Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳الزكاة والصدقات

Memberikan Bahagian Zakat Al-Ghârimîn Kepada Orang Yang Berhutang

Soalan: Dengan hormat sukacita dipohonkan nasihat atau fatwa mengenai permohonan mendapatkan bantuan daripada Kumpulan Wang Zakat Ashnâf al-Ghârimîn bagi membina dan membaiki masjid-masjid di Negara Brunei Darussalam ini yang dihadapkan oleh Pengarah Hal Ehwal Masjid. Adakah permohonan tersebut dipohonkan atas batang tubuhnya (peribadinya) atau atas jawatannya sebagai Pengarah Hal Ehwal Masjid?

Jawapan: Ghârim (jama‘: Ghârimîn) atau orang yang berhutang, merupakan salah satu daripada lapan ashnâf atau golongan manusia yang berhak menerima zakat, berdasarkan ayat al-Qur’an:

Tafsirnya: “Sesungguhnya zakat-zakat itu, hanyalah untuk orang-orang fakir, orang-orang miskin, ‘âmil-‘âmil zakat, muallaf, memerdekakan hamba, orang-orang yang berhutang, untuk (dibelanjakan pada) jalan Allah dan orang-orang yang sedang dalam perjalanan, sebagai satu ketetapan yang diwajibkan Allah dan Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.” (Surah at-Taubah: 60)

Allahyarham Pehin Datu Seri Maharaja Datu Seri Utama Dr. Haji Ismail bin Umar Abdul Aziz, dalam kertas kerjanya bertajuk “Orang Yang Menerima Zakat” yang dibentangkan dalam Kursus Pegawai-Pegawai dan Guru-Guru Agama dan Arab Senegeri Brunei mulai hari Jumaat 10 Safar, 1390H hingga hari Jumaat 17 Safar, 1390H, bersamaan 17 April, 1970M hingga 24 April, 1970M telah menghuraikan erti golongan “al-ghârimîn”. Orang yang termasuk dalam golongan al-ghârimîn itu ialah:

1. Orang yang berhutang kerana hendak menyelesaikan suatu fitnah atau perkelahian di antara dua kumpulan, dalam perbunuhan umpamanya, sekalipun perbunuhan itu bukan pada manusia bahkan pada binatang, sekalipun anjing dan tiada diketahui siapa membunuhnya, maka ia berhutang kerana hendak menyelesaikan perbalahan di antara dua kumpulan itu, maka ia boleh dan harus menuntut dari bahagian ghârim kerana membayar hutang yang ditanggungnya kerana perkara yang tersebut itu sama ada ia fakir atau kaya, dan diberi orang ghârim itu ketika hutang itu masih ia tanggung. Dan jika ia telah bayar hutangnya itu dari hartanya atau ia bayar daripada hartanya dengan tiada ia berhutang maka tiadalah diberi ia dari bahagian ghârim.

2. Seorang yang berhutang kerana menjamu tetamu atau kerana mendiri atau membaiki masjid atau jambatan atau melepaskan orang tawanan dan lain dari perkara mashlahat awam, maka diberi ia dari zakat kerana membayar hutangnnya itu sekalipun ia kaya. Dan jikalau ia memberi dan membuat perkara-perkara tersebut dengan wangnya sendiri dan tiada ia berhutang atau ia berhutang tetapi telah bayar hutang itu daripada wangnya maka tiadalah diberi ia dari zakat. Satu dari perkara am yang sangat mustahak di kalangan umat Islam ialah mendirikan sekolah-sekolah pelajaran agama Islam sama ada rendah, menengah dan tinggi sama ada menerusi bahasa Melayu dan dalam bahasa Arab dan lain-lain bahasa yang ada di sebelah Tenggara Asia, di seluruh negeri, kampung, pekan dan bandar, maka belanja sekolah dan gaji guru, harus dibayar dan diambil dari bahagian ghârim kiranya pihak sekolah itu berhutang, bagaimana yang telah diluluskan oleh al-‘Allâmah as-Sayyid Alawi al-Haddad, Mufti Johor. Dan tiadalah harus yakni tiada sah diberikan zakat terus kerana mendirikan masjid atau seumpamanya dengan tiada melalui ghârim atau ibnussabîl.

3. Orang yang berhutang kerana dirinya atau orang tanggungannya, pada perkara mubâh sama ada taat atau harus, atau pada perkara maksiat dan dia belanjakannya pada perkara yang harus, atau pada perkara yang harus dan ia belanjakannya pada perkara maksiat, kiranya diketahui tujuannya pada yang harus atau tidak dan kita tidak terima dakwaannya pada yang harus melainkan dengan ada bayyinah (keterangan) atau pada perkara maksiat dan ia belanjakannya pada maksiat tetapi ia bertaubat dan ada ghâlib zhann kita bahawa benar taubatnya itu, maka diberi ia dari zakat dalam keadaan-keadaan yang tersebut, kiranya hutangnya telah sampai tempoh bayarannya. Dan ia lemah dari membayarnya, kemudian jika tiada di tangannya sesuatu bagi menunaikan hutang itu maka diberi ia kadar membayar semua hutangnya. Dan kiranya ada sesuatu di tangannya, maka dibayarkan sesuatu yang ada di tangannya itu, sekadar cukupnya dan diberi ia zakat kerana membayar baki hutangnya itu.

