Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳الطهارة

Membaca Atau Menghafal Al-Qur’an Dengan Niat Zikir Ketika Haidh

Soalan: Dengan penuh hormat abis kaola memaklumkan bahawa pelajar-pelajar perempuan di Institut Tahfiz Al-Qur’an Sultan Haji Hassanal Bolkiah telah menghadapi kesulitan untuk menghabiskan sukatan hafal al-Qur’an apabila menghadapi haidh (uzur syar‘i). Antara kesulitan-kesulitan lain yang dihadapi oleh pelajar perempuan ialah: 1. Mengikuti dan menghabiskan sukatan hafalan yang ditetapkan. 2. Pihak mu‘âlimah sukar mencapai sasaran sebenar sesi tasmî‘ dan murâja‘ah. 3. Timbulnya keresahan di kalangan pelajar perempuan ketika menduduki peperiksaan tahrîri al-Qur’an serta berlakunya pembatalan atau penangguhan sesi ujian syafawi al-Qur’an yang menyukarkan secara keseluruhan proses peperiksaan dan mengumpulan markah. Dalam permasalahan tersebut, abis kaola ingin meminta penjelasan tentang kedudukan para hâfizhah al-Qur’an dan pembimbing (mu‘âlimah al-Qur’an) ketika dalam uzur syar‘i: Persoalannya: 1. Bolehkah bagi para pelajar perempuan atau mu‘âlimah Tahfiz al-Qur’an memegang/membaca/mengulang hafalan/mentasmî‘ pada waktu haidh? 2. Bolehkah orang yang di dalam haidh itu membaca/ menghafal ayat-ayat al- Qur’an dengan niat zikir?

Jawapan: Soalan pertama itu mengandungi: Bolehkah perempuan yang haidh memegang al- Qur’an, membaca al-Qur’an, mengulang bacaan dan mentasmî‘ al-Qur’an?

Memegang Al-Qur’an Ulama sepakat bahawa perempuan yang haidh adalah haram menyentuh atau memegang Mushhaf berdasarkan firman Allah Ta‘ala dan Sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam.

Firman Allah Ta‘ala:

Tafsirnya: “Tidak menyentuhnya (al-Qur’an) melainkan orang-orang yang suci.” (Surah al-Wâqi‘ah: 79)

Sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:

Maksudnya: “Bahawa Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam menulis surat kepada penduduk Yaman yang antara lain mengandungi: “Tidak menyentuh al-Qur’an melainkan orang-orang yang suci.” (Ditakhrîj oleh ad-Daraquthni)

Di dalam kitab Fath al-Mu‘în, I‘ânah ath-Thâlibîn dan al-Anwâr li A‘mâl al-Abrâr antara lain disebutkan:

“Dengan sebab hadas (tidak berwudhu atau sebab junub) adalah haram menyentuh Mushhaf berdasarkan firman Allah Ta‘ala:

Tafsirnya: “Tidak menyentuhnya (al-Qur’an) melainkan orang-orang yang suci.” (Surah al-Wâqi‘ah: 79)

Walaupun ayat di atas berbentuk khabar (berita), akan tetapi ianya adalah bermakna nahi atau larangan.

Dan berdasarkan hadis yang berbunyi:

Ertinya: “Tidak menyentuh Mushhaf melainkan orang-orang yang suci.” (Hadis riwayat al-Hakim dan al-Baihaqi)

Larangan menyentuh dalam ayat dan hadis di atas termasuklah juga makna menanggung atau membawanya.

Selain larangan menyentuh dan menanggung atau membawa itu, haram juga menanggung sesuatu yang ditulis padanya ayat-ayat al-Qur’an kerana tujuan untuk belajar walaupun yang ditulis itu hanya setengah ayat. Kecuali jika bukan untuk belajar, seperti untuk azimat, begitu juga seperti yang ditulis pada mata wang, kerana ianya bukan al-Qur’an. Akan tetapi, jika diqashadkannya sebagai al-Qur’an, juga adalah tidak boleh.

Demikian juga jika diqashadkan sebagai pelajaran, adalah haram dan jika diqashadkan sebagai mengambil berkat, adalah tidak haram. Jika tidak ada tujuan tertentu, maka yang perlu diperhatikan ialah qarînah atau alamat-alamat tertentu untuk apa tujuannya ia ditulis.

