Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳الأطعمة والأشربة

Lemak Babi Dalam Vaksin Meningitis

Soalan: Jabatan Mufti Kerajaan telah menerima dua pertanyaan mengenai vaksin meningitis yang mengandungi lemak babi:

Pertanyaan pertama:

Dengan penuh hormat dan takzim, sukacita dimaklumkan kepada Dato bahawa Lembaga Mengeluarkan Permit Import Halal, Bahagian Halal Haram, Jabatan Hal Ehwal Syaraiah, telah menerima beberapa pertanyaan daripada orang ramai mengenai perkara di atas, dan perkara ini juga telah diterbitkan dalam akhbar Berita Mingguan Malaysia keluaran 13hb. Oktober, 2002.

Sehubungan dengan itu pihak Lembaga sukacita mendapatkan penjelasan atau sebarang fatwa berhubung perkara di atas bagi kemudahan rujukan Lembaga di masa akan datang.

Pertanyaan kedua:

Dengan segala hormatnya sukacita memaklumkan bahawa Jabatan Urusan Haji telah menerima satu memorandum daripada Setiausaha Tetap, Kementerian Hal Ehwal Ugama mengenai keratan akhbar The Straits Times, keluaran Oktober 2002M bertajuk “Meningitis Jab For Pilgrims, Vaccine With Lard Allowed In Islam, Says Medical Group.”

Untuk makluman Yang Dimuliakan Lagi Dihormati Pehin, suntikan vaksin selaput otak ini telahpun lama digunakan sebelum musim haji tahun 1422 Hijriyyah. Kerajaan Arab Saudi telah mengarahkan kepada semua bakal jemaah haji yang akan menunaikan fardhu haji ke Tanah Suci Makkah dimestikan mendapatkan suntikan Vaksin Meningitis (selaput otak) terlebih dahulu sebelum bertolak meninggalkan negara masing-masing. Maka berpandukan arahan tersebut, pihak Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia juga tidak terkecuali daripada menunaikan arahan tersebut.

Melalui terjemahan keratan akhbar tersebut ada dinyatakan bahawa vaksin meningitis seperti ACYW 135 yang disuntikkan kepada bakal-bakal jemaah haji yang mengandungi lemak babi tersebut adalah dibenarkan dalam Islam, menurut Persatuan Perubatan Islam Malaysia. Kenyataan ini dikuatkan lagi oleh ahkbar Berita Mingguan yang berbunyi: Pemimpin-Pemimpin Ugama Sedunia telah mencapai kata sepakat di Seminar Fiqh Perubatan Islam Ke-8 yang diadakan di Kuwait dalam tahun 1995 bahawa vaksin yang mengandungi lemak babi adalah dibenarkan. Berdasarkan maklumat inilah timbul kekhuatiran/keraguan (khususnya pihak-pihak yang berkenaan di Negara Brunei Darussalam) dari segi penggunaannya.

Untuk makluman Yang Dimuliakan Lagi Dihormati Pehin bahawa pihak Kementerian Kesihatan, Negara Brunei Darussalam telah menjamin bahawa Vaksin Meningitis yang digunakan di Negara Brunei Darussalam tidak menggunakan campuran lemak babi.

Dengan kekhuatiran inilah, kaola bagi pihak Jabatan Urusan Haji khasnya, Kementerian Hal Ehwal Ugama amnya, sangat-sangat berbesar hati ingin mendapatkan ulasan dan pandangan Yang Dimuliakan Lagi Dihormati Pehin berhubung perkara tersebut di atas, seterusnya berkesudian memberi fatwa/hukum sebagai pegangan dalam menjawab permasalahan/kemusykilan berhubung perkara ini.

Jawapan: Hukum Berubat

Berubat hukumnya adalah sunat. Ini adalah berdasarkan hadis Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam:

Maksudnya: “Allah tidak menurunkan penyakit melainkan Dia (Allah) menurunkan penawar bagi penyakit itu.” (Hadis riwayat al-Bukhari)

Sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam di dalam hadis yang lain:

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah menurunkan penyakit dan ubat, dan menjadikan setiap penyakit itu ada ubatnya, maka berubatlah, dan jangan berubat dengan yang haram.” (Hadis riwayat Abu Daud)

Ketetapan hukum sunat itu adalah terpakai pada situasi bila mana berubat itu tidak diputuskan secara َ ْ قَ طعي (pasti) boleh menyembuhkan penyakit yang dihidapi oleh pesakit. Akan tetapi jika diketahui secara pasti ianya boleh menyembuhkan penyakit maka hukumnya adalah wajib. (Ibnu Hajar al-Haitami, Tuhfah al-Muhtâj: 3/182- 183)

Berubat Dengan Bahan Najis Dan Yang Diharamkan

Para ulama bersepakat mengatakan bahawa berubat dengan bahan yang diharuskan adalah harus hukumnya, sama ada bahan-bahan daripada tumbuh-tumbuhan, haiwan dan sebagainya.

