Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳الأطعمة والأشربة

Ketuhar Gelombang Mikro (Microwave Oven) Digunakan (Bersama) Oleh Orang Bukan Islam

Soalan: Di Pejabat tempat saya bekerja ada disediakan sebuah oven microwave untuk kegunaan ramai. Persoalannya:

1. Rakan sekerja saya yang bukan Islam membawa bekal makanan yang tidak mengandungi daging haram yang dimasak dari rumah. Sudah pasti keluarganya memasak makanan itu menggunakan bekas yang sama dengan memasak makanan atau daging yang haram. Sekiranya dia memanaskan makanan yang dibawanya menggunakan oven microwave tersebut bagaimana hukumnya orang Islam menggunakannya selepas itu?

2. Bagaimana pula jika makanan yang dipanaskan itu sudah jelas haram?

Jawapan: Pengetahuan orang yang bukan Islam mengenai haram makanan itu mungkin hanya pada daging babi atau binatang yang tidak disembelih oleh orang bukan Islam. Mereka tidak tahu cara membersihkan benda-benda najis atau yang terkena najis. Maka dakwaan makanan yang dibawanya dikatakannnya sebagai tidak mengandungi daging yang haram, atau sebagai tidak najis, ini belum tentu betul. Kedudukan halal sesuatu makanan itu terletak kepada jenisnya. Namun makanan yang dimasak oleh orang yang bukan Islam adalah tidak jelas kehalalannya, oleh itu ia di anggap meragukan, dan setiap yang meragukan hendaklah dijauhi berdasarkan hadis:

Maksudnya: “Tinggalkan apa-apa yang meragukan kepada yang tidak meragukannmu.” (Hadis riwayat at-Tirmidzi dan an-Nasa’i. Berkata at-Tirmidzi: Hadis Hasan Shahîh )

Bertolak dari sinilah para ulama fiqh menetapkan hukum, bahawa minum atau makan pada bejana orang yang bukan Islam yang sudah pernah digunakan oleh mereka itu secara umum adalah makruh. Akan tetapi mempergunakan bejana air mereka lebih ringan makruhnya.

Dalam kitab al-Hawâsyi al-Madaniyyah disebutkan:

Maksudnya: “Makruh mempergunakan bejana orang-orang kafir dan apa-apa yang mengiringi orang-orang bawahan mereka adalah lebih-lebih lagi dan (hukum menggunakan) bejana-bejana air mereka itu lebih ringan.” (Al-Hawâsyi al-Madaniyyah: 1/36).

Ketetapan hukum tersebut berdasarkan beberapa hadis yang antara lain diriwayatkan daripada Abu Tsa‘labah, katanya:

Maksudnya: “Aku pernah berkata: “Ya Rasulullah, sesungguhnya kami berada di bumi suatu kaum yang terdiri darpadai Ahli Kitab. Apakah boleh kami makan pada bejana-bejana mereka itu?”

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Jika kamu perolehi bejana lainnya, janganlah kamu makan padanya (bejana Ahli Kitab) itu, dan jika tidak kamu memperolehinya, maka kamu basuhlah terlebih dahulu, kemudian makanlah padanya.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Riwayat Ahmad dan Abu Daud pula berbunyi:

Maksudnya: “Sesungguhnya bumi kita ini bumi Ahli Kitab dan sesungguhnya mereka itu makan daging babi dan minum arak, maka bagaimana kami lakukan terhadap bejana-bejana mereka dan belanga-belanga mereka?”

Baginda bersabda: “Jika tidak kamu perolehi yang lainnya, maka basuhlah bejana-bejana itu, kemudian masak dan minumlah padanya.”

Menurut riwayat at-Tirmidzi yang berbunyi:

Maksudnya: “Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam pernah ditanya tentang belanga-belanga kafir Majusi. Baginda bersabda: “Kamu sucikanlah dengan basuhan dan masaklah padanya.” (Hadis riwayat at-Tirmidzi)

Maka apabila makanan yang mereka masak yang diragukan kehalalannya atau jelas haramnya diletakkan secara langsung pada bejana orang Islam, termasuk oven microwave, maka bejana itu hendaklah dibersihkan sebelum digunakan semula, kecuali jika makanan itu tidak langsung terkena bejana, seperti kerana dibalut atau diletakkan dalam satu bekas yang boleh menghalang ia terkena alat pemanas.

