol. Di dalam Al-Qur’an Allah menyatakan bahawa Shafa dan Marwah itu adalah daripada syiar-syiar Allah jua (al- Baqarah: 158). Dalam kamus, syi‘ar itu diertikan: Lambang kebesaran, keagungan atau kemuliaan. Ini memberikan pengertian bahawa apabila tidak ada perkara-perkara mungkar yang berlaku dalam sesebuah negara itu, menunjukkan ia adalah suatu alamat atau tanda yang baik kepada negara tersebut. Dalam hal ini merujuk kepada Brunei Darussalam, kita memerlukan syi‘ar yang bagus, baik dan bersih sebagai ciri-ciri sebuah negara Islam tulen.

Dengan sendirinya persoalan syiar itu adalah juga persoalan hukum sebagaimana firman Allah:

Tafsirnya: “Dan binatang-binatang korban itu Kami jadikan ia untuk kamu sebagai sebahagian daripada syiar- syiar Allah.” (Surah al-Hajj: 36)

Ayat ini menyatakan bahawa penyembelihan korban termasuk di dalam syiar- syiar Allah.

Dalam konteks daging khinzîr, selain ia adalah makanan yang diharamkan ke atas orang Islam, bahkan menjijikkan, ia juga termasuk najis mughallazhah. Dari segi hukum yang lain daging khinzîr termasuk perkara-perkara yang tidak boleh dizahirkan di hadapan orang Islam. Oleh kerana itu kita melihat bahawa menzahirkannya di hadapan orang Islam akan menjejaskan imej Islam sebab itulah syiar sebuah negara Islam itu mesti dipelihara, lebih-lebih lagi jangan dirosakkan dengan perkara-perkara jijik dan najis.

Perkara khinzîr supaya tidak dizahirkan di hadapan orang Islam telah disebut oleh al- Imam an-Nawawi dalam kitabnya al-Minhâj:

Ertinya: “Ditegah orang kafir memperdengarkan perkara-perkara syirik kepada orang-orang Islam, kata-kata mereka mengenai Nabi ‘Uzair dan al-Masih (Nabi Isa) ‘alaihimassalam, menampakkan arak, khinzîr (babi), loceng sembahyang dan hari perayaan mereka.” (Al-Minhâj: 4/322)

Pengarang al-Anwâr li A‘mâl al-Abrâr pula ketika membicarakan persyaratan kafir dzimmi di negeri Islam berkata:

Ertinya: “Mereka mesti menahan lidah mereka daripada memperdengarkan kepada orang-orang Islam tentang kemusyrikan mereka, aqidah tuhan tiga dalam satu, aqidah mereka terhadap Nabi Isa dan Nabi ‘Uzair ‘alaihimassalam, menzahirkan arak, khinzîr, loceng gereja, hari-hari raya mereka, bacaan Taurat dan Injil secara nyaring dan membangun gereja dalam negeri kita.....” (Al-Anwâr: 2/366)

Berdasarkan nash fiqh ini, orang bukan Islam jika hendak menjual khinzîr mestilah dilakukan secara berasingan dan tidak dilihat oleh orang Islam.

Isu penjualan daging khinzîr ini telahpun berbangkit beberapa kali sebelum ini dan ini bagi kita adalah ulangan permasalahan bagi tujuan yang sama iaitu memasarkan khinzîr di Negara Brunei Darussalam. Sepatutnya kita sudah membuat pendirian yang tetap yang tidak boleh diungkit-ungkit lagi mengenainya. Penjualan daging khinzîr di negara ini, apa yang diketahui - dahulunya dijual di Sungai Kianggeh dalam keadaan yang tertutup, kemudian dipindahkan ke suatu tempat yang lebih jauh daripada pandangan orang Islam, semata-mata memenuhi tuntutan agama supaya daging khinzîr itu tidak terdedah atau didedahkan kepada orang Islam, kerana daging khinzîr itu sangat menjijikkan bagi orang Islam.

Jika ‘sesuatu itu’ seperti daging khinzîr boleh merosakkan imej atau merosakkan syiar umat dan negara Islam, maka jadilah ia dharar (memudharatkan), kerana keadaannya melukakan perasaan orang lain seperti juga mengumpat (Syarh al- Arba‘în an-Nawawiyah fî Tsaub Jadîd, Abdul Wahab Rusydi Salih Abu Shafiyah: hal. 368). Dari itu sesuatu perkara kiranya ia menjejaskan orang lain, seperti boleh membawa aib, maka ia adalah dharar. Maka dharar itu wajib dihilangkan. Ini adalah bertepatan dengan kaedah fiqh:

Ertinya: “Dharar itu dihilangkan.”

