Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳الزكاة والصدقات

Derma Melalui Walkathon Bertaja

Soalan: Dengan hormatnya sukacita dimaklumkan bahawa Jabatan Perdana Menteri dan Jabatan-Jabatan di bawahnya akan mengadakan Walkathon bertaja pada 12 Mei 2002 dengan tujuan untuk menambah kewangan Jawatankuasa Aktiviti-Aktiviti Keugamaan, Kebajikan dan Sukan Jabatan Perdana Menteri dan Jabatan-Jabatan di bawahnya. Hasil daripada kutipan derma/tajaan itu nanti akan disumbangkan sebanyak 80% kepada Jawatankausa Aktiviti-Aktiviti Keugamaan, Kebajikan dan Sukan Jabatan Perdana Menteri dan Jabatan-Jabatan di bawahnya dan 20% kepada Dana Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah. Selian itu ia juga bertujuan untuk beriadah secara bersukan di kalangan pegawai/kakitangan berserta keluarga Jabatan Perdana Menteri dan Jabatan-Jabatan di bawahnya.

Sehubungan dengan perkara tersebut, sukacita Jabatan ini mendapatkan nasihat dan pandangan daripada pihak Dato mengenai Walkathon bertaja dan acara-acara yang akan dijalankan itu nanti. Untuk itu jawapan yang segera adalah sangat-sangat diharapkan dan terima kasih.

Jawapan: Setakat yang dapat difahami dalam permasalahan ini terdapat dua perkara yang perlu dihuraikan, iaitu soal mengutip derma dan soal walkathon.

Bersedekah, berderma, mengumpulkan derma untuk disumbangkan kepada badan-badan kebajikan atau berwaqaf adalah perbuatan yang mulia dan sangat digalakkan di dalam Islam, kerana banyak kelebihannya untuk dunia dan akhirat. Sementara amal jâriah pula berkekalan pahalanya, walaupun pewaqaf telah meninggal dunia.

Di antara tuntutan berderma atau bersedekah itu hendaklah dilakukan dengan ikhlas kerana keikhlasan itu meletakkan nilai apa yang hendak diharapkan daripada Allah. Derma atau sedekah yang ikhlas akan menyebabkan pemberinya memperolehi apa yang diharapkannya sama ada yang berkaitan dengan keduniaan atau ganjaran yang baik di akhirat. Hal ini dijelaskan oleh Allah:

Tafsirnya: “Sesiapa yang menghendaki (dengan amal usahanya) mendapat faedah di akhirat, Kami akan memberinya mendapat tambahan pada faedah yang dikehendakinya; dan sesiapa yang menghendaki (dengan amal usahanya) kebaikan di dunia semata-mata, Kami beri kepadanya daripada kebaikan dunia itu (sekadar yang Kami tentukan), dan dia tidak akan beroleh sesuatu bahagian pun di akhirat kelak.” (Surah asy-Syûrâ: 20)

Walkathon bertaja ini dimaksudkan untuk mendapatkan hasil - sebagaimana kata penganjur – yang akan disumbangkan kepada aktiviti-aktiviti keagamaan, kebajikan dan sukan Jabatan Perdana Menteri dan Jabatan-Jabatan di bawahnya dan akan disumbangkan juga kepada Dana Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al- Muhtadee Billah.

Walkathon adalah suatu sukan. Islam tidak melarang bersukan, selama mana ia tidak bercanggah dengan hukum syara‘. Bahkan setengah-setengah sukan itu adalah digalakkan.

Tetapi sukan yang berjalan pada masa ini, masih memerlukan penelitian dan kajian, kerana ianya tidak sunyi daripada perkara-perkara yang ditegah oleh syara‘ seperti bersukan tanpa menutup aurat, bercampur antara lelaki dan perempuan di dalam keadaan-keadaan yang tidak diharuskan oleh syara‘ atau menyebabkan tertinggal perkara-perkara wajib seperti sembahyang, atau melalaikan daripada mengingati Allah Subhanahu wa Ta‘ala. Jika perkara-perkara seumpama ini tidak dielakkan oleh pihak penganjur, maka niat baik iaitu mengadakan walkathon untuk memupuk semangat perpaduan dan meningkatkan kesihatan itu akan menjadi tercela dengan berlakunya pelanggaran-pelanggaran hukum syara‘ tadi. Kaedah fiqhiyyah menyebutkannya:

Ertinya: “Niat yang baik tidak membenarkan yang haram.”