Sekiranya sesuatu itu seperti kayu atau papan besar, misalnya pintu besar ada tulisan ayat, maka boleh menyentuh mana-mana bahagiannya yang tidak ditulis ayat dan tidak haram menyentuh mana-mana bahagian yang sudah hapus tulisannya sekira-kira ianya tidak dapat lagi dibaca kecuali dengan kaca pembesar.

Adapun qashad atau tujuan yang dimaksudkan di atas ialah qashad atau tujuan awal ketika mula menuliskan ayat-ayat berkenaan. Sekiranya selepas menulis ayat-ayat, dan tujuan awal itu sudah ada, kemudian ada pula tujuan lain, maka tujuan lain ini tidak diambil kira.

Adalah tidak haram menanggung atau membawa Mushhaf bersama barang lain sekiranya tujuan sebenarnya bukan menanggung Mushhaf sahaja. Mengikut kitab Tuhfah, sekiranya maksudnya hanya:

(1) Menanggung Mushhaf. (2) Menanggung Mushhaf bersama barang, (3) Menanggungnya secara mutlak, maka ketiga-tiga cara ini adalah haram.

Dan yang tidak haram baginya hanyalah satu cara, iaitu jika qashadnya hanya menanggung barang. Ulama lain ada yang berpendapat bahawa cara yang diharamkan itu hanya satu, iaitu sekiranya qashadnya menanggung Mushhaf sahaja. Adapun sekiranya ia qashadkan menanggung bersama barang itu, atau menanggung barang itu sahaja atau menanggungnya secara mutlak, adalah tidak haram.

Adalah haram menyentuh kertasnya, sama ada di tepi atau di tengah, ataupun sama ada masih bersambung atau sudah putus, atau sudah hapus tulisannya.

Adalah haram menyentuh sampulnya, atau sarungnya, atau petinya, tetapi dengan syarat bahawa sampul, sarung dan petinya itu disediakan khas hanya untuk Mushhaf saja dan ketika itu Mushhaf memang ada di dalamnya. Jika tidak demikian, adalah harus menanggungnya.

Tersebut dalam Tuhfah: “Zahir pendapat ulama, adalah tidak ada perbezaan antara sampul, sarung dan peti yang memang disediakan khas hanya untuk Mushhaf sahaja sama ada ukurannya sama dengan Mushhaf atau tidak, dan jika sekiranya pada kebiasaannya tempat itu memang tidak disediakan untuk Mushhaf.”

Berkata al-Halabi dalam Hawâsyi al-Manhaj: “Adalah haram menyentuh almari (rak) yang disediakan untuk meletakkan Mushhaf, walaupun almari (rak) itu dalam ukuran yang sangat besar. Inilah pendapat al-‘Alqami dan ar-Ramli.”

Dalam Tuhfah disebutkan juga bahawa yang sama kedudukannya dengan peti ini termasuklah kursi (rehal) yang diletakkan Mushhaf di atasnya.

Dalam al-Bujairami disebutkan: “Yang mu‘tamadnya, bahawa adalah haram menyentuh semua kursi (rehal) kecil dan tidak haram menyentuh rehal besar, kecuali di bahagian yang diletakkan Mushhaf.”

Adapun kulit Mushhaf adalah haram menyentuhnya sekiranya masih bersambung dengannya. Demikian pendapat Ibnu Hajar dan ar-Ramli. Pendapat lain mengatakan, sama ada bersambung dengannya atau ianya sudah terpisah, adalah tetap haram menyentuhnya, tetapi dengan syarat sekiranya kulitnya itu masih tetap dibangsakan atau dihubungkan kepada Mushhaf. Pendapat lain menyebutkan lagi bahawa sekiranya kulitnya diganti baru, maka kulit lama itu tetap juga haram disentuh dan sekiranya kertas Mushhaf hilang atau terbakar, yang tinggal hanya kulit, maka kulit itu tidak haram disentuh.

Tidak haram membalik kertasnya dengan menggunakan benda lain (seperti kayu), kerana cara itu tidak disebutkan sebagai menanggung.

