Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳المواريث

Membahagi Dan Memperniagakan Hasil Jualan Tanah Pusaka (Harta Waris) Dan Masalah Pembayaran Hutang Atas Modal Perniagaan

Soalan: Dengan penuh hormat dan takzim sukacita kaola memohon kemurahan hati Pehin untuk menjelaskan kemusykilan kaola mengenai perkara yang berikut:

Kaola mempunyai adik beradik seramai 6 orang, 2 lelaki dan 4 perempuan. Abis kaola mempunyai harta waris daripada ayah iaitu sebidang tanah yang luasnya dua ekar.

Tanah itu dijual. Hasil daripada jualan tanah itu akan dijadikan modal perniagaan untuk membeli barang-barang yang akan diperniagakan.

i. Bolehkah duit hasil daripada jualan tanah itu diniagakan? ii. Bolehkah duit hasil jualan tanah itu diniagakan sebelum mendapat persetujuan atau kebenaran daripada adik beradik seramai 6 orang itu? iii. Bagaimana kedudukan atau pembahagian harta hasil jualan tanah itu dari segi hukum farâ’idh. iv. Bagaimana kedudukan perniagaan itu jika menanggung hutang di bank? Apakah hukum farâ’idh digunakan bagi sama-sama membayar memandangkan (ii) di atas?

Sekian dihadapkan beberapa kemusykilan untuk memohon jasa baik yang Dimuliakan Pehin

Jawapan: i. Memperniagakan wang hasil daripada jualan tanah pusaka adalah harus dengan syarat hendaklah kesemua ahli waris bersetuju untuk berbuat demikian.

ii. Duit hasil jualan tanah pusaka itu adalah menjadi hak ahli waris yang enam orang itu. Oleh itu adalah haram dibelanjakan atau diperniagakan selagi belum mendapat persetujuan atau kebenaran daripada semua ahli waris. Sekiranya ada di antara mereka yang bersetuju maka bahagian mereka itu sahaja yang harus diperniagakan.

iii. Menurut hukum farâ’idh dua orang anak lelaki dan empat orang anak perempuan itu kesemuanya berhak menerima harta pusaka tersebut (tanah dua ekar itu) secara ‘ashabah. Apabila dibahagikan kepada kesemua ahli waris, tiap seorang anak lelaki akan memperolehi bahagian yang menyamai dengan bahagian untuk dua orang anak perempuan sebagaimana firman Allah Subhanu wa Ta‘ala:

Tafsirnya: “Iaitu bahagian seorang anak lelaki menyamai bahagian dua orang anak perempuan” (Surah an-Nisâ’: 11)

Ini bererti dua orang anak lelaki akan menerima empat bahagian (2 bahagian seorang). Manakala empat orang anak perempuan menerima empat bahagian. Maka bagi tujuan pembahagian, hasil jualan tanah itu hendaklah dibahagi kepada lapan bahagian.

Sekiranya tanah berkenaan nilainya dianggarkan berharga $600,000 (enam ratus ribu ringgit Brunei) bermakna tiap satu bahagian iaitu 0.25 ekar tanah bernilai $75,000. Oleh itu, pembahagian harta pusaka itu dalam bentuk wang ringgit bagi setiap ahli waris adalah seperti berikut:

a). Dua orang anak lelaki: Tiap seorang menerima $150,000.

b). Empat orang anak perempuan: Tiap seorang menerima $75,000

iv. Apabila perniagaan itu menanggung hutang sama ada di bank atau lainnya, maka cara pembahagian pembayaran hutang berkenaan hendaklah berdasarkan saham atau peratus modal yang disertai oleh setiap peserta yang terdiri daripada ahli waris dalam perniagaan tersebut. Dalam hal ini cara pembahagian untuk membayar hutang tidaklah digunakan kaedah farâ’idh kerana kaedah ini hanya digunakan untuk menentukan sesiapa yang berhak atau tidak untuk mewarisi pusaka si mati dan menentukan berapa bahagian setiap ahli waris. Walau bagaimanapun dalam membahagikan berapa jumlah yang harus dibayar oleh tiap seorang peserta, konsep adil dan saksama mesti dilaksanakan iaitu berdasarkan persetujuan awal ahli waris.

Sebagaimana yang telah dijelaskan bahawasanya wang hasil jualan tanah pusaka itu tidak boleh diperniagakan sebelum mendapat izin atau kebenaran daripada mereka yang berhak mewarisinya. Sekiranya terkandung di dalam duit yang diperniagakan itu duit ahli waris yang tidak bersetuju untuk berbuat demikian, maka ahli waris yang tidak bersetuju itu adalah dikecualikan yakni tidak dibebankan untuk turut serta membayar hutang berkenaan. Sebaliknya orang yang bertanggung jawab memperniagakan wang si pewaris yang tidak bersetuju hendaklah mengganti atau mengembalikan hak pewaris berkenaan.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-8830