Menurut Al-Jauhari:

Ertinya: “Dharar itu lawan kepada manfaat.”

Berdasarkan makna ini, daging khinzîr yang tidak ada manfaatnya itu adalah dharar.

Satu perkara lagi, daging khinzîr sebagaimana telah disebutkan terdahulu selain diharamkan ia juga merupakan benda najis mughallazah yang menjijikkan dan menyakitkan perasaan orang Islam (jika melihatnya). Maka hukum asal setiap yang menjijikkan (mustakhbats) itu ialah haram.

Kita ingin mengulas mengenai kenderaan yang disebut di dalam surat permohonan di atas. Dari zahir fisikalnya kenderaan itu adalah besar dan berkeadaan tertutup, yang membawa makna bahawa daging khinzîr yang akan dibawa masuk itu kuantitinya adalah besar pula. Menurut kenyataan pemohon lagi ianya (daging-daging itu) akan dibawa masuk tiap-tiap hari, yakni bukan berkala atau berselang hari, tetapi tiap-tiap hari. Ada pula kenyataan muta’akhir menyatakan, bahawa suatu tanda yang jelas akan ditaruh pada dinding kenderaan berbunyi: “DAGING KHINZÎR.”

Ada 4 perkara mendatangkan persoalan di sini: (1) Bentuk kenderaan yang besar, (2) Kenderaan berkeadaan tertutup, (3) Daging khinzîr yang dibawa masuk pada tiap-tiap hari dan (4) Tanda jelas di luar kenderaan: “DAGING KHINZÎR.”

Berapakah kadar jumlah daging khinzîr yang akan dibawa masuk itu? Walaupun ada keterangan bahawa kadarnya ditetapkan, tetapi ianya tidak disebutkan. Ini masih membawa waham, berdasarkan kenderaan QKR 1882 yang mempunyai kemudahan ‘refrigeration’ untuk membawa daging khinzîr itu bersaiz besar. Ditambah lagi dengan keadaannya yang tertutup.

Siapakah yang akan ‘berkarih-karih’ memeriksanya sampai ke dalam dan ‘kepisuk-pisuk’ pada setiap kali ia membawa daging khinzîr itu? Adakah orang-orang Islam, maksud kita pegawai-pegawai penguatkuasa yang beragama Islam? Kita tidak fikir mereka itu akan ‘terkarih’ memandangkan kebiasaan orang-orang Islam adalah amat menjauhi khinzîr dan daging khinzîr kerana loya dan jijik. Jadi kalau bukan orang Islam siapakah lagi? Sudah tentu akan berpindah kepada pegawai-pegawai yang bukan beragama Islam untuk memeriksa itu. Maka apabila alternatif kedua ini berlaku, dari segi hukum syara‘ ianya tidaklah boleh dipakai kerana perkara ini melibatkan soal kesaksian dan amanah. Hanya orang Islam yang adil dan amanah saja yang diterima kesaksian mereka dalam perkara-perkara keagamaan yang menyangkut hukum-hakam syara‘ itu. Orang-orang bukan Islam tidak dapat memahami semua ini, dan lagipun, dari segi kepentingan, mereka wajar diragui.

Ini semua mustahak diambil kira. Yang di atas sekali ialah imej Brunei sebagai sebuah negara Islam, kedua keselamatan dan ketiga ialah keharmonian yang telah dinikmati sekian lama itu. Apa-apa juga faktor dan perkara yang boleh mengekalkannya hendaklah terus dipelihara atau diusahakan, bukan dengan mencipta atau mengada-adakan serta mengundang apa yang mungkin merosakkannya.

Kita amat khuatir, bahawa ‘budaya berkhinzîr atau menayang-nayangkan khinzîr dan daging khinzîr’ yang tidak ada selama ini pada kita, apabila dengan tiba-tiba ia muncul menjadi budaya baru, akan menggelisahkan masyarakat muslimin dan daripada kegelisahan itu sekaligus boleh menggugat keharmonian dan ketenteraman negara ini.

Dari segi hukum syara‘ pula, apa-apa juga yang membawa cacat dan boleh merosakkan ketiga-tiga ‘kebanggaan’ Brunei ini (imej yang baik sebagai sebuah negara Islam, keselamatan dan keharmoniannya) adalah ia ‘dharar’, penyakit atau keburukan yang sangat-sangat dituntut oleh agama supaya dicegah. Di dalam kaedah ilmu fiqh ia disebut sebagai ‘ سد الذرائع’: Menutup, menyangga dan

mencegah keburukan atau bahaya. Satu kaedah lagi (الضرر يزال): Mudharat, kerosakan dan bahaya itu mestilah dihalang, dielak dan dihilangkan.