Tidak haram menanggung Mushhaf bersama tafsirnya, iaitu sekiranya tafsirnya lebih banyak. Sekiranya sama banyaknya, atau tafsirnya sedikit atau diragukan mana yang lebih banyak, maka tidak boleh menyentuhnya.

Yang menjadi panduan dalam ukuran banyak sedikitnya antara Mushhaf dan tafsir ialah tulisan ‘Utsmani dalam Mushhaf dan kaedah tulisan dalam tafsir. Maka ketika menanggungnya, yang diambil kira ialah jumlah al-Qur’an dan tafsir. Manakala dalam perkara menyentuh, yang diambil kira ialah tempat di mana ia meletakkan tangannya, jika pada tempat itu tafsir lebih banyak, maka adalah boleh, tetapi jika al- Qur’an lebih banyak, maka haram.

Guru atau penjaga, tidak mengapa membiarkan kanak-kanak mumayyiz walaupun dia berhadas menanggung dan menyentuh Mushhaf kerana keperluan mempelajarinya, seperti membawanya ke sekolah dan membawanya ke tempat guru untuk mempelajarinya. Selain Mushhaf lengkap, termasuklah seperti papan tulis (buku tulis) yang mengandungi ayat-ayat al-Qur’an.

Dibenarkan perkara ini adalah kerana membebani kanak-kanak itu supaya terus berwudhu adalah suatu perkara yang amat berat bagi mereka, kerana pada lazimnya masa mempelajari al-Qur’an itu memakan masa yang lama.

Walaupun kanak-kanak berkenaan dibenarkan menyentuh dan menanggung Mushhaf, mengikut fatwa Ibnu Hajar, adalah dimaafkan bagi guru kanak-kanak yang tidak berupaya terus-menerus dalam keadaan suci (berwudhu) untuk menyentuh papan tulis yang ada ayat-ayat al-Qur’an, kerana berwudhu itu mungkin susah dilakukan, akan tetapi hendaklah dia bertayammum kerana tayammum itu lebih mudah.

Adalah haram ke atas penjaga atau guru membiarkan kanak-kanak yang belum mumayyiz dengan Mushhaf, walaupun setengah ayat, kerana ditakuti ianya akan tercemar. (Al-Malibari, Fath al-Mu‘în, hlm: 10, dan as-Sayyid al-Bakri: I‘ânah ath- Thâlibîn: 1/65-69)

Syeikh Yusuf al-Ardabili di dalam kitabnya al-Anwâr li A‘mâl al-Abrâr, antara lain menyebutkan pula:

“Orang yang berhadas adalah haram menanggung al-Qur’an, sama ada secara langsung atau dengan alat seperti tongkat, pembaris, atau yang lainnya. Begitu juga menyentuhnya, menyentuh kulitnya, menyentuh tepi, dan barisnya. Begitu juga menyentuh fail, pembalut atau peti yang ada di dalamnya Mushhaf.”

Jikalau tangannya dibalut dengan hujung baju, kemudian dia membalik-balikkan kertas Mushhaf dengan tangannya atau dengan kayu, adalah haram. (Akan tetapi membalik-balikkannya dengan umpama kayu itu ada yang mengatakan tidak haram).

Katanya lagi: “Haram ke atas orang-orang baligh menyentuh papan yang tertulis ayat al-Qur’an jika tujuannya untuk belajar. Akan tetapi tidak wajib ke atas guru atau penjaga menegah kanak-kanak mumayyiz daripada menyentuh Mushhaf sekiranya tidak membawa kerosakan terhadap Mushhaf.” (Yusuf al-Ardabili, al-Anwâr li A‘mâl al-Abrâr: 1/32)

Membaca Al-Qur’an

Jumhûr fuqahâ’ mazhab (Hanafi, Syafi‘e dan Hanbali) berpendapat perempuan yang haidh adalah haram membaca al-Qur’an berdasarkan hadis:

Maksudnya: “Perempuan yang haidh dan orang yang junub adalah haram membaca sesuatu ayat daripada al-Qur’an.” (Ditakhrîjkan oleh at-Tirmidzi)

Dalam mazhab Syafi‘e orang yang haidh adalah haram membaca al-Qur’an dengan bersuara, walaupun setengah ayat, hatta ayat singkatan (seperti huruf ق، حـم ، يـس) kerana perbuatan itu dianggap mencemari kemuliaan al-Qur’an.

