Kedudukan Anak Zina Dalam Zakat Fitrah, ‘Aqiqah, Wudhu Dan Wali Nikah
Soalan: Saya ada beberapa masalah yang ingin ditanya berkenaan dengan anak luar nikah yang berbintikan kepada bapa yang bukan sebenar. Kini anak luar nikah tersebut telah diambil oleh bapa sebenarnya tetapi nama bapa anak tersebut masih dibintikan kepada bapa yang bukan sebenar.
1. Siapakah yang harus mengeluarkan zakat fitrah si anak ini? Adakah niat itu berlainan?
2. Jika ibu bapa sebenar ingin membuat ‘aqiqah untuk anak tersebut, bagaimanakah caranya?
3. Adakah batal air sembahyang bapa yang sebenar apabila tersentuh anak ini?
4. Siapakah yang mewalikan anak itu apabila dia hendak bernikah?
5. Apakah yang patut dibuat oleh ibu bapa sebenar untuk menghapuskan dosa yang lalu?
Jawapan: Perkara yang mula-mula hendak kita sentuh terlebih dahulu ialah mengenai penasaban anak zina atau kepada siapa anak zina itu di‘bin’ atau di‘binti’kan.
Anak zina adalah haram dinasabkan kepada sesiapa lelaki tertentu, sama ada lelaki itu yang menyebabkan ibu anak zina itu mengandung, kemudian lelaki itu berkahwin dengan ibunya atau tidak. Anak zina hanya bersambung nasabnya (yakni dibin atau dibintikan) kepada ibunya sahaja, tidak kepada mana-mana lelaki, termasuk lelaki yang menyebabkan lahirnya anak zina itu. Oleh yang demikian tidaklah berbangkit dakwaan penyoal tentang bapa sebenar bagi anak zina sebagaimana yang ditimbulkan dalam soalan yang dikemukakan. Pendeknya tidak ada lelaki sebenar yang dapat dinasabkan bagi anak zina, melainkan ibunya seorang sahaja.
Berikut ini jawapan persoalan-persoalan lain yang ditanyakan:
(i) Zakat fitrah bagi anak zina dikeluarkan atau diberikan oleh ibunya.
(ii) Nafkah anak zina itu ditanggung oleh ibunya, maka sunat bagi ibunya menyembelih ‘aqîqah untuk anak zinanya itu secara sembunyi-sembunyi, tidak dengan terang-terangan, bagi mengelakkan aib dan malu. Inilah yang dii‘timâdkan oleh Ibnu Hajar dan ar-Ramli. Jika ibunya itu tidak mampu, maka sunat datuknya (bapa kepada ibunya) yang mampu membuat ‘aqîqah untuk cucunya itu. Namun menurut asy-Syarbini bahawa tidak sunat bagi ibu menyembelih ‘aqîqah untuk anaknya daripada perzinaan itu, sekalipun nafkah anak zina itu di bawah tanggungannya. Ini kerana menyembelih ‘aqîqah itu akan menambahkan lagi aib dan malu kepada perempuan itu.
(iii) Adalah batal wudhu jika bersentuhan kulit antara lelaki dengan perempuan hasil daripada perbuatan zina lelaki itu, kerana antara keduanya tidak bersambung nasab dan antara keduanya juga tidak ada hubungan mahram, bahkan lelaki itu boleh mengahwini anak hasil perzinaannya itu, sekiranya lelaki itu tidak mengahwini ibu anak zina itu selepas perzinaan mereka.
(iv) Yang mewalikan anak zina ialah wali hakim.
(v) Perbuatan zina adalah di antara dosa-dosa yang besar. Perkara ini jelas di dalam al-Qur’an dan hadis. Tidak ada jalan melainkan bertaubat dengan taubat nashûhah.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-8779