Dari itu apabila derma dihubungkan dengan walkathon atau apa jua sukan, hendaklah dilihat dari sudut bagaimana walkathon itu dijalankan.

Jika pengendalian atau keadaannya bertentangan dengan syara‘, maka tertolaklah ia dari segi syara‘. Demikian juga jika harta yang dikumpul atau terkumpul daripada jalan yang bâthil yang tidak disukai oleh Allah, maka bukan saja harta itu tidak diterima oleh Allah, malahan boleh berdosa mengumpul atau mendermakannya, sebagaimana hadis Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam daripada sahabat, Abu Hurairah:

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah itu baik/bagus/bersih, Dia tidak menerima melainkan yang baik/bagus/bersih saja.” (Hadis riwayat Muslim dan Ahmad)

Di sini bererti tidak tepat menjadikan sesuatu yang zahirnya bagus iaitu walkathon sebagai perkara atau sebab untuk mengutip derma, sedangkan walkathon itu dilakukan di dalam bentuk percampuran antara lelaki dan perempuan dengan berbagai-bagai cara, keadaan dan pakaian tanpa suatu jaminan ianya akan mengawal serta menepati kehendak-kehendak syara‘.

Jika walkathon itu daripada kumpulan kaum lelaki semata-mata, maka tidaklah memerlukan ulasan panjang lebar, tetapi oleh kerana di sana terdapat unsur percampuran lelaki dan perempuan maka ulasan ini mustahak diperpanjangkan demi kerana amanah agama.

Agama Islam adalah agama paling tinggi dan paling mulia di sisi Allah, tidak ada agama lain yang mengatasinya.

Di antara bukti ketinggian dan kemuliaan agama ini ialah ajarannya yang merangkumi pelbagai aspek kehidupan. Salah satunya ialah anjuran dan dorongannya agar umatnya melakukan latihan gerak badan atau olahraga yang bersesuaian dengan kehendak dan naluri setiap individu. Ia dibuat dalam batas dan peraturan-peraturan yang bersesuaian dengan mashlahat dan kepentingan.

Salah satu contoh paling bagus ialah ibadat sembahyang yang dilakukan 5 (lima) kali sehari semalam sepanjang hayat. Dalam sembahyang ini berlaku pergerakan anggota tubuh badan yang sangat teratur.

Selain daripada itu Islam juga menggalakkan umatnya supaya mempelajari berenang dan sukan jalan kaki sebagaimana Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersama ‘Aisyah Radhiallahu ‘anha pernah berlumba jalan kaki. Demikian juga Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam menyuruh kita orang-orang Islam mengajar anak-anak berenang dan memanah. Semua ini ada disebutkan dalam hadis-hadis Rasulullah Šallallâhu ‘alaihi wasallam.

Apa juga aktiviti memerlukan peraturan dan disiplin. Maka demikian itu pula dengan olahraga atau sukan mempunyai batas dan peraturannya yang bersesuaian. Siapakah yang menentukan batas dan peraturan itu? Jika kita mahu melihat diri ini selaku Muslim atau Muslimah, maka tidak boleh tidak, sekalipun dalam perkara riadah atau sukan, kita mestilah merujukkannya kepada kehendak-kehendak syara‘. Daripadanyalah kita mendapat panduan untuk menentukan batas dan peraturan itu. Ia didasarkan kepada siapa yang melakukannya, cara dan tempat ianya berlaku.