Tetapi harus membacanya dalam hati tanpa menggerakkan lidah, sama ada yang telah dihafal atau dengan melihat Mushhaf. Harus juga membacanya dengan menggerakkan lidah, tetapi suara tidak kedengaran olehnya sendiri kerana bacaan seperti ini tidak dinamakan membaca al-Qur’an. Selain itu adalah harus membaca ayat-ayat yang telah dimansûkhkan.(Al-Mausû‘ah al-Fiqhiyyah: 18/39).

Syarat-syarat haram bagi orang junub membaca al-Qur’an ada 6:

1. Sudah mukallaf, dan dengan itu terkecuali kanak-kanak dan orang gila. 2. Yang dibaca itu dinamakan al-Qur’an. 3. Bacaan dalam kedudukan sunat. 4. Bersuara, dan terkeluar bacaan dalam hati. 5. Dapat didengar sendiri dalam keadaan pendengarannya baik. 6. Dengan semata-mata qashad membaca al-Qur’an, atau bersama niat zikir, dan terkeluar jika diniatkan semata-mata zikir saja, atau tanpa apa-apa niat seperti saja-saja membaca. (Fath al-‘Allâm: 1/365-366).

Maksud niat zikir dalam syarat keenam ialah ketika ada sempena sesuatu yang menyebabkan ia tidak lagi dinamakan al-Qur’an, seperti ketika ditimpa musibah, semasa berdoa, menaiki kenderaan, ketika mendengar guruh dan sebagainya (lihat huraian lanjut dalam jawapan soalan kedua di bawah ini).

Mengulang Bacaan Al-Qur’an Dan Mentasmî‘nya

Mengulang-ulang bacaan al-Qur’an, sama ada untuk menghafal atau melancar hafalan adalah sama dengan hukum membaca di atas.

Jika maksud mentasmî‘ itu ialah menyemakkan hafalan atau memperdengarkan hafalan kepada orang lain bererti bacaan hafalan itu ada suara agar dapat didengar orang yang menyemak, hukum yang berlaku adalah sama seperti hukum membaca yang di atas.

Bolehkah Orang Yang Haidh Membaca Al-Qur’an Dengan Niat Zikir?

Jika dia sedang mendengar atau ditimpa musibah, lalu membaca ayat yang sunat dibaca ketika itu dengan niat zikir adalah harus. Umpamanya ketika mendengar bunyi guruh, lalu dia membaca ayat yang sunat dibaca ketika itu dengan niat zikir adalah harus. Begitu juga ketika menaiki kenderaan membaca ayat yang sunat dibaca ketika itu dan semasa berdoa membaca ayat yang berbunyi doa dengan niat bukan membaca al-Qur’an adalah harus. Begitulah halnya dalam mana-mana sempena atau munasabah yang disunatkan membaca ayat al-Qur’an yang mana orang yang haidh juga disunatkan membacanya, tetapi dengan tidak mengqashadkannya sebagai al- Qur’an.

Tetapi jika dia sedang membaca kitab-kitab agama dan menemui nash ayat al-Qur’an di dalamnya, adalah tidak harus dibacanya walaupun satu dua huruf dan walaupun dengan niat zikir. Atau ketika di mahkamah apabila hakim meminta bukti daripada al-Qur’an, lalu membaca ayat al-Qur’an yang diperlukan dengan niat zikir adalah tidak harus. Apakah perbezaan yang ini dengan yang di atas? Perbezaannya ialah: “Yang di atas memang sunat berzikir ketika waktu-waktu berkenaan, manakala di sini ayat itu diletakkan bagi tujuan dalil atau sandaran, dalil atau sandaran itu tetap namanya al-Qur’an, bukan zikir”.

Dengan mengqiyâskan perkara ini dengan pertanyaan, maka tanda atau qarînah yang ada menunjukkan bahawa acara atau ketika itu adalah ketika atau munasabah ujian atau peperiksaan membaca atau tasmî‘ al-Qur’an, bukan majlis berzikir, dan jika yang dibaca itu bukan al-Qur’an (seperti apa yang dibaca diniatkan zikir), maka ketika atau munasabah itu bukan lagi dinamakan ujian atau peperiksaan membaca atau tasmî‘ al-Qur’an.

