Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳الصلاة

Memperlihatkan Salib Dan Membaca Doa Agama Katholik Di Sekolah Misi Dalam Negara Islam

Soalan: Dengan penuh hormat dan takzim dimakluman kehadapan Pehin, abis kaola bertugas sebagai guru agama dan tenaga pengajar di Sek. St. Angelas’ Seria.

Ada dua perkara yang ingin kaola rujuk kehadapan Pehin:

i. Kedudukan tanda salib terpampang di bangunan sekolah serta pada dewan gereja yang tidak digunakan lagi berhadapan dengan pintu masuk utama.

ii Membaca doa bagi pengikut agama Katholik yang dibacakan pada setiap hari persekolahan ketika perbarisan pagi sebelum masuk darjah.

Untuk penjelasan mengenai perkara (i): Saiz bentuk salib tersebut amatlah jelas dan ianya seolah-olah menjadi tatapan awal kepada pelajar-pelajar Muslim ketika hadir ke sekolah kerana kedudukannya berhadapan pintu masuk utama. (ii): Doa tersebut dibaca setelah lagu kebangsaan serta doa peliharakan sultan dibacakan dengan menggunakan alat pembesar suara.

Di atas perkara inilah abis kaola pohonkan kehadapan Pehin bagi memberikan satu ‘dasar khas’ pada memikirkan serta bertindak atas jalan ilmu dan kuasa yang ada, jika ianya ternyata bertentangan dengan kehendak hukum Islam bagi kita untuk sama-sama berusaha menegakkan agama Islam yang suci ini daripada dicemari oleh najis-najis halus yang cuba untuk dibubuh ke dalam resipi agama Allah ini.

Abis kaola pohonkan atas kebijaksanaan jabatan Pehin bagi menangani masaalah ini dengan seberapa segera.

Jawapan: Islam tidak melarang penganutnya untuk bermuamalat atau menjadikan penganut agama lain sebagai rakan dalam berbagai-bagai bidang dan lapangan. Perkara ini jelas sebagaimana firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:

Tafsirnya: “Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu daripada kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil.

Sesungguhnya Allah hanyalah melarang kamu daripada menjadikan teman rapat orang-orang yang memerangi kamu kerana agama (kamu), dan mengeluarkan kamu daripada kampung halaman kamu, serta membantu (orang lain) untuk mengusir kamu. Dan (ingatlah), sesiapa yang menjadikan mereka teman rapat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim.” (Surah al-Mumtahanah: 8-9)

Ayat ini dengan tegas menjelaskan bahawa Allah tidak melarang orang Islam berbuat baik, bergaul dengan cara yang baik, bahkan berlaku adil dan jujur terhadap golongan lain; sama ada Yahudi, Nasrani ataupun musyrik, selama mereka tidak memerangi atau memusuhi orang Islam, atau mengusir orang Islam dari kampung halaman mereka. Namun dalam persoalan ini hendaklah dibezakan antara kepercayaan dengan pergaulan sehari-hari.

Atas dasar inilah orang bukan Islam yang tinggal di negara Islam dilayan dengan baik selama mana mereka patuh terhadap hukum-hukum Islam dan tidak melakukan perkara yang bertentangan dengan keharusan mereka tinggal di dalamnya.

Bahkan agama Islam melindungi orang-orang dzimmi atau orang bukan Islam yang tinggal di dalam negara Islam sama seperti perlindungan yang dinikmati oleh orang-orang Islam sendiri. Nyawa, harta benda, kehormatan dan keluarga mereka menurut syarat-syarat yang tertentu adalah terjamin dan dilarang kezaliman terhadapnya. Ini dengan tegas disabdakan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam dalam sebuah hadis Baginda:

Maksudnya: “Sesiapa yang menyakiti seorang dzimmi maka sayalah pendakwanya dan siapa yang telah saya dakwa (di dunia ini) nescaya saya akan mendakwanya pula pada Hari Kiamat nanti.” (Hadis riwayat al-Khathib al-Baghdadi daripada Mas‘ud. Hadis Hasan al-Jâmi‘ ash-Shaghîr li as- Suyuthi)

Sabdanya lagi:

Maksudnya: “Ketahuilah! Sesiapa yang menzalimi seorang kafir mu‘âhad atau mengurangi (haknya) atau memaksanya melakukan sesuatu di luar kemampuannya atau mengambil sesuatu daripadanya dengan tidak senang jiwanya (hatinya), maka sayalah pendakwanya pada Hari Kiamat, (sambil) Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam mengisyaratkan jarinya ke dadanya. “Ketahuilah! Sesiapa membunuh seorang kafir mu‘âhad yang baginya (kafir mu‘âhad itu) perlindungan Allah dan perlindungan RasulNya, Allah mengharamkan ke atasnya bau syurga dan sesungguhnya bau syurga itu boleh didapati (dicium) daripada perjalanan tujuh puluh tahun.” (Hadis riwayat al-Baihaqi)

