Fidyah Bagi Orang Yang Tidak Berdaya Untuk Berpuasa
Soalan: Saya ada masalah mengenai dengan pembayaran puasa qadha. Masalahnya ialah emak saudara saya meninggalkan puasa Ramadhan sejak tahun 1995 hingga tahun 1999 oleh sebab-sebab yang tertentu. Beliau meninggalkan puasa oleh sebab penyakit kencing manis yang memerlukannya selalu makan ubat dan pemikirannya kadang-kala ingat-ingat lupa (sudah tua). Ada masanya jika disuruh berpuasa, dia mahu tetapi melihat akan keadaannya yang lemah dan ditakuti penyakitnya melarat maka disuruhlah dia berbuka. Persoalan saya ialah:
1. Bagaimana cara untuk membayar puasa qadha? Bolehkah dengan menggunakan duit ataupun beras dan berapakah jumlah nilai pembayarannya dari tahun 1995 hingga tahun 1999?
2. Siapakah yang berhak menerima pembayaran tersebut?
Jawapan: Seseorang itu hanya wajib menunaikan ibadah puasa di bulan Ramadhan apabila dia telah memenuhi syarat yang mewajibkannya berpuasa. Di antara syarat wajib puasa itu ialah sihat dan berdaya menunaikan puasa.
Oleh itu, orang tua yang jika berpuasa boleh mendatangkan mudarat atau orang sakit yang tiada harapan sembuh, mereka itu tidaklah diwajibkan berpuasa berdasarkan sebuah atsar yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari daripada Ibnu ‘Abbas Radhiallahu ‘anhuma katanya:
Maksudnya: “Orang yang sangat tua (jika dia berpuasa akan mendatangkan kesusahan yang berlebihan) hendaklah memberi makan setiap hari (dia berbuka) itu seorang miskin.” (Hadis riwayat al-Bukhari)
Mereka tidak wajib mengqadha puasa yang ditinggalkan, bahkan hanya diwajibkan membayar fidyah sebagaimana firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:
Tafsirnya: “Dan wajib bagi orang yang tidak mampu mengerjakannya membayar fidyah dengan memberi makan seorang miskin.” (Surah al-Baqarah: 184)
Sementara itu bagi orang sakit yang ditakuti bertambah sakitnya jika dia berpuasa, tetapi ada harapan untuk sembuh, dia juga tidak wajib berpuasa tetapi manakala telah sembuh wajiblah mengqadha puasa yang ditinggalkannya itu tanpa membayar fidyah.
Orang sakit yang tidak berdaya berpuasa tidak wajib berpuasa berdasarkan firman Allah:
Tafsirnya: “Allah tidak memberati seseorang melainkan yang terdaya olehnya.” (Surah al-Baqarah: 286)
FirmanNya lagi:
Tafsirnya: “Dan janganlah kamu menjatuhkan diri kamu sendiri ke dalam kebinasaan.” (Surah al-Baqarah: 195)
Adapun orang yang hanya mengalami sakit yang sedikit yang tidak mendatangkan apa-apa kesusahan sekiranya dia berpuasa, tidaklah termasuk ke dalam kategori ini yakni tidak diharuskan baginya berbuka.
Orang yang wajib ke atasnya qadha puasa dan dia berupaya menunaikannya, wajiblah dia tunaikan qadha puasanya itu dan tidaklah boleh dia menukar ganti dengan membayar fidyah. Jika qadha yang diwajibkan itu tidak ditunaikan sehingga masuk Ramadhan yang lain, maka wajib ke atasnya fidyah di samping qadha.
Berdasarkan keterangan daripada surat penyoal, bahawa emak saudaranya itu menghidap penyakit kencing manis dan selalu makan ubat serta ingatannya kadang-kala ingat-ingat lupa kerana sudah tua, maka dia adalah digolongkan dalam golongan tidak berupaya menunaikan puasa. Dari itu dia hanya wajib mengeluarkan fidyah sebagai ganti hari-hari puasa yang ditinggalkannya itu.
Fidyah yang ditetapkan syara‘ bagi golongan yang tidak berupaya selamanya berpuasa ini ialah satu mud makanan yang sah dijadikan zakat fitrah untuk satu hari. 2 mudd untuk 2 hari, 10 mudd untuk 10 hari, 30 mudd untuk 30 hari, 60 mudd untuk 60 hari, 90 mudd untuk 90 hari dan begitulah seterusnya.
Apabila mudd dikaitkan dengan kadar sukatan yang berlaku dalam masyarakat kita dulu dan sekarang, berdasarkan Fatwa Mufti Kerajaan (20/1997) dan maklumat Majlis Ugama Islam Negara Brunei Darussalam, satu mudd sama dengan satu cupak, atau 15 tahil atau 566.991 gram (satu tahil sama dengan 37.7994 gram = 15 tahil x 37.7994 gram = 566.991 gram).
