Membina Bangunan Pejabat Di Tapak Bekas Surau Dan Memindahkan Peralatan Yang Diwaqafkan Di Surau Tersebut Ke Bangunan Lain
Soalan: Seperti yang dimaklumi bersama bahawa di Bolkiah Garison ada sebuah surau terletak di atas tapak tanah kerajaan yang dinamakan Surau Bolkiah Garison. Pada masa ini ada perancangan untuk merobohkannya dan tapak bekas surau berkenaan akan dibina bangunan kerajaan (pejabat).
Persoalannya:
a) Apa hukum membina bangunan pejabat di atas tanah tapak surau yang telah dirobohkan itu?
b) Bagaimana dengan peralatan bangunan yang diwaqafkan seperti dinding papan, tingkap, penghawa dingin, kipas dan seumpamanya, bolehkah dipindah ke surau baru yang bertempat di Bolkiah Garison itu juga?
c) Jika peralatan-peralatan yang disebutkan di para (b) itu tidak diperlukan di surau baru itu nanti kerana sudah ada peruntukan dan tidak lagi bersesuaian dengan bangunan surau baru itu, apakah boleh dipindah ke surau atau masjid di luar kawasan Bolkiah Garison?
Jawapan: Adalah harus dibangunkan di atas bekas tapak tanah Surau Bolkiah Garison dengan apa-apa bangunan lain, melainkan jika tanah tapak surau itu adalah tanah waqaf untuk surau. Pada ketika itu tidaklah boleh dibangunkan bangunan-bangunan lain, selain surau jua. Berlainan halnya dengan masjid kerana apabila terdiri masjid, maka dengan sendirinya ia menjadi waqaf sebagaimana perkataan Ibnu Hajar dalam kitabnya at-Tuhfah:
Ertinya: “Kerana sebuah masjid itu tidaklah ia menjadi masjid melainkan ia telah menjadi waqaf.”
Ini bermakna dalam hal tapak masjid, ia tidaklah boleh ditukar untuk membangunkan selain daripada masjid.
Mengenai dengan barang-barang yang diwaqafkan kepada surau, menurut kitab Mughni al-Muhtâj; ketika membicarakan tentang masjid yang roboh, Syeikh asy- Syarbini al-Khathib menyebutkan:
Ertinya: “Perolehan waqafnya (masjid) itu adalah disalurkan kepada masjid yang berdekatan dengannya; jika masjid tersebut tidak dibina semula. Tetapi jika sebaliknya (masjid tersebut dibina semula) barangan waqaf itu hendaklah disimpan seperti mana yang dikatakan oleh Imam an-Nawawi.” (Mughni al-Muhtâj: 2/531)
Dengan penjelasan di atas, maka peralatan yang diwaqafkan di surau itu bolehlah dipindahkan ke surau yang baru dibina itu, atau sekiranya peralatan-peralatan yang diwaqafkan itu tidak diperlukan oleh surau baru itu, maka harus ia dipindahkan ke surau atau masjid-masjid yang berhampiran supaya manfaat waqaf itu akan berterusan.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-8850