Jika diadakan tasmî‘ untuk semua pelajar, sudah tentu acara itu dinamakan tasmî‘ al- Qur’an, kerana pada ghâlibnya tidak semua pelajar serentak haidh. Jadi qarînah di sini membawa mesej bahawa acara itu adalah acara mentasmî‘ bacaan al-Qur’an dan ia tidak disebut tasmî‘ zikir.

Dengan adanya qarînah berkenaan, maka hukumnya adalah sama seperti hukum membaca al-Qur’an.

Apa yang disebut di atas adalah berdasarkan fahaman keterangan Imam an-Nawawi Rahimahullah berikut:

“Kami telah sebutkan bahawa adalah diharamkan kepada orang junub, haidh dan nifas membaca sesuatu daripada al-Qur’an, walaupun sedikit seperti sebahagian ayat. Jika ayat al-Qur’an terdapat dalam kitab-kitab fiqh atau kitab-kitab lain yang dijadikan hujah atau dalil, adalah haram membacanya. Perkara ini disebut oleh Qadi Husain dalam fatwanya, kerana tujuan ayat al-Qur’an diletakkan dalam kitab-kitab itu adalah menjadikan al-Qur’an sebagai hujah.

Ashhâb kita berkata: “Jika seseorang berkata kepada orang lain untuk mengambil sesebuah kitab dengan berkata:

Maksudnya: “Ambillah kitab itu dengan kuat.” (Surah Maryam: 12)

Dan tidak bermaksud apa yang diucapkannya sebagai al-Qur’an adalah harus. Begitulah hukum yang seumpamanya.

Perkara yang semakna dengan keadaan ini ialah: Harus bagi orang junub, haidh dan nifas berkata ketika ditimpa musibah:

dengan tidak mengqashadkan sebagai al-Qur’an.

Ashhâb kita dari negeri Khurasan berkata: “Adalah harus ketika menaiki kenderaan membaca:

dengan tidak mengqashadkannya sebagai al-Qur’an. Ini dijelaskan oleh al-Faurani, al-Baghawi, ar-Rafi‘e dan lain-lain. Tetapi ulama-ulama Iraq mengatakan tidak harus. Yang shahîh ialah pendapat pertama.

Al-Qadhi Husain dan lain-lain berkata: “Adalah harus ketika berdoa membaca:

Itulah jawapan hukum dalam mazhab Syafi‘e kepada dua pertanyaan yang dikemukakan. Hukum tetap hukum dan hanya orang yang suka mencari keringanan saja yang suka melanggar hukum.

Kesimpulannya bahawa perempuan yang haidh sama ada dia pelajar di Institut Tahfiz Al-Qur’an atau bukan adalah haram menyentuh, membaca atau menghafal al-Qur’an sekalipun dengan niat zikir, kecuali yang diharuskan membacanya ketika keadaan-keadaan tertentu sahaja seperti membaca ayat al-Qur’an ketika ditimpa musibah, menaiki kenderaan atau ayat itu sendiri sebagai doa, dengan syarat ayat-ayat berkenaan itu tidak diqashadkan atau tidak diniatkan sebagai al-Qur’an.

Sebagai Irsyad, supaya sukatan pelajaran yang berkaitan dengan hafalan al-Qur’an ini bagi pelajar-pelajar perempuan dapat dihabiskan menurut jadual, ialah dengan melakukan hafalan dan tasmî‘ itu pada hari-hari hujung minggu (Jumaat dan Ahad) termasuk hari-hari percutian penggal sebagai ganti kepada hari-hari uzur itu atau pada hari-hari di luar kelas biasa, mana-mana yang berkenaan. Mudah-mudahan ini dapat mengatasi masalah yang ditanyakan atau dengan apa jua cara yang difikir munasabah menurut peraturan dalam perkhidmatan, bagi mengelakkan pelanggaran hukum syara‘ bagi perempuan haidh dengan al-Qur’an.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-8823