Demikian juga halnya berubat dengan bahan yang najis dan yang diharamkan. Pada dasarnya mereka bersepakat mengatakan bahawa tidak harus berubat dengan bahan-bahan sedemikian itu. Namun begitu, sebagaimana pendapat setengah ulama, terdapat kelonggaran di dalam situasi atau keadaan tertentu yang mengharuskan berubat dengan bahan-bahan haram dan najis. Pendapat ini turut didokong oleh para ulama mazhab Syafi‘e. (Al-Mausû‘ah al-Fiqhiyyah: 11/118 dan Abdul Karim Zaidan, al- Mufashshal fî Ahkâm al-Mar’ah: 3/106-107)

Al-Imam Ibnu Hajar Rahimahullah pernah ditanya tentang berubat dengan benda najis, beliau menjawab:

Ertinya: “Berubat dengan tapak kaki bangkai, tulang-tulangnya dan segala benda-benda najis adalah harus hukumnya, sama ada benda-benda najis itu tulen tidak bercampur dengan benda yang lain atau bercampur dengan benda yang lain, kecuali arak. Oleh itu, berubat dengan arak itu adalah tidak harus hukumnya jika ianya tulen tanpa bercampur dengan benda yang lain. Akan tetapi jika ia bercampur dengan benda yang lain maka berubat dengannya adalah harus.” (Al-Fatâwâ al-Kubrâ al- Fiqhiyyah: 1/28)

Seterusnya al-Imam Ibnu Hajar menjelaskan ketika membicarakan tentang berubat dengan najis arak di dalam kitabnya at-Tuhfah katanya:

Ertinya: “Dan pendapat yang ashah berubat dengan arak yang tulen itu adalah haram hukumnya, sama ada bagi orang mukallaf, kanak-kanak atau orang gila, kerana berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Muslim bahawa Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda kepada orang yang bertanya kepada Baginda tentang arak yang dibuatnya untuk ubat: “Sesungguhnya ia bukan ubat tetapi adalah penyakit.” … Adapun arak yang larut bersama ubat yang lain harus berubat dengannya, sebagaimana harus berubat dengan bahan-bahan najis lain yang tulen (yang tidak bercampur dengan benda yang lain), jika dia (orang yang berubat) itu ‘ârif atau menurut pakar perubatan yang ‘âdil bahawa bahan-bahan najis itu (arak yang tidak tulen dan bahan-bahan najis lain selain arak, sama ada tulen atau tidak) boleh menyembuhkan dan ianya tidak boleh diganti dengan benda lain yang suci.” (Tuhfah al-Muhtâj: 9/170)

Al-Imam asy-Syarwani pula menjelaskan:

Ertinya: “Dan berubat dengan bahan najis itu adalah harus hukumnya ketika ketiadaan bahan yang suci untuk menggantikan bahan najis itu. Adapun sabda Shallallahu 'alaihi wasallam: “(Allah) tidak menjadikan kesembuhan umatku pada benda yang Allah haramkan ke atasnya”, maksudnya ialah arak yang tulen … yakni tidak harus berubat dengannya. Berlainan hukumnya bahan-bahan najis lain yang tulen selain arak, iaitu apabila bahan suci tidak dapat menggantikan bahan najis itu.” (Hawâsyi asy-Syarwani: 1/296)

Apa yang dapat dirumuskan daripada penjelasan para ulama mazhab Syafi‘e di atas adalah seperti berikut:

1) Berubat dengan arak tulen yang tidak bercampur dengan bahan yang lain hukumnya adalah haram.

2) Berubat dengan arak yang bercampur dengan bahan yang lain hukumnya adalah harus.

3) Berubat dengan bahan-bahan najis selain arak hukumnya adalah harus, sama ada bahan najis itu terdiri daripada bahan tulen yang tidak bercampur dengan bahan yang lain ataupun ianya bercampur dengan bahan yang lain. Namun yang demikian itu tertakluk juga kepada dua syarat berikut:

i) Tidak terdapat bahan suci yang boleh menggantikan bahan najis itu untuk dijadikan ubat.

ii) Hendaklah menurut orang yang berubat itu (jika dia seorang yang ‘ârif dalam perubatan), ataupun disahkan menurut ahli perubatan Islam yang ‘âdil yang lain bahawa bahan najis yang hendak dibuat ubat itu tidak dapat digantikan dengan bahan yang lain. (An-Nawawi, al-Majmû‘ Syarh al-Muhadzdzab: 9/55)