Kemudian hukum mendedahkan arak dan khinzîr kepada orang-orang Islam adalah ianya perkara-perkara yang telah muktamad dilarang dan haram. Kedudukan daging khinzîr, bukan saja ianya haram malahan juga menjijikkan, lebih-lebih lagi bagi pegawai-pegawai penguatkausa (jika mereka itu orang Islam) yang akan menanganinya. Mereka ini akan sentiasa terdedah kepada najis mughallazhah yang sangat berat untuk ditanggung oleh mereka. Bukankah ini juga suatu dharar dan mudharat yang jelas?

Jadi realitinya, kemasukan daging-daging khinzîr itu ke Brunei pada tiap-tiap hari tidaklah akan dapat diawasi dengan sempurna. Pemantauan yang dijanjikan masih saja layak diragukan. Di samping mekanisme yang telah ditimbulkan di atas, ia juga ternyata memang sukar untuk dikawal. Bukan mudah mengawal dan mengawasi perkara yang hari-hari berlaku. Sehari dua mungkin dapat dikawal, tetapi bila sudah hari-hari, tentu saja ada masa yang kita mungkin lalai atau kurang teliti memeriksanya. Ataupun kerana terlampau hari-hari itu, kerana sudah biasa dan lumrah, maka kawalan dan pemeriksaan juga dengan sendirinya akan bertukar menjadi suatu perkara rutin yang tidak lagi dihiraukan sangat. Pada ketika itulah, setelah pemeriksaan dan kawalan longgar, kesempatan-kesempatan lain pun tidak mustahil akan turut masbûq sama.

Tidakkah kita terfikir perkara dadah, perkara minuman keras, perkara daging-daging binatang yang tidak halal, hatta perkara senjata-senjata api akan turut ditumpangkan untuk diseludup di bawah longgokan-longgokan daging-daging khinzîr itu ke negara ini?

Tidakkah kita merasa sedikit ragu, bahawa ‘daging khinzîr’ hanyalah jambatan bagi menyampaikan matlamat ke arah memperolehi laba yang lebih besar lagi? Atau ia tidak lebih digunakan sebagai satu strategi bagi menolong menutupi lain-lain jenayah sebagaimana disebutkan di atas?

Inilah hakikat psikologi orang-orang Islam dengan khinzîr, di mana orang-orang bukan Islam juga adalah sama-sama memahami perkara ini.

Daging khinzîr apabila dibawa hari-hari, gambarannya orang-orang Brunei ini sangat kuat makan khinzîr, ramai yang menjadi peminat dan pemakannya. Kemudian ia dibawa pula dengan kenderaan yang bersaiz besar, tentulah kuantitinya juga besar. Apabila kuantiti besar, mestilah memerlukan tempat pemasaran, sama ada ia berupa pasar khas khinzîr, pasar-pasar raya, atau jika bukan di tempat-tempat seperti itu tidaklah mustahil melalui jualan-jualan gelap secara sembunyi-sembunyi.

Kenderaan yang membawa pula akan ditanda (yang tentunya) dengan Huruf Besar sebab saiz kenderaan adalah besar. Tulisan yang akan terpampang yang telahpun dibenarkan oleh Pengarah Pertanian itu ialah: ‘DAGING KHINZÎR.’ Kenderaan ini akan melalui jalan-jalan di Brunei, akan berligar pada setiap hari dan dilihat serta dibaca oleh orang-orang Brunei dan lain-lain. Apa yang dilihat itu ialah syiar, lambang, tanda atau simbol, atau sekurang-kurangnya suatu iklan untuk mempromosikan khinzîr.

Adapun tulisan huruf besar ‘DAGING KHINZÎR’ di dinding kenderaan yang bergerak ke sana ke mari itu, adalah ianya tidak syak lagi, suatu syiar atau lambang atau tanda atau simbol yang sengaja dizahir-zahirkan. Oleh itu berdasarkan pendapat ulama seperti al-Imam an-Nawawi Rahimahullah dan lain-lain, perkara ini adalah salah, bertentangan dengan hukum syara‘ dan ianya mestilah ditegah.

Berpandukan kepada hujjah-hujjah syara‘ seperti di atas, maka perkara Permohonan Permit Menggunakan Kenderaan Bernombor QKR 1882 (Refrigerated Transport) Untuk Membawa Daging Khinzîr Segar Pada Tiap-tiap Hari dari Limbang Ke Negara Brunei Darussalam, adalah ia menyalahi hukum syara‘ dan kerana itu wajib ditolak.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-8755