Berdasarkan kadar sukatan ini, maka fidyah yang wajib dikeluarkan ialah dengan menggandakan jumlah hari puasa yang ditinggalkan dengan satu cupak, atau dengan 15 tahil, atau dengan 566.991 gram.
Ini bermakna emak saudara Dayang wajib membayar fidyah puasa untuk tempoh berkenaan dengan mengambil kira cara ihtiyâthiy iaitu Ramadhan digenapkan 30 hari dengan 180 mudd, atau 180 cupak, atau 2700 tahil, atau 102058.38 gram (102.05838 kg). Untuk lebih jelas lihat jadual berikut:
JUMLAH FIDYAH Tahun Puasa Yang Ditinggalkan
Mudd Cupak Tahil Gram/Kg
1995/1415 30 30 30 15 566.991gr / 0.566991 kg 1996/1416 30 30 30 15 566.991gr / 0.566991 kg 1997/1417 30 30 30 15 566.991gr / 0.566991 kg 1997/1418 30 30 30 15 566.991gr / 0.566991 kg 1998/1419 30 30 30 15 566.991gr / 0.566991 kg 1999/1420 30 30 30 15 566.991gr / 0.566991 kg Jumlah 180 hari 180 180 2700 102058.38 gr/102.05838 kg
Fidyah puasanya itu jika belum lagi dilaksanakan sehinggalah masuk Ramadhan pada tahun hadapannya tidaklah berganda sebagaimana kata al-Khathib asy-Syarbini di dalam kitabnya:
Ertinya: “Dan tidak ada apa-apa ke atas orang tua, orang yang ditimpa penyakit kronik dan tidak juga orang yang sangat susah baginya berpuasa, untuk melambatkan bayaran fidyah sekiranya mereka mengakhirkan pembayaran fidyah puasa itu daripada tahun sebelumnya.” (Mughni al-Muhtâj: 1/442)
Adapun membayar fidyah menurut mazhab Syafi‘e tidak harus dan tidak sah dikeluarkan nilai atau harga bagi fidyah puasa itu menurut ittifâq ulama Syafi‘e.
Berkata Imam an-Nawawi di dalam Majmû‘nya:
Ertinya: “Dan tidak sah (mengeluarkan fidyah itu dengan) tepung, as-sawîq (sejenis tepung), biji-bijian yang ada aibnya, nilai dan juga tidak memadai selain daripada jenis yang sah dikeluarkan untuk zakat fitrah seperti yang telah tersebut di sana (mengenai zakat fitrah).” (Al-Majmû‘: 6/394)
Memandangkan jenis fidyah itu sama dengan jenis zakat fitrah iaitu makanan asasi bagi sesebuah negeri, maka haruslah mengeluarkan fidyah itu dengan nilainya sebagaimana juga pembayaran zakat fitrah yang diamalkan di negara kita ini dengan bertaklid kepada mazhab Imam Abu Hanifah. Berkata Imam an-Nawawi:
Ertinya: “Berkata Imam asy-Syafi‘e dan al-Ashhâb asy-Syafi‘iyyah: “Tidak memadai (tidak sah) mengeluarkan nilai (untuk mengeluarkan zakat). Pendapat ini dikatakan juga oleh jumhûr. Sementara itu Abu Hanifah pula mengharuskannya.” (Al-Majmû‘: 6/111)
Ashhâb Syafi‘iyyah berpendapat bahawa tidak sah mengeluarkan qîmah atau nilai itu apabila tidak ada darurat untuk menukar zat zakat yang dikeluarkan itu kepada qîmah. Adapun antara darurat yang dimaksudkan, ialah seperti kata Imam an- Nawawi:
Ertinya: “Di antara keadaan darurat yang (menyebabkan) memadai (sah) padanya mengeluarkan qîmah iaitu apabila sultan memerintahkan mereka (orang yang berzakat itu) membayarnya dengan qîmah dan mengambilnya daripada mereka. Maka (dengan cara ini) sahlah zakat mereka itu.” (Al-Majmû‘: 5/387)
Adapun nilai fidyah yang wajib dikeluarkan, adalah dinasihatkan untuk merujuknya kepada pihak yang berkenaan di dalam hal ini iaitu pihak Majlis Ugama Islam.
Orang yang berhak menerima fidyah pula adalah orang fakir dan orang miskin sahaja. Fidyah tersebut boleh diberi dengan beberapa cupak kepada seorang fakir atau miskin yakni tidak dimestikan setiap satu cupak itu diberikan kepada fakir atau miskin yang lain bahkan tiap seorang dibolehkan diberi melebihi daripada satu cupak. Berlainan halnya dengan kaffârah, ia hendaklah diberikan sebanyak secupak sahaja bagi setiap seorang fakir atau miskin hingga enam puluh orang sebagaimana penjelasan Imam an-Nawawi di dalam kitabnya Raudhah ath-Thâlibîn: 2/380/381.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-8768