Di dalam Islam, orang lelaki dan perempuan ada ditentukan hak-hak dan batasan masing-masing. Perempuan sangat dihormati oleh Islam. Mertabatnya adalah tersendiri. Seluruh tubuh badannya adalah perhiasan. Ia bukan untuk ditayang-tayang atau dipertontonkan sewenang-wenangnya, bukan! Tetapi wajib dikawal dan dipelihara menurut peraturan syara‘. Mereka jauh berbeza dengan lelaki dalam perkara ini. Kerana itulah apa yang kaum lelaki buat, tidak semestinya harus pula dibuat oleh perempuan. Apa yang dibuat oleh kaum lelaki di suatu tempat, dibuat pula oleh perempuan di tempat yang sama. Belum tentu begitu.

Di segi syara‘, kaum lelaki bersukan di jalan-jalan raya, di lebuh-lebuh raya, di padang-padang terbuka dan di sungai-sungai dengan disaksikan oleh ramai orang secara berdepanan, ataupun ia ditonton melalui kaca tv dan lain-lain, adalah perkara itu pada umumnya harus dan boleh, tetapi dengan syarat tuntutan syara‘ juga mesti diambil kira. Manakala kaum perempuan pula, bukanlah tempat mereka itu seperti kaum lelaki di jalan-jalan raya, di lebuh-lebuh raya, di padang-padang terbuka, di sungai-sungai dan seumpamanya, yang dapat ditonton oleh siapa saja tanpa mengira lapisan dan golongan orang, sekalipun dengan alasan mereka (kaum perempuan) itu menutup aurat. Perlu diingat, aurat bagi perempuan bukanlah setakat hanya menutup kepala. Tetapi masih banyak lagi sudut dan syarat yang perlu diperhatikan: Janganlah kita keliru dan sempit mendifinisikan aurat perempuan itu.

Perempuan bersukan tidaklah ditegah, tetapi janganlah terbuka seperti lelaki. Perempuan sepatutnya mempunyai lebih sifat malu. Oleh kerana itu mereka tidak wajar berkelakuan seperti lelaki. Kalau bagi lelaki, tempat mereka boleh terbuka, tetapi bagi perempuan, tempat mereka adalah tertutup. Allah telah menjadikan bagi perempuan sifat malu yang tebal supaya sentiasa elok dan terhormat. Dalam makna yang lain, sifat malu adalah mahkota bagi perempuan. Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: “Malu itu tidak datang (kepada siapa yang memilikinya) melainkan kebajikan jua.” (Dari Jâmi‘ al-‘Ulûm, Ibn Rajab al-Hanbali)

Tidak ada sebarang cela bagi orang yang pemalu, semuanya elok, indah dan baik belaka. Sebaliknya orang yang membuang malu, dengan sendirinya menolak segala kebaikan. Itulah makanya ia dituntut, lebih-lebih lagi bagi perempuan, supaya tetap memelihara sifat malu serta menjadikannya pakaian seumur hidup.

Sifat malu adalah daripada Allah, sementara meroboh atau mengabaikannya adalah pekerjaan syaitan. Sabda Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam, daripada sahabat Ibnu ‘Abbas Radhiallahu ‘anhuma:

Maksudnya: “Malu itu daripada Allah. Sesungguhnya hendaklah kamu pelihara kepala kamu dan anggota-anggota yang ditanggung oleh kamu, dan kamu pelihara perut kamu dan anggota-anggota yang dikandungnya, dan kamu ingati mati serta kebinasaan jasad kamu, dan barangsiapa mencari akhirat hendaklah dia tinggalkan perhiasan dunia (keseronokan dan kesenangan yang melalaikan). Maka barangsiapa yang berbuat demikian itu, dia sesungguhnya benar-benar malu kepada Allah.” (Hadis riwayat at-Tirmidzi)

Orang-orang Islam lelaki dan perempuan yang membuang sifat malu dikhuatiri sama saja dengan orang-orang Yahudi dan Nashrani. Perkara ini berlaku pada akhir zaman. Sayugia orang-orang Islam menyedarinya supaya tidak terikut-ikut atau menjadi penyokong dan pendokong kepada gagasan-gagasan dan perbuatan-perbuatan mereka, sebagaimana Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam menyebutkannya:

Maksudnya: “Demi kamu akan mengikut perjalanan (budaya dan tatacara) umat-umat sebelum kamu sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta, sehingga jikalau mereka itu masuk lubang biawak, nescaya kamu pun ikut mereka masuk. Ada orang berkata: “Wahai Rasulullah, adakah mereka itu Yahudi atau Nashrani?” Sabdanya: “Siapa lagi (kalau bukan) daripada mereka?” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Hadis ini adalah amaran dan peringatan bahawa orang-orang Islam yang tidak teguh pendirian dan tidak istiqâmah akan mengikut perbuatan, kelakuan adat istiadat dan cara hidup orang lain. Mengikut dalam berpakaian, bersolek, makan minum, bersukan, berfikir, mencari rezeki, mentadbir, mengurus, merancang dan sebagainya, sehingga – pada suatu ketika – jika ada orang-orang itu (Yahudi dan Nashrani) yang makan najis kering atau basah, nescaya umat Islam pun akan turut makan sama.

Ini tidak syak lagi merupakan salah satu daripada mu‘jizat Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, bahawa perkara itu telah dan sedang benar-benar berlaku, padahal pada masa perkhabaran atau hadis itu disabdakan oleh Baginda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam ianya belum lagi berlaku.

Oleh itu sayugialah orang-orang Islam mengambil berat benar-benar akan perkhabaran Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam ini supaya jangan rugi dan menyesal kemudian.

Kita orang-orang Islam mustahak mengambil pengertian, bahawa dunia ini sudah benar-benar tua, kiamat telah hampir dan saat perhitungan pula kian mendekat. Oleh itu perlulah berhati-hati jangan sampai merugikan diri sendiri. Banyakkan berfikir daripada bermain-main, banyakkan muhâsabah mencermin diri agar kelihatan cela dan kekurangan yang akan dan dapat kita perbaiki.

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam telah banyak menunjukkan jalan itu, maka silalah perhatikan dan ikut. Apa-apa yang ditunjukkan oleh Baginda, bukanlah untuk dibaca saja, tetapi lebih penting difikir, diamat-amati dan kemudian dijadikan suluh menjalani kehidupan yang bersimpang-siur ini. Al-Imam Abu Nu‘aim dalam al- Hilyah daripada sahabat, Khuzaifah Radhiallahu ‘anhu, Baginda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam seterusnya bersabda memberitahu:

Maksudnya: “Dari tanda hampir Hari Kiamat, orang-orang lelaki menyerupai perempuan dan orang-orang perempuan menyerupai lelaki.”

Inipun satu lagi mu‘jizat Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam. Mari kita lihat apa yang sudah berlaku (padahal ianya belum dan tidak pernah terjadi di zaman Baginda): Anak-anak muda lelaki berkelakuan seperti gadis-gadis, di pagi hari mencukur muka melicinkan kulit dengan menggosokkan minyak dan bedak-bedak sebagaimana orang-orang perempuan. Mereka juga menyikat dan membetulkan rambut seperti orang-orang perempuan. Mereka tidak keluar rumah melainkan setelah berpenat-penat mendandan diri, ada yang memakai jam tangan emas seperti orang perempuan memakai gelang emas, ada yang memakai rantai seperti perempuan berantai, dan malah ada yang beranting-anting seperti perempuan beranting-anting. Ini semua perbuatan fâsiq yang menyerupai perempuan yang dilakukan oleh kaum lelaki, sebagaimana dimaksudkan oleh hadis Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam.

Manakala perempuan pula menyerupai lelaki dengan memakai baju laki-laki, sama ada ia fesyen Arab atau fesyen Eropah, memakai seperti lelaki, merebut jawatan dan kerja-kerja yang biasanya dibuat oleh lelaki, bersukan atau berolahraga betul-betul seperti lelaki dan bersama-sama lelaki, padahal mereka boleh mengambil alternatif bersendirian sesama sendiri tanpa menyertai atau dengan kehadhiran kaum lelaki.

