Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳أحكام متنوعة

Meminjam Atau Menyewakan Lesen Dan Meminta Maklumat Sebutharga Tawaran Daripada Pegawai Bertugas

Soalan: Saya ada sedikit masalah dan ingin mendapatkan fatwa daripada Yang Dimuliakan Pehin Mufti.

Masalah ini berhubung dengan mata pencarian atau rezeki. Saya ingin memasuki tawaran bagi tawaran-tawaran Kerajaan dan juga pihak swasta. Apa yang saya kurang pasti adalah tentang hukum mengenai perkara-perkara seperti berikut:

1. Saya ingin meminjam/menyewa lesen seseorang yang berpangkat tinggi dalam masyarakat Brunei. Jadi adakah ini dibenarkan kerana, ada kemungkinan besar yang tawaran itu akan diberikan kepada lesen yang disebutkan tadi berdasarkan kedudukan/pangkatnya.

2. Oleh kerana tawaran biasanya berkehendakkan pemohonnya mengisi sebutharga, jadi adakah dibolehkan jika saya meminta pandangan ‘orang dalam’ iaitu pegawai yang bekerja di pejabat yang mana tawaran itu dibukakan? Pandangan yang saya perlukan daripada pegawai itu adalah mengenai sebutharga yang paling kompetitif dan dikehendaki oleh jabatan kerajaan itu.

3. Adakah dibenarkan jika saya meminta pegawai itu menyokong permohonan tawaran saya tanpa saya beri rasuah? Saya memahami bahawasanya memberi dan menerima rasuah sama sekali ditegah oleh Islam. Pegawai itu mempunyai talian persaudaraan/ persahabatan dengan saya.

Jawapan: 1) Sepanjang yang difahami biasanya suatu lesen itu tidaklah boleh dipinjam atau disewakan kepada orang lain. Jika ini benar, maka sebarang perbuatan meminjam atau menyewa lesen itu adalah salah. Dan demikian juga kesediaan serta persetujuan pemilik lesen untuk meminjamkan atau menyewakannya kepada tuan adalah lebih-lebih lagi salahnya serta berdosa kerana tidak amanah sehingga melanggar peraturan dan perintah pihak pengeluar lesen itu.

2) Meminta pandangan – pada dasarnya – adalah baik dan harus. Cuma dalam masalah melibatkan pegawai yang bertugas di pejabat, kita perlulah melihat perkara-perkara yang lain juga, kerana sebagai pegawai dia bukan sahaja bertugas menjalankan kerja-kerja hariannya, malahan juga dibebani untuk memelihara dan mengamalkan amanah dalam bidang-bidang yang dipegang. Ia (memikul amanah itu) sungguhlah berat, sukar dan mencabar. Saya berpendapat, pegawai yang terlibat dengan perkara ‘tawaran dan sebutharga kerajaan’ ini adalah turut memegang amanah ‘kerahsiaan’ yang tidak boleh dicuaikannya. Ia menentukan keadilan Kerajaan terhadap pesaing-pesaing. Katakan, jika ada tiga pesaing yang membuat sebutharga, maka ketiga-tiganya itu kita mesti layani mereka dengan adil. Tetapi apabila salah seorang daripada mereka sudahpun lebih awal kita (Kerajaan) berikan layanan istimewa berupa maklumat atau nasihat tentang harga paling kompetitif, maka di manakah kedudukan dua pesaing lagi yang tidak tahu menahu langsung tentang harga paling kompetitf itu?

Di sinilah harganya amanah, dan meroboh amanah itu adalah satu dosa dan merupakan sifat orang munâfiq, seperti sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:

Maksudnya: “Tanda-tanda orang munâfiq itu ada tiga iaitu apabila dia bercakap dia bohong, apabila dia berjanji dia mungkir dan apabila dia diamanahkan dia khianat.” (Hadis riwayat al-Bukhari)

3) Sama ada tawaran seseorang itu diterima atau ditolak akan tertakluk kepada syarat-syarat tawaran berdasarkan pertimbangan pihak yang menimbang tawaran itu. Sudah setentunya orang-orang yang diamanahkan untuk memutuskan siapa yang layak akan menjalankan tugas mereka dengan sempurna berpandukan syarat-syarat kelayakan yang telah ditentukan.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-8874