Membina Replika Binatang Untuk Dijadikan Logo Taman Rekreasi
Soalan: Dengan hormat merujuk kepada perkara di atas. Untuk makluman Dato, Jabatan Perhutanan pada masa ini sedang giat meningkatkan taman-taman rekreasi hutan di negara ini. Salah satu projek yang akan diungkayahkan ialah membina sebuah replika burung kenyalang bagi tujuan logo khusus untuk taman ini. Burung kenyalang ini merupakan burung yang sering didapati di taman ini dan Jabatan memikirkan bahawa adalah wajar ianya dijadikan sebagai logo untuk taman ini. Bagaimanapun sebelum Jabatan meneruskan pembinaan logo ini ada baiknya Jabatan menerima khidmat nasihat pandangan pihak Dato sama ada ianya boleh dibina bagi tujuan ini atau sebaliknya.
Pandangan dan apa jua nasihat daripada pihak Dato yang segera bagi perkara ini adalah sangat-sangat diharapkan dan tidak lupa diucapkan terima kasih.
Jawapan: Hukum mengukir patung atau membuat replika yang lengkap iaitu sempurna anggota tubuh badan serta ada jism dan bayang bagi suatu objek sama ada manusia atau binatang, sekalipun patung atau replika itu tidak ada bandingannya atau tidak pernah wujud seperti kuda bersayap atau kuda berbentuk kepala manusia, adalah haram dengan ijmâ‘ seluruh ulama daripada kalangan Mazhab Ahli Sunnah wal Jamaah dan wajib diroboh atau dimusnahkan, sama ada patung atau replika itu diletakkan di tempat yang dihormati atau tempat yang hina atau menghinakannya. Mengukir patung atau membuat replika tersebut juga merupakan salah satu daripada dosa-dosa besar sebagaimana yang dijelaskan oleh Ibnu Hajar di dalam kitabnya az-Zawâjir.
Adapun dalil pengharaman tersebut berdasarkan hadis shahîh yang berbentuk ancaman dan amaran dengan balasan azab di Hari Akhirat kelak bagi mereka yang mengukir patung, membuat atau membinanya.
Di antara hadis tersebut daripada Ibnu Shabih Abu Dhuha:
Maksudnya: “Pernah suatu ketika kami bersama-sama Masruq di rumah Yasar bin Numair, tiba-tiba dia terlihat di ruang rumah itu beberapa buah patung. Lalu dia berkata: “Aku telah mendengar Abdullah Ibnu Mas‘ud Radhiallahu ‘anhu berkata: “Aku mendengar Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Bahawasanya manusia yang paling berat azabnya di sisi Allah pada Hari Kiamat ialah para pembuat gambar (patung).” (Hadis riwayat al-Bukhari) Ini tidaklah termasuk patung yang digunakan untuk tujuan pendidikan, pengajaran dan pembelajaran di sekolah-sekolah atau di pusat-pusat pengajian tinggi seperti di kolej atau fakulti perubatan ataupun patung mainan kanak-kanak perempuan bagi tujuan pendidikan dan latihan untuk masa depannya sebagai ibu. Atas tujuan-tujuan serupa ini ianya diharuskan dengan syarat benar-benar digunakan untuk keperluan-keperluan (hajat) tersebut, bukannya saja-saja dibuat atau dibeli untuk disimpan dijadikan tontonan atau hiasan atau lain-lain seumpamanya.
Adapun membina patung atau replika burung kenyalang yang dirancang oleh Jabatan Perhutanan itu ialah bagi tujuan menjadikannya sebagai logo pengenalan kepada taman berkenaan agar ia benar-benar dikenali sebagai taman yang banyak terdapat burung kenyalang. Nyatalah daripada tujuan membina seperti ini sangat ditegah dan dilarang oleh syara‘ berdasarkan maksud hadis di atas. Oleh yang demikian, rancangan atau projek ini tidaklah harus diteruskan, malahan ianya adalah haram dan mesti dibatalkan bagi mengelakkan dosa dan laknat daripada Allah.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-8859