Dalil-Dalil Yang Mengharuskan Berubat Dengan Najis

Dalil-dalil yang dikemukakan sebagai sandaran bagi menyokong ketetapan hukum harus berubat dengan najis itu selain daripada arak ialah:

1) Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:

Tafsirnya: “Sesungguhnya Allah hanya mengharamkan kepada kamu memakan bangkai, dan darah, dan daging babi, dan binatang-binatang yang disembelih tidak kerana Allah; maka sesiapa yang terpaksa (memakan kerana darurat) sedang dia tidak mengingininya dan tidak pula melampaui batas (pada kadar benda yang dimakan itu), maka tidaklah dia berdosa. Sesungguhnya Allah amat Pengampun, lagi amat Mengasihani.” (Surah al-Baqarah: 173)

Ayat di atas menjelaskan bahawa orang yang memakan benda yang diharamkan seperti bangkai atau daging babi kerana terpaksa (darurat) untuk menyelamatkan nyawa adalah diharuskan dan tidak berdosa selama mana tidak melampaui batas.

Oleh itu berpandukan kepada ayat ini, berubat dengan benda yang diharamkan dalam situasi atau keadaan darurat untuk menyelamatkan nyawa juga diharuskan, kerana berubat untuk menyelamatkan nyawa itu termasuk di dalam kategori darurat, dan perkara-perkara diharamkan yang diharuskan ketika dalam situasi darurat, sebagaimana tersebut dalam kaedah fiqh:

Ertinya: “Keadaan darurat itu mengharuskan perkara-perkara yang dilarang.”

(Dr. Ali Muhammad Yusuf al-Muhammadi: Hukm at-Tadawi fi al-Islam, Majalah keluaran Majma‘ al-Fiqh al-Islami, ad-Daurah 7, bilangan 7, juz 3 hlm. 657)

2) Diriwayatkan daripada Anas bin Malik, beliau menceritakan:

Maksudnya: “Bahawasanya sekumpulan daripada qabilah ‘Ukl seramai lapan orang telah datang kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam lalu mereka berbai‘ah (mengikat janji setia) masuk Islam. Oleh kerana mereka tidak serasi dengan bumi Madinah, maka badan mereka terasa sakit, lalu mereka mengadukan perkara itu kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam. Baginda pun (menyarankan kepada mereka dengan) bersabda: “Tidakkah kamu keluar bersama penggembala kami pergi ke tempat penggembalaan untanya dan mendapatkan susu dan air kencing untanya!” Mereka menjawab: “Ya”. Maka mereka pun pergi keluar (ke tempat penggembalaan untuk mendapatkan air susu dan air kencing unta), lalu meminum air susu dan air kencing unta tersebut. Kemudian mereka pun kembali sihat.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Berdasarkan petunjuk hadis di atas bahawa air kencing unta itu sungguhpun ianya najis, akan tetapi Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam mengizinkan orang yang terkena sakit meminumnya sebagai ubat. Maka ini menunjukkan bahawa berubat dengan benda najis itu diharuskan.

3) Al-Imam ‘Izzuddin bin Abdussalam, salah seorang ulama mazhab Syafi‘e yang terkemuka yang digelar سلطان العلما (sultan para ulama), meninggal pada tahun 660 Hijriyyah, mengemukakan hujah dari aspek memelihara kemashlahatan, di mana apabila terjadi pertembungan di antara dua mashlahat (kepentingan) atau dua mudharat maka yang lebih diutamakan ialah salah satu yang lebih besar mashlahatnya atau yang lebih ringan mudharatnya. Sehubungan dengan persoalan ini, al-Imam dipetik sebagai berkata:

Ertinya: “Berubat dengan benda-benda najis itu harus hukumnya jika tidak terdapat benda yang suci untuk menggantikan benda najis itu, kerana mashlahat (kepentingan) sembuh dan selamat daripada penyakit adalah lebih utama berbanding mashlahat (kepentingan) menghindari daripada najis.” (Qawâ‘id al-Ahkâm fî Mashâlih al-Anâm: 1/81)

Penyelarasan Dalil-Dalil Yang Bertentangan Secara Zahir

Adapun beberapa dalil yang memperuntukkan tentang larangan berubat dengan bahan yang haram dan najis, seperti:

i) Sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah tidak menjadikan kesembuhan kamu (daripada penyakit) pada benda yang Dia (Allah) haramkan ke atas kamu.” (Hadis riwayat al-Baihaqi)

ii) Hadis yang diriwayatkan daripada Abu Darda’ bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah menurunkan penyakit dan ubat, dan menjadikan setiap penyakit itu ada ubatnya, maka berubatlah, dan jangan berubat dengan yang haram.”

