Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳الجنائز

Memindah Kubur Lama Kerana Hendak Mendirikan Rumah

Soalan: Saya ingin memohon penjelasan mengenai tanah waris kepunyaan isteri saya. Di tanah tersebut terdapat sebuah kubur lama, yang mana jika dipindah dan dibangunkan rumah kediaman, ditakuti akan mendatangkan kemudaratan ke atas diri dan keluarga saya kemudian hari, baik di dunia mahupun di akhirat.

Atas penjelasan yang segera dari pihak Dato, dapatlah saya memahami akan hukum dan lain-lainnya.

Jawapan: Menurut hukum syara‘ kawasan yang ada kubur itu adalah hak mayat yang ditanam di situ. Kawasan tersebut tidak boleh diganggu.

Menurut al-Imam an-Nawawi dalam kitabnya Raudhah ath-Thâlibîn, kubur lama yang dipercayai bahawa mayat yang ditanam dalam kubur tersebut telah hancur keseluruhan anggotanya menjadi tanah adalah harus dibongkar. Bahkan kubur tersebut tidak boleh dihidupkan jika ia di perkuburan awam (musabbalah), kerana hal ini menimbulkan sangkaan orang ramai seolah-olah kubur tersebut adalah kubur baharu. Hal demikian akan menghalang orang lain ditanam di kawasan tersebut kerana menyangkakan mayat di dalamnya belum hancur. Demikianlah juga yang dijelaskan dalam kitab Fath al-Wahhab (1/101).

Untuk mengetahui sama ada keseluruhan anggota mayat itu telah hancur atau belum, ia hendaklah dirujukkan kepada para pakar mengenainya.

Adapun kubur yang dipercayai bahawa mayat yang dikuburkan itu belum menjadi tanah keseluruhannya adalah haram membongkarnya kerana menghormati mayat berkenaan kecuali terdapat perkara-perkara yang dharûri (sangat memaksa) seperti mayat ditanam tidak menghadap qiblat, mayat ditanam sebelum dimandikan dan seumpamanya.

Walau bagaimanapun jika sekiranya kubur berkenaan termasuk di dalam kawasan tanah milik seseorang, maka tidak mengapa kuburan itu dipindahkan ke perkuburan awam.

Peristiwa pemindahan kubur dalam konteks seperti ini boleh diqiyâskan dengan peristiwa pemindahan kubur lama yang terdapat di kawasan yang akan dijadikan tapak Masjid Nabi. Peristiwa ini disebut di dalam sebuah hadis panjang yang antara lain berbunyi:

Maksudnya: “Wahai suku Najjar, kamu sebutkanlah kepadaku beberapa harga kebun kamu ini.” Mereka menjawab: “Tidak, demi Allah kami tidak meminta harganya melainkan daripada Allah.” Anas berkata: “Sepengetahuanku di dalam kawasan kebun ini terdapat pohon-pohon kurma, kubur orang-orang musyrikin dan bekas-bekas runtuhan.” Kemudian Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam menyuruh supaya pohon-pohon itu ditebang dan kubur-kubur itu dibongkar serta bekas runtuhan itu diratakan.... (sehingga akhir hadis.)” (Hadis riwayat Muslim daripada kitâb al-Masâjid)

Ketika mensyarahkan hadis ini, Imam Muslim menerangkan bahawa peristiwa itu menunjukkan boleh membongkar kubur lama dan kawasan tanah yang terdapat padanya kuburan itu boleh dijual, serta tanah itu tetap menjadi milik persendirian yang boleh diwarisi selama ia tidak diwaqafkan. (Syarh Shahîh Muslim 3/11)

Selain itu ada juga kuburan para sahabat yang dibongkar dan dipindahkan ke tempat lain, di antaranya ialah:

Ketika mengulas pendapat Abu Abdullah az-Zubairi yang mengatakan boleh memindahkan kuburan jika dilalui air atau keadaan tanahnya lembab, Imam Nawawi Rahimahullah berkata:

Ertinya: “Pandangan az-Zubairi itu lebih ashah kerana di dalam Shahîh al-Bukhari telah sabit daripada Jabir bin Abdullah Radhiallahu ‘anhuma bahawa dia mengubur bapanya dalam satu kuburan bersama lelaki lain ketika terjadi Perang Uhud. Jabir berkata: “Hati saya tidak senang membiarkan dia dikubur bersama orang lain itu, maka saya keluarkan dia (mayat ayah itu) setelah berlalu enam bulan, ternyata keadaannya masih seperti ketika saya menguburnya dahulu kecuali ada kerosakan kecil pada daun telinganya. (Dalam satu riwayat lain juga oleh Imam al-Bukhari disebutkan): “Saya mengeluarkan dan memindahkannya ke kuburan sendiri.” Di dalam kitab al-Ma‘ârif Ibnu Qutaibah dan lain-lain menyebutkan bahawa Thalhah bin Ubaidillah (salah seorang daripada sepuluh orang yang dijamin masuk syurga - Radhiallahu ‘anhum) telah dikubur selama tiga puluh tahun. Kemudian puterinya yang bernama ‘Aisyah bermimpi melihat Thalhah mengadu kuburnya ditakungi air, lalu ‘Aisyah menyuruh supaya kubur itu dibongkar semula, dan dia pun dikeluarkan dalam keadaan masih baik lalu dikuburkan di kampungnya di Bashrah.” (Al- Majmû‘: 5/273)

Oleh kerana kubur berkenaan berada di dalam kawasan tanah perseorangan, maka hak kubur itu boleh dilanggar dengan membongkarnya, kemudian memindahkannya ke perkuburan awam dan pelanggaran ini dibuat kerana adanya mashlahat yang lebih kuat dan diperlukan oleh orang yang masih hidup.

Di samping itu, jika kubur itu berhampiran dengan rumah yang akan didirikan dan ditakuti boleh mendedahkannya kepada penghinaan, maka harus kubur itu dipindahkan ke tempat lain. Menurut fatwa Allahyarham Pehin Datu Seri Maharaja Dato Seri Utama Dr. Haji Awang Ismail ini ‘Umar Abdul Aziz (bekas Mufti Kerajaan Brunei) ketika Yang Dimuliakan itu diminta fatwa mengenai kubur di tapak projek lapangan terbang yang akan dibangunkan (13/68). Yang Dimuliakan mengatakan: “Apakala ditakutkan kubur-kubur akan terhina tiadalah berdosa pada memindahkan kubur-kubur itu ketika itu bahkan wajib jika kubur-kubur itu terhina bagaimana sahabat-sahabat Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam telah memindahkan orang syuhadâ’ dari kubur-kuburnya kerana menjauhkan kubur-kubur itu daripada kena basah.”

Berdasarkan keterangan-keterangan di atas maka bolehlah kubur berkenaan dibongkar dan dipindahkan ke tanah perkuburan awam dan harus mendirikan rumah di atas bekas kubur itu. Insyâ’ Allah tidak ada sebab ianya akan mendatangkan mudarat kerana perbuatan itu tidak bertentangan dengan syara‘.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-8866