Kelebihan Tawaf Sunat Berbanding Dengan Sembahyang Tahiyyatul Masjid Di Masjidil Haram
Soalan: Apakah yang lebih afdhal dilakukan ketika memasuki Masjidil Haram? Adakah tawaf sunat ataupun sembahyang Tahiyyatul Masjid? Bolehkah kiranya Yang Dimuliakan Pehin menerangkan kelebihan tawaf-tawaf sunat?
Jawapan: Apabila seseorang itu masuk Masjidil Haram, maka sunat baginya melakukan tawaf. Pahalanya lebih besar daripada orang yang sembahyang Tahiyyatul Masjid.
Ulama menyebutkan bahawa tahiyyat itu ada lima, iaitu:
1. Tahiyyat mana-mana masjid dengan sembahyang. 2. Tahiyyat Baitullah dengan tawaf. 3. Tahiyyat Tanah Haram dengan ihram umrah dan haji. 4. Tahiyyat kota Mina dengan melontar Jumrah ‘Aqabah. 5. Tahiyyat masjid bagi khathib pada hari Jumaat dengan khutbah (I‘lâm as-Sâjid: hlm. 108-109)
Dari itu sesiapa yang masuk mana-mana masjid hendaklah dia beradab dengan melakukan sembahyang Tahiyyatul Masjid. Tetapi jika dia masuk ke Masjidil Haram, maka adabnya ialah dengan melakukan tawaf terlebih dahulu, dan salah satu perkara yang disunatkan selepas tawaf ialah sembahyang sunat tawaf di belakang Maqam Ibrahim atau di mana-mana di sekitar Baitullah.
Oleh kerana Baitullah terletak di dalam Masjidil Haram, maka berhimpunlah di dalamnya dua tahiyyat; tahiyyat Baitullah dan tahiyyatul masjid. Untuk melakukan kedua-dua jenis tahiyyat ini, maka jika seseorang itu tawaf bermakna dia telah melakukan tahiyyat Baitullah, dan jika sembahyang sunat tawaf, bermakna dia telah melakukan tahiyyat masjid. Jadi kedua-dua tahiyyat telah dapat dilaku dan dihimpunkan.
Tawaf hanya dapat dilakukan di Baitullah, dan sembahyang sunat Tahiyyatul Masjid boleh dilakukan di mana-mana yang dinamakan masjid. Jika yang dimaksudkan di dalam pertanyaan mana yang lebih afdhal dilakukan ketika masuk Masjidil Haram;
Tawaf atau sembahyang Tahiyyatul Masjid, maka jawapannya adalah tawaf, bukan sembahyang tahiyyatnya.
Imam az-Zarkasyi berkata: “Sesungguhnya tahiyyat mana-mana masjid ialah sembahyang dan tahiyyat Baitullah pula ialah tawaf.” (I‘lâm as-Sâjid: hlm. 107)
Adapun dari sudut hikmah mengapa tawaf lebih afdhal, di antaranya: Al-Bulqini ketika disoal mengenai hikmah yang Allah Ta‘ala turunkan ke atas Baitul Haram (Baitullah) pada setiap hari sebanyak 120 rahmat iaitu bagi orang-orang tawaf sebanyak 60 rahmat, orang-orang sembahyang sebanyak 40 rahmat dan orang-orang yang memandang Baitullah sebanyak 20 rahmat, maka jawabnya: “Sesungguhnya bagi orang tawaf itu dikumpulkan ketiga-tiganya sekali; tawaf, sembahyang dan memandang, maka menjadilah jumlah demikian iaitu 60 rahmat bagi orang yang tawaf, sementara orang yang hanya bersembahyang akan luput rahmat tawaf, orang yang hanya memandang akan luput rahmat tawaf dan rahmat sembahyang.” (Fath al- ‘Allâm: 4/298).
Jadinya orang yang tawaf itu akan memperolehi sebanyak 120 rahmat berbanding dengan sembahyang Tahiyyatul Masjid yang hanya 40 rahmat.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-8795