(Hadis riwayat Abu Daud)

iii) Diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu, beliau berkata:

Maksudnya: “Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam melarang daripada (berubat dengan) ubat yang kotor.” (Hadis riwayat at-Tirmidzi dan Abu Daud)

Sungguhpun terdapat percanggahan secara zahir di antara ketiga-tiga hadis di atas dengan hadis yang mengharuskan meminum air kencing unta, namun pada hakikatnya tidak ada percanggahan di antara semua hadis-hadis tersebut.

Untuk melenyapkan apa yang disangka sebagai wujudnya pertentangan di antara dalil-dalil berkenaan, al-Imam an-Nawawi dan al-Imam al-Baihaqi membuat penyelarasan atau kompromi di antara dalil-dalil tersebut (التوفيق بني األدلة). Mengenai ketetapan hukum yang terkandung di dalam hadis:

Al-Imam an-Nawawi menjelaskan bahawa ketetapan tersebut boleh diaplikasi atau digunapakai kepada situasi di mana benda yang diharamkan tidak diperlukan sebagai ubat disebabkan terdapat bahan suci untuk dibuat ubat. Oleh itu, haram hukumnya berubat dengan bahan najis dalam situasi seperti ini.

Adapun hadis:

dan hadis:

Al-Imam al-Baihaqi menjelaskan, jika kedua-duanya dihukumkan shahîh, larangan berubat dengan yang haram dan yang kotor yang diperuntukkan di dalam hadis-hadis tersebut adalah dimaksudkan kepada larangan berubat dengan benda yang memabukkan (arak) dan berubat dengan bahan yang haram tanpa ada keperluan. (an-Nawawi: Al-Majmû‘ Syarh al-Muhadzdzab: 9/58)

Dengan demikian, segala tuntutan yang terkandung di dalam hadis-hadis berkenaan dapat diamal atau dipakai. Hal ini bertepatan dengan kaedah ushûl fiqh bahawa apabila terdapat percanggahan antara satu dalil dengan dalil yang lain di segi zahirnya, maka yang sebaiknya dalil-dalil tersebut diselaraskan atau dikompromi supaya dapat diamalkan semuanya, selagi ianya dapat diselaraskan atau dikompromi, kerana beramal dengan semua dalil tersebut adalah lebih baik daripada beramal dengan salah satunya dan meninggalkan yang lainnya.

Berdasarkan dalil-dalil dan penjelasan di atas bahawa berubat dengan apa saja bahan najis selain arak, sama ada ianya tulen ataupun tidak, hukumnya adalah diharuskan dengan mengambil kira syarat-syarat yang disebutkan terdahulu. Sehubungan dengan ini, al-Imam an-Nawawi berkata di dalam kitabnya al-Majmû‘:

Ertinya: “Berubat dengan bahan-bahan najis selain daripada arak hukumnya adalah harus. Ketetapan harus berubat dengan najis itu adalah merangkumi sekalian bahan najis kecuali arak. Inilah pendapat dan nash al-Imam asy-Syafi’e, dan inilah pendapat yang meyakinkan di sisi jumhur ulama.” (Al-Majmû‘ Syarh al- Muhadzdzab: 9/54)

Kedudukan Vaksin Yang Bercampur Lemak Babi

Berhubung persoalan yang diajukan berkenaan suntikan vaksin selaput otak yang mengandungi bahan najis dan yang diharamkan iaitu lemak babi, apabila merujuk kepada pendapat para ulama mazhab Syafi‘e berserta dalil-dalil yang dikemukakan mengenainya, maka ianya harus digunakan untuk berubat, lebih-lebih lagi untuk menyelamatkan nyawa. Akan tetapi keharusan menggunakannya hendaklah tertakluk kepada syarat-syarat berikut:

i) Tidak terdapat bahan suci yang boleh menggantikan bahan najis itu untuk dijadikan ubat.

Oleh itu, selama mana boleh diperolehi Vaksin Meningitis yang tidak bercampur dengan bahan najis atau yang diharamkan, maka vaksin yang bercampur dengan bahan najis atau yang diharamkan seperti lemak babi itu tidaklah harus digunakan.

ii) Hendaklah menurut orang yang berubat itu (jika dia seorang yang ‘ârif dalam perubatan), ataupun disahkan menurut ahli perubatan Islam yang ‘âdil yang lain bahawa bahan najis yang hendak dibuat ubat itu tidak dapat digantikan dengan bahan yang lain.

Oleh itu, selama mana disahkan terdapat vaksin yang bersih daripada bahan najis atau yang diharamkan boleh dijadikan sebagai penawar bagi penyakit atau anti wabak yang dimaksudkan, maka dalam situasi seperti ini tidaklah harus menggunakan vaksin yang bercampur dengan najis dan yang diharamkan. Jika sebaliknya, maka harus ianya digunakan kerana darurat jua.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-8814