Kedudukan Kitab Nihâyah ar-Ramli dan Tuhfah Ibnu Hajar Dalam Mazhab Asy-Syafi‘e
Soalan: Antara kitab Nihâyah ar-Ramli dan kitab Tuhfah Ibnu Hajar, yang mana satukah lebih mu‘tamad dalam berfatwa, dan adakah boleh berfatwa dengan kitab-kitab yang selain daripada itu?
Jawapan: Qaul yang dii‘timâdkan oleh Syeikh Ibnu Hajar di dalam Tuhfah al-Muhtâj dan Syeikh ar-Ramli di dalam Nihâyah al-Muhtâj adalah berdasarkan qaul yang mu‘tamad dalam karangan-karangan Imam an-Nawawi dan Imam ar-Rafi‘i, ini menjadikan kitab at-Tuhfah dan an-Nihâyah adalah kitab yang paling mu‘tamad dibandingkan kitab-kitab yang lain.
Selain itu setiap masalah yang tidak disebut oleh Imam an-Nawawi dan Imam ar- Rafi‘i ada tersebut di dalam at-Tuhfah atau an-Nihâyah, maka dalam hal sedemikian hukum yang dijelaskan di dalam kedua-dua kitab inilah yang mu‘tamad. Demikian pendapat para ulama setelah mengambil kira pangkat ilmu.
Di dalam kitab al-Fawâ’id al-Madaniyah dinyatakan bahawa di antara Syeikh Ibnu Hajar dan Syeikh ar-Ramli dibandingkan dengan ulama muta’akhkhirîn pada zaman mereka, para ulama zaman mereka itu sepakat mengakui bahawa yang mu‘tamad dan yang wajib diikut dan difatwakan ialah apa yang ditulis oleh Ibnu Hajar dalam at- Tuhfah dan an-Nihâyah oleh Syeikh ar-Ramli nashnya:
Ertinya: “Ketahuilah bahawa imam-imam mazhab Syafi‘e telah sepakat bahawa yang dijadikan asas dan yang dipakai ialah pendapat Ibnu Hajar dalam Tuhfah dan ar-Ramli dalam Nihayah sekiranya kedua-duanya bersamaan.”
Dalam kitab ini juga diceritakan bahawa menurut Syeikh Said Sanbal, kitab-kitab Zakaria al-Anshari, Khathib asy-Syarbini, Ali Syabramallisi, Ibnu Qasim dan Zayadi adalah kitab-kitab yang mu‘tamad semuanya. Tetapi jika ada bersalah-salahan antara satu sama lain, maka wajiblah didahulukan at-Tuhfah dan an-Nihâyah jika muafakat keduanya itu. Jika bersalah-salahan hukum yang diputuskan dalam at-Tuhfah dan an- Nihâyah, maka mufti boleh memfatwakan mana yang dipilihnya daripada keduanya jika dia bukan ahli tarjîh.
Namun dalam hal bersalah-salahan kitab-kitab Syeikh Ibnu Hajar sendiri, maka hendaklah didahulukan at-Tuhfah kemudian Fath al-Jawâd, kemudian al-Amdâd, kemudian al-Fatâwa, kemudian al-Muntashar dan kemudian Syarh al-‘Ubâb. Jika satu masalah itu tidak dijelaskan di dalam at-Tuhfah dan tidak juga disebut dalam an- Nihâyah dan tiada disebut di dalam kitab-kitab karangan Ibnu Hajar, maka yang mu‘tamad untuk difatwakan ialah pendapat Syeikh al-Islam, kemudian pendapat al- Khathib, kemudian Hâsyiah az-Zayadi, kemudian Hâsyiah Ibnu Qasim, kemudian ‘Umairah, kemudian Hâsyiah Syabramallisi, kemudian Hâsyiah al-Mahalli, kemudian pendapat asy-Syubra kemudian al-‘Inani jika tidak menyalahi al-Mazhab iaitu yang dikatakan mu‘tamad daripada cerita-cerita ashhâb Imam Syafi‘e tentang mazhab Imam Syafi‘e.
Daripada keterangan di atas diketahuilah bahawa kitab-kitab lain juga boleh dijadikan rujukan berfatwa selain daripada at-Tuhfah dan an-Nihâyah jika permasalahannya seperti yang disebutkan.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-8786