Namun dalam perlindungan tersebut, ada beberapa perkara orang-orang dzimmi itu dilarang daripada melakukannya sebagaimana ditegaskan oleh ulama, antaranya: Mereka wajiblah menahan lisan daripada ucapan-ucapan yang salah menurut pandangan Islam dan dilarang memperlihatkan kemungkaran, seperti memperdengarkan kesyirikan mereka dengan mengatakan Allah itu salah seorang daripada yang tiga – Maha suci Allah daripada apa yang mereka sifatkan itu – dan dilarang memperlihatkan keyakinan mereka mengenai Al-Masih dan ‘Uzair – ‘Alaihimashshalatu wassalam – bahawa keduanya adalah putera Allah Ta‘ala, dan juga dilarang memperlihatkan dan memperdengarkan bacaan mereka iaitu Injil, Taurat, Naqus dan sebagainya. Jika mereka menampakkan juga, maka mereka boleh dita‘zîrkan dan ditangkap, tetapi dengan tindakan itu tidaklah merosak perjanjian, meskipun sudah disyaratkan kepada mereka untuk menahan diri daripada menyebut hal-hal serupa itu. Lain halnya jika mereka memerangi kita, tidak mahu membayar jizyah dan tidak mahu melaksanakan hukum Islam, maka ketika itu batallah perjanjian kita dengan mereka. (Kifâyah al-Akhyâr: 458).

Berkata al-Imam asy-Syirazi:

Ertinya: “Dan mereka (ahli dzimmah dilarang memperlihatkan arak, babi, menggendang nâqûs, membaca dengan nyaring Taurat dan Injil, memperlihatkan salib, memperlihatkan hari-hari raya mereka dan mengangkat suara atas mayat mereka.” (Al-Muhadzdzab: 5/330)

Asy-Syeikh al-Jalil al-Faqih Abu al-Husain Yahya bin Abu al-Khayr bin Salim al- ‘Umrani asy-Syafi‘e menekankan bahawa orang dzimmi tidak boleh memperlihatkan salib di hadapan orang Islam. Dalam kitabnya al-Bayân beliau menyebut:

Ertinya: “Dan ditegah orang dzimmi memperlihatkan minuman arak, makan babi dan menjualnya, menggendang naqus, melaungkan Taurat dan Injil, memperlihatkan hari-hari raya mereka, meninggikan suara terhadap mayat mereka. Berdasarkan apa yang telah diriwayatkan bahawa: (Orang-orang Nasara Arab mensyaratkan demikian kepada Umar Radhiallahu ‘anhu atas mereka sendiri)”

Orang Bukan Islam Ditegah Memperlihatkan Syiar Kufur

Dalam penyebutan syarat-syarat Amirul Mukminin Umar bin al-Khaththab ketika membuat perjanjian damai dengan orang-orang Nasrani penduduk Syam beliau menulis surat kepada mereka:

Ertinya: بسم هللاالرحن الرحيم Inilah surat hamba Allah Umar Amirul Mu’minin kepada Nasara asy-Syam, sesungguhnya ketika kamu datang kepada kami, kamu telah menyatakan kepada kami, kami (Nasara asy-Syam meminta kepada kamu (Amirul Mu’minin….

“Dan sesungguhnya kami tidak akan memperlihatkan lambang salib di gereja-gereja kami, dan kami juga tidak akan memperlihatkan salib-salib dan kitab-kitab kami di mana-mana tempat yang dilalui oleh orang-orang Islam atau di pasar mereka. Dan kami tidak akan memukul loceng dalam gereja-gereja kami kecuali dengan bunyi pukulan yang terhindar daripada pendengaran mereka dan kami tidak akan meninggikan suara kami dalam gereja-gereja kami, walaupun sedikit di khalayak ramai orang-orang Islam …….”

Ertinya: Sesungguhnya jika kami mungkir janji sesuatu yang kami telah syaratkan diri kami kepada kamu, maka kami memberi jaminan atas diri kami bahawa tiada lagi perlindungan kepada kami, dan halallah ke atas kamu bagi diri kami, apa yang halal kepada kamu terhadap golongan yang membantah dan menentang (kamu).” (Asnâ al-Mathâlib: 8/558)

Melihat kepada pendapat para fuqahâ’ khususnya dalam mazhab Syafi‘e berhubung dengan syarat dan juga peraturan yang mesti ditaati oleh ahlu dzimmah yang berada di negara Islam, bahawa kegiatan yang dilakukan oleh sekolah misi yang memaparkan lambang salib dan membaca doa agama Kristian tidak kira apapun mazhabnya secara terbuka sehingga didengar oleh penuntut Islam, adalah satu perbuatan yang tidak dibenarkan sama sekali menurut syara‘. Lebih-lebih lagi jika mereka sendiri diarah menyertai upacara membaca doa Kristian itu sekalipun dalam keadaan diam tiada bersuara tetapi bersama-sama dalam barisan mendengar bacaan doa tersebut.

Maka wajiblah pemerintah atau pihak berkuasa menegah mereka daripada melakukan perbuatan itu sebagaimana Imam Ahmad bin Hanbal juga berpendapat di dalam riwayat Hanbal:

Ertinya: “Dan janganlah mereka (ahli dzimmah) mengangkat salib, memperlihatkan babi, mengangkat api dan memperlihatkan arak dan kewajipan imam menegah mereka daripada semua itu.” (Ahkâm Ahl adz-Dzimmah: 153)

Saya sukacita menasihatkan, sayugia perkara ini ditangani dengan membawanya kepada pihak lebih berwajib yang berkenaan supaya dapat dihalusi dan diselesaikan dengan cara yang baik lagi bijaksana.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-8883