4. Orang yang berhutang kerana mendhâminkan hutang orang, dan telah sampai tempoh membayarnya, jika ia dhamankan hutang itu dengan kebenaran orang yang kena dhaman itu, tiadalah diberi yang dhamin itu akan zakat, melainkan jika ia susah (مُعْسَر) serta yang kena dhaman itu susah juga. Dan jika ia dhamankan dengan tiada kebenaran daripada yang kena dhaman, maka tiadalah diberi ia zakat, melainkan jika ia susah sekalipun yang kena dhaman itu tiada susah.

Perkara al-ghârimîn ini boleh dirujuk dalam kitab at-Tuhfah karangan Ibnu Hajar (7/156-159), Asna al-Mathâlib karangan al-Qadhi Zakaria al-Anshari (2/511-513) dan kitab Fath al-‘Allâm karangan al-‘Allâmah as-Sayyid Muhammad Abdullah al- Jardaniy (3/477-480).

Berdasarkan penjelasan mengenai al-Ghârimîn di atas, maka sesiapa pun boleh diberikan bahagian zakat ghârimîn kalau dia berhutang atas namanya dengan kemahuannya sendiri dan dia hanya akan meminta bahagian zakat ghârimîn setelah tidak mampu membayar hutangnya, bukan dia meminta bahagian itu atas nama jawatannya bagi sebuah jabatan yang diketuainya supaya tuntutan untuk menjelaskan atau melunaskan hutangnya itu akan diminta kepadanya di mana pun dia berada, tidak kepada orang lain, bahkan jika dia mati, beban hutang itu akan ditanggung oleh warisnya supaya hutang itu dijelaskan. Sebab itulah harta si mati belum menjadi pusaka sehingga diselesaikan urusan penyempurnaan mayatnya yang diambil daripada harta si mati, membayar hutang piutangnnya, mengeluarkan zakatnya (jika belum dikeluarkan), melaksanakan wasiat dan lain-lainnya.

Suatu hal lagi, jika seorang pengarah jabatan berhutang, maka kedudukan pengarah itu adalah mewakili atau melaksanakan amanah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan, melalui kementeriannya. Ini bererti; jika dia berhutang, maka yang berhutang itu ialah kerajaan sendiri, sedangkan zakat tidak boleh diberikan kepada kerajaan atau mana-mana institusi kerajaan, sama seperti bahawa zakat itu tidak boleh diberikan kerana membangun masjid. Sebagaimana kata pengarang Fath al-Mu‘în:

Ertinya: “Dan harta zakat tidak boleh ditasharrufkan untuk mengkafani mayat atau membangun masjid.”

Inilah yang kita fahami daripada fatwa yang telah diluluskan oleh al-‘Allâmah as- Sayyid ‘Alawi al-Haddad Mufti Johor itu supaya “… maka belanja sekolah dan gaji guru harus diambil dari bahagian ghârim, kiranya pihak sekolah itu berhutang.” - Fatwa ini telah dinukil oleh Allahyarham itu pada tahun 1390-1970 sewaktu membentangkan kertas kerja di atas.

Sekolah dan guru agama yang disebutkan dalam fatwa Mufti Johor itu, ialah sekolah agama atau sekolah Arab milik peribadi di mana sekolah tersebut dikendalikan secara bersendirian, atau sekolah yang dikendalikan oleh beberapa orang atas nama keluarga atau keturunan (Arab) di mana sekolah yang berkenaan tidak mampu membayar gaji guru-gurunya. Andaian ini kuat kerana kedudukan sekolah-sekolah agama di alam Melayu pada masa itu lebih bercorak hak milik peribadi. Jika demikian halnya, maka pemilik sekolah – bukan sekolah – yang berhutang itu berhak mendapat bahagian zakat al-ghârimîn itu.

Dalam makna yang lain guru-guru tersebut bukanlah dari sekolah agama atau sekolah Arab yang dikendalikan oleh kerajaan di mana gaji guru-guru itu diambil daripada peruntukan kewangan negara, Baitulmal atau sekolah-sekolah swasta seperti sekarang ini yang gaji guru-gurunya diperolehi daripada yuran-yuran penuntutnya atau daripada pendapatan-pendapatan lain.

Disimpulkan bahawa ghârimîn itu ialah orang atau golongan manusia, bukannya institusi jabatan atau seumpamanya dan dia adalah berhak menerima zakat selama hutangnya itu masih sabit dalam tanggungannya.

Dengan itu permohonan mendapatkan bahagian zakat daripada Pengarah Hal Ehwal Masjid hendaklah atas nama batang tubuh, bukan atas jawatannya dan dia berhak menerimanya semasa hutangnya itu sabit dan masih dalam tanggungannya atau tanggungan orang lain yang mengambil alih hutang itu.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-8844