Khusus mengenai oven microwave yang berfungsi sebagai alat pemanas, ia boleh digunakan oleh orang Islam selepas orang bukan Islam itu memanaskan makanannya (yang meragukan) kerana pada lazimnya mana-mana makanan yang dipanaskan dalam oven microwave tidak diletakkan secara langsung tanpa bekas, bahkan makanan itu dibalut atau ditaruh dalam bekas lain yang tahan panas. Adapun udara pemanas yang keluar untuk memanaskan makanan itu adalah dari udara panas yang suci. Namun jika sekiranya udara panas berkenaan itu mengandungi udara najis, disebabkan kesan daripada makanan yang dimasak itu najis, namun mengikut setengah ulama, makanan yang dipanaskan itu harus juga dimakan. Hal ini diqiyâskan kepada roti yang dimasak dengan bahan najis yang kering, dan habuknya terkena pada roti, namun roti itu harus dimakan.

Berkata pengarang kitab Fath al-‘Allâm:

Ertinya: “Dan dimaafkan roti yang dimasak dengan tahi kering: Dengan meletakkan roti itu langsung di atas tahi kering yang sudah menjadi bara, atau diletakkan di atas bekas tempat mengulinya, maka roti itu boleh dimakan dan memegang untuk melembutkannya walaupun melekat padanya sedikit debunya, dan tidak wajib membasuh mulut jika hendak sembahyang dan sembahyangnya sah dengan menanggungnya.” (Fath al-‘Allâm: 1/518).

Katanya lagi:

Ertinya: “Dan jika diletakkan bejana yang mengandungi susu di atas api najis bagi memanaskan susu itu, lalu berterbangan habuknya ke dalam susu, adalah dimaafkan.” (Fath al-‘Allâm: 1/520).

Adapun sekiranya makanan itu jelas bernajis atau najis, maka asapnya yang sedikit mengikut ‘urf adalah dimaafkan walaupun asapnya itu timbul daripada kesan dimasak (dipanaskan) dengan menggunakan seperti tahi kering. Adapun wapnya yang keluar adalah suci.

Perkara ini dijelaskan oleh Imam as-Sayyid al-Bakri:

Ertinya: “Dan dimaafkan sedikit – mengikut ‘urf - asap najis, iaitu asap yang naik daripadanya dengan sebab (dimasak/dipanaskan) dengan api, walaupun daripada wap yang diletakkan di atas seperti (bara) tahi kering.” (I‘ânah ath-Thâlibîn: 1/106).

Makna ‘urf oleh sesetengah ulama ialah sekiranya tidak jelas adanya kesan. (Al- Hawâsyi al-Madaniyyah: 1/32)

Katanya lagi:

Ertinya: “Dan dikecualikan daripada asap najis ialah wapnya, iaitu wap yang naik daripadanya bukan dengan (dipanaskan/dimasak) dengan api, maka wap itu suci. Termasuk dalam kategori ini ialah udara yang keluar daripada jamban atau dubur, maka ia adalah suci, dari itu sekiranya angin itu dipenuhkan dalam satu bekas lalu dibawa dalam sembahyang, maka sembahyang itu sah.” (I‘ânah ath-Thâlibîn: 1/106).

Dari itu, memakai semula oven microwave selepas digunakan oleh orang bukan Islam untuk memanaskan makanan yang meragukan yang tidak jelas ia bernajis adalah boleh.

Adapun jika makanan itu jelas bernajis dan terkena alat pemanas, maka hendaklah alat itu dibersihkan terlebih dahulu mengikut cara-cara membersihkan najis, dan jika tidak terkena alat pemanas, maka wap makanan yang bernajis itu, yang sedikit dan melekat pada bejana itu adalah dimaafkan. Walaupun begitu, orang Islam patutlah berhati-hati menggunakan oven microwave berkenaan, seperti jika hendak memanaskan makanan padanya, eloklah dibalut atau diletakkan dalam bekas tertutup.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-8803