Inilah di antara contoh-contoh penyerupaan kaum perempuan terhadap kaum lelaki seperti yang dikhabarkan oleh hadis-hadis Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam. Semuanya itu tidaklah dapat diharapkan keberkatannya malah mendapat laknat Allah jua. Adapun sukan atau olahraga itu dibuat untuk memperolehi kesihatan tubuh badan, tetapi apabila tiada berkat, malah laknat yang didapat, apakah lagi yang boleh kita harapkan daripadanya?

Musibah Atau Bencana Bagi Penganjur Sukan Yang Tidak Dibenarkan Oleh Syara‘

Oleh kerana jabatan yang bertanya ada menyebut untuk mendapatkan nasihat dan pandangan daripada pihak yang memberikan fatwa, maka di bawah ini dengan tulus ikhlas saya akan sampaikan sedikit pandangan dan ulasan saya, khusus mengenai apa yang disebut sebagai musibah atau bencana yang akan diterima oleh penganjur sukan atau olahraga yang tidak dibenarkan oleh syara‘. Jika ini dapat dianggap sebagai nasihat yang baik, maka saya mengucapkan berbanyak-banyak syukur Alhamdulillah, kerana segala kebaikan itu adalah datang dan berpunca daripadaNya jua. Yang jelasnya, saya tidaklah akan menggunakan fikiran sendiri, melainkan hanya akan terus semata-mata melihat ke dalam ajaran Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam daripada hadis-hadis Baginda:

Di dalam hadis Jarir Radhiallahu ‘anhu, Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: “Barang siapa membuat atau menganjurkan perkara yang baik dalam Islam, maka baginya adalah pahala kerana perkara itu, dan pahala siapa yang membuatnya kemudian (juga akan menjadi miliknya), dengan tidak kurang sedikitpun daripada pahala yang diuntukkan bagi mereka yang membuatnya kemudian itu. Dan barang siapa yang membuat atau menganjurkan perkara jahat (salah) dalam Islam, maka dia akan mendapat dosa darpadai kejahatan (kesalahan) itu, dan dia juga akan menanggung dosa orang-orang yang membuat perkara jahat (salah) yang dianjurkannya itu, dengan tidak sedikitpun kurang dosa-dosa mereka, yakni dia akan tetap mendapat saham dosa yang dibuat oleh orang-orang dalam perkara yang dianjurkannya, sekalipun dia sendiri tidak membuat perkara itu, melainkan orang-orang itu berhenti dan tidak membuat lagi perkara jahat (salah) yang dianjurkannya itu.” (Hadis riwayat Muslim)

Berkata al-Imam Ibnu Hajar dalam kitabnya az-Zawâjir, bahawa menganjurkan perkara salah dan dosa adalah suatu dosa besar dan berat kerana ia menanggung banyak dosa orang lain. Perkataan Ibnu Hajar ini juga disebut oleh ramai ulama yang lain.

Berdasarkan peringatan dan amaran Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam yang sangat-sangat diambil berat serta disokong kuat oleh para ulama ini, maka saya Alhamdulillah, dengan semangat yang ditiupkan oleh ajaran Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam itu tidaklah teragak-agak ingin menyampaikan nasihat supaya dikaji balik penglibatan kaum perempuan mengambil bahagian di dalam walkathon secara terbuka bersama-sama dengan kaum lelaki itu. Carilah altenatif lain untuk mereka berolahraga di tempat-tempat yang tertutup tanpa penyertaan kaum lelaki, atau dengan kata lain tanpa terdedah dan terbuka di khalayak ramai untuk disaksikan oleh sesiapa saja, demi meraikan tuntutan Islam dan demi untuk mengelakkan diri daripada menanggung dosa beramai-ramai. Demi memelihara dan melindungi muruah serta kemuliaan kaum wanita sendiri dan demi kita kaum lelaki pula biarlah terlepas dan bebas daripada title dayus. Dayus ialah sifat hina tiada cemburu terhadap ahli rumah dan anak pinak. Orang dayus sangat jauh daripada rahmat Allah. Orang dayus akan kempunan dengan syurga Allah, hatta setakat baunyapun, orang dayus tidak akan menciumnya.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-8762